Hilang nikmat makan selepas dapat radang usus.
Penyakit Crohn adalah penyakit radang usus yang menyebabkan keradangan kronik pada saluran sistem penghadaman. Ia adalah penyakit radang usus jangka panjang. Ia boleh berlaku dimana-mana bahagian pada sistem usus dari mulut sehingga ka anus (dubur).
Penyakit ini lazimnya berlaku di bahagian hujung usus kecil (ileum), dan bahagian pertama usus besar (kolon).
Keradangan pada usus ini menyukarkan badan untuk mencerna makanan dan menyerap nutrien daripada makanan untuk digunakan. Apa yang menyebabkan terjadinya penykit Crohn?
Punca penyakit Crohn :
1. Genetik
Risiko untuk mendapat penyakit Crohn lebih tinggi jika mempunyai ibubapa atau ahli keluarga dengan penyakit ini. Kajian telah menunjukkan 5% ke 20% individu yang mengalami masalah radang usus mempunyai ahli keluarga terdekat dengan salah satu daripada penyakit radang usus iaitu penyakit Crohn atau kolitis ulseratif. Risiko genetik ini lebih tinggi untuk penyakit Crohn.
2. Sistem imuniti
Virus dan bakteria boleh merangsang penyakit Crohn. Sistem imuniti yang normal akan melindungi sel dan melawan serangan bakteria dan virus. Namun, sistem imuniti untuk pesakit Crohn akan bertindak sebaliknya. Apabila ia cuba melawan mikroorganisma (bakteria & virus) yang menyerang, tindak balas imun menyebabkan sistem imun menyerang sel-sel dalam saluran penghadaman.
3. Sejarah radang usus
4. Merokok
Merokok boleh memburukkan lagi simptom penyakit Crohn’s yang sedia ada disebabkan ia meningkatkan keradangan dalam usus. Selain itu, merokok meningkatkan risiko jangkitan bakteria pada usus yang mengakibatkan cirit-birit. Kajian yang dilakukan keatas 20,000 peserta yang diterbitkan dalam BMC Public Health menunjukkan individu merokok mendapat kadar jangkitan bakteria Shigella yang paling tinggi. Shigella adalah bakteria yang menyebabkan keracunan makanan.
5. Keseimbangan bakteria usus yang tidak normal
Bakteria dalam usus perlu seimbang diantara bakteria baik dan bakteria jahat. Ketidakseimbangan ini akan menyebabkan radang usus.
Faktor risiko terjadi penyakit Crohn :
1. Jantina
Perempuan dan lelaki kedua-duanya mempunyai risiko yang sama untuk mendapat penyakit Crohn.
2. Umur
Ia boleh menjangkiti semua peringkat umur tetapi lazim dijumpai dalam golongan remaja dan dewasa dalam lingkungan umur 15 ke 35 tahun. Penyakit ini biasanya bermula sejak usia muda iaitu sebelum 30 tahun.
3. Sejarah keluarga
Individu yang mempunyai ahli keluarga dengan penyakit Crohn berisiko tinggi untuk mendapat penyakit ini. 1 daripada 5 pesakit Crohn mempunyai ahli keluarga yang turut menghidap penyakit ini.
4. Merokok
Merokok akan menyebabkan penyakit sedia ada bertambah teruk serta meningkatkan risiko untuk melakukan pembedahan.
5. Pengambilan ubat anti-radang
Antara ubat untuk penyakit ini adalah ibuprofen (Advil & Motrin IB), naproxen sodium (Aleve), & diclofenac sodium. Ubat ini tidak menyebabkan penyakit Crohn tetapi mengakibatkan keradangan pada usus yang menjadikan penyakit Crohn bertambah teruk.
Simptom penyakit Crohn :
Simptom penyakit Crohn bergantung pada lokasi keradangan berlaku. Ia boleh melibatkan bahagian berlainan dalam usus pada satu masa. Simptom penyakit ini boleh datang secara beransur-ansur atau secara tiba-tiba.
- Kejang perut
- Cirit-birit teruk
- Pendarahan pada dubur atau najis
- Letih
- Penurunan berat badan
- Sakit mulut
- Bengkak dan sakit sendi
- Berpeluh malam
- Osteoporosis
- Batu karang
- Haid tidak teratur
- Masalah kulit ; merah, kudis
Komplikasi penyakit Crohn :
1. Usus tersumbat
Ini adalah komplikasi yang paling kerap daripada penyakit Crohn. Ia terbentuk disebabkan pengumpulan tisu parut yang menyempitkan usus besar (kolon). Keadaan ini menyukarkan najis untuk melalui usus. Penyempitan saluran usus boleh mengoyakkan dinding usus besar (kolon).
2. Ulser
Keradangan yang kronik akan menyebabkan ulser pada dinding usus iaitu luka terbuka yang menyakitkan pada saluran penghadaman termasuklah mulut dan anus (usus besar).
3. Anal fissures
Luka kecil pada tisu dubur (anus) atau kulit di sekeliling dubur (anus) di kawasan yang mudah dijangkiti bakteria. Ia adalah disebabkan pergerakan najis keras semasa pergerakan usus sehingga berlaku pendarahan.
4. Malnutrisi
Pesakit Crohn berisiko untuk kekurangan nutrisi disebabkan masalah cirit-birit, sakit perut dan kejang perut daripada penyakit ini. Hal ini kerana pesakit ini akan mengalami kesukaran untuk makan atau menyerap nutrien daripada makanan dalam usus. Kesannya, mereka tidak akan mendapat nutrien yang mencukupi untuk badan bekerja.
5. Kanser kolon
Individu dengan radang usus berisiko untuk mendapat dysplasia iaitu pertumbuhan sel yang tidak normal dalam tisu atau organ. Ini berlaku apabila sel tidak normal terbentuk pada dinding usus besar (kolon atau rektum).
Keradangan yang berlaku pada usus meningkatkan risiko sel pada kolon menjadi tidak normal yang menjurus kepada risiko kanser. Risiko ini meningkat dalam individu yang menghidap penyakit Crohn untuk tempoh 8 ke 10 tahun atau lebih.
Untuk mengelakkan risiko kanser :
- lakukan ujian kolonoskopi setiap 1-2 tahun
- beritahu doktor simptom baru yang muncul
- ambil ubat seperti yang disarankan doktor untuk mengawal keradangan
- melakukan aktiviti fizikal dengan kerap dan konsisten
- mengamalkan pemakanan sihat dan seimbang.
Tips untuk penyakit Crohn :
Radang usus tidak boleh dirawat secara spesifik melalui penjagaan makanan. Namun, pemakanan boleh mengawal simptom radang usus atau penyakit Crohn sedia ada daripada bertambah teruk.
1. Sedikit tetapi kerap
Kuantiti makanan yang sedikit tetapi diambil kerap membantu usus untuk menyerap nutrien daripada makanan dengan lebih baik. Makanan yang diambil secara banyak mengganggu penyerapan nutrien yang baik oleh usus yang mengalami keradangan.
Ia boleh dibahagikan kepada 3 waktu makan utama iaitu sarapan pagi, makan tengah hari, dan makan malam. Kemudian boleh diselang-seli diantara waktu makan utama iaitu makan pagi, makan petang dan supper.
Melalui kaedah ini, ia dapat mengurangkan beban pada sistem penghadaman yang perlu penampung makanan yang melaluinya untuk diproses dan dihadam.
2. Kurangkan makanan berlemak
Makanan berlemak dan berminyak tidak dicerna dan diserap dengan baik dalam usus. Ia akan membuatkan simptom sedia ada seperti sakit perut, cirit-birit dan rasa ingin membuang air besar dengan segera bertambah teruk. Antara makanan yang perlu dikurangkan adalah daging merah, makanan bergoreng dan makanan berasaskan santan (kari, masak lemak).
3. Ambil makanan tinggi omega-3
Omega-3 adalah lemak sihat yang baik untuk kesihatan badan. Omega-3 mempunyai kesan anti-radang yang mengurangkan keradangan usus seperti pesakit Crohn. Antara makanan tinggi omega-3 adalah ikan berlemak (salmon, tenggiri), telur yang diperkaya dengan omega-3 dan chia seed.
4. Kurangkan makanan atau minuman manis
Makanan dan minuman manis akan menyerap lebih banyak air ke dalam usus yang menyebabkan najis lebih lembut dan berair seterusnya menyebabkan cirit-birit. Gula yang melalui usus besar akan mengganggu bakteria dalam usus seterusnya menyebabkan cirit-birit yang lebih teruk. Antara contoh makanan yang perlu dielakkan adalah jus buah, gula-gula, minuman berkarbonat dan kek. Justeru itu, makanan atau minuman manis perlu dikurangkan.
5. Minum air kosong dengan cukup
Pesakit radang usus berisiko untuk mengalami cirit-birit secara tiba-tiba. Keadaan ini akan menyebabkan kehilangan cecair dan elektrolit daripada badan. Kedua-duanya penting untuk sistem badan berfungsi dengan baik. Minum air kosong yang cukup dapat mengembalikan elektrolit dalam badan. 8 ke 10 gelas atau 2 liter air sehari membantu mengembalikan cecair dalam badan.
Air kosong lebih baik daripada air lain. Air berkafein akan memburukkan lagi simptom cirit-birit manakala air berkarbonat akan menyebabkan kembung perut dan perut berangin.
6. Melakukan aktiviti fizikal
Aktif melakukan aktiviti fizikal akan membantu menguatkan sistem imun badan di samping meningkatkan tenaga dan mengekalkan kesihatan badan. Ia juga membantu sistem penghadaman untuk bekerja dengan lancar.
Sekurang-kurangnya 30 minit dalam 1 sesi 5 kali seminggu dengan kekuatan sederhana memadai untuk mengekalkan kesihatan badan. Pelbagai aktiviti ringan disarankan seperti berjogging, berjalan laju, berbasikal dan berkebun.
7. Berhenti merokok dan elakkan minuman beralkohol
Merokok dan minum minuman beralkohol akan merangsang keradangan dan memburukkan lagi keadaan penyakit Crohn sedia ada. Oleh itu, berhenti merokok dan mengelakkan minuman beralkohol boleh mencegah simptom penyakit Crohn yang lebih teruk.
Konklusi :
Penyakit Crohn adalah radang usus yang perlu dicegah daripada awal. Ia tidak dapat disembuhkan sepenuhnya tetapi simptom dapat dikurangkan dengan mengamalkan pemakanan dan gaya hidup sihat.