Sakit! Ini 10 Info Buasir Wajib Ambil Tahu

“Ada benjol-benjol terkeluarlah dekat punggung. Nak duduk sakit yang amat!!”

Buasir adalah bengkak urat pada bahagian bawah usus besar di rektum dan dubur. Dianggarkan 3 daripada 4 individu mengalami buasir dari semasa ke semasa. Segala kerja boleh terganggu bila ada buasir ni. Nak duduk sakit, berdiri pun tak selesa. Buasir ni ada beberapa tahap dari yang ringan sehingga tahap paling teruk.

1.Tahap buasir:

Buasir ada dua jenis iaitu buasir dalaman dan buasir luaran. Buasir dalaman tidak dapat dilihat dan dirasa dari luar. Tapi boleh dikesan apabila ada darah semasa membuang air besar. Ramai tidak menyedari buasir jenis ini kerana tiada rasa sakit atau tidak selesa ketika duduk atau berdiri. 

Buasir dalaman terbahagi kepada dua jenis iaitu tiada unjuran terkeluar dan ada unjuran terkeluar daripada dubur. Unjuran yang terkeluar ini boleh ditolak masuk semula ke saluran dubur atau ia boleh masuk dengan sendiri. Manakala, buasir luaran adalah buasir yang boleh dirasa dan dilihat. Ia adalah unjuran yang terkeluar dari dubur. Meneran semasa membuang air besar akan menyebabkan pendarahan. Buasir ini lebih menyakitkan terutamanya ketika duduk kerana terdapat saraf-saraf pada kawasan yang terkeluar. 

  • Tahap pertama, buasir menonjol ke saluran dubur. Tetapi tidak terkeluar dari dubur. 
  • Tahap kedua, buasir terkeluar dari dubur dan boleh di bawa masuk semula atau ia masuk sendiri
  • Tahap ketiga, buasir keluar dari dubur dan perlu dimasukkan semula secara manual. 
  • Tahap keempat, buasir menonjol keluar dan tidak boleh dimasukkan semula.

Tahap pertama dan kedua adalah buasir dalaman. Manakala tahap ketiga dan keempat adalah buasir luaran. Pendarahan yang dialami semasa buasir disebabkan geseran najis keras yang melalui dubur dengan buasir pada salur dubur.

2. Punca buasir:

Buasir boleh terjadi disebabkan pelbagai faktor. Antaranya ialah disebabkan:

  • duduk terlalu lama
  • meneran ketika membuang air besar
  • penggunaan tandas duduk 
  • sembelit 
  • cirit – birit teruk
  • mengangkat barang berat 
  • obesiti
  • keturunan
  • mengandung

Semua golongan usia dan jantina berisiko mendapat buasir. Walaubagaimanapun, terdapat kajian yang menyatakan golongan tua dan wanita lebih berisiko kerana pernah melalui proses mengandung dan melahirkan.

3. Risiko mendapat buasir:

Buasir adalah penyakit yang biasa dalam kalangan masyarakat kerana sekurang-kurangnya 3 dari 4 orang dewasa akan mengalaminya. Walaupun begitu, penyakit ini biasanya akan sembuh. 

Perempuan lebih berisiko untuk mendapat buasir semasa mengandung kerana apabila rahim membesar, ia akan menekan saluran darah di usus besar menyebabkannya membonjol keluar. Faktor perubahan hormon semasa mengandung juga memainkan peranan dalam hal ini.  

Risiko untuk mendapat buasir tinggi apabila usia meningkat. Biasa berlaku dalam kalangan dewasa berusia 45 hingga 65 tahun. Kanak-kanak dan orang muda juga boleh mendapat buasir.

4. Simptom buasir:

Ramai tak sedar mereka ada buasir. Sampai dah tahap ada darah keluar, baru tersedar. Tapi, pesakit perlu berjumpa doktor terlebih dahulu untuk memastikan pendarahan tersebut bukanlah penyakit kronik lain seperti kanser usus.

Simptom buasir dalaman:

  • Darah selepas membuang air besar
  • Kulit terkeluar daripada dubur semasa membuang air besar

Simptom buasir luaran:

  • Gatal di kawasan dubur
  • Bengkak pada dubur
  • Sakit pada kawasan dubur bila duduk

5. Kenapa buasir gatal?

Kerap meneran ketika membuang air besar akan menyebabkan benjolan terkeluar yang dikenali sebagai prolaps pada dubur. Benjolan ini adalah salur darah yang membengkak dan ada mukus atau lendir untuk memastikan kelembapan pada kawasan tersebut. Apabila mukus bercampur najis pada salur dubur, ini akan menyebabkan wujudnya rasa gatal. 

Namun begitu, ada juga punca lain yang menyebabkan wujudnya rasa gatal seperti :

  • Jangkitan yis
  • Jangkitan kulat
  • Lelehan najis
  • Lelehan peluh
  • Fisur dubur
  • Ketuat kelamin
  • Herpes
  • Proktitis
  • Psoriasis
  • Kudis
  • Kutu
  • Kanser

Bahagian ini sangat berisiko mendapat jangkitan. Oleh itu, penjagaan kebersihan sangatlah penting untuk mengelakkan sebarang jangkitan. Basuh kawasan dubur dengan bersih.

6. Bolehkah buasir sembuh sendiri?

Pernahkah terfikir akan persoalan ini?

Sebenarnya, buasir boleh sembuh atau dimasukkan kembali sendiri jika ia masih kecil dan di tahap 1 dan 2 dalam tempoh beberapa hari selepas ia muncul. Namun begitu, penjagaan pemakanan dan gaya hidup yang baik sangatlah penting. 

Jika buasir dalaman sudah membesar dan keluar daripada lubang dubur, ia akan mengambil masa yang agak lama untuk sembuh. Malah, ia juga memerlukan rawatan dan nasihat daripada doktor.

7. Boleh ka nak pecahkan luka buasir?

Pernah dengar tak ada individu yang sanggup pecahkan sendiri luka buasir? 

Jangan cuba memecahkan buasir sendiri tanpa pengawasan doktor. Ini akan memberi tekanan pada bahagian yang membonjol. Keadaan ini akan menyebabkan salur darah terbuka yang boleh menyebabkan luka dan pendarahan. Jika buasir itu besar, ia akan menyebabkan pendarahan yang lebih teruk dan mengancam nyawa. 

Kulit di bahagian dubur lebih berisiko mendapat koyak dan pendarahan kerana lapisannya nipis dan ada salur darah. Salur darah yang terbuka memudahkan jangkitan bakteria untuk berlaku. Ini kerana najis ada bakteria. Apabila najis ini bergeser dengan luka buasir, jangkitan mudah terjadi. Keadaan yang tidak dikawal menyebabkan jangkitan ini merebak ke bahagian badan yang lain.

8. Kaedah terbaik untuk kecutkan & cegah buasir:

Pilih makanan sihat – Makan makanan tinggi serat

Apabila ingin mengecutkan atau mencegah buasir, makanan tinggi serat sangat disarankan. Buah dan sayur adalah contoh paling mudah dan dekat dengan kita. Sayur dan buah adalah makanan tinggi serat yang mudah didapati. Kedua-duanya mengandungi agen anti-radang yang boleh membantu mengecutkan luka buasir di samping pelbagai jenis mineral dan vitamin yang penting untuk badan. 

Serat membantu melawaskan makanan yang dicerna, terbahagi kepada 2 iaitu serat mudah larut dan serat tidak larut. Serat mudah larut akan membentuk gel dalam usus dan dicerna oleh bakteria baik. Manakala serat tidak larut akan mengumpul najis dalam bentuk gumpalan dan mengelakkan cirit-birit. 

Oat tinggi dengan serat mudah larut iaitu beta-glucan, makanan yang diperlukan oleh bakteria baik di usus. Bakteria ini akan menghasilkan nutrient untuk sel usus besar yang seterusnya menghasilkan sistem penghadaman yang sihat.

Makanan bijirin penuh tinggi dengan serat tidak larut. Ia boleh membantu melawaskan pencernaan dan mengurangkan kesakitan buasir. Makanan bijirin penuh yang biasa ialah nasi beras perang dan beras basmathi, roti bijirin penuh, barli dan oat.

Makanan yang rendah serat perlu dikurangkan seperti produk tenusu, daging merah, makanan bergoreng dan makanan pedas. Hal ini kerana makanan rendah serat ini lambat dihadam dalam usus, dan usus akan menyerap lebih banyak air. Oleh itu, najis jadi keras dan sembelit.

Sembelit menjadi punca utama buasir. Pemakanan yang sihat boleh membantu mengelakkan sembelit seterusnya buasir. 

Serat membantu melembutkan najis dan melancarkan penghadaman. Dengan itu, tidak perlu meneran dengan berlebihan ketika membuang air besar.

Banyakkan minum air kosong

Air kosong penting untuk memastikan badan kekal hidrat dan lembap. Ini akan membantu proses pencernaan supaya lebih lancar. Dengan ini, sembelit dan najis keras dapat dielakkan. Hal ini sangatlah penting untuk mengelakkan daripada meneran ketika membuang air besar.

Kekal berat badan sihat

Berat badan berlebihan akan meningkatkan risiko buasir. Ini kerana ia akan memberi tekanan dan menyempitkan salur darah di anus dan rektum (usus besar). Tambahan lagi, mereka yang obes juga mempunyai risiko untuk mendapat sembelit. Sembelit ini boleh memberi tekanan pada salur darah yang menyebabkan bengkak seterusnya menyebabkan buasir. Oleh itu, mengekalkan berat badan sihat membantu mengecutkan buasir.

Jaga kebersihan

Kebersihan pada bahagian dubur sangat penting. Najis mengandungi bakteria yang boleh menyebabkan jangkitan. Apabila terjadinya luka buasir pada bahagian dubur, ia berisiko bercampur dengan najis. Jangkitan mudah terjadi. Oleh itu, pastikan bahagian dubur sentiasa bersih selepas membuang.

Elak duduk lama

Duduk lama akan mengganggu pengaliran darah dan menyebabkan darah tidak dapat mengalir dengan baik pada kawasan dubur (anus). Darah akan berkumpul dan membengkak di sekitar anus. Maka, terjadilah buasir. Dengan itu, sebaiknya tidak duduk lebih daripada 2 jam sehari.

Elak meneran

Meneran terutamanya ketika membuang air besar akan memberi tekanan pada salur darah di saluran dubur. Keadaan yang berterusan menyebabkan salur darah ini membengkak dan terkeluar dari dubur (buasir).

Jangan tunggu lama untuk ke tandas

Menahan diri dari membuang air besar akan bagi tekanan pada usus besar (rektum dan anus). Jadi, apabila terasa ingin membuang air besar, terus pergi membuang. Menahan diri akan mengeraskan najis dan menyebabkan sembelit. Keadaan ini jika tidak dirawat boleh menyebabkan buasir. Tetapkan masa setiap hari untuk ke tandas dapat mengatur tabiat usus.

Rawatan topikal

Krim sapuan antara kaedah yang berkesan mengecutkan luka buasir. Krim ini mengandungi ubat tahan sakit serta mudah didapati di farmasi. Ia membantu mengurangkan rasa tidak selesa serta sakit buat sementara waktu. Jadi, sakit akibat buasir juga dapat dikawal.

Rawatan buasir skleroterapi

Rawatan skleroterapi adalah rawatan buasir dengan kaedah suntikan. Suntikan larutan kimia akan disuntik ke bahagian buasir yang membengkak. Tujuannya adalah untuk mengecutkan bengkak tersebut. Sesuai untuk buasir tahap 1 dan 2. Proses ini akan menghasilkan tindak balas parut yang akan mengecilkan buasir secara beransur-ansur.

Senaman

Kekal cergas setiap hari penting untuk memastikan diri selamat daripada penyakit. Untuk pesakit buasir, pelbagai aktiviti senaman boleh dilakukan dengan nasihat doktor. Senaman ini dilakukan untuk menguatkan bahagian pelvis. Antara senaman yang boleh dilakukan seperti :

i. Pengecutan lantai pelvis

Menguatkan otot pelvis dan pinggul supaya pencernaan najis dapat berjalan lancar dan lebih mudah membuang air besar. Ia juga membantu merehatkan injap dubur dan mencegah ketegangan.

ii. Teknik pernafasan panjang

Mengurangkan ketegangan otot lantai pinggul dan menenang otot.

iii. Posisi menghilangkan angin (Pawanmuktasana)

iv. Child’s Pose

v. Senaman kaki pada dinding

Aktiviti fizikal atau senaman dapat membantu melancarkan pergerakan usus di samping mengekalkan berat badan sihat. Oleh itu, ini akan membantu mengelakkan sembelit. Menurut Panduan Pemakanan Malaysia (2010), aktiviti fizikal disarankan sekurang-kurangnya 30 minit sehari untuk 5 kali seminggu dengan kadar kekuatan sederhana.

Lain-lain

  • Gantikan tisu tandas kering dengan tisu basah
  • Elak menggunakan tisu atau tuala dengan pewangi
  • Guna pek mampatan sejuk atau tuam dubur dengan ais untuk melegakan bengkak
  • Rendam bahagian bengkak buasir dalam air suam untuk melegakan kesakitan

9) Makanan perlu elak:

Makanan pedas

Makanan pedas tidak menyebabkan buasir. Tetapi ia akan memburukkan lagi keadaan yang sudah ada. Pesakit akan mengalami rasa seperti terbakar.

Makanan pedas adalah perangsang saluran pencernaan. Ia mengandungi capsaicin yang akan merangsang salur pencernaan untuk menghasilkan cecair gastrik dan mempercepat proses penghadaman makanan. Keadaan ini akan menyebabkan sakit perut serta cirit-birit. Cirit-birit boleh menyebabkan buasir sedia ada bertambah teruk.

Makanan tinggi garam

Makanan masin boleh menyebabkan kembung perut kerana penggumpulan garam dalam darah. Pengambilan yang berlebihan akan melambatkan proses pencernaan. Ia juga boleh meningkatkan kebergantungan badan terhadap air dan memberi tekanan terhadap salur darah.

Pengambilan makanan masin atau bergaram memerlukan air yang banyak untuk mengimbangi kandungan garam berlebihan dalam salur darah. Air akan keluar dengan banyak ke salur darah dan menyebabkan badan kekeringan dan mengganggu proses pencernaan badan.

Dehidrasi dan kembung perut akan memburukkan lagi keadaan buasir dan memberi ketidakselesaan kepada pesakit.

Daging merah

Daging merah mempunyai lemak yang banyak. Ia mengambil masa yang lama untuk dicerna. Proses pencernaan yang lambat akan memberi tekanan kepada usus disamping risiko najis menjadi keras. Keadaan ini akan menyebabkan sembelit. Sembelit yang berterusan memberi tekanan kepada saluran darah di bahagian dubur. Lama-kelamaan, buasir boleh berlaku.

Makanan bergoreng

Makanan berminyak atau berlemak seperti sambal, masak lemak, gulai, kari dan bergoreng akan meningkatkan risiko sembelit. Ini kerana lemak adalah sejenis makanan yang lambat dicerna oleh badan. Ia mengambil masa dan akan tinggal lama dalam sistem pencernaan. Ini akan menyebabkan najis mengeras dan berlaku sembelit.

Sembelit memaksa individu untuk meneran dan keadaan ini memberi tekanan kepada saluran darah di dubur. Keadaan ini seterusnya boleh mengakibatkan keradangan dalam usus dan buasir akan menjadi lebih teruk, besar, sensitif serta menyakitkan.

Makanan / minuman manis

Gula tidak menyebabkan buasir. Tetapi ia boleh memburukkan lagi keadaan buasir. Apabila mengambil makanan atau minuman manis, kadar gula dalam badan akan meningkat. Usus akan menyerap air dari makanan yang diproses untuk menstabilkan kelembapan dalam badan. Keadaan ini akan mengakibatkan najis menjadi keras dan berlaku sembelit dalam usus. Najis yang keluar akan bergesel dengan bengkak buasir dan memburukkan lagi situasi buasir.

Kafein berlebihan

Minuman berkafein tidak akan menyebabkan buasir tetapi akan memburukkan lagi simptom buasir yang sedia ada. Kafein bukan sahaja dalam kopi tetapi termasuk coklat, teh, air bikarbonat dan minuman tenaga.

Najis akan menjadi kering dengan minuman berkafein. Usus bertindak menyerap air daripada najis seterusnya menyebabkan sembelit. Sifat kafein yang memberi kesan perangsang akan mengaktifkan sistem pencernaan dan menyebabkan kekerapan ke tandas. Ini memburukkan lagi kesan buasir serta melambatkan proses penyembuhan.

10) Kesan kalau buasir tak dirawat:

Jangkitan

Buasir mempunyai lapisan lendir pada bengkak tersebut. Apabila berlaku geseran diantara najis dan bengkak, ia akan berlaku luka dan pendarahan. Seterusnya, ia memberi ruang untuk bakteria dan virus untuk masuk ke dalam badan melalui luka tersebut. Jangkitan yang tidak dikawal daripada awal boleh merebak ke seluruh tubuh badan.

Anemia

Anemia adalah kekurangan sel darah merah yang berkualiti. Sel darah merah sangat penting kerana ia diperlukan untuk membawa oksigen ke seluruh badan untuk sistem badan berfungsi dengan baik. Keadaan ini akan menyebabkan pesakit berasa letih dan lesu. Anemia yang tidak dirawat boleh meningkatkan risiko penyakit jantung, letih yang sangat teruk dan sistem imuniti lemah.

Kulit terkeluar

Buasir akan meninggalkan kesan kulit terkeluar daripada saluran dubur. Hal ini disebabkan meneran ketika membuang air besar dan tekanan pada salur darah.

Konklusi:

Buasir amat menyakitkan. Diet pemakanan yang sihat dan kekal cergas setiap hari boleh kurangkan masalah buasir.

Rujukan:

  1. Hemorrhoids: Treatment, Recovery, and More
  2. Spicy Food and Hemorrhoid Pain May Be Linked
  3. Terseksa Apabila Terkena! Tapi Apa Punca BUASIR Buat Punggung Gatal & Sakit?
  4. How long do hemorrhoids last? What to know
  5. Which foods to eat and avoid to help treat and prevent piles


Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi, penulis Fitpedia. Merupakan graduan Dietetik dari UIAM. Minat dalam bidang nutrisi dan kesihatan dan suka berkongsi ilmu kesihatan dan nutrisi kepada masyarakat supaya masyarakat mendapat ilmu yang betul.Di Fitpedia, kita menyediakan info-info berkaitan kesihatan, nutrisi dan tips berkaitan pemakanan.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here