Tuala Wanita Herba VS Tuala Wanita Sintetik : Yang Mana Lebih Baik?

Tuala wanita atau pad adalah keperluan terpenting para wanita menjelang haid. Ia telah dicipta sejak 1890-an lagi untuk menampung darah haid wanita setiap bulan. Pelbagai inovasi dilakukan sehingga kini untuk memudahkan para wanita untuk menjalani aktiviti harian walaupun datang bulan. 

Sebelum membeli tuala wanita, harus diketahui bahawa tuala wanita boleh dibahagikan kepada beberapa jenis di pasaran. Kalau tersalah pilih boleh akibatkan alergi dan keradangan pada kulit.

Dengan perkembangan teknologi, tuala wanita herba atau organik telah dicipta yang lebih mesra kulit. Ia mengurangkan risiko keradangan dengan lapisan kapas yang lebih lembut, serta memastikan kulit kekal kering dan boleh bernafas walaupun memakai tuala wanita untuk tempoh masa lama.

Ciri-ciri tuala wanita di pasaran :

1. Slim vs maxi

Tuala wanita bersaiz slim sesuai untuk wanita yang mempunyai darah haid yang sedikit. Bentuk yang mengikut bentuk badan dan lebih nipis daripada tuala wanita biasa. Manakala saiz maxi sesuai untuk wanita yang mempunyai darah yang banyak. Ia lebih tebal dan tidak mengikut bentuk badan.

2. Pantyliner

Lebih kecil, pendek dan nipis daripada tuala wanita biasa. Digunakan sebelum dan selepas haid. Berisiko untuk jangkitan bakteria jika digunakan sepanjang masa dan setiap hari.

3. Ekstra panjang

Sesuai untuk pemakaian malam kerana posisi tidur dan pergerakan sewaktu tidur akan menyebabkan geseran. Disebabkan itu, tuala yang bersaiz lebih panjang sesuai pada waktu malam.

4. Dengan sayap

Ciri ini berfungsi memegang tuala wanita pada tempatnya serta melindungi bahagian tepi seluar supaya tetap bersih.

5. Jenis bergel

Gel pada tuala wanita berfungsi untuk menyerap lebih baik agar permukaan tuala wanita kekal kering. Gel akan menyerap lebih banyak berbanding kapas.

6. Pewangi vs tanpa pewangi

Tuala wanita yang berbau harum tidak sesuai untuk digunakan kerana ia boleh menyebabkan keradangan atau kepedihan pada alat sulit terutamanya apabila dipakai untuk tempoh masa lama. Hal ini kerana apabila kedatangan haid, seseorang wanita itu perlu memakainya sepanjang hari untuk mengelakkan kebocoran darah haid. 

7. Pakai buang (reusable)

Tuala wanita jenis pakai buang diperbuat daripada kapas dan boleh digunakan kembali selepas dicuci bersih. Ia mengandungi lapisan anti-bocor yang boleh menyerap darah haid dengan baik. Tuala ini lebih selamat dan eco-friendly. 

Bahan-bahan dalam tuala wanita organik : Diperbuat daripada apa?

Tuala wanita organik menggunakan kapas organik yang ditanam tanpa penggunaan racun serangga atau hanya dengan racun serangga organik. Ia dikenali sebagai eco-friendly. Malah, tuala wanita ini bebas daripada wangian, pewarna, bahan kimia, klorin dan sedikit kandungan dioxin. Dioxin adalah hasil sampingan daripada pelunturan klorin yang memutihkan produk penjagaan wanita seperti pad dan tampon. 

Tuala Wanita Organik vs sintetik :

1. Tuala wanita sintetik membahayakan kesihatan

Tuala wanita atau pad sintetik mengandungi bahan kimia yang dikenali sebagai dioxin yang dihasilkan daripada proses pelunturan klorin untuk memastikan pad dan tampon kelihatan bersih dan putih. Namun begitu, pendedahan kepada bahan kimia ini secara berlebihan meningkatkan risiko kanser. Menurut Persatuan Kesihatan Sedunia (WHO), dioxin akan mengakibatkan masalah kesihatan seperti mengganggu : 

  • Kitaran hormon dalam badan
  • Sistem imuniti
  • Masalah reproduktif seperti senggugut, endometriosis

Tisu vagina wanita bersifat mudah menyerap. Oleh itu, penggunaan bahan kimia daripada bahan dalam pad sintetik boleh menyerap masuk ke tisu vagina, seterusnya ke saluran darah dan membahayakan kesihatan. 

Tuala wanita yang mengandungi wangian dan bahan kimia berbahaya akan menyebabkan alahan kulit, mudah kemerahan, bengkak dan menyakitkan pada bahagian alat sulit.  

Tanaman seperti kapas akan disembur racun serangga dan racun herba untuk membunuh serangga perosak yang boleh merosakkan hasil tanaman. Apabila kapas ini digunakan sebagai tuala wanita, racun ini boleh membahayakan kesihatan apabila ia memasuki saluran darah. Namun, kebanyakan pad herba di pasaran adalah daripada kapas organik. Iaitu kapas ini diracun dengan racun serangga organik yang selamat untuk kulit.

2.  Tuala wanita organik mesra kulit

Tuala wanita organik yang dihasilkan daripada tumbuhan semulajadi organik seperti kapas organik membenarkan kulit untuk bernafas dan memastikan kulit kekal kering dengan kandungan serat selulosa yang bersifat menyerap. 

Risiko mendapat alahan berkurang dengan pad organik berbanding pad sintetik dengan lapisan plastik. Hal ini disebabkan pad organik lebih lembut di samping bebas bahan kimia. 

Jika dipakai untuk tempoh masa yang lama, ia tetap memberikan keselesaan kerana ia adalah lapisan kapas mesra kulit yang mengurangkan risiko keradangan seperti kemerahan, kegatalan dan ketidakselesaan ketika memakainya.

3. Daya penyerapan tuala wanita organik lebih banyak

Tuala wanita dengan jenis organik menyerap lebih banyak berbanding jenis sintetik. Namun, disebabkan permukaan pad organik tidak berlubang seperti pad sintetik dengan lapisan plastik, penyerapannya agak perlahan.

Kesan memakai tuala wanita untuk tempoh masa lama: 

Kelembapan yang terperangkap pada pad menyediakan tempat pembiakan untuk bakteria dan fungus. Pemakaian pad terlalu lama boleh menyebabkan jangkitan termasuk jangkitan fungi dan bakteria yang seterusnya memasuki saluran darah dan membahayakan kesihatan. 

Pad ini perlu ditukar dengan kerap walaupun tiada darah padanya. Jangka masa terbaik adalah menukar pad setiap 3 ke 4 jam sekali. Selain untuk menjaga kebersihan, kaedah ini juga untuk menghilangkan bau yang tidak menyenangkan daripada darah haid. 

Konklusi :

Pad herba atau pad organik lebih baik dari pad sintetik kerana ia lebih mesra kulit, membenarkan kulit bernafas dengan baik serta mengurangkan risiko keradangan kulit. Wanita yang mempunyai masalah kulit sensitif disaran untuk mengambil pad herba.

Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi, penulis Fitpedia. Merupakan graduan Dietetik dari UIAM. Minat dalam bidang nutrisi dan kesihatan dan suka berkongsi ilmu kesihatan dan nutrisi kepada masyarakat supaya masyarakat mendapat ilmu yang betul.Di Fitpedia, kita menyediakan info-info berkaitan kesihatan, nutrisi dan tips berkaitan pemakanan.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here