3 Tips Solusi Terbaik Masalah Kerap Kencing

Selalu ulang-alik kencing tapi minum air sedikit. Kerap kencing adalah simptom utama kencing manis. Ia menandakan bacaan gula dalam darah, tinggi. Kencing manis adalah salah satu punca kerap kencing. Tetapi, terdapat beberapa faktor lain yang menyumbang kepada berlakunya kerap kencing seperti jangkitan kuman, pundi kencing terlalu aktif, masalah prostat, otot pelviks lemah dan kencing manis.

Diabetes penyebab kerap kencing

Diabetes atau kencing manis adalah keadaan apabila bacaan gula dalam darah tinggi melebihi paras normal disebabkan badan tidak menghasilkan insulin dengan cukup atau insulin yang dihasilkan tidak dapat digunakan dengan baik. 

Individu dengan diabetes jenis 1 mempunyai organ pankreas yang tidak dapat menghasilkan insulin dengan cukup. Manakala dalam individu dengan diabetes jenis 2, badan mempunyai tindak balas insulin yang lebih rendah serta tidak dapat menggunakan insulin yang dihasilkan dengan baik.

Insulin adalah sejenis hormon yang dihasilkan oleh organ pankreas. Ia bertanggungjawab mengeluarkan gula dari dalam salur darah ke dalam sel badan. Seterusnya, ia akan ditukar menjadi tenaga. Apabila insulin tidak dapat berfungsi dengan baik, ia menyebabkan pengumpulan gula dalam salur darah yang dikenali sebagai kencing manis atau diabetes. 

Paras gula yang tinggi dalam darah membebankan buah pinggang untuk menyerap semula gula masuk ke dalam salur darah. Seterusnya, ia mengganggu fungsi buah pinggang. Lebihan gula yang tidak dapat diserap akan dikeluarkan melalui air kencing. 

Proses ini akan turut mengeluarkan cecair dari badan dan mengakibatkan kerap kencing dan badan akan banyak kehilangan air. 

Tempoh kekerapan kencing

Kekerapan kencing adalah lebih 6 ke 8 kali sehari dalam keadaan pundi kencing penuh untuk tempoh 24 jam tanpa dipengaruhi faktor lain. Tanda kerap kencing lain adalah

  • mudah terjaga daripada tidur untuk kencing
  • tenaga menurun
  • mudah lesu

Kekerapan kencing boleh dikira kencing manis atau diabetes jika mudah terbangun untuk kencing sebanyak 2 kali atau lebih pada waktu malam. Hal ini kerana kebiasaanya pada waktu malam, badan akan berehat dan kurang menghasilkan air kencing serta mempunyai tekstur air kencing yang lebih pekat. Namun, untuk orang sihat, mereka tidak akan terbangun pada waktu tidur tanpa gangguan melainkan terdapat beberapa faktor ini:

  • Minum air berlebihan dekat dengan waktu tidur
  • Minum minuman berkafein.

Selain kencing manis, kerap kencing jugak boleh terjadi disebabkan keadaan kesihatan yang lain seperti jangkitan saluran kencing atau jangkitan pundi kencing, perubahan pada otot, saraf dan tisu yang mengganggu fungsi pundi kencing serta keadaan yang meningkatkan penghasilan air kencing. 

Tips untuk mengurangkan masalah kerap kencing

1. Jaga pemakanan dan kawal gula

Makanan dan minuman manis penyumbang kepada peningkatan gula dalam badan apabila ia diambil secara berterusan untuk tempoh yang lama. Kurangkan pengambilan makanan dan minuman manis dapat mengawal bacaan gula. Makanan dan minuman manis mengandungi gula ringkas yang mudah meningkatkan bacaan gula dalam darah. 

Mengamalkan pemakanan seimbang yang mengandungi karbohidrat, protein, lemak dan serat disarankan untuk mengawal bacaan gula pada paras normal. Makanan berserat seperti buah, sayur dan bijirin berserat (oat) boleh melambatkan penyerapan gula ke dalam darah seterusnya mengawal gula dalam darah.

2. Kurangkan minum air 4 ke 6 jam sebelum tidur

Mengambil minuman dekat dengan waktu tidur meningkatkan risiko untuk kencing pada waktu malam. Ini kerana buah pinggang akan memproses minuman yang diambil ketika tidur, seterusnya memenuhi pundi kencing. Disebabkan itu, kita ada terjaga ketika tidur untuk kencing.

3. Senaman & senaman Kegel 

Senaman dilakukan secara kerap sekurang-kurangnya 30 minit untuk 1 sesi selama 5 hari sekali membantu meningkatkan tindak balas insulin untuk membantu penyerapan gula ke dalam sel badan untuk menghasilkan tenaga. Dengan bersenam, ia membantu membaiki tindak balas insulin. 

Senaman kegel sesuai dilakukan untuk menguatkan otot pelvis dan mengurangkan masalah kencing tidak lawas serta kerap kencing.  

Konklusi

Masalah kerap kencing boleh berlaku disebabkan masalah gula tinggi dalam darah (kencing manis) atau masalah kesihatan lain seperti jangkitan pada saluran kencing dan lemah otot pelviks. Masalah ini boleh di atasi dengan gaya hidup yang sihat dan pemakanan yang baik.

Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi, penulis Fitpedia. Merupakan graduan Dietetik dari UIAM. Minat dalam bidang nutrisi dan kesihatan dan suka berkongsi ilmu kesihatan dan nutrisi kepada masyarakat supaya masyarakat mendapat ilmu yang betul.Di Fitpedia, kita menyediakan info-info berkaitan kesihatan, nutrisi dan tips berkaitan pemakanan.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here