3 Sebab Manfaat Anda Akan Terima Dengan Menjamah Beras Basmathi

Nasi merupakan makanan ruji rakyat Malaysia dan beberapa negara di Asia. Pelbagai jenis beras terdapat di pasaran dengan khasiat yang hampir sama. Salah satunya ialah beras basmathi. Ia merupakan beras bersaiz panjang dengan anggaran 6.00mm hingga 8.00mm dan anggaran lebar 3.5mm hingga 4.5mm.

Beras basmathi ditanam di kaki pergunungan Himalaya dan dikatakan berasal dari India dan Pakistan. India merupakan negara pengeluar utama untuk beras basmathi.  Beras basmathi mempunyai kalori, karbohidrat dan mikronutrient yang tinggi. Beras ini boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu beras putih dan beras perang.

Beras basmathi putih dikategorikan sebagai beras putih yang sihat. Beras basmathi perang lebih baik dari beras basmati putih kerana mempunyai kandungan serat yang lebih tinggi. Hal ini kerana penghasilan beras basmathi perang hanya melalui proses yang sedikit.

Ianya mempunyai rasa kekacang dan aroma yang menyenangkan serta tekstur yang lembut dan gebu. Beras basmathi sesuai untuk dijadikan pelbagai jenis masakan seperti nasi briyani, nasi mandy, nasi kabsah dan nasi minyak.

Kebaikan beras basmathi kepada kesihatan :

1. Dapat mengekalkan berat badan sihat

Beras basmathi mempunyai kalori yang rendah berbanding beras putih biasa serta serat yang tinggi. Serat dapat memberi rasa kenyang dengan cepat yang mengelakkan seseorang daripada terlebih makan, seterusnya membantu mengawal berat badan.  Serat yang terkandung dalam beras basmati mudah diserap dan membantu melancarkan sistem penghadaman.

2. Dapat mengawal gula pesakit kencing manis

Beras basmathi mempunyai indeks glisemik yang rendah ke sederhana. Indeks glisemik dapat menentukan tahap penyerapan gula (glucose) dalam darah. Indeks glisemik yang rendah dapat melambatkan pencernaan, penyerapan dan metabolisma gula dalam darah seterusnya mengawal bacaan gula dalam darah.

Walaubagaimanapun, ia harus diambil dalam kuantiti hidangan yang kecil dan betul mengikut saranan Kementerian Kesihatan Malaysia kerana ianya juga sebahagian dari makanan karbohidrat. Beras basmathi perang lebih baik berbanding putih kerana indeks glisemiknya yang lebih rendah disamping mempunyai bran yang bertindak sebagai serat yang membantu mengawal paras gula

Menurut National Institute of Diabetes and Digestive and Kidney Diseases, bijirin penuh perlu diambil sekurang-kurangnya separuh daripada jumlah karbohidrat harian untuk mengawal paras gula dalam darah. Serat dalam beras basmathi perang membantu melambatkan penyerapan gula dalam darah dan membantu mengekalkan bacaan gula pada tahap stabil.

3. Baik untuk kesihatan jantung

Beras basmathi perang tidak mempunyai kolesterol, lemak dan gula. Beras basmathi mempunyai kandungan logam berat, Arsenik yang rendah. Arsenik boleh menyebabkan pembentukan darah beku yang membahayakan kesihatan dan meningkatkan risiko penyakit jantung. Oleh itu, beras basmathi dapat mengurangkan risiko penyakit jantung.

Rujukan:

  1. Health Effects of Chronic Arsenic Exposure
  2. Health Benefits of Basmati Rice
  3. Basmati Rice As a Diabetic Food
  4. Jenis-Jenis Beras Di Malaysia

Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi, penulis Fitpedia. Merupakan graduan Dietetik dari UIAM. Minat dalam bidang nutrisi dan kesihatan dan suka berkongsi ilmu kesihatan dan nutrisi kepada masyarakat supaya masyarakat mendapat ilmu yang betul.Di Fitpedia, kita menyediakan info-info berkaitan kesihatan, nutrisi dan tips berkaitan pemakanan.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here