Amaran! Adakah Anda Minum Susu Setiap Pagi Untuk Mengelak Gastrik?

Susu selalu dikaitkan dengan gastrik. Ia diminum apabila simptom gastrik muncul. Hakikatnya, susu hanya dapat melegakan asid gastrik untuk sementara waktu sahaja. Ia tidak dapat melegakan sepenuhnya masalah gastrik iaitu rembesan asid dari perut. 

Pelbagai jenis susu terdapat di pasaran iaitu susu penuh krim, rendah lemak, skim, oat, badam (almond) dan soya. Produk tenusu ialah produk berasaskan haiwan dan mempunyai kandungan lemak. Lemak ini akan meningkatkan rembesan asid dalam perut. 

Pemilihan produk tenusu rendah lemak dan tanpa lemak boleh melegakan asid berlebihan dalam perut. Namun begitu, produk tenusu penuh lemak akan menyebabkan masalah gastrik menjadi lebih teruk kerana ia akan tinggal dalam perut untuk tempoh lama dan berisiko meningkatkan kandungan asid. 

Nutrisi penting dalam susu:

#1. Kalsium

Produk tenusu kaya dengan protein dan kalsium. Mineral ini penting untuk badan. Kalsium digunakan untuk menghasilkan sel tulang baru di samping menguatkan tulang. Ia juga digunakan untuk menguatkan otot. Menurut US Department of Agriculture, 1 gelas susu lembu (245ml) mempunyai 21-23% kalsium bergantung pada jenis susu. 

Pesakit gastroesophageal reflux disease (GERD) biasanya mempunyai otot lower esophageal sphincter (LES) yang lemah. LES ialah otot yang mengawal asid gastrik daripada memasuki semula saluran esofagus yang boleh menghakis lapisan ini. 

Kajian mendapati pengambilan makanan tinggi kalsium membantu mengurangkan simptom asid refluks dalam kalangan lelaki. Kalsium juga berkesan menguatkan semula otot LES.

#2. PROTEIN

Setiap sel dalam badan manusia mempunyai protein. Ia diperlukan untuk menguatkan sistem imunisasi dan melindungi badan daripada jangkitan bakteria. Protein juga penting untuk menghasilkan tenaga dan membawa oksigen dalam darah keseluruh badan. 

Makanan berprotein diperlukan untuk membaiki sel dan menghasilkan sel baru dalam badan. Oleh itu, masalah hakisan lapisan perut disebabkan rembesan asid gastrik dapat dikurangkan. 

Susu lembu mempunyai protein yang tinggi iaitu 8g untuk 1 gelas susu (245ml). Kajian mendapati seseorang yang mengamalkan pemakanan tinggi protein kurang mengalami simptom pedih ulu hati. Hal ini kerana protein merangsang pengeluaran hormon gastrin. Gastrin adalah hormon yang boleh meningkatkan pengecutan otot LES dan membantu pengosongan perut, seterusnya mengurangkan rembesan semula makanan ke esofagus.

Tetapi, gastrin juga boleh meningkatkan pengeluaran asid dalam perut dan memberi rasa terbakar di dada. Oleh itu, pengambilan makanan atau minuman tinggi protein harus dikawal.

#3. LEMAK

Makanan atau minuman berlemak menjadi pencetus kepada berlakunya pedih ulu hati. Ia akan mengecutkan otot lower esophageal sphincter (LES) dan memberi ruang untuk asid dari perut untuk dirembeskan semula ke esofagus. 

Lemak mengambil masa yang lebih lama berbanding karbohidrat dan protein untuk dicerna. Maka, ia akan berada di dalam perut untuk tempoh masa yang lama. Perut akan mengosongkan isinya dengan kadar yang perlahan. Lagi lama masa yang diambil untuk pengosongan perut, risiko untuk esofagus terdedah kepada rembesan asid gastrik semakin tinggi apabila jumlah makanan yang banyak, berisiko ditolak naik ke esofagus. 

Oleh itu, susu lembu menjadi pertikaian tentang keberkesanannya melegakan simptom gastrik. Susu lembu boleh diminum untuk pesakit gastrik tetapi perlu memilih susu lembu rendah lemak atau tanpa lemak. 

Pelbagai jenis susu bukan tenusu:

1. Susu badam (almond)

Susu badam bersifat alkali. Ia boleh menstabilkan kandungan asid perut dan melegakan simptom asid refluks. Susu ini juga mempunyai kurang lemak tepu dan lebih lemak tidak tepu serta kalori dan protein yang rendah berbanding susu lain. 

Sebahagian susu badam di pasaran ditambah dengan kalsium untuk menyerupai kandungan kalsium daripada susu lembu. Ia juga ditambah dengan bahan pemekat kerana kandungan lemak yang rendah. Pemekat ini boleh mengganggu sistem penghadaman, menyebabkan ulser dan keradangan.

2. Susu soya

Kedua, susu soya mengandungi lemak yang rendah berbanding susu lain iaitu separuh daripada susu penuh krim. Kandungan lemak yang kurang akan merendahkan risiko gastrik dan gastroesophageal reflux disease (GERD). 

Menurut Soy Foods Association of North America, 1 gelas susu soya penuh kream mempunyai 4g lemak, manakala 1 gelas susu penuh krim mempunyai 8g lemak. Susu soya mempunyai pH 7.94, iaitu bersifat neutral ke alkali. Oleh itu, ia akan meneutralkan asid dalam perut dan esofagus. Rembesan asid gastrik akan berkurang.  

Selain itu, soya mempunyai isoflavones iaitu sejenis antioksidan yang membantu mengurangkan keradangan. Isoflavones diklasifikasikan sebagai flavonoid. Manakala, flavonoid dipanggil sebagai “gastroprotective“. Ini kerana ia melindungi lapisan dinding perut dan membantu ulser dalam perut untuk sembuh. 

Pengambilan makanan berasaskan flavonoid dalam kadar biasa tidak akan memberi kesan negatif tetapi jika diambil berlebihan mungkin berisiko mengganggu proses pembekuan darah.

3. Susu oat

Yang terakhir, susu oat merupakan alternatif terbaik bagi mengelakkan lactose intolerance dan alergik. Susu ini bebas laktosa, kekacang, soya dan gluten. Ia juga mempunyai lemak yang rendah berbanding susu jenis lain. 

Hal ini kerana susu ini dihasilkan dengan merendam dan mengadun oat dengan air, kemudian menyaring dengan cheecloth untuk memisahkan susu dari oat. Untuk pengetahuan semua, oat dalam bentuk susu kurang berkhasiat berbanding oat asli kerana ia sudah diproses dan hilang nutrisi-nutrisi penting semasa proses merendam dan menyaring oat. Oleh itu, ia diperkaya dengan nutrisi seperti kalsium, potassium, iron, vitamin A dan D. 

Oat adalah makanan tidak berasid serta mempunyai serat yang tinggi. Serat ini akan meningkatkan kesihatan usus, mengurangkan masalah sembelit dan memberi rasa kenyang dengan lebih lama. Kecenderungan untuk makan lebih akan berkurangan seterusnya mengurangkan risiko untuk memuntahkan semula apa yang dalam perut ke saluran esofagus. Oleh itu, ia akan membantu membendung gejala asid refluks.

Konklusi

Badan boleh menyerap 30-32% kalsium daripada produk tenusu, dan 20-30% dari sumber tumbuhan seperti badam. Oleh itu, produk tenusu lebih baik dari segi kandungan kalsiumnya tetapi perlu berhati-hati akan kesan sampingan lain seperti lemak. Ini kerana lemak dalam produk tenusu meningkatkan rembesan asid gastrik.

Konklusinya, susu bukanlah pilihan pertama untuk mengelakkan gastrik. Namun demikian, pilihan terbaik jika ingin minum susu ialah minum produk susu yang rendah lemak atau tanpa lemak. Ini akan mengurangkan risiko gastrik.

Rujukan

  1. Fung WP. Effect of soya bean milk on the healing of gastric ulcers — a controlled endoscopic study. Med J Aust. 1975 Jun 7;1(23):717-8. PMID: 1097866.
  2. Does Soy Milk Affect Acid Reflux?
  3. Almond, hemp, oat, soy, and cow’s milk: Which is best?
  4. Oat Milk: Nutrition, Benefits, and How to Make It
  5. Low-fat or skim milk
  6. Does Milk Relieve Heartburn?
  7. Is Milk Good for Stomach Acid?

Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi, penulis Fitpedia. Merupakan graduan Dietetik dari UIAM. Minat dalam bidang nutrisi dan kesihatan dan suka berkongsi ilmu kesihatan dan nutrisi kepada masyarakat supaya masyarakat mendapat ilmu yang betul.Di Fitpedia, kita menyediakan info-info berkaitan kesihatan, nutrisi dan tips berkaitan pemakanan.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here