Tiada Penawar Spesifik! Kenali 5 Tips Terbaik Menghadapi Radang Usus

Penyakit radang usus atau dikenali juga sebagai “inflammatory bowel disease” adalah keradangan yang berlaku dalam sistem penghadaman. Sistem ini bermula dari mulut hingga ke rektum. Ia bertanggung jawab mencerna makanan dan menyerap nutrisi daripada makanan tersebut ke dalam sistem badan. Makanan yang tidak dicerna akan keluar melalui saluran usus besar dan rektum. 

Penyakit ini adalah penyakit jangka panjang yang tidak ada penawar. Rawatan yang diberikan adalah untuk mengurangkan simptom sedia ada. 

Menurut Pakar Gastroenterologi dan Perubatan Dalam dari USM, seramai 500 orang penghidap radang usus daripada 100 ribu penduduk. Menurut kajian pada 2019, 0.94 daripada 100,000 individu/tahun mendapat penyakit radang usus. 

Jenis penyakit radang usus:

Radang usus (inflammatory bowel disease) adalah apabila kolitis ulseratif dan penyakit Crohn’s berlaku serentak.

Penyakit radang usus terbahagi kepada 2 iaitu kolitis ulseratif dan penyakit Crohn’s. Kolitis ulseratif adalah keradangan yang berlaku pada usus besar (kolon) dan rektum. Keradangan ini akan menghasilkan kudis kecil (ulser) pada dinding usus besar. Ia bermula dalam rektum dan naik ke atas, melibatkan seluruh usus besar. 

Keradangan akan menyebabkan usus menggerakkan kandungannya dengan cepat dan kerap untuk biarkan ia kosong. Apabila sel di permukaan usus mati, ulser akan terbentuk. Ulser ini akan menyebabkan pendarahan serta keluar cecair dan lepuh. Lazim menjangkiti mereka yang berusia 15 ke 30 tahun.

Penyakit Crohn’s adalah keradangan yang berlaku pada mana-mana bahagian saluran pencernaan yang bermula dari mulut hingga anus (dubur).

Faktor terjadi radang usus:

Radang usus boleh terjadi dalam semua golongan tetapi sering dikesan dalam golongan berusia 15 ke 40 tahun. Pelbagai faktor menjadi penyebab terjadinya radang usus.

1. Sejarah keluarga dan genetik

Individu yang mempunyai sejarah ahli keluarga (ibu bapa, adik-beradik & anak) dengan penyakit radang usus berisiko tinggi untuk mendapat penyakit ini. Ada diantara mereka mendapat penyakit ini daripada ibu bapa yang bertindak sebagai pembawa gene penyakit ini.

2. Masalah sistem imun

Sistem imun bertanggungjawab melindungi diri daripada jangkitan. Jangkitan bakteria atau virus pada saluran penghadaman akan merangsang tindak balas imuniti. Saluran penghadaman akan meradang apabila badan menghasilkan tindak balas imun melawan benda-benda asing. Secara normal, keradangan ini akan hilang apabila jangkitan hilang. 

Namun, bagi pesakit radang usus, keradangan boleh berlaku walaupun tiada jangkitan. Sistem imuniti akan menyerang sel dalam badan sendiri yang dikenali sebagai tindak balas autoimun.

Jika sudah menghidapi penyakit berkaitan sistem imun, risiko mendapatkannya untuk kali kedua adalah tinggi.

3. Merokok

Merokok boleh memburukkan lagi simptom penyakit Crohn’s yang sedia ada disebabkan ia meningkatkan keradangan dalam usus. Selain itu, merokok meningkatkan risiko jangkitan bakteria pada usus yang mengakibatkan cirit-birit. Kajian yang dilakukan keatas 20,000 peserta yang diterbitkan dalam BMC Public Health menunjukkan individu merokok mendapat kadar jangkitan bakteria Shigella yang paling tinggi. Shigella adalah bakteria yang menyebabkan keracunan makanan.

Di samping itu, dalam kajian yang sama menemukan merokok menyebabkan perut menghasilkan asid dengan lebih seterusnya mencegah jangkitan Vibrio cholera. Bakteria ini penyebab jangkitan dan cirit-birit.

Simptom radang usus:

Simptom radang usus berbeza-beza mengikut individu. Tidak semua mengalami simptom yang sama. Ada diantara pesakit akan mengalami pendarahan dalam usus semasa membuang air besar. Antara simptom lain adalah:

  • Sakit bahagian abdomen
  • Rasa usus tidak dikosongkan sepenuhnya – membuang tidak lawas
  • Najis berdarah
  • Cirit-birit – boleh berlaku secara tiba-tiba
  • Penurunan berat
  • Sakit, kejang dan bengkak perut
  • Letih melampau
  • Demam 
  • Malnutrisi (kurang zat makanan)

Simptom yang lebih teruk yang boleh dialami adalah suhu badan tinggi, muntah dan anemia (hilang darah merah). Simptom radang usus tidak menentu, kadang kala teruk, kadang kala ringan. Ada juga di antara masanya tiada simptom. 

Simptom tambahan:

  • Sendi sakit dan bengkak
  • Loya tekak dan hilang selera makan
  • Masalah kulit
  • Kudis pada mulut
  • Radang mata

Diagnosis radang usus:

Beberepa kaedah mengenal pasti keradangan usus boleh dilakukan seperti endoskopi, biopsi dan CT scan.

  • “Flexible sigmoidoscopy” & kolonoskopi – tiub berkamera dimasukkan melalui anus untuk mengenal pasti keradangan seperti ulser, fistulas dan kerosakan atau kelainan dalam usus besar (rektum & kolon). Ia akan memeriksa keseluruhan usus besar. Sigmoidoskopi memeriksa 20 inci terakhir usus besar (bahagian usus sigmoid)
  • Biopsi – sampel tisu usus dikeluarkan semasa proses kolonoskopi dan diuji di bawah mikroskop untuk menentukan IBD
  • MRI @ CT scan – untuk memeriksa usus kecil, menghasilkan gambar yang lebih jelas berbanding X-rays. Sesuai digunakan untuk memeriksa usus kecil. MRI – menggunakan medan magnet untuk membentuk imej badan. Sesuai untuk memeriksa tisu lembut dan fistulas 
  • Sampel najis – boleh digunakan untuk mengesan jangkitan
  • Ujian darah – untuk membezakan diantara kolitis ulseratif dan penyakit Crohn’s
  • Endoskopi – tiub fleksibel digunakan untuk memeriksa perut, esofagus dan usus kecil

Kesan radang usus:

1. Wanita hamil/ingin hamil

Apabila berlaku kerosakan pada usus, zat-zat nutrisi tidak dapat diserap dengan baik dan akan mengganggu proses kehamilan. Keadaan ini akan meningkatkan risiko kelahiran bayi pra-matang, berat ketika mengandung rendah serta keguguran.

2. Kanser 

Keradangan yang tidak dikawal daripada awal boleh menyebabkan kanser kolorektal atau usus besar. Ia bermula dengan keradangan tanpa dysplasia (tanpa perubahan pada sel), kemudian ia akan berlaku perubahan sel (dysplasia) yang tidak jelas. 

Keradangan berterusan akan membawa kepada perubahan sel yang lebih jelas, seterusnya boleh membawa perubahan kepada sel kanser. Risiko untuk mendapat kanser usus semakin meningkat dengan peningkatan usia dan tempoh keradangan yang lama. Disebabkan itu, doktor akan menyarankan pemeriksaan usus secara berkala untuk mengelakkan kanser usus bagi golongan berisiko.

3. Sukar menyerap nutrisi (malnutrisi)

Masalah pada usus disebabkan penyakit Crohn’s akan mengganggu penyerapan nutrien masuk ke dalam badan. Dengan ini, ia akan menyebabkan tulang lemah (osteoporosis) dan kekurangan zat besi.

Rawatan radang usus:

Tiada penawar yang mujarab untuk menyembuhkan penyakit Crohn’s sepenuhnya. Tetapi, rawatan yang disarankan adalah untuk mengawal atau mengurangkan simptom dan mencegah simptom daripada kembali. Manakala untuk kolitis ulseratif, tujuan rawatan ini adalah untuk mengurangkan keradangan penyebab muncul simptom untuk mencegah kolitis ulseratif yang lebih teruk.

1. Pengambilan ubat-ubatan

Keradangan yang minimum boleh dirawat dengan ubat anti-radang seperti amino salicylate. Keadaan yang lebih teruk digalakkan untuk mengambil ubat anti-radang jenis steroid. Ubat “5-aminosalicyclic acid” membantu mengurangkan keradangan pada usus kecil dan kolon (usus besar).

  • balsalazide (Colazal)
  • mesalamine (Apriso, Asacol HD, Canasa, Pentasa)
  • olsalazine (Dipentum), 
  • sulfasalazine (Azulfidine)

Ubat “immunomodulators” akan merubah cara sistem imun berfungsi. Antara contoh ubat adalah methotrexate,  “5-aminosalicyclic acid” dan thiopurine. Ubat ini perlu diambil dengan saranan doktor. Ia mencegah sistem imun menyerang usus dan menyebabkan keradangan.

  • methotrexate (Otrexup, Trexall, Rasuvo)
  • azathioprine (Azasan, Imuran)
  • mercaptopurine (Purixan)

Kortikosteroid boleh memberi kesan sampingan. Oleh itu, doktor menghadkan penggunaannya. Ia digunakan untuk mengurangkan keradangan pada usus. Boleh dijumpai dalam bentuk tablet, suntikan dan buih rektum.

  • budesonide (Uceris)
  • prednisone (Prednisone Intensol, Rayos)
  • prednisolone (Millipred, Prelone)
  • methylprednisolone (Medrol, Depo-Medrol)

“Biological and biosimilar” adalah ubat untuk rawatan yang menggunakan antibodi melalui suntikan pada peaskit yang mengalami simptom sederhana ke tinggi. Ia dihasilkan daripada antibodi dan berupaya mencegah masalah keradangan. 

Selain itu, ubat ini membantu menghalang “tumor necrosis factor” (TNF) iaitu bahan kimia yang dihasilkan oleh sistem imun untuk merangsang keradangan. Dalam radang usus, apabila TNF tinggi, ia menjadi penyebab keradangan. 

TNF-alpha:

Ubat biologi termasuklah:

  • certolizumab (Cimzia)
  • natalizumab (Tysabri)
  • ustekinumab (Stelara)
  • vedolizumab (Entyvio)

2. Pembedahan 

Kaedah ini digunakan jika ubat-ubatan tidak mampu mengawal keradangan. Namun begitu, untuk pesakit kolitis ulseratif, pembedahan boleh menyembuhkan penyakit ini kerana bahagian usus yang terlibat akan dibuang dan saluran baru akan dihasilkan untuk proses pembuangan sisa najis. 

Untuk pesakit Crohn’s, pembedahan dilakukan hanya untuk meredakan komplikasi penyakit tersebut. Dianggarkan 60-75% pesakit Crohn’s memerlukan pembedahan untuk membaiki sistem penghadaman dan merawat komplikasi penyakit ini.

Tips menghadapi radang usus:

Simptom radang usus berbeza mengikut individu. Begitu juga dengan makanan yang merangsang simptom keradangan. Pesakit radang usus sering kali dikaitkan dengan malnutrisi iaitu kekurangan zat makanan. Hal ini disebabkan mereka mempunyai sistem penghadaman yang lemah, nutrisi makanan tidak diserap dengan baik, hilang selera makan, dan penurunan berat badan. Tips terbaik untuk pesakit radang usus adalah:

1. Kuantiti sedikit dan kerap

Makan secara sedikit tetapi kerap disarankan untuk pesakit Crohn, kolitis ulseratif atau radang usus. Ia boleh dibahagikan kepada 3 waktu makan utama iaitu sarapan pagi, makan tengah hari, dan makan malam. Kemudian boleh diselang-seli diantara waktu makan utama iaitu makan pagi, makan petang dan supper. 

Melalui kaedah ini, ia dapat mengurangkan beban pada sistem penghadaman yang perlu penampung makanan yang melaluinya untuk diproses dan dihadam.

2. Minum air kosong dengan cukup

Pesakit radang usus berisiko untuk mengalami cirit-birit secara tiba-tiba. Keadaan ini akan menyebabkan kehilangan cecair dan elektrolit daripada badan. Kedua-duanya penting untuk sistem badan berfungsi dengan baik. Minum air kosong yang cukup dapat mengembalikan elektrolit dalam badan. 8 ke 10 gelas air sehari membantu mengembalikan cecair dalam badan.

3. Vitamin dan mineral

Pesakit Crohn’s berisiko untuk kekurangan nutrisi. Manakala pesakit kolitis ulseratif berisiko untuk anemia (kurang darah merah). Hal ini kerana untuk menghasilkan sel darah merah memerlukan zat besi yang mencukupi. Apabila zat ini tidak dapat diserap dengan baik, mereka berisiko untuk mengalami anemia. Kebanyakkan vitamin dan mineral akan dihadam di dalam usus besar dan kecil sebelum diserap masuk ke dalam badan. 

Buah dan sayur adalah sumber vitamin dan mineral yang baik. Namun, bagi individu yang mempunyai masalah penghadaman, kulit dan biji daripada buah atau sayur perlu dibuang. 

4. Protein

Sumber protein penting untuk memberi tenaga pada badan. Ia membantu mengembalikan tenaga dan berat badan yang hilang selepas cirit-birit. Pemilihan sumber protein rendah lemak atau tanpa lemak lebih baik untuk membantu penyerapan protein yang lebih lancar. Malah, ia akan mengurangkan risiko simptom yang lebih teruk.

5. Probiotik

Radang usus akan mengeluarkan bakteria baik daripada usus melalui cirit-birit. Bakteria ini penting untuk melindungi sistem penghadaman terutamanya di usus dan memastikan usus kekal sihat. Yogurt, kimchi dan tempe adalah antara sumber bakteria hidup yang boleh mengembalikan keseimbangan bakteria dalam usus. 

Konklusi:

Radang usus adalah penyakit yang tiada penawar, Namun begitu, simptom daripada penyakit ini boleh dikurangkan dengan mengamalkan pemakanan sihat serta memastikan diri mengambil air kosong yang mencukupi untuk mengembalikan cecair dan nutrisi dalam badan.

Rujukan:

  1. What to Eat & What to Avoid to Manage Your IBD
  2. What are the best foods to avoid during a Crohn’s disease flare-up?
  3. Understanding the Symptoms of Inflammatory Bowel Disease (IBD)
  4. Mokhtar, N.M., Nawawi, K.N.M., Verasingam, J. et al. A four-decade analysis of the incidence trends, sociodemographic and clinical characteristics of inflammatory bowel disease patients at single tertiary centre, Kuala Lumpur, Malaysia. BMC Public Health 19, 550 (2019).
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi, penulis Fitpedia. Merupakan graduan Dietetik dari UIAM. Minat dalam bidang nutrisi dan kesihatan dan suka berkongsi ilmu kesihatan dan nutrisi kepada masyarakat supaya masyarakat mendapat ilmu yang betul.Di Fitpedia, kita menyediakan info-info berkaitan kesihatan, nutrisi dan tips berkaitan pemakanan.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here