6 Jenis Pemanis Tiruan…Adakah Pengganti Gula Pasir?

Pemanis tiruan kini menjadi pilihan ramai kerana khasiatnya lebih baik daripada gula pasir biasa. Kesedaran tentang pentingnya kesihatan telah menarik ramai individu untuk menjaga pemakanan mereka dengan mengawal minuman manis.

Pemanis tiruan juga dikenali sebagai pengganti gula, adalah bahan kimia yang ditambah dalam minuman dan makanan untuk memberi rasa manis dan menstabilkan rasa. Tahap kemanisan pemanis tiruan ini jauh lebih manis berbanding gula pasir biasa. Oleh itu, ia hanya diperlukan dalam kuantiti yang sedikit. 

Pelbagai jenis pemanis tiruan dijual dipasaran mengikut kesesuaian penggunaan. Ia menjadi popular kerana hampir tiada kalori, karbohidrat dan kos penghasilannya jauh lebih murah.

Cara deria rasa berfungsi:

Lidah manusia mempunyai banyak deria rasa dan setiap satunya mempunyai reseptor rasa yang akan mengesan rasa yang berbeza daripada molekul makanan. Gabungan yang ideal diantara molekul makanan dan reseptor rasa akan menghantar isyarat kepada otak untuk mengesan rasa. 

Pemanis tiruan dapat memberi rasa manis kerana ia dikesan oleh reseptor manis pada permukaan lidah. Pemanis ini menyediakan hampir tiada kalori disebabkan badan tidak boleh memecahkan pemanis tiruan ini menjadi molekul yang lebih kecil untuk digunakan sebagai tenaga atau kalori. 

Hanya sedikit sahaja jumlah pemanis tiruan diperlukan untuk memberi kemanisan pada makanan.

Tetapi sejauh mana pemanis tiruan ini selamat digunakan?

Pemanis ini juga menjadi perdebatan warga maya tentang kesan selepas pengambilannya dalam makanan atau minuman.

Biasanya pemanis tiruan ini tidak mengandungi kalori. Sebab itu, ia menjadi pilihan terutamanya untuk individu dengan masalah kencing manis dan ingin mengawal pengambilan makanan manis. 

Jenis-jenis pemanis tiruan:

1. Aspartame

Telah digunakan di Amerika Syarikat sejak 1980an. Tahap kemanisan sehingga 200 kali ganda tetapi pemanis ini tidak tahan dengan haba. Kemanisannya akan hilang apabila terdedah kepada haba. Biasa dijual di bawah jenama NutraSweet, Equal, dan Sugar Twin.

2. Acesulfame potassium

Kemanisan 200 kali ganda berbanding gula pasir. Digunakan dalam pemanis mulut sejuk beku, gula-gula, kek dan air bikarbonat diet. Pemanis ini dijual dibawah jenama Sunnet dan Sweet One.

3. Sucralose

Tahap kemanisannya mencapai 600 kali ganda. Biasa dipasarkan dibawah jenama Splenda. Ia adalah pemanis yang dihasilkan daripada proses kimia. Sesuai untuk digunakan dalam masakan, membuat kek, roti serta dicampur dalam masakan berasid.

4. Saccharin

Telah digunakan sejak lebih kurang 100 tahun dahulu dan antara pemanis tiruan yang paling lama. Biasa digunakan dalam makanan seperti jelly, yogurt, jus dan minuman berkarbonat. Tahap kemanisannya dari 200 hingga 700 kali ganda berbanding gula pasir biasa. Mempunyai rasa pahit dan sedikit metallic (rasa seperti logam) selepas menggunakannya. Dijual dibawah jenama Sweet’N Low, Sweet Twin, dan Necta Sweet

5. Neotame

Tahap kemanisan sehingga 13,000 kali ganda, tahan haba serta rasa manisnya masih kekal dengan haba yang tinggi. Dijual dibawah jenama Newtame. Sesuai untuk memberi rasa dalam masakan dan bahan bakar seperti roti dan kek.

6. Advantame

Digunakan dalam produk minuman, serbuk minuman dan bahan memasak. Tahap kemanisan sehingga 20,000 kali ganda berbanding gula pasir dan 110 kali ganda berbanding aspartame.

Kebaikan pemanis tiruan:

Pemanis tiruan mengawal berat badan

Pelbagai kajian telah membuktikan pengambilan pemanis tiruan sebagai alternatif kepada makanan dan minuman manis membantu memberi rasa kenyang dengan lebih lama. Menggantikan minuman berkarbonat dengan minuman tanpa gula membantu menurunkan indeks jisim badan (BMI).

Kajian juga ada menyatakan menggantikan gula tambahan dengan pemanis tiruan dapat membantu mengawal pengambilan kalori seterusnya menjurus kepada penurunan berat badan. Pengambilan makanan dengan pemanis tiruan lebih menjimatkan kalori berbanding gula tambahan. Justeru itu, pemanis tiruan sangat disarankan untuk penggemar makanan dan minuman manis dan bertin yang ingin mengurangkan pengambilan gula harian. 

Pemanis tiruan mengawal gula dalam darah

Pemanis tiruan ini selamat digunakan dalam kalangan pesakit diabetes. Ia menjadi bonus kepada mereka kerana pemanis ini menawarkan rasa manis tanpa meningkatkan kalori dan paras gula dalam darah. Malah, ia juga sesuai untuk individu yang ingin mengawal berat badan dengan mengurangkan pengambilan gula dalam makanan harian.

Kandungan gula dalam darah mereka tidak meningkat kerana pemanis ini dianggap ‘free food’ iaitu kalori kurang daripada 20kcal dan karbohidrat kurang dari 5gram. Jadi, paras gula dalam darah masih terkawal. 

Kesimpulan:

Gula ini sesuai untuk dijadikan alternatif kepada individu yang inginkan rasa manis tetapi ingin mengawal paras gula. Pelbagai jenis pemanis tiruan terdapat dipasaran dan boleh dipilih mengikut kesesuaian suhu dan kegunaan. Walaupun beberapa jenis pemanis tiruan ini pernah mengalami kontroversi tentang kesan negatif pada manusia, tetapi, kesan pemanis-pemanis ini tidak terbukti secara saintifik. Malah, ia dibenarkan penggunaannya oleh Persatuan Makanan dan Ubat US dan Eropah. Kuantiti secara bersederhana adalah lebih disarankan.

Rujukan:

  1. Artificial Sweeteners: Good or Bad?
  2. Artificial sweeteners: sugar-free, but at what cost?
  3. Gantikan Gula Dengan Pemanis Tiruan, Adakah Ini Bagus Untuk Pesakit Diabetes?
  4. Sucralose (Splenda): Good or Bad?
  5. Is Acesulfame Potassium Bad for Me?
  6. Everything You Need to Know About Stevia
  7. Saccharin — Is This Sweetener Good or Bad?
  8. Additional Information about High-Intensity Sweeteners Permitted for Use in Food in the United States
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi, penulis Fitpedia. Merupakan graduan Dietetik dari UIAM. Minat dalam bidang nutrisi dan kesihatan dan suka berkongsi ilmu kesihatan dan nutrisi kepada masyarakat supaya masyarakat mendapat ilmu yang betul.Di Fitpedia, kita menyediakan info-info berkaitan kesihatan, nutrisi dan tips berkaitan pemakanan.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here