Pemanis Tiruan VS Pemanis Semulajadi! Mana Lebih Baik Untuk Diamalkan Dalam Pemakanan Harian?

Pemanis Tiruan

Pemanis tiruan ialah sejenis bahan kimia yang dibuat atau diproses untuk memaniskan makanan dan minuman. Ia ini dikategorikan sebagai pemanis yang intensif dimana ia mempunyai manis berkali ganda berbanding sukrosa atau gula putih biasa. Banyak digunakan dalam produk makanan dan minuman kerana harganya yang lebih murah berbanding pemanis semulajadi yang diekstrak dari pokok herba.

Image Source: istockphoto.com

Dalam kebanyakan makanan dan minuman harian kita terkandung gula tiruan juga. Jadi, kita kena ambil tahu jenis-jenis gula tiruan yang banyak digunakan dalam produk makanan dan minuman zaman kini. Ini membolehkan kita untuk berhati-hati dan mengawal pengambilan gula tiruan dalam diet harian. 

Antara jenis gula tiruan yang sering kita jumpa dalam produk makanan dan minuman ialah seperti:

Sakarin (Saccharin)

  • Pemanis yang biasa digunakan dalam minuman jus buah-buahan, sos, yogurt, gula-gula getah dan makanan yang diproses.
  • Mempunyai tahap kemanisan sebanyak 100 hingga 800 kali ganda daripada gula biasa.
  • Tidak mengandungi sebarang kalori.
Image Source: istockphoto.com

Acesulfame Potassium

  • Menurut FDA (Food and Drug Administration) pemanis ini juga dikenali sebagai Ace-K dan acesulfame K. 
  • Pemanis jenis ini banyak terkandung dalam gula-gula, minuman, roti, kek dan air berkarbonat jenis diet.
  • 200 kali ganda lebih manis daripada gula biasa.

Sucralose

  • FDA membenarkan penggunaan Sucralose dalam 15 kategori makanan.
  • Mempunyai kadar manis sehingga 600 kali ganda berbanding gula biasa.
  • Banyak terkandung dalam minuman manis, gula-gula getah, pencuci mulut berasaskan tenusu dan produk makanan bakeri seperti kek dan roti.

Neotame

  • Sejenis gula buatan yang tahan haba. Sangat sesuai digunakan dalam pembuatan roti dan kek.
  • Mempunyai tahap kemanisan setinggi 7000 hingga 13,000 kali ganda daripada gula biasa.
  • Tahap kemanisannya juga lebih manis daripada aspartam dan sucralose.
Image Source: istockphoto.com

Aspartam

  • Gula tiruan yang tidak tahan haba. Manisnya akan hilang bila dipanaskan.
  • 200 kali ganda lebih manis daripada gula biasa.
  • Banyak digunakan dalam sarapan segera, bijirin, makanan dan minuman ringan.

Cyclamate

  • Terhasil daripada garam cyclamate.
  • Kadar kemanisan 30-80 kali lebih manis daripada gula biasa.
  • Gula tiruan ini digunakan dalam makanan yang diproses, minuman ringan dan pencuci mulut.

6 pemanis tiruan ini digunakan secara meluas dalam pasaran makanan dan minuman, termasuk di negara Malaysia. Seeloknya kita tahu jenis gula tiruan yang terkandung dalam makanan dan minuman harian kita supaya kita boleh kawal pengambilannya. 

Pemanis Semula Jadi

Image Source: istockphoto.com

Ada sumber yang diekstrak daripada haiwan dan tumbuhan dijadikan sebagai pemanis semulajadi. Gula semulajadi ini terhasil dan diperoleh melalui proses biologi semulajadi misalnya proses fotosintesis tumbuhan. Mengandungi kalori dan fruktosa yang rendah serta rasa yang sangat manis berbanding gula biasa. Oleh kerana pemanis semula jadi mempunyai kalori yang rendah, ia selalu digunakan sebagai alternatif untuk menggantikan gula biasa. Rasa manis dalam pemanis semula jadi diperoleh daripada kandungan glukosa dan fruktosa.

Terdapat beberapa jenis pemanis semula jadi yang akan dikongsikan dalam penulisan ini yang mungkin dapat memberi manfaat kepada semua pembaca. Terutamanya, mereka yang ingin menggantikan penggunaan gula biasa kepada gula alternatif semula jadi yang jauh lebih sihat.

Antara jenis pemanis diekstrak dari sumber-sumber semulajadi yang biasa ditemui ialah seperti:

Stevia (Steviol Glycosides)

  • Pemanis semula jadi yang tidak mengandungi kalori.
  • Mempunyai rasa yang lebih manis berbanding gula putih biasa.
  • Tumbuhan herba stevia ini berasal daripada Paraguay dimana Stevia ini kebanyakannya tumbuh di kawasan berpasir secara liar.

Thaumatin

  • Thaumatin (E957) sejenis pemanis campuran protein yang diambil dari buah pokok di Afrika yang dikenali sebagai pokok Thaumatococcus danielli.
  • Mempunyai rasa manis 2000 kali ganda lebih manis daripada gula biasa.
  • Meninggalkan rasa likoris (aftertaste).
Gambar pokok Thaumatococcus danielli.

Glycyrrhizin

  • Sejenis pemanis triterpenoid saponin yang diambil dari rizom likoris (Glycyrrhiza glabra) dan akar.
  • 30-50 kali ganda manis daripada sukrosa.
  • Digunakan dalam perubatan tradisional sebagai ubat batuk dan merawat ulser perut.
Image Source: istockphoto.com

Lakanto Monk Fruit

  • Berasal daripada buah monk dari rantau China dan Thailand.
  • Dikeringkan sebelum proses mengekstrak pemanis Lakanto.
  • Manis hingga 200 kali ganda daripada gula biasa.
  • Tidak mempunyai fruktosa dan kalori.

Kebanyakan pemanis semula jadi ini dikatakan memberi khasiat dan manfaat yang baik untuk kesihatan tubuh badan manusia. Walaubagaimanapun, masih banyak lagi kajian yang perlu dilakukan untuk mengenalpasti kesan lain yang boleh diperolehi daripada pemanis semula jadi. Setiap pemanis semula jadi mempunyai kontroversi masing-masing, jadi mengamalkan pengambilan dengan sederhana adalah disarankan.

Kesan Pemanis Tiruan

Banyak kita dengar tentang kesan negatif dan komplikasi kesihatan yang terjadi akibat pengambilan pemanis tiruan. Ada juga yang mengatakan pemanis tiruan boleh menyebabkan kanser dan sebagainya. Pada tahun 1970, satu kajian dilakukan menggunakan pemanis tiruan sakarin pada tikus makmal dan mendapati ia menyebabkan kanser pundi kencing.

Image Source: istockphoto.com

Badan kesihatan Amerika Syarikat, National Cancer Institute mengeluarkan kenyataan bahawa tiada bukti yang menunjukkan pemanis tiruan menjadi penyebab kanser dan komplikasi kesihatan. Mengikut beberapa kajian, penggunaan pemanis tiruan dikira selamat sekiranya ambil dalam kuantiti yang terkawal.

Walaubagaimanapun, menurut satu kajian pada tahun 2017 yang dijalankan oleh penyelidik daripada universiti di Amerika Syarikat yang menggunakan pemanis tiruan Acesulfame Kalium ke atas tikus makmal. Mereka mendapati, pengambilan pemanis tiruan berterusan menyebabkan terjadinya gangguan pada pertumbuhan bakteria dalam usus tikus makmal tersebut.

Bukan itu sahaja, ada juga kajian yang membuktikan pemanis tiruan aspartam dan sucralose berpotensi menyebabkan komplikasi kesihatan seperti:

  • Kecacatan kelahiran
  • Peningkatan berat badan
  • Kerosakan gigi

Masih banyak kajian berkenaan kesan-kesan pemanis tiruan terhadap kesihatan manusia sedang dijalankan. Namun demikian, untuk pesakit diabetes, ia dikatakan selamat untuk mereka amalkan pemanis tiruan. Pakar Endokrinologi, M Regina Castro mengatakan pemanis tiruan tidak akan menjejaskan keadaan kesihatan penghidap diabetes. Katanya lagi, kebanyakan pemanis tiruan mempunyai kalori dan karbohidrat yang rendah yang sangat sesuai untuk pesakit diabetes.

Kebanyakan industri pemprosesan dan pembuatan makanan dan minuman lebih aktif menggunakan pemanis tiruan kerana harganya yang lebih murah daripada pemanis semula jadi.

Kesan Pemanis Semulajadi

Pemanis semula jadi seperti Stevia dan Lakanto Monk Fruit adalah pemanis yang tidak mengandungi kalori serta tidak menjejaskan paras gula dalam badan. Sebaliknya, pemanis semula jadi jenis ini dikatakan sihat dan boleh membantu mengawal gula dalam darah. Sangat baik untuk diamalkan oleh individu yang menghidap diabetes. Ini kerana kedua-dua pemanis ini mempunyai manis yang tinggi berbanding gula biasa walaupun diambil dalam kuantiti yang sedikit.

Image Source: istockphoto.com

Walaubagaimanapun, ada juga pemanis semula jadi yang kita perlu elakkan atau pun hanya ambil dalam kuantiti yang sedikit dan terhad. Ini kerana pemanis-pemanis semulajadi ini sangat tinggi dengan karbohidrat hingga boleh menjejaskan paras gula dalam darah. Bukan itu sahaja, ia juga boleh mengganggu proses ketosis badan kita.

Antara pemanis tinggi karbohidrat yang dimaksudkan ialah seperti:

Gula kelapa (Coconut sugar)

  • Terhasil daripada nira kelapa. 
  • Badan kita menyerap gula daripada kelapa dengan perlahan berbanding dengan gula biasa yang rendah indeks glisemiknya*.
  • Sangat tinggi dengan fruktosa dan boleh meningkatkan kadar gula dalam darah.
Image Source: istockphoto.com

Maltodextrin

  • Sekiranya diambil dengan banyak, paras gula dalam darah akan tinggi dan badan kekurangan serat.
  • Boleh meningkatkan risiko kolesterol tinggi, penambahan berat badan dan diabetes jenis 2.
  • Maltodextrin mempunyai indeks glisemik* yang lebih tinggi berbanding gula biasa.

Agave Nektar

  • Diambil daripada tumbuhan Agave yang berasal dari Amerika Selatan dan Amerika Latin.
  • Mempunyai indeks glisemik* yang rendah.
  • Sangat tinggi dengan fruktosa yang boleh menjejaskan kesihatan metabolik, sindrom metabolik, meningkatkan risiko penyakit jantung dan diabetes jenis 2.
Image Source: istockphoto.com

Glycyrrhizin

  • Mempunyai manis sebanyak 30-50 kali ganda daripada sukrosa.
  • Digunakan dalam ubat-ubatan perubatan tradisional.
  • Pengambilan yang banyak boleh menjejaskan kadar kalium dan sodium dalam darah yang menyumbang kepada tekanan darah tinggi dan degupan jantung yang tidak normal.

Kesimpulan

Sehingga hari ini, pemanis semulajadi yang terbukti tidak menjejaskan bacaan gula adalah Stevia dan Lakanto Monk Fruit. Walaubagaimanapun, kita disarankan untuk mengambil dalam kuantiti yang sederhana dan terkawal dalam pengambilan apa jua jenis gula semula jadi.

Info Tambahan*

  • Indeks Glisemik (GI) adalah ukuran yang mengukur berapa cepat makanan yang mengandungi karbohidrat meningkatkan paras gula dalam darah.
  • Makanan yang meningkatkan paras gula dengan perlahan dipanggil makanan rendah GI.
  • Makanan yang meningkatkan paras gula secara sederhana dipanggil makanan sederhana GI.
  • Makanan yang meningkatkan paras gula dengan cepat dipanggil makanan tinggi GI.
  • GI makanan diukur dari skala 1 sehingga 100.
  • Bila nilai GI sesuatu makanan itu semakin tinggi maka semakin cepat makanan itu menaikkan kadar gula dalam darah.

RUJUKAN

  1. Fakta Stevia
  2. Fakta Glycyrrhizin
  3. Fakta Thaumatin
  4. Stevia Boleh Ganti Gula Putih
  5. Agave Nectar
  6. Agave Nectar VS Honey
  7. Coconut Sugar
  8. Maltodextrin
  9. Artificial Sweeteners: Bad or Good?
  10. Sugar substitutes: Health controversy over perceived benefits
  11. Monk Fruit
  12. Info Indeks Glisemik
  13. Additional Information about High-Intensity Sweeteners Permitted for Use in Food in the United States
Erdiana
Erdania Putri, co-writer Fitpedia. Graduan Diploma Information Management dari UiTM. Minat dalam bidang penulisan, data, teknologi maklumat dan sistem. Info-info yang ditulis diambil dari sumber-sumber yang dipercayai dan dijamin authoritinya.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here