6 Tips Tetap Sihat Di Hari Raya

Hari lebaran bakal menjelang tidak lama lagi. Setelah 2 tahun beraya PKP, pasti tahun ini lebih meriah dengan amalan kunjung-mengunjungi dan ziarah-menziarahi sanak saudara terdekat mahupun yang jauh. Hari raya aidilfitri atau hari lebaran adalah hari kemenangan bagi umat islam setelah sebulan berpuasa. Ia adalah hari seisi keluarga berkumpul dan bermaaf-maafan. 

Acara kunjung-mengunjungi sangat lazim pada hari raya. Pastinya, hari ini juga terdapat pelbagai jenis juadah istimewa yang dihidangkan di rumah kerana ia adalah perkara wajib setiap kali menjelang hari raya. Namun begitu, ia bukanlah satu peluang untuk kita makan secara berlebihan. Kita tetap perlu menjaga kuantiti makanan yang diambil demi menjaga kesihatan.

Minggu pertama Syawal adalah minggu yang paling kritikal kerana minggu ini paling mudah untuk berat badan naik kembali dengan mendadak. Rugi jika telah berjaya menurunkan berat badan pada bulan Ramadhan tetapi dengan seminggu beraya berjaya menaikkannya semula sebanyak 10kg. 

Tips tetap sihat berhari raya:

1. Pilih makanan rendah kalori

Soto Ayam adalah antara makanan yang rendah kalori.

Boleh dikatakan hampir semua juadah hari raya sangat menyelerakan tetapi tinggi dengan kalori. Hal ini kerana kebanyakkan juadah hari raya berasaskan santan dan minyak. Bukan mudah untuk mengawal pengambilan kalori di hari raya. Untuk itu, hadkan pengambilan kuah yang mengandungi santan dan minyak yang banyak. 

Tuan rumah juga disarankan untuk turut menyediakan juadah yang tidak berlemak seperti sup. Dengan ini, tetamu mempunyai pilihan alternatif di samping boleh mengurangkan pengambilan makanan berlemak. 

Selain itu, makanan berlemak meningkatkan risiko sembelit. Oleh itu, ia tidak sesuai untuk diambil dalam kuantiti yang banyak. Makanlah secara sederhana. 

2. Makan dalam kuantiti yang sedikit

Image by iStock

Semasa ziarah-menziarahi, jamah makanan secara berpada. Makan secara sedikit-sedikit dapat mencegah daripada terlebih kalori. Tambahan pula, pada hari raya, kita akan menziarahi rumah sanak saudara dan jiran tetangga. Pelbagai jenis juadah akan disediakan di hari raya. Oleh itu, apabila tekak terasa ingin mencuba semua jenis makanan, kita disarankan untuk makan secara sedikit-sedikit supaya ia tidak berlebihan.

3. Pilih air kosong

Air kosong lebih baik daripada air manis.

Air manis sangat sinonim dengan hari raya. Pelbagai warna dan jenis air boleh dijumpai ketika ziarah-menziarahi dari rumah ke rumah. Tetapi, pilihlah air kosong. Kerana juadah yang kita makan kebanyakannya sudah manis. Pengambilan air kosong dapat mengurangkan pengambilan minuman manis dan kalori.

4. Kurangkan makanan berlemak

Elakkan daripada mengambil bahagian berlemak.

Untuk tetap menjaga kesihatan, tuan rumah perlu mengelakkan daripada menyediakan daging atau ayam yang mengandungi bahagian berlemak seperti lemak-lemak pada daging, dan kulit ayam. 

Apabila memilih makanan untuk dimakan, kita perlu pandai memilih makanan dengan tidak mengambil daging berlemak dan bahagian yang tinggi dengan kandungan lemak seperti kulit ayam. 

Tuan rumah juga disarankan untuk hadkan penyediaan makanan berlemak seperti bersantan, bergoreng dan berminyak. Makanan ini tinggi dengan kalori. Lebihan kalori yang tidak digunakan akan disimpan sebagai lemak. Ini akan meningkatkan risiko obesiti (berlebihan berat badan). Keadaan yang tidak dikawal segera boleh meningkatkan risiko komplikasi penyakit seperti penyakit jantung dan diabetes.

5. Hadkan makanan dan minuman manis

Dodol antara makanan wajib hari raya.

Makanan dan minuman manis tinggi dengan kalori. Ia mengandungi gula ringkas yang lebih mudah menyerap masuk ke dalam darah. Bagi pesakit kencing manis, makanan ini kurang digalakkan kerana ia akan meningkatkan paras gula dalam darah dengan cepat.

Untuk orang sihat, ia perlu diambil dalam kuantiti sederhana kerana pengambilan yang berlebihan akan mengakibatkan lebihan kalori harian walaupun dalam kuantiti yang sedikit selain turut meningkatkan paras gula dalam darah. Tuan rumah disarankan untuk mengasingkan gula apabila menghidang minuman seperti teh dan kopi supaya tetamu dapat menambah gula mengikut keperluan mereka.

6. Pilih makanan tinggi serat

Image by iStock

Makanan tinggi serat merangkumi makanan berasaskan bijirin penuh, oat, barli, sayur dan buah. Ia memberi rasa kenyang dengan cepat dan untuk tempoh yang lama. Ia juga dapat mengelakkan kita daripada mengambil makanan berlebihan. 

Makanan berasaskan bijirin bagaikan tidak asing lagi pada zaman sekarang. Ramai yang sudah boleh menerima rasa makanan bijirin penuh. Ia sesuai untuk digantikan dalam bahan kuih raya dan kek seperti penggunaan tepung bijirin penuh. 

Pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan lebih mudah kerana ia boleh dimakan terus. Contohnya, ia boleh diambil sebagai pencuci mulut iaitu makanan selepas makan berat. 

Makanan tinggi serat juga membantu melancarkan penghadaman. Setelah seharian menjamah pelbagai jenis makanan, kita berisiko mendapat sembelit. Oleh itu, makanan ini membantu mencegah masalah sembelit.

Konklusi

Hari raya adalah hari untuk dirai dan bergembira. Namun begitu, kesihatan tetap perlu dijaga. Pemakanan secara berpada dan gaya hidup sihat sangat penting untuk kekal sihat.

Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi, penulis Fitpedia. Merupakan graduan Dietetik dari UIAM. Minat dalam bidang nutrisi dan kesihatan dan suka berkongsi ilmu kesihatan dan nutrisi kepada masyarakat supaya masyarakat mendapat ilmu yang betul.Di Fitpedia, kita menyediakan info-info berkaitan kesihatan, nutrisi dan tips berkaitan pemakanan.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here