TIMUN DAN GOUT: SERASI ATAU TIDAK?

Timun sebenarnya mempunyai pelbagai kelebihan dan bukanlah hanya sekadar ulam yang dimakan dengan sambal belacan. Timun atau nama saintifiknya cucumis sativus ini merupakan sejenis sayuran jenis buah yang boleh didapati di Malaysia dengan muda sebab banyak sangat ditanam di negara beriklim khatulistiwa ini.

Sayuran timun atau juga dikenali sebagai mentimun ini sering dikatakan mempunyai banyak khasiat dan manfaat yang sudah sinonim dalam kalangan pelbagai masyarakat dan bangsa. Ada yang menggunakannya dalam diet harian untuk kesihatan. Malah, ada juga yang menggunakannya sebagai penambah selera dan ada juga segelintir yang menggunakannya dalam perubatan tradisional.

Kenapa ramai mengamalkan sayuran timun dalam diet harian? Hal ini kerana ia mengandungi 0.65% protein, 2.2% karbohidrat, 0.1% lemak, zat besi, kalsium, vitamin A, B1, B2 dan juga vitamin C.

Timun juga mempunyai agen penurun lipid dan anti-kencing manis dimana ia menghalang badan kita daripada menjadi terlampau panas dan bertindak sebagai penyejuk semulajadi. Bahkan, sejak zaman dahulu kala lagi, sayuran timun banyak digunakan dalam herba tradisional di India kerana manfaatnya yang ajaib dan kaya dengan khasiat.

Khasiat sayuran timun untuk tubuh badan

Walaubagaimanapun, ada juga segelintir rakyat Malaysia yang masih samar-samar dengan khasiat sayuran timun ini. Selain mengandungi protein, karbohidrat, kalsium, fosforus, zat besi dan vitamin, apa lagi manfaat yang kita boleh dapat? 

Sumber penghidratan badan yang baik

Kandungan air sangat penting untuk tubuh badan kita berfungsi dengan baik. Ini kerana kandungan air dalam badan memainkan peranan untuk proses mengawal suhu badan dan pengangkutan produk seperti nutrien.

Tanpa air yang cukup dalam badan, apa jua proses semulajadi badan kita tidak dapat berjalan dengan lancar dan bukan itu saja, akan timbul pula komplikasi-komplikasi yang boleh menjejaskan kesihatan. Sebagai contoh sakit kepala, suhu badan meningkat dan buah pinggang akan rosak dengan lebih cepat.

Sayuran timun terdiri hampir 96% air dan sangat membantu dalam menghidratkan badan kita. Ia membantu mencukupi keperluan air harian. Oleh itu, selain daripada minum air, kita juga boleh mengamalkan pengambilan sayur timun untuk kekal hidrasi. Sekiranya badan kekurangan air, banyak proses semulajadi dalam sistem badan akan terganggu dimana akan mendorong terjejasnya suhu dan keasidan badan. 

Mengandungi antioksidan

Di samping itu, sayuran timun juga kaya dengan elemen antioksidan. Antioksidan ini sebenarnya merupakan molekul yang bertindak menghalang pengoksidaan radikal bebas. Pengumpulan radikal bebas ini boleh menimbulkan beberapa komplikasi yang menjejaskan tubuh badan kita.

Sayuran timun mengandungi antioksidan yang banyak dan bermanfaat untuk mengurangkan risiko pengumpulan radikal bebas dalam badan kita.

Satu kajian tabung uji telah dibuat bagi mengkaji sifat antioksidan yang terkandung dalam timun. Didapati bahawa antioksidan di dalam timun mengandungi flavonoid dan tanin. Flavonoid dan tanin ini adalah dua kumpulan sebatian dalam antioksidan yang sangat baik untuk membantu menghalang pengumpulan radikal bebas yang berbahaya.

Membantu menurunkan berat badan

Selain itu, sayuran timun juga mempunyai manfaat untuk orang yang berazam untuk menurunkan berat badan. Timun mempunyai kalori yang rendah iaitu satu cawan bersamaan 104 gram timun yang hanya mengandungi 16 kalori.

Timun boleh digabungkan dengan sandwich, makanan sampingan lain dan juga sangat baik apabila dicampurkan di dalam hidangan salad. Sekiranya kita mengamalkan timun dalam diet harian, ia membantu mengurangkan pengambilan kalori tambahan yang boleh meningkatkan berat badan.

Mengurangkan asid urik

Timun yang dibuat jus dapat mengurangkan kandungan asid urik dalam badan terutamanya individu yang menghidap penyakit Gout. Gout adalah penyakit yang terjadi apabila terdapat pengumpulan asid urik di sendi. Jus timun yang bersifat alkali berpotensi untuk melegakan sakit-sakit pada sendi yang terjadi akibat penyakit ini.

Bukan itu sahaja, asid urik sebenarnya terhasil daripada pemecahan purin yang tidak terbuang. Jadi individu yang menghidap Gout haruslah mengelakkan diri daripada makan makanan yang mempunyai kandungan purin yang tinggi. Dalam timun, kandungan purin hanyalah sebanyak 7.3 mg dan juga kandungan air dalam timun dapat membantu badan untuk membuang sisa asid urik. Keadaan ini seterusnya mengurangkan kesakitan dan masalah gout.

Kesimpulan

Konklusinya, sayur timun sememangnya mempunyai khasiat yang banyak yang dapat kita perolehi sekiranya diamalkan dalam diet atau pemakanan harian kita. Hal ini kerana, ia adalah sejenis sayuran jenis buah yang mengandungi kandungan air yang tinggi dimana dapat membantu kita untuk kekal hidrasi.

Selain itu, ia juga mengandungi antioksidan yang baik seperti flavonoid dan tanin untuk menghalang pengumpulan radikal bebas juga membantu menurunkan berat badan. Timun juga dapat diamalkan oleh individu-individu yang menghidap gout kerana kandungan purin yang rendah.

Rujukan

  1. Pssttt… Ini Rahsia Tersembunyi Bagi Orang Yang Nak Kurus, Boleh Buat Kulit Cantik Juga, Tau!
  2. [Info Kesihatan] Jus Timun Mampu Jadi Penawar Penyakit Gout
  3. Wow! Khasiat Timun Yang Menarik Kita Tahu
  4. Cucumbers for Gout
  5. Cucumber and Gout – Is Cucumber Good for Gout?
  6. Are cucumbers good for gout?
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi, penulis Fitpedia. Merupakan graduan Dietetik dari UIAM. Minat dalam bidang nutrisi dan kesihatan dan suka berkongsi ilmu kesihatan dan nutrisi kepada masyarakat supaya masyarakat mendapat ilmu yang betul.Di Fitpedia, kita menyediakan info-info berkaitan kesihatan, nutrisi dan tips berkaitan pemakanan.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here