Telur Tidak Meningkatkan Kolesterol… Tetapi, Ada Rahsia Tersembunyi Disebaliknya

Telur adalah sumber makanan berasaskan haiwan. Ia pernah menjadi kontroversi kerana telur sering dikaitkan dengan paras kolesterol yang tinggi.

Terdapat beberapa kajian yang mengaitkan masalah tinggi kolesterol dengan penyakit jantung dan pendek usia. Hakikatnya, kolesterol memainkan peranan penting untuk fungsi badan.

Fakta mengenai telur yang harus diketahui:

1. Sumber protein

Telur merupakan sumber protein yang bagus. Ia mudah untuk dicerna dan mengandungi semua komponen protein yang diperlukan oleh badan. Protein juga merupaka sumber tenaga yang diperlukan untuk menggerakkan aktiviti harian.

2. Kaya dengan vitamin dan mineral

Telur juga kaya dengan vitamin dan mineral seperti vitamin D dan vitamin B; riboflavin, vitamin B12 dan folate. 

Vitamin D diperlukan untuk membantu penyerapan dan mengekalkan kalsium dan fosforus dalam badan. Kedua-dua vitamin dan mineral ini diperlukan dalam proses pertumbuhan dan menguatkan tulang. Kekurangan vitamin D akan menyebabkan tulang lembut dalam kalangan kanak-kanak (riket) dan tulang rapuh dalam kalangan dewasa (osteomalacia).

Kajian makmal juga membuktikan vitamin D boleh mengurangkan pertumbuhan sel kanser, mengawal jangkitan dan mengurangkan keradangan. Oleh itu, ia mampu menguatkan sistem imunisasi badan.

3. Telur meningkatkan paras kolesterol

Sejak sekian lama, telur dipercayai akan meningkatkan paras kolesterol dalam darah. Telur yang bersaiz sederhana mengandungi sekitar 182mg kolesterol yang mewakili 62% daripada pengambilan harian yang disyorkan. 

Tetapi tiada kajian spesifik yang menyatakan paras kolesterol meningkat disebabkan pengambilan telur. 

Satu kajian dilakukan keatas 2 kumpulan peserta yang diberi makanan berbeza. 1 kumpulan diberi makan telur 1 hingga 3 biji setiap hari dan 1 kumpulan diberi makanan lain untuk menggantikan telur tersebut. Hasilnya, paras kolesterol baik (HDL kolesterol) meningkat, kolesterol keseluruhan dan kolesterol jahat tiada banyak perubahan tetapi kadang kala meningkat sedikit.

Kajian ini membuktikan kesan pengambilan telur dalam pemakanan harian bergantung kepada individu. 70% daripada peserta kajian tidak menunjukkan kesan peningkatan kolesterol keseluruhan atau kolesterol jahat. Manakala 30% daripada peserta tersebut dipanggil  hyper-responders. Mereka menunjukkan sedikit kesan peningkatan kolesterol keseluruhan dan kolesterol jahat. Oleh itu, telur hanya meningkatkan paras kolesterol dalam darah mengikut fisiologi individu.

4. Telur rebus lebih sihat

Kaedah masakan memainkan peranan yang penting. Telur yang digoreng lebih berisiko meningkatkan paras kolesterol kerana ia menggunakan minyak.

Kaedah ini menghasilkan asid lemak trans yang menyebabkan pengumpulan plak pada dinding salur darah. Oleh itu, gantikan telur goreng dan telur dengan masak berlemak atau berminyak dengan masakan yang lebih sihat seperti telur rebus untuk mengelakkan peningkatan paras kolesterol.

5. Telur melambatkan penyembuhan luka

Telur juga sering disalah erti sebagai melambatkan penyembuhan luka. Hakikatnya, sumber protein seperti daging, ayam, ikan dan telur sangat diperlukan untuk membina dan membaiki otot, kulit dan tisu badan. Malah, protein diperlukan untuk melawan jangkitan, menstabilkan cecair dalam badan, dan membawa oksigen keseluruh badan. 

Kajian membuktikan kekurangan protein akan melambatkan proses penyembuhan luka disebabkan kurang pembentukkan kolagen. Sistem imuniti yang lemah juga melambatkan proses penyembuhan luka. 

Nanah yang berlaku ketika luka yang masih belum sembuh adalah disebabkan luka tersebut tidak dijaga dengan baik dan sudah mendapat jangkitan.

6. Telur sesuai untuk kanak-kanak

Telur juga sesuai untuk kanak-kanak sejak bayi. Ini kerana, ia mudah dimakan, tidak mahal dan dalam kuantiti yang sedikit. Ia juga sesuai untuk sekali makan dan perut mereka yang kecil. Bayi boleh mula memakan telur sejak berusia 6 bulan.

7. Jarang berlaku alahan disebabkan telur

Kejadian alahan disebabkan telur juga jarang berlaku. Kebanyakannya disebabkan makanan laut. Mengikut statistik, hanya 2.5% (3 daripada 100) bayi mengalami reaksi alahan disebabkan telur. Manakala dalam kalangan dewasa, hanya 0.5% yang mengalami alahan telur (1 daripada 200 individu). 

Alahan berlaku disebabkan sistem imunisasi memberi tindak balas tidak normal terhadap allergen seperti debu, debunga dan makanan tertentu. Sistem ini akan bertindak balas secara berlebihan dan menghasilkan antibodi yang dikenali sebagai immunoglobulin (IgE). Antibodi ini akan bergerak ke sel badan dan melepaskan bahan kimia yang menyebabkan reaksi alahan. 

Konklusi:

Telur adalah makanan yang sihat tetapi perlu mengawal kuantiti yang diambil serta kaedah masakannya. Ia akan meningkatkan paras kolesterol mengikut fisiologi individu dan kaedah masakan yang digunakan.

Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi, penulis Fitpedia. Merupakan graduan Dietetik dari UIAM. Minat dalam bidang nutrisi dan kesihatan dan suka berkongsi ilmu kesihatan dan nutrisi kepada masyarakat supaya masyarakat mendapat ilmu yang betul.Di Fitpedia, kita menyediakan info-info berkaitan kesihatan, nutrisi dan tips berkaitan pemakanan.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here