Susu Terbaik! Ini 9 Khasiat Susu Kambing Untuk Kesihatan

Susu kambing adalah susu yang paling banyak digunakan di seluruh dunia berbanding susu lain seperti susu lembu, susu badam dan susu oat. Ia mendapat permintaan yang tinggi di seluruh dunia kerana khasiatnya dikatakan terbaik selepas susu ibu. 65% penghasilan susu global adalah susu kambing.

Susu kambing mempunyai tempoh ketahanan yang lama sehingga berbulan-bulan jika disimpan di tempat sejuk. Susu ini diperah daripada kambing betina selepas proses kelahiran.

Susu kambing dianggap berbau hamis dan kurang enak. Seiring dengan peredaran masa, ia telah melalui proses berteknologi tinggi untuk menghasilkan susu kambing dalam bentuk serbuk serbuk yang bebas bau hamis serta ditambah perisa untuk memberi rasa sedap. Ia boleh digunakan seperti susu biasa yang lain sama ada diminum saja atau dimasukkan dalam makanan sebagai penambah rasa dan menjadikan makanan lebih berlemak.

Susu kambing vs susu lembu :

Warna

Susu, krim dan mentega daripada susu kambing lebih putih kerana karoten dalam susu kambing ditukar ke vitamin A dengan cepat. Manakala keju daripada susu kambing berwarna kekuningan.

Penghadaman

Gumpalan lemak yang lebih kecil dalam susu kambing menghasilkan pepejal yang lebih kecil dan lembut disebabkan enzim pencernaan memecahkannya dengan cepat. Dengan itu, proses pencernaan berlaku dengan cepat dan mudah. Ia sesuai untuk diminum oleh mereka yang mempunyai masalah perut sensitif.

Komposisi & tekstur 

Tekstur susu kambing lebih lembut & pekat berbanding susu lembu. Kajian menunjukkan susu kambing merangsang badan menyerap nutrien penting daripada makanan. Manakala susu lembu akan mengganggu penyerapan mineral seperti zat besi dan copper apabila diambil bersama makanan lain.

Nutrisi susu kambing :

Nutrisi susu kambing untuk 1 cawan : 

9 g Protein

10g Lemak

11g Karbohidrat

11g Laktosa

327mg Kalsium 

271mg Fosfat

34mg Magnesium 

498mg potassium 

Vitamin A

Khasiat susu kambing :

1. Baik untuk kesihatan jantung

Susu kambing adalah sumber magnesium yang baik dengan 34mg dalam 1 cawan susu kambing. Magnesium ini penting untuk membantu menjaga kesihatan jantung dengan mengekalkan denyutan jantung yang normal, serta menghalang pembentukan darah beku yang boleh menghalang peredaran darah. Kandungan magnesium ini lebih tinggi daripada susu lembu. 

Kajian membuktikan, kandungan xanthine oxidase yang rendah dalam susu kambing turut mengurangkan risiko penyakit jantung. Xanthine oxidase adalah sejenis enzim untuk menghasilkan asid urik. Kuantiti enzim ini yang rendah dalam saluran darah mengurangkan risiko mendapat arteriosclerosis iaitu pembentukan plak kristal di dinding saluran darah arteri. 

Di samping itu, kandungan kolesterol yang rendah daripada susu kambing juga mengurangkan risiko mendapat penyakit berkaitan jantung.

2. Untuk kesihatan mata

Vitamin A adalah nutrien yang penting untuk penglihatan, pertumbuhan, reproduksi dan immuniti. Vitamin ini merangsang penglihatan yang baik termasuk dalam suasana gelap.

3. Menguatkan tulang

Susu kambing kaya dengan kalsium dan vitamin D. Kalsium adalah sejenis mineral yang membantu mengekalkan kesihatan tulang dan gigi selain membantu otot untuk mengecut dan mengawal degupan jantung dan fungsi saraf yang normal. 

Vitamin D adalah sejenis nutrien yang diperlukan untuk membantu penyerapan kalsium yang lebih baik. Kandungan kalsium dalam susu kambing adalah 327mg secawan. Mengamalkan susu kambing setiap hari secara konsisten mencegah masalah tulang rapuh.

4. Lebih mudah dihadam

Tekstur susu kambing yang lebih lembut dan pekat menghasilkan pepejal yang lembut dan mudah dihadam oleh sistem pencernaan. Ini membantu mengurangkan risiko dinding perut atau usus meradang atau luka seperti ulser. Malah, ia sesuai untuk perut sensitif.

5. Meningkatkan berat badan

Kalori 1 gelas susu kambing lebih tinggi daripada susu lembu. Susu ini sesuai untuk mereka yang ingin meningkatkan berat badan. Untuk mengelakkan lebihan pengambilan kalori, susu ini perlu diambil dalam kuantiti yang betul mengikut saranan pakar pemakanan. Badan yang kurang bergerak menyebabkan makan yang dicerna akan disimpan sebagai lemak. Oleh itu, berat badan meningkat apabila tenaga yang digunakan kurang daripada kalori makanan yang dimakan.

6. Meningkatkan toleransi laktosa

Laktosa adalah sejenis gula daripada susu. Kandungan laktosa yang rendah dalam susu kambing mengurangkan risiko badan tidak dapat mencerna laktosa daripada susu. Dianggarkan laktosa dalam susu kambing adalah kurang daripada 12% dalam 1 cawan. Semakin meningkat usia, proses pencernaan badan akan menurun. Oleh itu, minum susu dengan kandungan laktosa lebih rendah disarankan.

7. Mengurangkan risiko alahan

Alpha S-1 Casein adalah bahan yang menyebabkan alahan apabila interaksi dengan protein dalam susu berlaku. Dalam 200ml susu kambing, ia mengandungi 6g protein dan kandungan alpha S-1 casein yang rendah. Justeru itu, risiko mendapat alahan selepas minum susu kambing berkurang.

8. Gastrik

Susu kambing mempunyai nilai pH yang lebih tinggi berbanding susu lembu menjadikan susu ini lebih beralkali. Protein yang tinggi akan merangsang perasaan kenyang dan mengawal penghasilan asid gastrik. 

Ciri-ciri anti-radang dalam susu kambing mengandungi enzim yang mengawal keradangan dalam usus. Oleh itu, risiko mendapat gastrik berkurang. Sifat susu ini yang mudah dihadam sesuai untuk mereka yang mempunyai masalah perut sensitif.

Namun pengambilan susu kambing berlebihan akan menyukarkan proses penghadaman yang menimbulkan simptom seperti kejang, kembung perut, dan loya tekak.

Keradangan adalah bengkak, kemerahan dan demam daripada tindak balas badan melindungi diri dengan mengeluarkan bakteria dan benda asing yang berbahaya untuk memulakan proses penyembuhan. Keradangan yang berlebihan akan memudaratkan kesihatan.

9. Kulit

Asid lemak laktik, vitamin A dan vitamin C dalam susu kambing membantu memperbaiki lapisan kulit, mengelakkan kulit berkedut dan munculnya garis-garis halus yang merupakan tanda penuaan. 

Susu kambing yang bersifat anti-radang dan kaya dengan nutrisi membantu menghilangkan kemerahan dan iritasi. 

Nilai pH susu kambing yang berasid hampir neutral membantu melembutkan kulit muka. Oleh itu, minum susu kambing secara konsisten boleh mencantikkan kulit muka seperti hilangkan kedutan, kemunculan garis halus, dan melembutkan kulit.

Kesan tidak baik susu kambing :

Susu kambing yang diminum mentah merbahaya untuk kesihatan kerana dalam susu tersebut mempunyai kuman yang dikenali sebagai Brucella. Kuman ini boleh membawa maut.

Seperti susu lain, susu kambing boleh meningkatkan bacaan gula dalam darah apabila diambil berlebihan. Hal ini kerana dalam susu ini terdapat sumber karbohidrat yang akan dicerna dalam badan menjadi gula (laktosa). Gula berlebihan dalam salur darah yang tidak disalurkan ke dalam sel badan untuk menghasilkan tenaga menandakan badan mengalami diabetes. Jadi untuk pesakit diabetes, susu kambing perlu diambil dalam kuantiti karbohidrat yang dibenarkan dalam sehari sahaja. Ini perlu rujukan daripada pakar pemakanan. 

Konklusi :

Susu kambing mempunyai ciri-ciri yang lebih baik daripada susu lembu dengan kandungan nutrisi yang lebih berkhasiat. Walaupun begitu, ia harus diambil dalam kuantiti sederhana.

Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi, penulis Fitpedia. Merupakan graduan Dietetik dari UIAM. Minat dalam bidang nutrisi dan kesihatan dan suka berkongsi ilmu kesihatan dan nutrisi kepada masyarakat supaya masyarakat mendapat ilmu yang betul.Di Fitpedia, kita menyediakan info-info berkaitan kesihatan, nutrisi dan tips berkaitan pemakanan.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here