Tengah Menyusu Bayi… Hati-Hati Dengan Makanan dan Minuman Anda

Susu ibu mengandungi khasiat yang tinggi. Malah ia merupakan sumber makanan utama para bayi sejak lahir sehingga 6 bulan. Bayi dengan penyusuan susu ibu sepenuhnya berisiko rendah untuk terdedah kepada jangkitan bakteria dan virus. Ia adalah sumber sistem ketahanan badan utama untuk para bayi. 

Tahu tak, setiap apa yang dimakan oleh ibu, boleh merubah rasa susu ibu. 

Komposisi susu ibu juga bergantung kepada makanan ibu. Kajian membuktikan apa yang dimakan ibu akan memberi kesan kepada kandungan susu ibu. 

Secara umumnya, tiada makanan yang dilarang. Para ibu disarankan untuk mengamalkan pemakanan sihat dan seimbang. Banyakkan makanan tinggi omega-3 kerana ia baik untuk kesihatan otak bayi. Makanan tinggi kalsium akan membantu menguatkan tulang ibu serta bayi terutamanya dalam proses tumbesaran bayi.

Makanan perlu dihadkan untuk ibu menyusu

1. Ikan tinggi merkuri

Ikan adalah sumber protein yang bagus. Ia juga mengandungi vitamin dan mineral penting untuk ibu menyusu. Ia juga merupakan sumber DHA dan EPA yang bagus. DHA dan EPA adalah sejenis omega-3 yang baik untuk kesihatan. Ia diperlukan oleh bayi untuk perkembangan otak.

Walaubagaimanapun, sesetengah ikan berisiko mengandungi merkuri di dalam isinya. Merkuri ini boleh dilepaskan dari ibu kepada anak melalui susu ibu. Keadaan ini akan mengganggu tumbesaran serta sistem saraf dan otak bayi. 

Bayi yang terdedah kepada merkuri akan mengalami gangguan sistem saraf yang akan melambatkan dan merosakkan sistem kognitif, pertuturan dan penglihatan. Ikan besar lebih berisiko mengandungi merkuri. Antara ikan yang perlu dikawal adalah tuna, markerel dan jenahak.

Sistem kognitif ini penting kerana ia membantu meningkatkan daya tumpuan, ingatan, kreativiti dan penyelesaian masalah.

2. Kafein

Kafein adalah perangsang semulajadi daripada 60 tumbuhan. Biasanya kita akan mengambil makanan atau minuman berkafein sebagai pemberi tenaga. Contoh paling mudah dengan memulakan hari anda dengan secawan teh atau kopi di waktu pagi. 

Kopi, teh, minuman soda dan coklat adalah contoh minuman dan makanan berkafein. Ia selamat untuk diminum oleh ibu menyusu. Tetapi, pakar perubatan menyarankan ibu menyusu untuk mengehadkan pengambilan kopi kepada 300 mg sehari. Menurut Centre of Disease Control & Prevention (CDC), ibu menyusu boleh mengambil kafein tetapi tidak lebih 300 mg sehari bersamaan 2 atau 3 cawan kopi setiap hari.

Hal ini kerana kafein boleh memberi kesan kepada bayi melalui susu yang diminum. Setiap makanan dan minuman yang diambil ibu akan dialir masuk ke dalam susu ibu.

Ini akan memberi kesan kepada bayi. Mereka akan mengalami masalah mencerna dan mengeluarkan kafein daripada badan. Hasilnya, kafein ni akan berkumpul dalam sistem badan dan menyebabkan bayi menangis, ketidakselesaan,  dan mengganggu tidur.

Minuman tenaga tidak digalakkan untuk ibu menyusu kerana mengandungi tambahan vitamin dan herba kecuali dibenarkan oleh pakar perubatan.

3. Makanan berproses

Makanan berproses mengandungi kalori yang tinggi, lemak tidak sihat (lemak tepu) dan gula tambahan. Ia juga rendah kandungan serat, vitamin dan mineral. 

Pemakanan ibu semasa menyusu memberi kesan kepada pemakanan bayi apabila besar. Oleh itu, ibu menyusu disarankan untuk mengehadkan pengambilan makanan manis dan berproses kerana kandungan garam dan bahan perasa tiruan yang tinggi. 

Kajian ada menyatakan perasa ynag dirasai oleh bayi ketika kecil akan mempengaruhi pemakanan bayi ketika membesar. Ini akan meningkatkan risiko bayi mendapat obesiti dan penyakit kencing manis sejak kecil.

Konklusi:

Pemakanan sihat dan seimbang penting bukan sahaja untuk ibu menyusu tetapi untuk mendapatkan kesihatan yang baik sepanjang hayat. Setiap makanan ibu akan memberi kesan kepada pemilihan makanan anak apabila besar. Penjagaan kesihatan sejak dari bayi penting untuk mengelakkan risiko obesiti dan penyakit-penyakit kronik.

Rujukan:

  1. Foods to eat and avoid while breastfeeding
  2. 5 Foods to Limit or Avoid While Breastfeeding
  3. Maternal Diet
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi, penulis Fitpedia. Merupakan graduan Dietetik dari UIAM. Minat dalam bidang nutrisi dan kesihatan dan suka berkongsi ilmu kesihatan dan nutrisi kepada masyarakat supaya masyarakat mendapat ilmu yang betul.Di Fitpedia, kita menyediakan info-info berkaitan kesihatan, nutrisi dan tips berkaitan pemakanan.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here