Susah-susah beli biskut mahal nak tambah susu… rupanya ada makanan semulajadi

Persoalan “adakah bayi mendapat susu cukup” akan bermain difikiran setiap ibu. Pelbagai kaedah sanggup dilakukan untuk memastikan susu badan mencukupi. Ada diantara wanita yang sanggup berhabis duit untuk mendapat susu badan untuk anak tersayang. Kesedaran tentang khasiat susu ibu menyebabkan ramai para ibu kini sanggup bersusah untuk mendapat susu badan yang banyak.

Pemakanan ibu menyusu memerlukan penambahan kalori. Hal ini kerana proses penghasilan susu badan memerlukan tenaga dan nutrien yang mencukupi. Kekurangan tenaga akan mengganggu penghasilan dan pengeluaran susu ibu.

Penambahan 330 hingga 400 kalori sehari disarankan daripada kalori biasa diambil untuk ibu menyusu jika dibandingkan dengan wanita dewasa yang sederhana aktif.

Bayi akan mendapat semua nutrien daripada ibu melalui susu. Oleh itu, pemakanan ibu sangat penting untuk memastikan bayi mendapat nutrien mencukupi. Bayi yang kekurangan salah satu sumber nutrien akan mengganggu pertumbuhan dan perkembangan bayi.

Makanan meningkatkan susu ibu:

1. Makanan tinggi protein

Ikan, ayam, daging dan telur adalah sumber protein utama. Protein diperlukan untuk membaiki tisu-tisu badan yang rosak dan menghasilkan tisu dan sel badan yang baru. Ia juga penting untuk pertumbuhan dan perkembangan bayi.

Bukan itu sahaja, protein juga penting untuk penghasilan susu ibu dan akan disalurkan ke bayi untuk menyokong dan membantu pertumbuhan bayi. Ibu menyusu disarankan untuk menambah pengambilan protein sebanyak 25gram sehari. Hal ini penting untuk memastikan penghasilan susu secara konsisten.

2. Salmon

Salmon adalah ikan dengan nutrien dan asid lemak tidak tepu yang tinggi. Ia kaya dengan omega-3 iaitu sebahagian daripada asid lemak tidak tepu. Omega-3 mengandungi komponen DHA yang diperlukan untuk sistem saraf dan perkembangan otak bayi. Salmon juga baik untuk meningkatkan penghasilan susu ibu. Dengan sumber protein mencukupi, susu dapat dihasilkan dengan banyak.

3. Sayur-sayuran

Sayur-sayuran berdaun hijau kaya dengan vitamin A, C, E, dan K serta serat, antioksidan, folate, zat besi dan kalsium. Contoh sayuran hijau ialah bayam, kangkung dan sawi. Setiap nutrisi ini diperlukan oleh badan untuk mengekalkan kesihatan yang baik dan menghasilkan susu badan mencukupi untuk bayi.

Malah, sayur-sayuran rendah kalori dan boleh dimakan dengan banyak. Hal ini kerana sayur mengandungi serat yang memberi rasa kenyang dengan cepat dan lama. Oleh itu, ia membantu mengawal pengambilan makanan. Serat ini juga penting untuk mengelakkan masalah pencernaan seperti sembelit dan cirit-birit.

4. Oat

Oat adalah sebahagian daripada makanan bijirin penuh. Ia memberi rasa kenyang dengan cepat dan lama. Ia juga kaya dengan vitamin B, mineral, zat besi dan serat. Serat membantu meningkatkan penghasilan susu ibu. Serat juga diperlukan oleh wanita lepas bersalin untuk melancarkan pencernaan. Ia penting untuk mengelakkan sembelit kerana sembelit boleh menyebabkan luka pada vagina lambat sembuh. 

Kandungan zat besi yang tinggi dalam oat membantu meningkatkan penghasilan susu ibu. Paras zat besi yang rendah pula akan mengurangkan bekalan susu.

5. Avocado

Avocado mempunyai karbohidrat dan asid lemak sihat. Ia mempunyai rasa yang enak dan tekstur yang berlemak. Kandungan lemaknya ialah 80 gram. Ia juga kaya dengan pelbagai jenis vitamin dan mineral yang diperlukan oleh sistem badan untuk berfungsi dengan baik.

Avocado tidak mengandungi kolesterol dan rendah asid lemak tepu tetapi mengandungi asid lemak tidak tepu yang baik untuk kesihatan terutamanya kesihatan jantung. Serat dan lemak yang tinggi daripada avocado membantu memberi rasa kenyang dengan cepat dan lama.

Avocado adalah makanan yang sesuai untuk meningkatkan penghasilan susu. Hal ini kerana kandungan lemak dan seratnya yang tinggi dan diperlukan oleh ibu menyusu. Lemak dari buah ini membantu ibu dan bayi menyerap vitamin dengan lebih efisien. Ia juga penting untuk perkembangan otak bayi.

6. Yogurt

Yogurt original mempunyai rasa yang masam. Pelbagai perisa boleh menjadi pilihan untuk mengelakkan rasa masam yogurt asli. Antara perisa yang ada ialah strawberry, blueberry, mangga dan campuran buah-buahan. 

Yogurt mengandungi sumber kalsium yang tinggi. Kalsium penting untuk menguatkan tulang. Wanita selepas bersalin akan mengalami masalah tulang rapuh. Oleh itu, mengamalkan yogurt secara konsisten membantu menguatkan tulang di samping meningkatkan penghasilan susu ibu. Selain kalsium, ia juga kaya dengan protein. Protein yang mencukupi membantu mengawal pengambilan makanan dan berat badan.

7. Apricot dan kurma

Buah aprikot dan kurma terbukti dapat meningkatkan hormon prolaktin. Hormon ini diperlukan untuk menghasilkan susu ibu. Hormon prolaktin yang tinggi akan meningkatkan penghasilan susu. 

Selain itu, buah aprikot bukan sahaja baik untuk penghasilan susu, malah ia mengandungi serat, vitamin A, vitamin C dan potassium.  Nutrien ini diperlukan oleh ibu dan anak untuk kesihatan badan.

Di samping itu, buah kurma kaya dengan kalsium, serat, dan mengandungi gula semula jadi. Serat penting untuk melancarkan pencernaan dan mengelakkan sembelit. Hal ini sangat penting untuk ibu selepas bersalin. Sembelit boleh menyebabkan jahitan semasa bersalin terbuka dan lambat sembuh.

8. Badam

Badam (almond) terbukti membantu meningkatkan penghasilan susu ibu. Bayi akan mendapat nutrien-nutrien penting daripada makanan ibu melalui susu badan. 

Kacang badam mengandungi pelbagai vitamin dan mineral yang membantu bayi membesar dengan sihat. Kacang badam juga kaya dengan kalsium dan protein. Kalsium diperlukan oleh ibu dan bayi untuk menguatkan tulang. Manakala bayi pula memerlukan kalsium untuk tumbesaran.

9. Keledek

Keledek bersaiz sederhana mengandungi vitamin A yang diperlukan oleh badan. Ia diperlukan untuk penglihatan, pertumbuhan tulang, dan fungsi sistem imunisasi. Bayi akan mendapat vitamin A daripada ibu melalui susu badan. Vitamin A diperlukan untuk pertumbuhan dan perkembangan bayi. 

Satu fakta mengatakan bayi yang menyusu dengan susu ibu kurang berisiko mendapat masalah kesihatan berkaitan kekurangan vitamin A (xerofthalmia). Xerofthalmia adalah masalah penglihatan yang menyebabkan kekeringan mata dengan pembentukan radang dan mata kabur.

Rujukan:

  1. 12 Proven Health Benefits of Avocado
  2. Top 10 superfoods for breastfeeding moms
  3. Which foods can help with lactation?
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi, penulis Fitpedia. Merupakan graduan Dietetik dari UIAM. Minat dalam bidang nutrisi dan kesihatan dan suka berkongsi ilmu kesihatan dan nutrisi kepada masyarakat supaya masyarakat mendapat ilmu yang betul.Di Fitpedia, kita menyediakan info-info berkaitan kesihatan, nutrisi dan tips berkaitan pemakanan.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here