Sukar Hamil? Ketahui 8 Tips Untuk Mudah Hamil

Tidak boleh mengandung? 

Satu hakikat yang tidak boleh diterima oleh para wanita. Dalam isu ini, wanita tidak harus dipersalahkan. Masalah ini juga boleh disebabkan masalah kesihatan lelaki. Masalah obesiti yang kian meruncing dalam masyarakat Malaysia juga menjadi faktor sukar mengandung sama ada dalam kalangan wanita mahupun lelaki.

Betul ka diet pemakanan harian boleh mempengaruhi kesuburan? Sejauh mana kesahihan ini? Makanan sihat dan seimbang sebenarnya menyokong kesihatan badan kita termasuklah kesihatan sistem reproduktif (peranakan).

Kesuburan lelaki atau wanita dipengaruhi oleh hormon seperti follicle-stimulating hormone (FSH) dan luteinizing hormone (LH). Kitaran haid wanita yang tidak stabil boleh menjadi penyumbang kepada masalah ketidaksuburan. Ia mungkin berpunca daripada masalah kesihatan seperti PCOS, endometriosis, radang pelvik, stress, fibroid atau pengambilan ubat perancang kehamilan untuk jangka masa panjang. 

Sistem reproduktif memerlukan masa untuk kembali sihat daripada masalah ini. Di samping itu, terdapat juga makanan yang sesuai untuk diamalkan dengan lebih kerap tetapi konsisten untuk meningkatkan kesuburan.

Tips untuk mudah hamil :

1. Kekal berat badan sihat

Berat badan memainkan peranan penting dalam proses kesuburan. Hal ini kerana berat badan yang berlebihan akan mengganggu penghasilan hormon dalam badan terutamanya hormon reproduktif. Namun begitu, kekurangan berat badan juga menyukarkan proses untuk mendapat anak.

Wanita kurang berat badan dengan BMI dibawah 18kg/m2 biasanya mengalami haid yang tidak teratur. Keadaan ini menyukarkan mereka untuk hamil.

Ini dibuktikan dengan kajian yang menunjukkan wanita dengan berat badan berlebihan memerlukan masa 2 kali ganda lebih lama daripada wanita dengan indeks jisim badan (BMI) normal untuk hamil. Manakala wanita dengan masalah kekurangan berat badan memerlukan masa 4 kali ganda lebih lama untuk hamil. Justeru itu, mengekalkan berat badan dengan BMI normal penting untuk wanita yang ingin hamil. 

Wanita obesiti mempunyai lemak badan berlebihan. Keadaan ini akan menghasilkan hormon estrogen yang berlebihan sehingga mengganggu proses ovulasi iaitu proses telur matang dilepaskan daripada ovari ke tiub fallopian untuk persenyawaan serta kitaran haid. Wanita dengan obesiti pada bahagian abdomen lebih berisiko untuk mengalami masalah ovulasi telur.

Selain itu, lelaki dengan berat badan berlebihan mempunyai masalah pengurangan dalam kepekatan dan pergerakan sperma, peningkatan kerosakan DNA sperma dan perubahan dalam hormon pembiakan seterusnya menyukarkan pasangan untuk hamil.

2. Elakkan minuman beralkohol dan merokok

Merokok boleh mengganggu kesuburan lelaki dan wanita. Bahan kimia yang terdapat dalam asap rokok seperti nikotin dan karbon monoksida akan mempercepatkan kadar kehilangan telur wanita. 

Kajian turut menyatakan individu yang terdedah pada asap rokok (secondhand smoke) berisiko untuk mengalami kesukaran hamil (Jurnal BMJ).

Manakala pengambilan alkohol akan menyebabkan bayi yang dilahirkan mengalami kecacatan. Dalam Jurnal Obstretrics & Gynecology menunjukkan separuh daripada wanita hamil mengambil minuman beralkohol ketika sebelum dan di awal proses kehamilan. Pengambilan minuman beralkohol dalam kadar sederhana (1 atau 2 minuman sehari) atau lebih turut akan menyukarkan proses kehamilan (The American College of Obstetricians and Gynecologists).

Oleh itu, merokok dan minum minuman beralkohol menyukarkan proses kehamilan. Jika berjaya, bayi tersebut berisiko mendapat masalah kesihatan.

3. Prenatal vitamin

Pengambilan vitamin tambahan sebelum mengandung dan sepanjang proses mengandung penting untuk memastikan bayi yang bakal dikandung sihat dan membentuk dengan sempurna. Asid folik, vitamin D dan vitamin B12 antara nutrisi yang menyokong ibu untuk hamil. 

Asid folik perlu diambil sebelum mengandung sehingga 3 bulan pertama hamil. Hal ini kerana pembentukan otak dan saraf tunjang janin bermula seawal kehamilan dan membentuk sepenuhnya pada minggu ke 12. Dengan mengambil supplemen asid folik, kecacatan bayi pada bahagian ini dapat dikurangkan sebanyak 80%. Kecacatan teruk boleh membawa kematian pada bayi. 

Vitamin D diperlukan untuk membantu penghasilan hormon dalam lelaki dan wanita. Kekurangan dalam vitamin ini akan merendahkan paras hormon estrogen. Hampir 40% wanita dengan masalah gangguan ovulasi kekurangan vitamin D.

4. Minum air dengan cukup

Kekurangan air atau dehidrasi akan mengakibatkan pengurangan bilangan sperma dan penurunan kesihatan telur. Kekal hidrasi penting untuk pengawalan hormon kesuburan dan penghasilan cecair serviks. 

Minum air kosong dengan cukup meningkatkan peluang untuk mengandung dengan meningkatkan peredaran darah dan memastikan servik mudah dilalui oleh sperma kerana ia menambah kepekatan cecair servik yang lebih berkualiti. 

Selain itu, penghidratan yang baik juga membantu buah pinggang untuk mengeluarkan bahan buangan daripada badan dengan lancar. 

5. Kawal tekanan perasaan (stress)

Stress dan kebimbangan ketika fasa mengandung itu perkara biasa. Tetapi jika ia berlebihan, ia akan mengganggu kitaran hormon dalam badan. Ia seterusnya mengganggu kitaran haid yang normal. Hal ini berlaku apabila kortisol iaitu hormon yang mengawal tekanan akan mengganggu komunikasi antara otak dan ovari yang mengakibatkan kitaran haid tidak teratur. Keadaan ini menyukarkan proses ovulasi (pelepasan telur daripada ovari) untuk berlaku.

6. Kekal aktif

Bersenam secara sederhana meningkatkan kesuburan wanita dan lelaki terutamanya dalam kalangan golongan obesiti. 

Dengan bersenam, risiko untuk mendapat kesan sampingan atau komplikasi kehamilan seperti sakit belakang, pergelangan kaki bengkak atau kenaikan berat badan berlebihan berkurangan.

Bersenam dengan intensiti (kekuatan) tinggi secara kerap dan berlebihan dikaitkan dengan penurunan kesuburan pada wanita tertentu. Hal ini kerana bersenam berlebihan boleh mengubah keseimbangan tenaga dalam badan, dan memberi kesan negatif kepada sistem pembiakan wanita.

Meluangkan masa dengan bersenam sekurang-kurangnya 30 minit sehari dalam seminggu dengan kekuatan sederhana baik untuk mengekalkan kesuburan.

7. Buah dan sayur 

Sayur-sayuran hijau seperti brokoli, asparagus dan bayam, bijirin sarapan diperkaya, buah-buahan sitrus dan kekacang mengandungi asid folik yang penting untuk mencegah kecacatan pada bayi. Ia adalah makanan semulajadi yang boleh diambil secara sampingan selain pengambilan supplement. Buah tembikai dan asparagus membekalkan badan dengan glutathione yang diperlukan untuk telur berkualiti.

8. Makanan tinggi antioksidan

Antioksidan seperti folate dan zink meningkatkan kesuburan lelaki dan wanita. Ia menyahaktifkan radikal bebas dalam badan yang boleh merosakkan sel sperma dan telur. Ini dibuktikan dengan kajian pada 2012 keatas lelaki muda dewasa yang perlu mengambil 75 g kacang walnut sehari. Hasil kajian menunjukkan kualiti sperma meningkat setelah mengambil kacang ini. 

Manakala kajian yang dilakukan keatas 232 wanita menunjukkan pengambilan folate yang tinggi meningkatkan kadar implantasi, kehamilan dan kelahiran hidup. 

Makanan seperti kekacang, bijirin, buah-buahan dan sayur-sayuran tinggi dengan antioksidan seperti vitamin C, E, folate, beta-karoten, dan lutein.

Konklusi

Wanita yang ingin hamil perlu mengamalkan pemakanan sihat dan seimbang yang mengandungi pelbagai nutrisi seperti vitamin, mineral serta antioksidan. Makanan seimbang merangkumi karbohidrat, protein, lemak serta serat daripada buah-buahan dan sayur-sayuran. Gaya hidup sihat dengan tidak merokok, tidak mengambil minuman beralkohol serta mengekalkan berat badan sihat sebelum mengandung membantu proses kehamilan yang lancar.

Rujukan

  1. Leisegang, K., Sengupta, P., Agarwal, A., & Henkel, R. (2021). Obesity and male infertility: Mechanisms and management. Andrologia53(1), e13617.
  2. Peppone, L. J., Piazza, K. M., Mahoney, M. C., Morrow, G. R., Mustian, K. M., Palesh, O. G., & Hyland, A. (2009). Associations between adult and childhood secondhand smoke exposures and fecundity and fetal loss among women who visited a cancer hospital. Tobacco control18(2), 115-120.
  3. How to get pregnant: Tips and facts to increase fertility
  4. How to Increase Fertility Naturally: 9 Ways to Improve Fertility
  5. 16 Natural Ways to Boost Fertility
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi, penulis Fitpedia. Merupakan graduan Dietetik dari UIAM. Minat dalam bidang nutrisi dan kesihatan dan suka berkongsi ilmu kesihatan dan nutrisi kepada masyarakat supaya masyarakat mendapat ilmu yang betul.Di Fitpedia, kita menyediakan info-info berkaitan kesihatan, nutrisi dan tips berkaitan pemakanan.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here