Sering Diguna Dalam Masakan… Ketahui 5 Khasiat Asam Keping Untuk Kesihatan

Sesiapa yang pernah menjengah ke dapur pasti kenal dengan asam keping. Manakan tidak, ia sangat popular dalam kebanyakkan masakan Melayu. 

Asam keping juga dikenali dengan asam gelugur, asam Malabar, Garcinia Cambogia dan Garcinia Gummi-gutta. Nama saintifiknya adalah Garcinia Atroviridis. Asam keping diambil daripada pokok asam gelugur berketinggian 20 meter. 

Asam ini berasal daripada Semenanjung Malaysia, Myanmar, Thailand dan India. Pokok buah asam gelugur banyak ditanam di Myanmar dan selatan Thailand. Ianya adalah tumbuhan tropika yang tumbuh di hutan dan kawasan lembap yang akan dikutip oleh penduduk setempat.

Pucuk pokok ini boleh dibuat ulam dan dimakan mentah bersama budu, cencaluk dan sambal belacan. Jus daripada daun asam gelugur digunakan oleh para wanita selepas melahirkan bayi. Air rebusan daun dan akarnya digunakan untuk merawat sakit telinga. 

Buah asam gelugur yang sudah masak akan bertukar kuning.

Buahnya berwarna hijau dan akan bertukar kuning apabila masak. Rasanya yang masam tidak sesuai untuk dimakan begitu saja. Ia lebih sesuai untuk bahan perasa dalam masakan dan ditambah dalam minuman. Antara masakan yang biasa menggunakan asam keping adalah asam pedas, singgang, dan kuah laksa.

Buah ini apabila dicampur dengan cuka, boleh dijadikan losyen wanita berpantang. Buah asam ini juga dijadikan bahan menghilangkan rasa dan bau hanyir pada bahan mentah seperti daging dan ikan. Ia juga meningkatkan ketahanan makanan supaya tahan lebih lama dengan rasa masam buahnya. 

Bagaimana asam keping dihasilkan?

Buah asam gelugur dikeringkan di atas permukaan rata.

Buah asam gelugur berbuah 2 kali setahun iaitu April-Mei dan Oktober-November. Pernah terfikir tak bagaimana sebiji buah asam gelugur boleh menjadi asam keping seperti yang digunakan dalam masakan harian? Secara mudahnya, asam ini akan dikait daripada pokok apabila masak. Buah ini dihiris dengan ketebalan 3-5mm. Kemudian, ia akan dijemur di atas permukaan rata dan dikeringkan dibawah cahaya matahari selama 4 ke 7 hari.

Nutrisi asam keping

Image via iStock

Asam keping mengandungi asid yang memberi rasa masam seperti asid sitrik, asid tartarik, asid malik, asid askorbik, dan asid hidrosisitrik. Asid hidrosisitrik adalah asid utama dalam buah ini. 20 – 60% daripada buah asam ini adalah asid hidrosisitrik. Ia juga mengandungi antioksidan seperti flavonoid, serat, vitamin dan mineral. 

Asam keping juga mempunyai xanthone yang dikenali sebagai atroviridin iaitu sejenis bahan aktif yang menghasilkan kesan positif pada badan manusia seperti anti-bakteria, anti-kulat, anti-kanser, anti-virus, anti-radang dan antioksidan. Ia turut memberi kesan anti-obesiti yang membantu memecahkan lemak-lemak dalam badan. Disebabkan itu, ia sering dijadikan bahan semulajadi untuk menguruskan badan. 

Daunnya kaya dengan serat, karbohidrat, alkaloid, vitamin dan mineral yang penting untuk sistem badan manusia.

Khasiat asam keping

1. Sumber antioksidan 

Image via iStock

Asam keping kaya dengan antioksidan yang baik untuk sistem badan seperti flavonoid dan alpha-tocoferol (vitamin E) untuk melawan penyakit seperti diabetes jenis 2, penyakit kardiovaskular, artritis, kanser dan katarak mata. Antioksidan adalah bahan yang bertanggungjawab melindungi diri daripada kerosakan sel disebabkan radikal bebas yang tidak efektif dalam badan. 

Antioksidan yang dihasilkan oleh badan akan berkurang dengan peningkatan usia. Oleh itu, ia perlu diambil daripada sumber makanan untuk menampung kekurangan antioksidan.

Radikal bebas adalah hasil daripada metabolisma dalam badan. Ia dijadikan secara semulajadi apabila badan menukarkan makanan yang dimakan menjadi tenaga dan juga semasa bersenam. Radikal bebas ini boleh terhasil disebabkan faktor persekitaran seperti merokok, pencemaran udara dan pendedahan kepada cahaya matahari.

Radikal bebas ini penting untuk badan tetapi kuantiti yang berlebihan akan menyebabkannya menyerang sel-sel dalam badan.

Asam keping adalah sumber antioksidan yang membantu mencegah pembentukan radikal bebas penyebab penyakit dan pelbagai masalah kesihatan.

2. Mengawal berat badan

Asam keping telah digunakan secara meluas untuk menurunkan berat badan kerana mempunyai ciri-ciri anti-obesiti. Ia mengandungi bahan kimia asid hidroksisitrik yang terdapat pada kulit buah asam gelugur. Ia akan menghalang penyimpanan lemak dengan menghalang enzim hepatik menukarkan karbohidrat berlebihan kepada lemak dalam badan. Dengan ini, badan akan menyimpan makanan yang diproses dalam bentuk glikogen (gula). Oleh itu, selera makan lebih terkawal. 

Asid hidroksisitrik dalam asam keping juga menghasilkan hormon serotonin iaitu hormon yang mengawal selera makan. Hormon ini akan menyekat selera makan seterusnya mengawal berat badan. Kesan asam keping ke atas setiap individu berbeza. Tidak semua berjaya menurunkan berat badan dengan asam keping. Disebabkan itu, mengambil asam keping di samping menjaga pemakanan sihat membantu mengawal berat badan sihat. 

3. Mengawal paras gula

Image via iStock

Diabetes adalah paras gula melebihi paras normal. Ia terjadi disebabkan pelbagai faktor seperti gaya hidup, rintangan insulin, sejarah keluarga dan berat badan berlebihan. Asid hidrosisitrik daripada asam keping mengurangkan paras gula dan insulin dalam darah semasa berpuasa serta mencegah rintangan insulin. Asid ini juga meningkatkan tindak balas insulin dengan glukosa (gula) dan meningkatkan penyimpanan gula dalam otot untuk digunakan kemudian. 

Kajian yang dijalankan keatas golongan dewasa normal membuktikan asam keping membantu mengawal paras gula dalam darah. Ia turut dibuktikan dalam kajian lain yang menyatakan paras leptin dan insulin diturunkan serta proses pemecahan gula ditingkatkan. Dengan ini, asam keping sesuai untuk pesakit diabetes kerana ia membantu menurunkan paras gula dalam darah. Namun begitu, ia perlu dijaga kuantitinya terutama untuk pesakit yang mengambil ubat atau suntikan insulin kerana gula dalam darah mereka berisiko menurun ke bawah paras normal (hipoglisemia) jika diambil berlebihan.

4. Mengawal kolesterol

Image via iStock

Pengambilan makanan berlemak akan meningkatkan pembentukkan kolesterol dalam badan. Kolesterol boleh dibahagikan kepada 2 kelas utama iaiti LDL kolesterol dan HDL kolesterol. LDL kolesterol adalah “kolesterol jahat” yang akan membawa kolesterol daripada hati ke tisu badan. Apabila kolesterol bergumpal dengan benda asing dalam salur darah seperti sel darah putih, fibrin, kalsium, dan sel bahan buangan, ia akan membentuk plak yang akan mengeras di dinding salur darah. Jika ia tidak dirawat dari awal, plak ini boleh menyempitkan salur darah dan menghalang peredaran darah.

Manakala HDL kolesterol adalah kolesterol baik yang akan membawa kolesterol dari salur darah ke hati untuk diproses dan dikeluarkan dari badan.

Kolesterol penting untuk sistem badan menghasilkan hormon yang mengawal  badan. Tetapi, pengambilan berlebihan akan memudaratkan diri dan kesihatan. Ekstrak asam keping membantu menghalang enzim ATP lyase yang terlibat dalam penghasilan lemak dalam badan. Dengan ini, pembentukan lemak pada salur darah, usus dan tisu badan dikurangkan.

Kajian menyatakan asid hidroksisitrik, iaitu bahan dalam asam keping membantu mengurangkan paras kolesterol dalam darah. Dalam kajian lain yang dilakukan ke atas haiwan membuktikan asam keping menurunkan paras LDL kolesterol dan meningkatkan HDL kolesterol.

Dengan mengamalkan asam keping, ia mengurangkan pembentukkan kolesterol dalam darah seterusnya membantu menurunkan berat badan.

5. Anti-radang

Asam keping juga mengandungi bahan anti-radang yang akan melindungi diri daripada kecederaan dan jangkitan.

Radang adalah proses di mana sel darah putih melindungi badan daripada jangkitan dan serangan perosak luar seperti bakteria dan virus. 4 simptom utama radang adalah kemerahan, panas, bengkak dan sakit.  

Keradangan adalah tindak balas normal dalam badan. Tetapi kadar berlebihan boleh menyebabkan pelbagai penyakit seperti kencing manis, jantung dan kanser. 

TNF-alpha (tumor necrosis factor) adalah agen keradangan. Apabila agen ini diaktifkan, ia akan meningkatkan bilangan protein yang akan menghalang laluan isyarat insulin dan menyebabkan insulin tidak dapat bertindak balas dengan glukosa. Maka, terjadilah rintangan insulin.

TNF-alpha adalah sejenis protein yang akan melindungi diri daripada jangkitan bakteria dan virus. Ia juga terlibat dalam proses penyembuhan luka secara semulajadi. 

Kajian menyatakan rawatan dengan asam keping menurunkan paras TNF-alpha dan meningkatkan toleransi insulin terhadap glukosa. Hal ini disebabkan adanya ciri-ciri anti-radang dan antioksidan dalam asam keping. Kandungan garcinol dalam asam keping turut memberi kesan anti-radang. 

Asam keping tidak sesuai untuk semua orang

Image via iStock

Walaupun asam keping sering digunakan dalam masakan harian, tetapi, ia tidak sesuai untuk golongan berisiko jika diambil berlebihan. Sering dijadikan rutin penurunan berat badan, asam keping perlu diambil dalam kuantiti yang dibenarkan sahaja seperti wanita hamil, pesakit diabetes dan pesakit tinggi kolesterol. Hal ini kerana supplemen asam keping boleh berinteraksi dengan ubat-ubatan tertentu.  

Pesakit diabetes yang mengambil ubat atau suntikan insulin untuk mengawal paras gula, boleh menjejaskan bacaan gula mereka jika mengambil asam keping berlebihan. Hal ini kerana asam keping akan menyebabkan paras gula jatuh terlalu rendah.

Selain itu, untuk pesakit kolesterol, pengambilan asam keping akan berinteraksi dengan ubat statin, mengganggu fungsinya dan meningkatkan masalah otot.

Konklusi

Asam keping bukan saja digunakan dalam masakan. Malah, ia boleh digunakan sebagai penawar penyakit serta membantu dalam proses penurunan berat badan. Kebaikannya telah dibuktikan dalam kajian-kajian saintifik. Walaupun begitu, asam keping perlu diambil dalam kuantiti yang betul terutamanya untuk golongan berisiko seperti pesakit diabetes dan pesakit jantung.

Rujukan

  1. Chuah, L. O., Ho, W. Y., Beh, B. K., & Yeap, S. K. (2013). Updates on Antiobesity Effect of Garcinia Origin (-)-HCA. Evidence-based complementary and alternative medicine : eCAM2013, 751658. https://doi.org/10.1155/2013/751658
  2. How Garcinia Cambogia Can Help You Lose Weight and Belly Fat
  3. Kim, JE., Jeon, SM., Park, K.H. et al. Does Glycine max leaves or Garcinia Cambogiapromote weight-loss or lower plasma cholesterol in overweight individuals: a randomized control trial. Nutr J 10, 94 (2011).
  4. Asam Keping, Bukan Sekadar Bahan Tambahan untuk Masakan
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi, penulis Fitpedia. Merupakan graduan Dietetik dari UIAM. Minat dalam bidang nutrisi dan kesihatan dan suka berkongsi ilmu kesihatan dan nutrisi kepada masyarakat supaya masyarakat mendapat ilmu yang betul.Di Fitpedia, kita menyediakan info-info berkaitan kesihatan, nutrisi dan tips berkaitan pemakanan.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here