Seakan Bunga Raya…Ini 5 Khasiat Roselle Perlu Ambil Tahu

Sering disalah erti sebagai bunga raya. Sebenarnya roselle juga dikenali juga sebagai  ‘bunga merah’ selain asam paya, asam kumbang dan asam susur. Nama saintifik untuk roselle adalah Hibiscus Sabdariffa. Dalam bahasa Inggeris, ia dikenali sebagai rosella, Red Sorrel, Sorrel, Bissap dan Florida Cranberry. 

Pokok ini mudah membiak di kawasan yang mempunyai saliran dan pencahayaan yang baik. Ia mempunyai ketinggian sehingga 8 kaki (2.4 meter). Ia dibiak menggunakan biji benih atau keratan batang. Dahannya tumbuh menegak pada awalnya dan akan melentur apabila mempunyai buah. Bunga roselle berwarna merah gelap, berbentuk bujur dan kelopak tertutup. Batang, dahan dan tangkai pokok roselle berwarna merah

Penggunaan bunga roselle :

Jem roselle

Hampir keseluruhan pokok roselle digunakan untuk masakan termasuk biji benih, daun, bunga dan akar. Kelopak bunga roselle digunakan secara meluas dalam makanan harian sebagai jem, pewarna makanan, digunakan dalam kek, aiskrim serta jelly. Ia juga dikeringkan dan dijadikan jus, sirap, teh dan juga pencuci mulut. Ia juga turut digunakan untuk perubatan kerana kandungan nutrisi yang tinggi.

Nutrisi roselle :

Image via iStock

Bunga roselle tinggi dengan asid sitrik, asid malik, anthrocyanins (contohnya delphinidin-3-O-sambubioside),  asid protocatechuic (“PCA”), flavonoids (contohnya quercetin-3-glucoside), protein, lemak, serat, vitamin dan mineral.

Untuk 100g kelopak bunga roselle segar, ia mempunyai 49 kalori, 11g karbohidrat, 1g protein, 0.6g lemak, 12mg vitamin C, 215mg kalsium, 1.48mg zat besi, 2.3g serat, 2.85µg vitamin D, 51mg magnesium, 300 µg beta-carotene dan 14mg asid askorbik.

Vitamin C daripada kelopak roselle adalah 3 kali ganda vitamin C buah blackcurrant dan 9 kali ganda  buah sitrus (oren, lemon, limau nipis, limau gedang & limau mandarin). Vitamin ini menguatkan sistem imuniti badan dan melindungi badan daripada jangkitan bakteria dan virus. Bunga roselle yang dikeringkan mempunyai  asid askorbik yang lebih tinggi (360-280mg)  iaitu lebih tinggi berbanding asid askorbik dalam jambu batu dan oren. Hal ini kerana proses pengeringan akan memekatkan nutrisi yang terkandung roselle.

Khasiat roselle :

Roselle telah digunakan dalam pelbagai industri kerana khasiatnya yang pelbagai. Di Senegal, ekstrak daun roselle dijadikan ubat untuk merawat konjungtivitis (keradangan atau jangkitan pada lapisan bebola atau kelopak mata). Apabila dilumatkan, ia membantu melegakan kudis dan ulser. 

1. Antioksidan

Image via iStock

Kelopak bunga roselle kaya dengan antioksidan. Ini dibuktikan dengan kajian yang menyatakan bunga roselle kaya dengan anthocyanin, flavonoid, dan polyphenol yang bertindak sebagai antioksidan. Antioksidan adalah bahan yang bertanggungjawab melindungi diri daripada kerosakan sel disebabkan radikal bebas tidak efektif dalam badan. 

Antioksidan yang dihasilkan oleh badan akan berkurang dengan peningkatan usia. Oleh itu, ia perlu diambil daripada sumber makanan untuk menampung kekurangan antioksidan.

Radikal bebas adalah hasil daripada metabolisma dalam badan. Ia dijadikan secara semulajadi apabila badan menukarkan makanan yang dimakan menjadi tenaga dan juga semasa bersenam. Radikal bebas ini boleh terhasil disebabkan faktor persekitaran seperti merokok, pencemaran udara dan pendedahan kepada cahaya matahari.

Radikal bebas ini penting untuk badan tetapi kuantiti yang berlebihan akan menyebabkan ia menyerang sel-sel dalam badan. 

Kajian telah membuktikan ekstrak roselle kaya dengan anthocyanin dan mempunyai jumlah antioksidan yang cukup untuk badan. Antioksidan daripada bunga roselle membantu mencegah risiko penyakit serta mengurangkan komplikasi penyakit sedia ada.

2. Menurunkan berat badan

Image via iStock

Menurunkan berat badan bukan satu proses yang mudah. Kadangkala badan kita memerlukan bantuan untuk mempercepatkan lagi penurunan berat badan disamping tetap menjaga pemakanan sihat dan kekal aktif.

Roselle membantu mencerna makanan dan melambatkan penyerapan karbohidrat. Tambahan lagi, roselle juga merangsang metabolisma badan untuk membakar kalori dengan lebih cepat. Mengamalkan teh roselle selepas makan membantu melambatkan penyerapan karbohidrat dan membantu penurunan berat badan. 

Selain itu, ekstrak roselle membantu mengurangkan berat badan berlebihan serta lemak-lemak yang berkumpul di sekeliling organ. Namun begitu, kuantiti gula perlu dikawal. Hal ini kerana gula berlebihan boleh menyebabkan lebihan kalori. Di samping itu, gula juga meningkatkan rasa mengidam akan makanan manis. Keadaan ini seterusnya meningkatkan berat badan.

Kajian yang dilakukan keatas haiwan kajian menyatakan ekstrak Hibiscus sabdariffa mengurangkan obesiti, lemak di sekeliling organ (abdominal fat) serta membaiki steatosis hati. Steatosis adalah terlalu banyak lemak terkumpul di dalam hati. Ekstrak roselle boleh bertindak sebagai pembantu untuk mencegah obesiti dan penyakit hati berlemak bukan disebabkan alkohol. 

3. Mengawal paras gula

Image via iStock

Diabetes adalah paras gula melebihi paras normal. Ia terjadi disebabkan pelbagai faktor seperti gaya hidup, rintangan insulin, sejarah keluarga dan berat badan berlebihan. Diabetes terjadi disebabkan insulin tidak dapat bertindak balas dengan gula (glukosa) dengan baik dalam darah. Keadaan ini menyebabkan gula berkumpul di dalam saluran darah dan dipanggil hiperglisemia atau diabetes. 

Kajian daripada UKM menggunakan roselle ke atas haiwan kajian membuktikan ekstrak roselle menunjukkan penurunan paras gula dalam darah haiwan kajian yang menghidap kencing manis. Kajian lain juga menunjukkan bunga roselle boleh digunakan sebagai supplement antioksidan semulajadi untuk mencegah kerosakan oksidatif dalam pesakit diabetes.

Dalam kajian lain yang dilakukan keatas pesakit sindrom metabolisma, hasil kajian menunjukkan penurunan dalam jumlah kolesterol, LDL kolesterol, diabetes dan peningkatan HDL kolesterol. Sindrom metabolisma adalah gabungan keadaan penyakit yang berlaku serentak iaitu peningkatan paras gula, tekanan darah tinggi, kolesterol dan lebihan lemak di sekeliling organ. Justeru itu, paras glukosa terkawal dengan bantuan ekstrak roselle.

4. Mengawal kolesterol

Image via iStock

Pengambilan makanan berlemak akan meningkatkan pembentukkan kolesterol dalam badan. Kolesterol boleh dibahagikan kepada 2 kelas utama iaiti LDL kolesterol dan HDL kolesterol. LDL kolesterol adalah “kolesterol jahat” yang akan membawa kolesterol daripada hati ke tisu badan. Apabila kolesterol bergumpal dengan benda asing dalam salur darah seperti sel darah putih, fibrin, kalsium, dan sel bahan buangan, ia akan membentuk plak yang akan mengeras di dinding salur darah. Jika ia tidak dirawat dari awal, plak ini boleh menyempitkan salur darah dan menghalang peredaran darah.

Manakala HDL kolesterol adalah kolesterol baik yang akan membawa kolesterol dari salur darah ke hati untuk diproses dan dikeluarkan dari badan.

Kolesterol penting untuk sistem badan menghasilkan hormon yang mengawal sistem badan. Tetapi, pengambilan berlebihan akan memudaratkan diri dan kesihatan. 

Kajian klinikal pada 2007 menunjukkan roselle menurunkan paras kolesterol dalam darah sebanyak 8.3% ke 14.4% selepas 1 bulan mengamalkan ekstrak roselle. Dalam kajian lain yang dilakukan keatas pesakit sindrom metabolisma, hasil kajian menunjukkan penurunan dalam jumlah kolesterol, LDL kolesterol, diabetes dan peningkatan HDL kolesterol. Oleh itu, paras kolesterol dapat dikawal dengan bantuan ekstrak roselle. 

5. Mengawal tekanan darah

Image via iStock

Masalah tekanan darah tinggi yang tidak dikawal boleh mengganggu perjalanan jantung yang normal. Mengamalkan ekstrak roselle dalam bentuk teh atau jus membantu mengawal bacaan tekanan darah. Ini telah dibuktikan dalam kajian yang menggunakan ekstrak roselle. Hasil kajian menunjukkan tekanan darah berjaya diturunkan dari 146.98mmHg ke 130/86mmHg. Dengan ini, roselle membantu mengawal paras tekanan darah pada paras normal. 

Konklusi:

Seakan bunga raya, ia turut digunakan dalam industri makanan untuk menghasilkan pelbagai jenis makanan seperti jelly, jem dan ais krim. Roselle kaya dengan nutrisi semula jadi yang baik untuk sistem badan. Ia baik untuk diamalkan tetapi harus di kawal kandungan gula dalam setiap resepi makanan yang digunakan untuk mengelak risiko penyakit.

Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi, penulis Fitpedia. Merupakan graduan Dietetik dari UIAM. Minat dalam bidang nutrisi dan kesihatan dan suka berkongsi ilmu kesihatan dan nutrisi kepada masyarakat supaya masyarakat mendapat ilmu yang betul.Di Fitpedia, kita menyediakan info-info berkaitan kesihatan, nutrisi dan tips berkaitan pemakanan.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here