Sacha Inchi Kian Popular…7 Khasiat Sacha Inchi Wajib Tahu

Sacha inchi kian popular di Malaysia. Ia adalah sejenis tumbuhan yang mula ditanam di Amerika Selatan dan kepulauan Caribbean. Buahnya jarang dimakan tetapi kacangnya dibakar dan digunakan dalam pelbagai industri makanan seperti minyak, serbuk dan jus. Daunnya dijadikan teh herba. Daun dan kacangnya juga sesuai dimasukkan dalam masakan harian sebagai makanan tambahan atau hiasan.

Tumbuhan ini berketinggian 2 meter dan menjalar. Daunnya berbentuk hati, buah berwarna hijau dan akan menjadi koko kehitaman apabila masak. Buahnya istimewa kerana berbentuk seperti bintang. 

Sacha inchi juga dikenali sebagai ‘Sacha Peanut’, ‘Mountain Peanut’ dan ‘Inca Nut’. Nama saintifiknya adalah Plukenetia volubilis. Ia digelar ‘superfood’ kerana kebolehannya untuk merawat pelbagai jenis penyakit dengan kandungan nutrisi yang padat.

Nutrisi sacha inchi :

Kacang sacha inchi kaya dengan protein, serat, lemak sihat (omega-3 dan omega-6), phosphorus, potassium, magnesium, kalsium, dan zink. Ia juga tinggi antioksidan dan kompound fenolik yang akan mengurangkan keradangan dan melindungi diri daripada penyakit kronik. 

Sacha inchi adalah sumber protein yang baik dan lengkap. Ia mengandungi 8 jenis asid amino yang badan tidak dapat hasilkan sendiri. 30% daripada kacang sacha inchi adalah protein. Ia juga mengandungi zat besi yang membantu mengekalkan keanjalan otot dengan menyalurkan oksigen untuk  membantu otot mengecut. Asid lemak tidak tepu poli (PUFA) dalam sacha inchi adalah 93% daripada jumlah asid lemak.

Daun sacha inchi kaya dengan antioksidan seperti flavonoid, terpenoid dan saponin. Terpenoid melindungi kulit daripada kerosakan. Terpenoid dan saponin boleh menghalang proses iritasi seperti merah, bengkak dan gatal dengan menghasilkan kesan anti-keradangan. Ia juga boleh mengurangkan luka dengan bertindak sebagai anti-septik. Flavonoid daripada sacha inchi menghasilkan kesan anti-keradangan dan menguatkan sistem imunisasi. 

Kesan sampingan sacha inchi :

Daun dan kacang mentah daripada tumbuhan sacha inchi mengandungi toksin. Oleh itu ia perlu dibakar terlebih dahulu sebelum dimakan atau diminum. Sacha inchi boleh menyebabkan loya dan muntah tetapi jika diambil secara berterusan, simptom ini boleh hilang. 

Selain itu, ia juga mengandungi anti-nutrient dan alkaloid. Anti-nutrient adalah sejenis kompound yang akan menghalang penyerapan mikronutrien dalam badan. Alkaloid boleh memudaratkan kesihatan jika diambil berlebihan. Tetapi, dengan membakar kacang sacha inchi, boleh menyingkirkan anti-nutrient dan alkaloid serta mempertingkatkan antioksidan.

Khasiat sacha inchi :

1. Mengawal paras kolesterol 

Kacang sacha inchi kaya dengan lemak sihat yang baik untuk jantung.

Kacang sacha inchi kaya dengan asid lemak tidak tepu yang baik untuk kesihatan iaitu omega-3, dan omega-9. Ia tidak meningkatkan paras kolesterol dalam darah dan melindungi kesihatan jantung.

Omega-3 diperlukan untuk mengekalkan kesihatan badan disamping sumber tenaga untuk memastikan jantung, peparu, saluran darah, dan sistem imuniti bekerja dengan baik. 20% daripada kacang sacha inchi adalah omega-3. Omega-9 penting untuk mengurangkan risiko sakit jantung, mengurangkan keradangan, dan mengawal paras gula dalam darah. 

Kajian dilakukan keatas peserta yang diberi minyak sacha inchi dan minyak bunga matahari selama 4 bulan. Peserta yang mengambil minyak kacang sacha inchi menunjukkan penurunan dalam tekanan darah, jumlah kolesterol, dan LDL kolesterol (kolesterol jahat). Manakala paras HDL kolesterol(kolesterol baik) menunjukkan peningkatan berbanding minyak bunga matahari. Dengan itu, mengamalkan sacha inchi baik untuk mencegah penyakit jantung.

2. Berat badan sihat 

Kacang sacha inchi adalah makanan yang padat dengan nutrisi dan membantu dalam penurunan berat badan. 10gram kacang sacha inchi mengandungi 70 kalori. Kacang ini tinggi dengan lemak sihat, protein dan serat yang memberi rasa kenyang di samping menyalurkan pelbagai nutrisi yang badan perlukan. 

Selain itu, kacang sacha inchi juga mengandungi tryptophan, iaitu komponen yang membantu mengawal selera makan serta mengurangkan masalah mengidam makanan. Lemak sihat akan melambatkan makanan meninggalkan usus. Apabila diambil bersama makanan, tryptophan, serat dan asid lemak ini memberi rasa kenyang dengan lebih cepat dan tahan lama. Untuk waktu makan seterusnya, risiko untuk mengambil makanan dengan banyak juga berkurang. Jadi, berat badan lebih terkawal. Tryptophan adalah sejenis asid amino daripada protein yang menghasilkan dan mengekalkan protein, enzim dan otot. 

3. Penghadaman 

Serat daripada sacha inchi lebih tinggi daripada buah epal, brokoli dan kacang kuda. Ia akan meningkatkan pergerakan usus yang kerap dengan menambah pukal pada najis. Ia akan membenarkan bahan buangan untuk bergerak melalui usus dan disingkirkan sebagai toksin.

Terdapat kajian yang dilakukan ke atas tikus kajian menyatakan minyak sacha inchi diberikan kepada tikus kajian yang mengambil pemakanan tinggi lemak. Hasil kajian menunjukkan sacha inchi membantu menyeimbangkan bakteria dalam usus. Risiko mendapat jangkitan dan penyakit berkurang. Masalah seperti buasir dan divertikulitis disebabkan keradangan dan jangkitan pada usus dapat dielakkan.

4. Meningkatkan fungsi otak

Kacang sacha inchi juga mengandungi omega-6 (lemak sihat) yang memainkan peranan penting untuk fungsi otak serta pertumbuhan dan perkembangan yang normal. Lemak sihat diperlukan untuk menghasilkan dinding sel otak, dan cegah keradangan. Apabila keradangan berkurangan, ia boleh mencegah masalah hilang ingatan. 

Omega-3 daripada kacang sacha inchi akan meningkatkan fungsi kognitif dan melindungi dari kerosakan otak seperti tekanan dan dementia. Zat besi melancarkan peredaran darah ke otak dan memastikan otak mendapat bekalan darah dan oksigen yang cukup untuk berfungsi dengan baik.

5. Mencegah keradangan

Keradangan adalah tindak balas badan melawan jangkitan dan penyakit. Kadar yang berlebihan akan memudaratkan diri. Apabila keradangan berlaku, bahan kimia daripada sel darah putih akan memasuki saluran darah dan tisu badan untuk melawan jangkitan. Omega-3 daripada kacang sacha inchi membantu melindungi diri daripada keradangan dan menghalang pembentukkan kompound yang menyebabkan keradangan. 

Keradangan yang tidak terkawal boleh mengakibatkan penyakit seperti jantung, kencing manis, dementia dan kanser. Oleh itu, sacha inchi baik untuk diamalkan untuk mengawal keradangan.

6. Meningkatkan fungsi sistem imuniti

Sistem imuniti badan akan melindungi diri daripada penyakit dan jangkitan. Kandungan protein yang lengkap daripada sacha inchi berfungsi sebagai antibodi yang akan melindungi badan daripada jangkitan dan penyakit. Protein juga diperlukan oleh sistem imuniti untuk mengenal pasti dan membunuh bakteria dan virus. Sesetengah sel dalam sistem imuniti memerlukan zat besi untuk berkembang dan melawan jangkitan serta penyakit.

7. Mengawal gula

Gula tinggi atau diabetes berlaku disebabkan masalah pada hormon insulin yang dihasilkan tidak dapat bertindak balas dengan baik atau insulin tersebut tidak dihasilkan dengan cukup. Dengan mengamalkan daun sacha inchi, ia boleh membantu meningkatkan sensitiviti insulin seterusnya mengawal paras gula dalam darah. Malah, daun ini juga membantu menyerap nutrisi dengan lebih baik.

Konklusi

Daun dan kacang daripada pokok sacha inchi mempunyai manfaat yang baik untuk manusia. Khasiatnya juga dibuktikan dalam banyak kajian saintifik. Mengamalkan sacha inchi secara konsisten boleh mencegah pelbagai jenis penyakit. 

Rujukan

  1. What Is Sacha Inchi? Uses, Benefits, Side Effects, and Forms
  2. Health benefits of Sacha Inchi
  3. Cárdenas, D. M., Gómez Rave, L. J., & Soto, J. A. (2021). Biological Activity of Sacha Inchi (Plukenetia volubilis Linneo) and Potential Uses in Human Health: A Review. Food technology and biotechnology59(3), 253–266.
  4. 10 Khasiat Daun Sacha Inchi yang anda perlu tahu
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi, penulis Fitpedia. Merupakan graduan Dietetik dari UIAM. Minat dalam bidang nutrisi dan kesihatan dan suka berkongsi ilmu kesihatan dan nutrisi kepada masyarakat supaya masyarakat mendapat ilmu yang betul.Di Fitpedia, kita menyediakan info-info berkaitan kesihatan, nutrisi dan tips berkaitan pemakanan.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here