Rojak Viral! 5 Manfaat Terselindung Anda Perlu Makan Rojak

Percaya tak, rojak sebenarnya baik untuk kesihatan.

Rojak ialah makanan yang mempunyai rasa manis, pedas dan sedap campuran buah-buahan dan sayur-sayuran mentah bersama kuah. Ia mudah dijumpai di Malaysia, Singapura dan Indonesia. Di Malaysia, rojak boleh didapati di gerai-gerai, restoran-restoran dan juga kedai mamak. 

Ada di sesetengah negeri, rojak biasa dijual di gerai tepian pantai sambil menikmati pemandangan laut. Sesuai dimakan selepas makan berat atau sebagai makan petang. Ia juga boleh dijadikan makanan utama kerana mempunyai nutrien yang lengkap dengan karbohidrat, protein, lemak serta vitamin.

Pelbagai jenis rojak yang terdapat di Malaysia. Antaranya ialah rojak buah, rojak Pulau Pinang, rojak sotong kangkung, rojak India dan mee rojak. Rojak buah ialah campuran timun, sengkuang dan buah-buahan seperti mangga, jambu dan nenas.

Rojak Pulau Pinang hampir sama dengan rojak buah tetapi terdapat beberapa tambahan seperti sotong goreng dan tauhu. 

Rojak sotong kangkung ialah campuran sotong, kangkung, bijan dan bawang goreng.

Rojak India atau dikenali juga sebagai pasembor. Bahan-bahannya ialah kentang rebus, telur rebus, timun, taugeh, cucur goreng, udang goreng, tauhu dan sotong.

Yang terakhir ialah mee rojak berasaskan mee kuning, telur rebus, hirisan timun, bebola ikan, sengkuang dan cucur goreng.

Semua rojak disajikan dengan kuah. Kuah untuk setiap rojak ini hampir sama iaitu berasaskan belacan, cili, gula,  kacang tanah panggang dan bijan. Pengambilan makanan berproses seperti bebola ikan dan makanan bergoreng; cucur goreng perlu dikawal supaya tidak terlebih kalori.

5 Kebaikan rojak untuk kesihatan

1. Bagus untuk pencernaan 

Serat dari campuran rojak ini berupaya melancarkan proses pencernaan. Serat terbahagi kepada 2 iaitu serat larut dan serat tak larut. Serat larut boleh melegakan cirit-birit manakala serat tak larut baik untuk mengelakkan sembelit. Contoh serat larut ialah buah-buahan dan contoh serat tak larut ialah sayur-sayuran.

2. Mengawal paras gula 

Rojak mempunyai banyak sayur-sayuran dan buah-buahan. Kajian membuktikan, pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran dapat mengurangkan risiko kencing manis. Tetapi jumlah kuah atau yang diambil perlu dikawal kerana mempunyai tambahan gula. 

3. Mengawal berat badan 

Serat yang terdapat dalam rojak akan mengikat molekul lemak dan gula semasa melalui saluran penghadaman seterusnya mengurangkan kalori yang diambil. Kajian daripada Nurses’ Health Study antara perempuan berumur 40 hingga 65 tahun menunjukkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran dalam jangka masa panjang boleh mengurangkan risiko obesiti dan penambahan berat badan.

4. Mengurangkan risiko penyakit jantung

Risiko penyakit jantung dapat dikurangkan melalui bahan fitokimia, potassium dan serat yang terdapat dalam sayur dan buah. Mengikut kajian, setiap 7g pengambilan serat setiap hari dapat mengurangkan risiko mendapat penyakit jantung sebanyak 9%. Hal ini kerana kebolehan serat dalam menapis lebihan kolesterol dalam badan dan membawanya keluar daripada menyumbat saluran arteri. 

5. Memberi rasa kenyang

Protein dari tauhu, sotong dan telur rebus dapat memberi rasa kenyang dengan cepat dan bertahan lama. Selain serat, makanan tinggi protein terbukti dapat membantu seseorang mengawal pemakanannya seterusnya mengawal berat badan. Rojak ini mempunyai nutrisi utama yang lengkap dengan karbohidrat, protein dan lemak. 

Rojak mempunyai nilai kalori yang tinggi serta serat yang bagus untuk penghadaman. Ia juga kaya dengan vitamin dan mineral penting untuk badan. Walaubagaimanapun, kuantiti kuahnya harus dikawal kerana mempunyai garam dari belacan dan gula yang boleh menyebabkan masalah kesihatan jika diambil dalam kuantiti berlebihan. Ada yang terasa nak makan rojak tak petang ini?

Rujukan:

  1. https://www.hsph.harvard.edu/nutritionsource/what-should-you-eat/vegetables-and-fruits/
  2. https://www.everydayhealth.com/digestive-health/experts-why-is-fiber-important.aspx#:~:text=Fiber%20plays%20a%20major%20role,your%20body%20will%20know%20it
  3. Malaysian Dietary Guidelines (MDG), 2010

Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi, penulis Fitpedia. Merupakan graduan Dietetik dari UIAM. Minat dalam bidang nutrisi dan kesihatan dan suka berkongsi ilmu kesihatan dan nutrisi kepada masyarakat supaya masyarakat mendapat ilmu yang betul.Di Fitpedia, kita menyediakan info-info berkaitan kesihatan, nutrisi dan tips berkaitan pemakanan.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here