Rahsia Tersembunyi! Ini 5 Khasiat Daun Senna (Cina Maki) Perlu Ambil Tahu

Daun senna dikatakan penawar segala penyakit kecuali mati. Malah, ia turut dibuktikan dalam hadis. Daun Senna adalah sejenis herba daripada pokok spesies Cassia. Senna yang paling popular adalah dari spesies Cassia acutifolia, dan Cassia angustifolia. Dalam masyarakat Melayu ia dipanggil gelenggang dan Cina Maki. Pokok ini hanya bersaiz sederhana dengan ketinggian boleh mencapai sehingga 1 – 1.5m. Batang pokoknya berdiameter sehingga 30cm. Dulu, ia tumbuh di Timur Tengah dan India. Kini, ia telah digunakan secara meluas di seluruh dunia.  

Daun herba ini telah digunakan sejak berkurun lamanya oleh masyarakat Arab dalam perubatan tradisional dalam merawat masalah sembelit. Mereka menggunakan daun, bunga dan buah senna sebagai julap (pelawas) dan penawar semulajadi dalam bentuk teh . 

Kini, senna datang dalam bentuk yang lebih mudah untuk diperoleh iaitu teh, jus campuran, tablet dan kapsul. Ubat-ubatan yang mengandungi daun senna didaftarkan sebagai ubat tradisional dan ubat farmaseutikal di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Ia didaftarkan sebagai Ubat Bukan Preskripsi (OTC: Over The Counter). Herba ini juga diluluskan oleh “Food and Drug Administration” (FDA), Amerika Syarikat. Herba ini adalah ubat julap yang tidak memerlukan preskripsi. 

Nutrisi daun senna :

Daun senna juga mengandungi protein dalam kuantiti yang sedikit iaitu 4.01% tetapi ia membantu penghasilan hormon yang diperlukan untuk mengawal fungsi badan. Ia juga mengandungi karbohidrat yang memberikan tenaga serta melancarkan penghadaman. Kandungan serat yang tinggi dalam daun senna membantu sistem penghadaman untuk berfungsi dengan baik.

Selain itu, daun ini juga mengandungi mineral yang diperlukan oleh badan seperti sodium, potassium, kalsium, magnesium dan zat besi. Daun senna juga mengandungi bahan aktif seperti saponin, alkaloids, tannin, phenol, anthraquinones dan phylobatannins yang membantu mengawal sistem badan seperti bacaan gula dan kolesterol pada paras normal.

Kegunaan daun senna :

Daun senna juga dijadikan teh.

Akar, daun dan biji daripada pokok senna sangat berguna dalam bidang perubatan. Bijinya dibakar dan dikisar dan dijadikan bahan pengganti dalam kopi. Air rebusan daripada daun senna digunakan untuk merawat demam panas, bisa gigitan kala jengking, gingivitis (keradangan pada gusi), jangkitan pada salur kencing dan usus serta cirit-birit. Daunnya dikeringkan dan dijadikan teh.

Senna mengambil masa 8 jam untuk memberi kesan yang sepatutnya seperti melancarkan pembuangan sisa najis.

Dos selamat untuk herba senna :

Senna adalah selamat digunakan untuk jangka masa pendek oleh golongan dewasa dan kanak-kanak 12 tahun ke atas. 

Kanak-kanak : 8.5mg sehari

Kanak-kanak 2 tahun & dewasa : 17.2mg sehari , tidak lebih 34.4mg sehari

Dewasa lanjut usia : 17mg sehari

Wanita lepas mengandung : 19mg, 2 kali sehari

Khasiat daun senna pada kesihatan :

Daun senna telah disebut dalam hadis sebagai penawar pelbagai jenis penyakit kecuali mati. Daun ini mengandungi bahan aktif sennoside yang bertindak sebagai ubat julap. Bahan aktif ini menyimpan air dalam usus untuk membantu pergerakan usus. 

1. Melancarkan penghadaman

Usus yang tidak bergerak dengan lancar akan mengganggu penghadaman dan boleh mengakibatkan sembelit. 

Daun senna adalah antara ubat julap terbaik kerana ia mengandungi anthraquinone glycosides yang dikenali sebagai sennoside. Kompound ini akan merangsang pergerakan usus untuk mengecut dan mengeluarkan sisa buangan dengan cepat. 

Herba ini juga boleh melembutkan najis dengan membantu usus besar menyerap lebih banyak air untuk melancarkan proses pembuangan. Bahan aktif sennoside turut membantu menyimpan air dalam usus untuk membantu pergerakan usus yang lancar. 

Di samping itu, karbohidrat dalam daun senna memberi sumber tenaga dan melancarkan penghadaman makanan.

2. Meningkatkan kesihatan sistem penghadaman daripada gastrik

Lapisan dinding perut dilindungi oleh lendir yang menghalang asid perut daripada menghakis lapisan dinding yang nipis. Gastrik adalah keradangan dan hakisan yang berlaku pada dinding perut apabila lendir tersebut semakin menipis dan tidak dapat melindungi dinding perut. Gastrik ringan atau akut yang tidak dirawat daripada awal akan meningkatkan risiko mendapat gastrik kronik. 

Daun senna berkesan mengurangkan masalah gastrik dan penghadaman. Enzim semulajadi daripada daun senna membantu mengawal rembesan asid gastrik dalam perut. Dengan ini masalah ketidakhadaman berkurang. Daun senna perlu diambil dalam dos yang betul untuk mengurangkan ketidakselesaan dan keradangan pada usus melalui penghadaman yang lancar. 

Daun senna mengandungi bahan anti-radang resveratrol yang dapat melegakan dan mencegah keradangan di dalam sistem penghadaman. Dengan ini, daun senna berkesan mengurangkan masalah gastrik.

3. Mengawal paras kolesterol dalam darah

Makanan tinggi lemak penyumbang kepada masalah kolesterol. Image via iStock.

Kolesterol adalah sejenis bahan berlilin dan berlemak yang dihasilkan oleh hati secara semulajadi. Ia diperlukan untuk menghasilkan sel-sel, hormon, dan vitamin D dalam badan. Paras kolesterol yang tinggi boleh berlaku disebabkan pengambilan makanan tinggi lemak, berat badan berlebihan, serta gaya hidup tidak sihat.

Kajian menyatakan saponin daripada daun senna mengurangkan pengambilan kolesterol dan glukosa dari usus ke dalam darah. Daun senna mempunyai ciri-ciri hypocholesterolemic iaitu merendahkan paras kolesterol. Jadi, ia membantu mengawal paras kolesterol pada tahap normal. 

4. Mengawal paras gula dalam darah

Image via iStock

Glukosa daripada makanan yang dicerna dalam usus akan diserap masuk ke dalam salur darah seterusnya ke dalam sel badan dengan bantuan hormon insulin. Diabetes berlaku apabila hormon insulin tidak dihasilkan dengan cukup oleh organ pankreas atau insulin yang dihasilkan tidak dapat bertindak balas dengan glukosa dalam darah. Kesannya, gula tinggi dalam darah dan tidak dapat memasuki sel untuk ditukar menjadi tenaga.

Kajian menyatakan saponin daripada daun senna mengurangkan kolesterol dan glukosa dalam darah. Di samping itu, dalam kajian pada 2016 menyatakan daun senna memberi kesan hipoglisemik (menurunkan paras glukosa dalam darah) kerana ia mempunyai bahan aktif yang tinggi daripada daun senna seperti phenols, flavonoids, tannins, saponins dan alkaloids yang menyerupai insulin serta boleh menghasilkan beta sel yang baru dalam pankreas untuk menghasilkan dan merembeskan insulin. 

Oleh itu, daun senna mempunyai bahan aktif yang boleh mengawal bacaan gula dalam darah.

5. Mencegah jangkitan

Image via iStock

Sistem imun yang lemah memudahkan bakteria, parasit dan fungi untuk memasuki badan dan menjangkiti organ-organ penting. Mencegah daripada mendapat jangkitan adalah lebih baik daripada merawat. 

Daun, biji dan akar daripada pokok senna boleh digunakan untuk mencegah jangkitan penyakit. Bijinya akan dibakar dan direbus untuk menghasilkan teh yang membantu masalah cirit-birit dan jangkitan saluran kencing. 

Selain itu, daun senna juga mencegah pertumbuhan parasit serta membantu menyingkirkan cacing daripada usus. Herba ini juga membantu mengelakkan kejang pada perut disebabkan tindakan kuat daun senna. 

Kajian menyatakan bahan aktif daripada daun senna iaitu thiocynate, nitrate, chloride dan sulphate mempunyai ciri-ciri antibakteria yang akan melindungi diri daripada jangkitan bakteria dan virus. Oleh itu, daun senna baik untuk mengelakkan masalah jangkitan.

Hadis berkaitan daun senna :

Daun senna telah dibuktikan dalam hadis daripada Ibn Qayim, berupaya merawat pelbagai penyakit termasuklah :

  • Menghilangkan penyakit kuning
  • Menguatkan jantung
  • Melegakan sakit kepala
  • Menghilangkan gatal-gatal

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Majah daripada Ibn Ummi Haram:

عَلَيْكُمْ بِالسَّنَى وَالسَّنُّوتِ فَإِنَّ فِيهِمَا شِفَاءً مِنْ كُلِّ دَاءٍ إِلاَّ السَّامَ. قِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا السَّامُ قَالَ : الْمَوْتُ

Maksudnya: “Hendaklah kamu melazimi daun Sanna dan madu sesungguhnya pada keduanya itu kesembuhan dari segala jenis penyakit kecuali sam”, lalu Baginda ditanya: “Apakah makna sam”? Baginda S.A.W. bersabda: “Sam itu ialah kematian”. (Riwayat Ibn Majah: 3584)

Oleh itu, daun senna merupakan penawar segala penyakit tetapi jika ingin mengambil ubatan daripada herba ini perlu merujuk pegawai perubatan untuk mengetahui ubatan yang sesuai dengan penyakit tersebut.

Siapa tidak boleh ambil daun senna? Individu dengan masalah :

  • Usus tersumbat
  • Ulser pada usus besar
  • Appendiks
  • Cirit-birit
  • Penyakit jantung
  • Penyakit Crohn’s
  • Wanita mengandung perlu dapat nasihat doktor terlebih dahulu

Kesan sampingan daripada daun senna :

  • Perut tidak selesa
  • Mual dan Loya tekak 
  • Cirit-birit 
  • Kejang 
  • Dehidrasi 

Kesan ini adalah kesan ringan, sementara dan akan hilang dengan cepat. Tetapi, jika ambil dalam dos yang dibenarkan, selamat untuk digunakan.

Konklusi :

Daun senna telah disebut dalam al-quran sebagai penawar terbaik kepada segala penyakit. Dengan mengamalkannya dalam kuantiti yang betul, ia dapat mengurangkan risiko mendapat kesan sampingan daripadanya. 

Rujukan :

  1. IRSYAD AL-HADITH SIRI KE 534 : STATUS HADIS BERKENAAN KELEBIHAN DAUN SANNA
  2. Doughari, J. H., El-Mahmood, A. M., & Tyoyina, I. (2008). Antimicrobial activity of leaf extracts of Senna obtusifolia (L). African Journal of Pharmacy and Pharmacology, 2(1), 7-13.
  3. Gidado, N. M., Tanko, Y., Sada, N. H., & Mohammed, A. (2016). Effects of Senna occidentalis leaf supplement on blood glucose level, liver enzymes and total protein in alloxan-induced diabetic wistar rats. Bayero journal of Pure and Applied sciences, 9(1), 68-75.
  4. Smith, Y. A. (2009). Determination of chemical composition of Senna-siamea (cassia leaves). Pakistan Journal of Nutrition, 8(2), 119-121.
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi, penulis Fitpedia. Merupakan graduan Dietetik dari UIAM. Minat dalam bidang nutrisi dan kesihatan dan suka berkongsi ilmu kesihatan dan nutrisi kepada masyarakat supaya masyarakat mendapat ilmu yang betul.Di Fitpedia, kita menyediakan info-info berkaitan kesihatan, nutrisi dan tips berkaitan pemakanan.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here