Penawar Segala Penyakit… 5 Kebaikan Habbatussauda Untuk Kesihatan Kita

Habbatussauda dihasilkan daripada tumbuhan Nigella Sativa daripada kumpulan ‘ranunculus’ (Ranunculaceae).  Ia juga dikenali sebagai black cumin, black seed atau jintan hitam. Sejenis tumbuhan berbunga yang berasal daripada Asia Selatan. Kini, ia sudah boleh didapati di seluruh dunia termasuk kebanyakkan negara Eropah, Selatan Afrika dan utara Myanmar. 

Habbatussauda adalah salah satu makanan sunnah yang menjadi penawar pelbagai penyakit dengan khasiat nutrisinya yang pelbagai.

Kegunaan habbatussauda :

Habbatussauda boleh dijumpai dalam bentuk kapsul, minyak serta ekstrak.

Habbatussauda telah digunakan sejak berkurun lamanya dalam masakan serta perubatan moden dan tradisional. Bijinya diambil dan digunakan untuk pelbagai kegunaan. Ia juga diproses dan dikisar untuk diambil minyak dan digunakan dalam perubatan moden dan tradisional.

Kini, ia juga boleh dijumpai dalam bentuk kapsul, serbuk, serta ekstrak yang lebih mudah untuk digunakan dalam bidang perubatan. 

Di Poland, India dan Asia Barat, habbatussauda digunakan sebagai rempah dalam masakan. Ia juga boleh direndam dalam air kosong dan diminum untuk mendapatkan khasiatnya. Ia juga turut boleh dicampur bersama madu, serta dijadikan bahan baru dalam kopi dan teh. Habbatussauda mempunyai rasa seperti gabungan lada hitam, bawang besar dan oregano.

Nutrisi berkhasiat habbatussauda :

Habbatussauda adalah sejenis tumbuhan yang mengandungi pelbagai nutrisi yang baik untuk kesihatan. Ia juga mengandungi bahan kimia aktif yang berfungsi mencegah pelbagai penyakit seperti diabetes, kolesterol tinggi, tekanan darah tinggi serta melindungi daripada jangkitan. Bahan kimia ini adalah antioksidan daripada keluarga polyphenol, tocopherol, terpenoid, dan terpene. Thymoquinone (TQ) daripada terpene dan terpenoid adalah antioksidan paling tinggi dalam herba ini. 

Herba ini juga mengandungi alkaloid dan phytosterol iaitu sejenis kompound semulajadi yang membantu menurunkan paras kolesterol. 

Kandungan nutrisi untuk 100g habbatussauda:

  • Kalori: 345kcal
  • Karbohidrat: 52g
  • Protein: 16g
  • Lemak: 15g
  • Serat: 10.5g
  • Kalsium: 931mg
  • Zat Besi: 66.4g
  • Kalium: 1790mg
  • Fosforus: 499mg
  • Vitamin C: 7.7mg
  • Vitamin B1: 0.63mg
  • Vitamin B3: 4.58mg
  • Folate: 10mcg
  • Karotene: 762mcg

Bahan kimia aktif lain yang terdapat dalam habbatussauda adalah trans-anethole, p-cymene limonene, carvone, α-thujene, thymohydroquinone (THQ), dithymoquinone, carvacrol, dan β-Pin.

Kelebihan habbatussauda :

Habbatussauda dikatakan mempunyai kesan sampingan yang sedikit berbanding ubat-ubatan moden di pasaran. 

1. Kawal tekanan darah & kolesterol

Kolesterol dan tekanan darah saling berkait dan menjadi faktor risiko kepada penyakit jantung. Kolesterol yang tinggi akan menyebabkan pengumpulan plak di dinding salur darah dan menghalang perjalanan darah dan oksigen yang lancar. Apabila keadaan ini tidak dirawat, ia akan mengakibatkan penyakit jantung seterusnya strok.

Kajian yang dilakukan keatas wanita dengan masalah obesiti dan diabetes menunjukkan 2 – 3 gram habbatussauda setiap hari selama 8 – 12 minggu membantu menurunkan jumlah kolesterol dan LDL kolesterol (kolesterol jahat yang boleh melekat di dinding salur darah). 

Selain itu, kajian turut melaporkan penurunan purata sebanyak 16–23 mg/dL dalam jumlah kolesterol, 14–22 mg/dL dalam LDL kolesterol, dan 7–21 mg/dL dalam trigliserida selepas mengambil habbatussauda.

Tekanan darah yang tinggi merosakkan saluran darah arteri yang seterusnya boleh tersumbat dan menghalang aliran darah ke otot jantung dan memaksa jantung bekerja lebih keras untuk mengepam darah. 

Peserta yang mengambil habbatussauda selama purata 8 minggu menunjukkan tekanan darah sistolik menurun sebanyak 3.3 mmHg dan tekanan darah diastolik menurun sebanyak 2.8 mmHg berbanding mereka yang tidak diberi herba ini. Herba ini berupaya menurunkan paras tekanan darah. Namun, kajian yang lebih terperinci diperlukan untuk menguatkan lagi kajian ini.

2. Stabilkan gula dalam darah 

Diabetes adalah keadaan apabila bacaan gula dalam darah tinggi disebabkan hormon insulin daripada pankreas tidak dihasilkan dengan cukup atau insulin tersebut tidak dapat bertindak balas dengan baik dengan glukosa (gula) dalam darah. Akibatnya, glukosa (gula) akan berkumpul dalam darah dan menjadi diabetes. 

Habbatussauda antara herba semula jadi yang berkesan menurunkan paras gula dalam darah dalam pesakit diabetes. Ulasan yang dilakukan ke atas 7 kajian menunjukkan habbatussauda membaiki paras insulin dan gula ketika berpuasa dan selepas makan. 

Di samping itu, berdasarkan ulasan daripada 23 kajian juga menunjukkan habbatussauda berkesan menurunkan bacaan gula ketika berpuasa dan HbA1C.

Bacaan gula ini bertambah baik disebabkan adanya thymoquinone daripada habbatussauda yang mengandungi antioksidan. Ia berperanan melindungi sel pankreas daripada kerosakan, meningkatkan sensitiviti tisu dengan insulin dan mengurangkan penyerapan glukosa daripada usus. 

Bahan aktif ini juga meningkatkan percambahan sel beta dari pankreas dan meningkatkan penghasilan insulin. Ia turut mempunyai kesan hipoglisemia (menurunkan paras gula dalam darah) dengan kebolehannya mengurangkan penyerapan glukosa daripada usus.

Bacaan gula ketika berpuasa diambil pada waktu pagi sebelum mengambil sarapan pagi setelah berpuasa atau tidak mengambil apa-apa makanan dan minuman berkalori pada malamnya. Manakala bacaan HbA1C adalah bacaan gula dalam darah dalam tempoh 3 bulan. Dengan ini, habbatussauda membantu menurunkan paras gula dalam darah dan mencegah diabetes.

3. Kuatkan imuniti

Jangkitan boleh berlaku pada sesiapa saja terutamanya mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah. Kajian tabung uji dan haiwan menunjukkan ekstrak habbatussauda merangsang aktiviti sel darah putih yang terlibat melawan jangkitan dan penyakit. 

Kajian kecil yang dilakukan ke atas beberapa wanita dengan masalah rheumatoid arthritis menunjukkan wanita yang mengambil 1 gram minyak habbatussauda setiap hari mempunyai paras sel darah putih yang tinggi setelah 2 bulan berbanding kumpulan yang tidak mengambil minyak habbatussauda. Mereka juga mempunyai tanda keradangan yang rendah dan kurang bengkak kaki. 

Habbatussauda mengandungi bahan aktif fitokimia yang kuat melawan jangkitan seperti bakteria, kulat dan fungi iaitu

  • Thymol
  • Thymoquinone (TQ)
  • Tetrahydroquinone(THQ)

Habbatussauda berkesan melawan jangkitan disebabkan Candida albicans, iaitu bakteria penyebab jangkitan Candida. Oleh itu, jika diamalkan secara konsisten, herba ini membantu menguatkan sistem imuniti dan mencegah jangkitan penyakit.

4. Bantu penyembuhan luka 

Luka yang tidak dirawat dengan baik atau dibiarkan meningkatkan risiko dijangkiti bakteria, kulat atau fungi. Habbatussauda mempunyai bahan kimia yang membantu mempercepatkan penyembuhan luka iaitu thymoquinone. Bahan kimia ini berkebolehan merangsang pertumbuhan tisu baru dan membantu penyembuhan luka.

Ini dibuktikan dengan kajian yang dilakukan keatas haiwan kajian yang menunjukkan thymoquinone membantu merawat luka akibat terbakar, pembedahan dan diabetes. Hal ini berlaku disebabkan kesan anti-radang, antioksidan dan anti-bakteria daripada bahan aktif ini.

5. Ulser perut 

Gastrik berlaku disebabkan beberapa faktor seperti jangkitan bakteria Helicobacter pylori dan penggunaan ubat tahan sakit untuk tempoh masa lama. Makanan pedas dan tekanan akan menjadikan ulser sedia ada bertambah teruk. Thymoquinone adalah bahan aktif dalam habbatussauda bersifat anti-bakteria (mencegah jangkitan bakteria yang boleh menjadi penyebab terjadi gastrik). Ia akan merangsang pepsinogen untuk mengaktifkan pepsin dalam jus gastrik dan memberi perlindungan daripada ulser perut. Ciri-ciri anti-radang pada thymoquinone juga merawat masalah kecederaan dalam perut. 

Ulser perut boleh terjadi apabila cecair yang melindungi dinding perut semakin berkurang. Apabila cecair ini berkurang, asid perut akan menghakis tisu-tisu yang melapisi perut menyebabkan ulser. Kajian yang dilakukan keatas haiwan menyatakan habbatussauda boleh mengurangkan ulser dalam perut. Namun, kajian yang lebih terperinci ke atas manusia juga diperlukan untuk mengukuhkan lagi bukti ini.

Konklusi :

Habbatussauda adalah herba semulajadi yang mengandungi pelbagai nutrisi termasuk bahan aktif fitokimia yang tinggi iaitu thymoquinone. Jika diamalkan dengan betul dan konsisten, khasiat daripada herba ini membantu merawat pelbagai penyakit.

Rujukan :

  1. Black Seed Oil: Health and Beauty Benefits
  2. What Is Nigella Sativa? Forms, Nutrients, and Health Effects
  3. Ahmad MF, Ahmad FA, Ashraf SA, Saad HH, Wahab S, Khan MI, Ali M, Mohan S, Hakeem KR, Athar MT. An updated knowledge of Black seed (Nigella sativa Linn.): Review of phytochemical constituents and pharmacological properties. J Herb Med. 2021 Feb;25:100404. doi: 10.1016/j.hermed.2020.100404. Epub 2020 Sep 19. PMID: 32983848; PMCID: PMC7501064.
  4. Hamdan A, Haji Idrus R, Mokhtar MH. Effects of Nigella Sativa on Type-2 Diabetes Mellitus: A Systematic Review. Int J Environ Res Public Health. 2019 Dec 5;16(24):4911. doi: 10.3390/ijerph16244911. PMID: 31817324; PMCID: PMC6950756.
  5. Kooshki A, Tofighiyan T, Rastgoo N, Rakhshani MH, Miri M. Effect of Nigella sativa oil supplement on risk factors for cardiovascular diseases in patients with type 2 diabetes mellitus. Phytother Res. 2020 Oct;34(10):2706-2711. doi: 10.1002/ptr.6707. Epub 2020 Jun 8. PMID: 32510754.
  6. Sahebkar A, Beccuti G, Simental-Mendía LE, Nobili V, Bo S. Nigella sativa (black seed) effects on plasma lipid concentrations in humans: A systematic review and meta-analysis of randomized placebo-controlled trials. Pharmacol Res. 2016 Apr;106:37-50. doi: 10.1016/j.phrs.2016.02.008. Epub 2016 Feb 10. PMID: 26875640.
  7. Sahebkar A, Soranna D, Liu X, Thomopoulos C, Simental-Mendia LE, Derosa G, Maffioli P, Parati G. A systematic review and meta-analysis of randomized controlled trials investigating the effects of supplementation with Nigella sativa (black seed) on blood pressure. J Hypertens. 2016 Nov;34(11):2127-35. doi: 10.1097/HJH.0000000000001049. PMID: 27512971.
  8. Shokri H. A review on the inhibitory potential of Nigella sativa against pathogenic and toxigenic fungi. Avicenna J Phytomed. 2016 Jan-Feb;6(1):21-33. PMID: 27247919; PMCID: PMC4884215.
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi, penulis Fitpedia. Merupakan graduan Dietetik dari UIAM. Minat dalam bidang nutrisi dan kesihatan dan suka berkongsi ilmu kesihatan dan nutrisi kepada masyarakat supaya masyarakat mendapat ilmu yang betul.Di Fitpedia, kita menyediakan info-info berkaitan kesihatan, nutrisi dan tips berkaitan pemakanan.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here