Ngeri! Perit Buasir Semasa Mengandung & Lepas Bersalin.. Ketahui Tips Hadapi Masalah Ini

Siapa kata buasir jadi hanya pada orang tua sahaja. Buasir adalah bengkak pada salur darah vena di usus besar yang membenjol keluar pada saluran dubur. Sesiapa saja boleh dapat buasir. Termasuklah ibu mengandung dan melahirkan. 

Saluran darah ini secara normal akan mengalirkan darah daripada tisu di dubur ke jantung. Mengikut statistik, 3 daripada 4 individu dewasa mengalami buasir. 

Buasir kerap terjadi semasa mengandung terutamanya semasa trimester ketiga, semasa melahirkan dan selepas melahirkan. Buasir ketika mengandung tidak menjejaskan kesihatan bayi tetapi boleh menyebabkan ketidakselesaan pada ibu itu sendiri.

Apa itu buasir?

Di dalam saluran dubur terdapat beberapa salur darah lembut yang akan membantu individu membuang air besar dengan lancar dengan merembeskan mukus. Apabila salur-salur darah ini membengkak, ia menjadi buasir. 

Buasir terbahagi kepada dua iaitu buasir dalaman dan buasir luaran. 

Buasir dalaman ialah bengkak pada salur darah yang membenjol di bahagian dalam salur dubur. Ada juga individu yang mengalami buasir dalaman tetapi bengkak ini sudah membenjol keluar daripada dubur. Ia masih boleh dimasukkan sendiri atau menolaknya keluar dengan tangan.

Manakala untuk buasir luaran, ia adalah apabila bengkak buasir yang sudah terkeluar daripada dubur dan perlu dimasukkan sendiri dengan tangan. Dalam keadaan yang lebih teruk, buasir ini sudah tidak dapat dimasukkan semula.

Buasir semasa mengandung akan kerap berlaku ketika trimester ketiga. Manakala buasir selepas bersalin akan terjadi apabila ibu meneran dengan kuat dan lama semasa ingin mengeluarkan bayi.

Faktor buasir semasa mengandung:

Image via iStock

#1. Tekanan pada salur darah vena di dubur disebabkan bayi makin membesar dalam rahim ibu

Hormon progesterone yang tinggi akan melonggarkan saluran darah. Urat pada bahagian bawah rahim akan membengkak dan meregang.

Apabila bayi makin membesar, ia akan mula menekan pelvis (tulang punggung) seterusnya memberi tekanan pada salur darah di usus besar dan dubur (anus dan rektum). Salur darah ini akan membengkak dan sakit. Disebabkan itu, ibu mengandung berisiko mendapat buasir iaitu salur darah membengkak dan membenjol keluar.  

#2. Perubahan hormon

Peningkatan hormon progesterone semasa mengandung juga meningkatkan risiko buasir. Hormon ini akan mengendurkan salur darah vena dan menyebabkan ia membengkak.

Selain itu, hormon semasa mengandung akan melambatkan pergerakan usus. Jadinya, air daripada najis akan diserap oleh usus menjadikan najis tersebut keras dan sembelit.

#3. Sembelit

Image via iStock

Kajian ada menyatakan 45.7% wanita mengandung mengalami sembelit. Ini boleh disebabkan duduk terlalu lama, perubahan hormon dan pengambilan supplement seperti zat besi. Sembelit dan buasir sangat berkait rapat. Boleh dikatakan orang yang mengalami sembelit dengan kerap akan mengalami buasir.

Sembelit ini akan menyebabkan ibu mengandung perlu meneran lebih ketika membuang air besar. Ini akan memberi tekanan pada salur darah di dubur dan menyebabkan ia membengkak. Salur darah ini seterusnya akan keluar ke salur dubur dan terjadinya buasir.

Punca lain sembelit:

  • Perubahan diet
  • Kurang bergerak
  • Tekanan pada usus disebabkan bayi membesar
  • Ubat tahan sakit
  • Dehidrasi (tak cukup air)

#4. Meneran membawa berat tambahan semasa mengandung

Ketika mengandung, ibu akan membawa beban lebih iaitu bayi dalam kandungan. Keadaan ini menyumbang kepada peningkatan berat badan dan tekanan pada salur darah di dubur. Tekanan yang lama dan berterusan ini akan membengkakkan salur darah dan menyebabkannya keluar daripada salur dubur.

#5. Peningkatan jumlah darah

Ibu mengandung akan menghasilkan darah lebih banyak daripada biasa kerana darah ini juga diperlukan oleh bayi dalam kandungan untuk mendapat oksigen dan makanan daripada ibu. Apabila darah makin bertambah, salur darah vena juga membesar untuk menampung darah tersebut. Ia akan membengkak dan boleh terkeluar ke salur dubur.

Simptom

  • Darah semasa mengelap dengan tisu
  • Sakit ketika membuang air besar
  • Gatal
  • Bengkak
  • Sensasi terbakar

Untuk individu dengan buasir luaran, mereka akan mengalami buasir trombosis. Iaitu darah beku di luar salur dubur. Ia keras, meradang dan menyakitkan.

Adakah buasir semasa mengandung & lepas bersalin hilang sendiri?

Bila pernah kena buasir, mesti berharap ia pergi sendiri kan? Biasanya buasir dalam kalangan ibu mengandung dan lepas bersalin akan hilang dengan sendirinya. Ini dibantu oleh hormon, jumlah darah, dan tekanan dalam perut yang stabil. Buasir semasa mengandung boleh terjadi atau berulang jika individu tersebut pernah mengalami buasir sebelum itu.

Tips hadapi buasir semasa mengandung & lepas bersalin

Pelbagai kaedah boleh dilakukan untuk mengurangkan buasir seperti rawatan di rumah dan perubahan gaya hidup. Jika buasir ini dibiarkan, ia boleh jadi lebih teruk.

1. Makan makanan sihat – tinggi serat

Makanan sihat adalah makanan yang cukup semua nutrisi yang diperlukan badan seperti karbohidrat, protein, lemak dan serat. Makanan tinggi serat seperti roti wholemeal, nasi beras perang, oat, barley sayur dan buah membantu melancarkan penghadaman. Banyakkan pengambilan sayur dan buah setiap hari lebih mudah dan dekat dengan kita berbanding pengambilan makanan wholemeal. Malah, ia lebih diterima tekak.

Masalah sembelit iaitu najis mengeras berlaku disebabkan usus menyerap air dari makanan yang dicerna. Keadaan ini memaksa untuk meneran lebih kuat untuk mengeluarkan najis tersebut. Ini akan memberi tekanan pada salur darah di dubur. Lama-kelamaan ia akan membengkak dan terjadi buasir. Najis yang keras ini juga apabila melalui usus akan melukakan permukaan dinding usus sehingga berdarah. 

Makanan berserat juga boleh mengelakkan cirit-birit. Ini kerana cirit-birit yang teruk dan berterusan juga akan memberi tekanan pada salur darah di dubur. Ia akan membengkak dan keluar dari salur dubur. Justeru itu, amalkan makanan berserat dan berkhasiat untuk mengelakkan buasir.

2. Minum air kosong dengan cukup

Air yang cukup penting untuk mengekalkan dehidrasi badan. Malah, ia juga membantu melembutkan najis, melancarkan pergerakan usus seterusnya membantu mengeluarkannya dengan mudah. Sembelit yang menjadi penyebab buasir juga dapat dicegah apabila mendapat air yang cukup.

3. Letakkan ice pack untuk beberapa minit di kawasan buasir

Ice pack atau tuam dengan tuala membantu mengurangkan kesakitan buasir. Radang iaitu merah-merah pada bengkak tersebut juga dapat dikurangkan. Biasanya kaedah ini sesuai untuk buasir luaran (apabila bengkak itu terkeluar daripada salur dubur).

4. Lebih kerap bergerak & elakkan duduk lama

Image via iStock

Ibu mengandung digalakkan untuk lebih banyak bergerak atau bersenam. Ini membantu ibu mengandung untuk lebih tenang dalam menghadapi kontraksi awal dan memudahkan proses bersalin. Malah, setiap pergerakan ini membantu menguatkan badan dan otot ibu supaya lebih kuat. Contoh senaman yang boleh dilakukan ialah senaman kegel. Senaman kegel adalah senaman yang mensasarkan pada bahagian otot yang mengawal pengaliran air kencing dan air besar. Ia akan menguatkan otot-otot pada bahagian ini. Apabila otot kuat, risiko mendapat buasir berkurang.

5. Elak meneran

Meneran semasa membuang air besar memberi tekanan pada salur darah di dubur. Keadaan yang berterusan akan membengkakkan salur darah. Ia akan keluar ke saluran dubur dan menjadi buasir. Keadaan yang berterusan boleh menyebabkan buasir menjadi lebih teruk.

6. Jangan menahan jika ingin membuang

Menahan daripada membuang air besar akan menyebabkan usus menyerap air daripada najis dan menyebabkan sembelit. Sembelit yang berterusan akan meningkatkan risiko mendapat buasir.

Kesan buasir semasa mengandung & lepas bersalin

Buasir yang tidak sembuh dan berlanjutan ini meningkatkan risiko pendarahan dan masalah kehilangan darah merah (anemia). Apabila darah tidak mencukupi, berlaku kekurangan oksigen dalam badan. Pelbagai komplikasi penyakit lain boleh timbul seperti sakit jantung dan stroke.

Konklusi

Buasir semasa mengandung adalah perkara biasa dan sering terjadi sama ada disedari atau tidak. Ia lebih kerap terjadi semasa trimester ketiga apabila bayi makin membesar dan menekan bahagian pelvis. Masalah ini boleh diatasi dengan mengamalkan gaya hidup dan pemakanan yang sihat.

Rujukan

  1. Common Causes of Hemorrhoids During Pregnancy and How to Prevent Them
  2. What to Know About Pregnancy Hemorrhoids
  3. What to know about hemorrhoids during pregnancy
  4. Kena Buasir Selepas Bersalin? Mungkin 11 Tip Ini Dapat Kurangkan Kesakitan, Cubalah!

Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi, penulis Fitpedia. Merupakan graduan Dietetik dari UIAM. Minat dalam bidang nutrisi dan kesihatan dan suka berkongsi ilmu kesihatan dan nutrisi kepada masyarakat supaya masyarakat mendapat ilmu yang betul.Di Fitpedia, kita menyediakan info-info berkaitan kesihatan, nutrisi dan tips berkaitan pemakanan.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here