Nak Jadi Ibu Susuan, Tetapi Belum Ada Anak. Ketahuinya Di Sini

Ibu susuan adalah ibu yang menyusukan bayi bukan kandung. Bayi tersebut mungkin dari keluarga terdekat atau dari orang luar.

Kesedaran terhadap kepentingan susu ibu menyebabkan ramai wanita bersedia menjadi ibu susuan secara ekslusif. Menyusu secara ekslusif adalah menyusu bayi dengan susu ibu selama 6 bulan pertama kelahiran.

Jenis-jenis susu ibu

Pasti para ibu pernah perasan akan komposisi susu ibu yang berbeza tahap kepekatan dan kecairan. Itu adalah perkara biasa.

Susu ibu boleh dibahagikan kepada 3 jenis iaitu kolostrum, foremilk dan hindmilk. Ketiga-tiga jenis ini mempunyai nutrisi tersendiri yang penting untuk bayi. Ini adalah makanan utama mereka selepas kelahiran.

1. Kolostrum

Kolostrum adalah susu yang berwarna kekuningan yang dihasilkan antara minggu ke 10 hingga 12 bayi dalam kandungan sehingga beberapa hari selepas kelahiran. Ia mengandungi nutrisi seperti protein, lemak, vitamin dan antibodi (immunoglobulin). Immunoglobulin adalah immuniti pasif bagi bayi. Ia diperlukan untuk melindungi diri daripada jangkitan bakteria dan virus. 

Susu ini dihasilkan dengan sedikit bersesuaian dengan perut bayi yang kecil selepas dilahirkan.

2. Susu matang

Susu matang adalah susu selepas kolostrum. Susu matang lebih ringan dan cair kerana mengandungi air yang lebih iaitu 90% daripada susu. Manakala lagi 10% adalah karbohidrat, lemak dan protein. Nutrisi ini diperlukan untuk tumbesaran bayi. Ia boleh dibahagikan kepada dua jenis.

a) Foremilk

Susu ini dihasilkan selepas kolostrum. Ia adalah susu awal yang berada di hadapan payudara. Ia terhasil daripada proses awal penyusuan. Susu ini dihasilkan sehingga tempoh 2 minggu selepas kelahiran. Ia mengandungi laktosa, vitamin, protein, lemak dan air. Laktosa daripada susu ini penting untuk tenaga dan perkembangan otak bayi.

Susu ini juga lebih cair kerana mengandungi lebih banyak air. Manakala lemaknya lebih rendah berbanding hindmilk. Malah, susu ini juga dapat menghilangkan dahaga kerana kandungan air yang lebih dan teksturnya yang lebih cair dan kurang pekat. 

b) Hindmilk

Susu hindmilk adalah susu di penghujung atau susu akhir. Ia akan keluar selepas foremilk. Ia mengandungi lemak yang tinggi berbanding susu foremilk. Ia kaya dengan serat dan lemak yang tinggi. Warnanya lebih pekat disebabkan kandungan air yang sedikit. Susu ini dapat memberi tenaga, rasa kenyang dan membantu tumbesaran bayi. Kekurangan hindmilk akan mengganggu tumbesaran bayi.

Masa yang diperlukan untuk dapat hindmilk

Masa yang diperlukan untuk mendapat hindmilk adalah 10 ke 15 minit selepas susu yang mula-mula keluar. Apabila payudara dikosongkan, susu akan keluar semula dengan lebih pekat, manis dan berkrim serta lebih tinggi kalori. 

Berat badan bayi akan meningkat bergantung kepada kuantiti susu yang diminum bukan nutrisi lemak yang diterima.

Bayi tidak perlu air kosong

Pasti para ibu pernah terfikir adakah bayi memerlukan air kosong selepas minum susu. Sebenarnya, bayi tidak memerlukan air kosong kerana kandungan foremilk yang lebih cair dapat menghilangkan dahaga bayi. Malah, kekurangan foremilk akan menyebabkan bayi kekurangan air dalam badan. 

Ketidakseimbangan foremilk and hindmilk

Ketidakseimbangan komposisi susu adalah perkara biasa. Ia dikenali sebagai lactose overload (laktosa berlebihan). Ia biasanya disedari apabila ibu mengepam susu ke dalam botol. Foremilk yang cair akan kelihatan lebih banyak berbanding hindmilk. Hal ini terjadi disebabkan beberapa faktor. Antara faktornya ialah menyusu berlebihan, menyusu susu rendah kandungan lemak atau menyusu dalam jumlah yang besar. 

Apabila bayi menyusu dalam jumlah yang besar, susu foremilk akan membuatkan mereka kekenyangan sebelum mendapat susu hindmilk yang cukup. Oleh itu, bayi tidak akan mendapat kandungan lemak yang mencukupi. Mereka hanya menyusu dengan susu rendah lemak dari foremilk. 

Lemak adalah nutrisi yang lambat untuk dihadam oleh sistem pencernaan. Disebabkan kandungan foremilk rendah lemak, susu ini akan diproses dalam sistem pencernaan dengan cepat. Oleh itu, laktosa daripada foremilk tidak dapat masa yang mencukupi untuk dicerna dengan baik. 

Ketidakseimbangan komposisi susu akan menghasilkan laktosa berlebihan pada bayi. Lebihan ini akan menghasilkan gas yang menyebabkan ketidakselesaan. 

Selain itu, jika ibu menghentikan proses mengepam susu pada pertengahan sesi, ia juga boleh mengganggu keseimbangan foremilk dan hindmilk. Untuk mengelak masalah ini, ketika proses mengepam, ia perlu dilakukan sehingga payudara terasa ringan dan kosong untuk mendapat penghasilan hindmilk yang lebih.

Simptom kekurangan hindmilk :

  • Najis kehijauan dan sedikit keras
  • Bayi kerap menangis kerana mengalami perut kembung
  • Terdapat darah pada najis bayi
  • Bayi kerap muntah
  • Mengalami ruam lampin
  • Bayi kerap menangis seolah-olah tidak mendapat susu yang mencukupi

Konklusi:

Komposisi susu ibu berbeza bergantung kepada susu awal dan akhir yang keluar dari badan. Susu awal akan membantu menghilangkan dahaga manakala susu akhir akan memberi rasa kenyang pada bayi. Kedua-dua jenis susu ini melengkapi nutrisi yang diperlukan. Kekurangan salah satu akan mengganggu tumbesaran para bayi.

Menyusu dari kedua-dua belah payudara adalah sama. Tiada istilah perbezaan kuantiti dan komposisi dalam kedua-dua payudara. Kandungan nutrisi susu ibu tetap sama. Tetapi, ibu harus memastikan bayi menyusu sehingga habis atau payudara terasa ringan pada sebelah bahagian. Kemudian, barulah bayi boleh menyusu pada bahagian seterusnya.

Rujukan:

  1. What to Know About Foremilk and Hindmilk
  1. What to Know About Foremilk and Hindmilk
  2. Jenis Susu Ibu: Beza Kolostrum, Hindmilk Dan Foremilk
  3. What Is Hindmilk and How Can You Make Sure Your Baby Gets Enough?
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi, penulis Fitpedia. Merupakan graduan Dietetik dari UIAM. Minat dalam bidang nutrisi dan kesihatan dan suka berkongsi ilmu kesihatan dan nutrisi kepada masyarakat supaya masyarakat mendapat ilmu yang betul.Di Fitpedia, kita menyediakan info-info berkaitan kesihatan, nutrisi dan tips berkaitan pemakanan.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here