Bukan Setakat “Sheet Mask”, Miliki Kesihatan Terbaik Daripada Khasiat Lebih 5 Jenis Madu

Siapa tak kenal madu. Sebut saja madu pasti ingat akan rasa manisnya. Menawarkan rasa yang lazat dan manis serta menjadi pelengkap rasa pada makanan. Ia adalah cecair pekat berwarna kuning keemasan yang dihasilkan oleh lebah. 

Madu menjadi salah satu bahan resepi makanan dan minuman yang popular. Malah, ia juga dijadikan alternatif kepada gula.

Madu terkenal diseluruh dunia termasuklah Malaysia sebagai penawar kepada pelbagai jenis penyakit. Ia telah digunakan sejak berkurun lamanya dalam bidang perubatan alternatif. Bukan itu saja, madu juga sesuai untuk dibuat “mask” muka untuk mengekalkan kelembapan dan keanjalan kulit. Pelbagai jenis madu terdapat di Malaysia sama ada yang diimport atau hasil keluaran Malaysia sendiri.

Jenis-jenis madu:

1. Madu tualang

Madu daripada lebah yang hinggap di pokok tualang. Mudah dijumpai di utara Semenanjung Malaysia. Harga madu asli ini agak mahal disebabkan ia sukar diperoleh dan pokok jenis ini tumbuh di hutan tebal serta kualitinya yang terbaik.

2. Madu kelulut

Image by Tokopedia

Dihasilkan oleh lebah yang bersaiz besar atau juga dikenali sebagai Trigona spp. Rasanya masam masam manis. Mudah didapati di kawasan-kawasan tropika seperti Asia Tenggara. Madu kelulut dihasilkan oleh pelbagai spesies lebah kelulut. Khasiatnya mungkin sedikit berbeza antara setiap jenis lebah.

3. Madu manuka

Madu ini diimport khas dari New Zealand. Ia mempunyai rasa manis dan tekstur yang pekat. Madu ini sangat terkenal terutamanya dalam kalangan penggemar madu. Ia diperoleh daripada pokok manuka yang hanya tumbuh di kawasan tertentu sahaja. Disebabkan ini, harga madu ini lebih mahal tetapi kualitinya tetap terbaik. 

4. Madu akasia

Diperoleh daripada nektar bunga Robinia pseudoacacia. Madu ini biasa dikenali sebagai belalang hitam atau pohon akasia palsu. Ia mempunyai bau yang harum seperti bunga serta rasa yang manis dan lembut seperti vanila.

5. Madu sidr

Madu ini diperoleh dari Lembah Hadramaut, Yaman. Ia adalah hasil daripada lebah yang menyimpan madu di bunga-bunga Sidr. Antara madu yang mahal kerana khasiat kesihatan yang terkandung dalamnya serta aroma madu yang harum. Madu jenis ini telah digunakan secara meluas di Timur Tengah dan antara yang terbaik di dunia.  

Khasiat madu pada manusia:

Madu yang paling berkualiti adalah madu dengan kandungan antioksidan yang tinggi seperti fenolik dan flavonoid. Antioksidan penting untuk sistem badan manusia melawan radikal bebas yang boleh merosakkan sel-sel dalam badan dan menyebabkan pelbagai komplikasi penyakit. Sebagai contoh kencing manis, penyakit jantung, dan kanser.

1. Menguatkan immuniti

Sistem imuniti manusia memerlukan peransang untuk melindungi diri daripada serangan benda asing. Madu mengandungi ciri-ciri antioksidan, anti-bakteria dan anti-virus yang diperlukan oleh badan manusia untuk melindungi diri daripada jangkitan. 

Sebenarnya, madu mengandungi hydrogen peroxide iaitu sejenis anti-septik yang akan mencegah dan melambatkan pertumbuhan bakteria. Sebab itu, masyarakat Malaysia terutamanya sering menggunakan madu sebagai ubat sakit tekak dan demam.

Malah, ia dikatakan lebih baik daripada ubat batuk dipasaran. Kajian juga membuktikan madu berkesan mengurangkan kekerapan kanak-kanak mendapat batuk pada waktu malam.

Terdapat juga kajian yang telah membuktikan gabungan susu dan madu membantu mengurangkan batuk dalam kalangan kanak-kanak sama seperti ubat batuk. Kaedah terbaik untuk mendapat kesan yang efektif adalah dengan mengambil satu sudu teh madu asli dan elakkan mengambil air dan biarkan saluran tekak diliputi oleh madu untuk beberapa ketika.

2. Mengawal berat badan

Bukan setakat untuk menguatkan sistem pertahanan badan. Malah, madu juga boleh membantu menurunkan berat badan. Sesudu madu setiap pagi  bersama air suam ketika perut kosong dapat meningkatkan metabolisma badan. Apabila metabolisma tinggi, lebih mudah untuk lemak-lemak degil dalam badan dipecahkan. Dengan ini, proses penurunan berat badan akan jadi lebih mudah dan cepat.

3. Mengatasi masalah cirit-birit

Madu juga baik untuk sistem penghadaman. Ia akan melindungi lapisan perut daripada keradangan yang boleh menyebabkan cirit-birit. 

Kajian yang dilakukan keatas 150 pelajar dengan masalah gastroenteritis akut menunjukkan mereka yang mengambil madu bersama larutan rehidrasi lebih cepat sembuh berbanding individu yang tidak mengambil madu. 

Antara cara yang boleh dilakukan adalah dengan mengambil sesudu teh madu atau campur bersama air. Walaubagaimanapun, ia tidak boleh diambil secara berlebihan kerana gula yang berlebihan akan meburukkan lagi keadaan cirit-birit tersebut.

4. Cepat sembuh luka

Madu telah digunakan sejak berkurun lamanya untuk menyembuhkan luka. Ia melindungi kawasan luka daripada jangkitan bakteria, virus atau kulat yang boleh menyebabkan komplikasi yang teruk. Sifat madu yang berasid membantu mengeluarkan oksigen daripada kawasan luka di tambah pula dengan ciri-ciri antioksidan dan anti-bakteria daripada madu membantu mempercepatkan proses penyembuhan luka.  

5. Gula alternatif

Madu juga sering dijadikan pemanis alternatif menggantikan gula. Ramai yang mengganggap madu baik untuk mengawal paras gula dalam darah. Sebenarnya, madu juga mempunyai sukrosa iaitu elemen yang sama seperti gula yang boleh meningkatkan paras gula dalam darah dengan cepat. Cumanya, kandungan nutrisi yang terdapat dalam madu seperti antioksidan menjadikannya lebih baik daripada gula. Oleh itu, ambillah madu secara bersederhana.

Konklusi:

Madu bukan sahaja digunakan dalam masakan dan minuman sebagai penambah rasa. Malah, khasiatnya yang luar biasa telah menjadikannya ubat alternatif untuk merawat pelbagai penyakit. Tetapi, kuantiti pengambilan madu perlu dikawal kerana ia daripada kumpulan gula ringkas yang akan meningkatkan paras gula dalam darah dengan cepat. Pelbagai jenis madu terdapat di pasaran. Madu yang asli adalah madu yang tiada campuran gula. Jadi, buatlah pilihan bijak ketika membeli.

Rujukan:

  1. 9 Jenis Madu Yang Berkhasiat & Patut Dikenali
  2. Mandal, M. D., & Mandal, S. (2011). Honey: its medicinal property and antibacterial activity. Asian Pacific journal of tropical biomedicine, 1(2), 154–160.
  3. 7 Unique Health Benefits of Honey
  4. The Top 6 Raw Honey Benefits
  5. What are the health benefits of raw honey?
  6. Is Honey Good for You, or Bad?
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi, penulis Fitpedia. Merupakan graduan Dietetik dari UIAM. Minat dalam bidang nutrisi dan kesihatan dan suka berkongsi ilmu kesihatan dan nutrisi kepada masyarakat supaya masyarakat mendapat ilmu yang betul.Di Fitpedia, kita menyediakan info-info berkaitan kesihatan, nutrisi dan tips berkaitan pemakanan.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here