Merah-Merah Delima… JOM Ambil Tahu 5 Khasiat Yang Best Sangat Ni

Buah delima juga dikenali dengan nama saintifik Punica granatum. Dalam bahasa Inggeris, dipanggil pomegranate. Ia adalah sejenis buah yang mempunyai isi yang banyak sampai beratus. Isinya lembut dan berair, dilindungi ‘membran pulpy’ (testa).

Pokok buah delima adalah sejenis tumbuhan renek yang berasal daripada Asia Barat. Ia telah ditanam secara komersial di serata dunia termasuklah Malaysia. Buah delima bersaiz 5–12 cm (2–5 inches) diameter dengan kulit yang tebal untuk menjaga isi dalamnya. 

Image via iStock

Delima bukan saja diambil isinya, malahan daun juga dijadikan ekstrak yang baik untuk kesihatan. Cara paling senang untuk dapatkan khasiat delima adalah dengan memakan buahnya terus. Tetapi, ia juga boleh dibuat jus, dicampur dalam teh, kopi dan juga makanan seperti pencuci mulut (kek, pastri, piza dan pankek).

Nutrisi

Secawan isi buah delima dengan berat 174 gram mengandungi 144 kalori, 24g gula, 3g protein, dan 7g serat. Selain itu, ia juga mengandungi vitamin C, vitamin K, potassium dan folate. 

Vitamin C diperlukan oleh badan kita untuk meningkatkan immuniti melawan jangkitan bakteria dan virus di samping melindungi sel-sel dalam badan daripada serangan radikal bebas yang boleh menyebabkan pelbagai risiko penyakit seperti kencing manis, sakit jantung dan kanser. 

Image via iStock

Selain itu, vitamin K penting untuk menghasilkan protein yang diperlukan untuk pembekuan darah dan pembentukan tulang. Kekurangan vitamin ini akan menyebabkan berlakunya pendarahan yang boleh keluar daripada mana-mana bahagian badan. 

Potassium membantu saraf untuk berfungsi dengan baik dan otot untuk mengecut. Ia juga membantu menggerakkan nutrient ke sel dan membawa bahan buangan keluar dari sel. Gabungan setiap nutrient ini memberi manfaat untuk badan manusia.

Khasiat delima:

1. Antioksidan

Image via iStock

Antioksidan sama seperti anti-penuaan. Ia bertanggungjawab melindungi diri daripada kerosakan sel yang disebabkan radikal bebas yang tidak efektif dalam badan. 

Antioksidan yang dihasilkan oleh badan akan berkurang dengan peningkatan usia. Oleh itu, ia perlu diambil daripada sumber makanan untuk menampung kekurangan antioksidan.

Radikal bebas adalah hasil daripada metabolisme dalam badan. Ia dijadikan secara semulajadi apabila badan menukarkan makanan yang dimakan menjadi tenaga dan juga semasa bersenam. Radikal bebas ini boleh terhasil disebabkan faktor persekitaran seperti merokok, pencemaran udara dan pendedahan kepada cahaya matahari.

Radikal bebas ini penting untuk badan tetapi kuantiti yang berlebihan akan menyebabkannya menyerang sel-sel dalam badan.

Punicalagins adalah sejenis molekul besar dan antioksidan yang kuat 3 kali lebih baik daripada teh hijau. Manakala, punicic acid adalah asid lemak yang utama dalam isi buah delima. Kedua-dua antioksidan ini membantu melindungi badan daripada serangan radikal bebas yang boleh menyebabkan pelbagai penyakit seperti diabetes, penyakit jantung dan kanser.

2. Anti-radang

Image via iStock

Kandungan punicalagins dan punicic acid daripada delima melindungi diri daripada serangan agen keradangan.

Radang adalah proses di mana sel darah putih melindungi badan daripada jangkitan dan serangan perosak luar seperti bakteria dan virus. 4 simptom utama radang adalah kemerahan, panas, bengkak dan sakit.  

Keradangan adalah tindak balas normal dalam badan. Tapi  kadar berlebihan boleh menyebabkan pelbagai penyakit seperti kencing manis, jantung dan kanser. 

Image via iStock

TNFalpha adalah sejenis protein yang akan melindungi diri daripada jangkitan bakteria dan virus. Ia juga terlibat dalam proses penyembuhan luka secara semulajadi. 

TNF-alpha (tumor necrosis factor) adalah agen keradangan. Apabila agen ini diaktifkan secara berlebihan, ia akan meningkatkan bilangan protein yang akan menghalang laluan isyarat insulin dan menyebabkan insulin tidak dapat bertindak balas dengan glukosa. Maka, terjadilah rintangan insulin.

Kajian menunjukkan 250 ml jus delima setiap hari dapat menurunkan penanda keradangan CRP dan interleukin-6 masing-masing sebanyak 32% dan 30%. 

CRP ialah C-reactive protein yang dihasilkan oleh hati disebabkan keradangan. CRP yang tinggi merupakan tanda keradangan. Interleukin-6 adalah sejenis cytokine yang terlibat dalam sistem imuniti dan akan bertindak balas apabila terdapat kecederaan tisu.

3. Melancarkan penghadaman

Masalah penghadaman seperti sembelit dan cirit-birit boleh menyebabkan ketidakselesaan dalam aktiviti harian. Makanan tinggi serat sangat disarankan untuk diambil setiap hari bukan sahaja kerana kandungan nutrisi yang tinggi malah, ia membantu melawaskan penghadaman. Pelbagai jenis buah dan sayur boleh diambil mengikut kesukaan.

Buah delima juga tidak kurangnya. Kandungan nutrisinya beserta serat membantu proses penghadaman untuk berjalan dengan baik. Jus delima tinggi dengan serat. Ia boleh membantu melancarkan penghadaman dan mencegah masalah sembelit. 

Jus buah delima juga membantu melegakan sakit perut apabila mengalami masalah tidak hadam. Jus ini membantu merembeskan enzim yang akan melancarkan penghadaman. 

Di samping itu, gastrik dan ulser boleh berlaku disebabkan bakteria Helicobacter Pylori. Kajian menyatakan jus delima mengandungi kesan antibiotik yang akan melambatkan pertumbuhan bakteria. Oleh itu, pengambilan secara konsisten boleh melindungi perut daripada serangan gastrik. 

4. Mengatasi masalah kesuburan dan seksual

Image via iStock

Delima mengandungi bahan aktif yang boleh membantu meningkatkan hormon testosterone dalam lelaki dan juga perempuan.

Testosterone adalah sejenis hormon yang terlibat dalam pembentukkan ciri-ciri lelaki. Bukan itu saja, hormon ini juga penting untuk menguatkan tulang, saiz dan kekuatan otot, pembahagian lemak, dan penghasilan sel darah merah dalam lelaki dan perempuan.  

Kekurangan hormon testosterone akan menyebabkan masalah kesuburan dalam lelaki, jumlah sperma yang sedikit, kurang keinginan seks, serta bengkak pada tisu payudara

Dengan peningkatan masa, mereka juga boleh hilang bulu roma di badan, tenaga makin berkurang, otot makin berkurang dan lemak makin bertambah. Keadaan yang lebih teruk boleh menyebabkan osteoporosis (tulang rapuh), emosi tidak stabil, kurang bertenaga dan testis mengecut.

Delima membantu mengekalkan hormon testosterone pada paras normal.

5. Kurangkan risiko sakit jantung

Image via iStock

Sakit jantung boleh terjadi disebabkan kolesterol tinggi atau tekanan darah tinggi. Kolesterol sebenarnya penting untuk sistem badan manusia. Ia diperlukan untuk penghasilan hormon seks, menghasilkan hempedu dan mengekalkan kestabilan dan kecairan lapisan sel. Tetapi, jumlah kolesterol yang berlebihan boleh menyebabkan ia melekat di dinding salur darah. Keadaan ini akan menghalang peredaran darah dan oksigen ke seluruh badan daripada jantung. Maka, ia meningkatkan risiko terjadinya sakit jantung dan stroke.

Kajian juga menyatakan, jus delima membantu menurunkan paras LDL kolesterol dalam pesakit yang mengalami masalah kolesterol tinggi dan kencing manis. 

Di samping itu, 800mg minyak biji delima membantu menurunkan paras trigliserida dan membaiki HDL kolesterol. 

Image via iStock

LDL kolesterol adalah kolesterol jahat yang akan melekat di dinding salur darah. Manakala HDL kolesterol adalah kolesterol baik yang membawa kolesterol ke hati untuk diproses dan dibuang daripada badan.

Kajian dilakukan keatas peserta yang mengambil 150 ml jus delima setiap hari selama 2 minggu. Keputusan menunjukkan penurunan dalam bacaan paras tekanan darah tinggi. 

Paras tekanan darah yang tinggi akan memaksa jantung untuk bekerja lebih keras untuk mengepam darah. Bahagian ventricle kiri jantung akan menjadi tebal. Keadaan ini akan meningkatkan risiko kegagalan fungsi jantung, stroke, kegagalan fungsi buah pinggang, hilang penglihatan dan kegagalan fungsi seksual.

Hanya dengan minum 60 ml jus delima setiap hari dapat menurunkan tekanan darah tinggi, membaiki paras kolesterol, dan membersihkan plak kolesterol di dinding salur darah.

Konklusi:

Delima mengandungi pelbagai nutrisi termasuklah vitamin dan mineral yang diperlukan oleh badan kita. Bukan saja boleh dimakan saja, tetapi ia juga boleh dibuat jus dan pencuci mulut. Kini, buah delima juga dijadikan “sheet mask” untuk melembap dan menyegarkan kulit muka. Buat apa kita perlu berbelanja mahal untuk supplement yang mengandungi bahan kimia jika kita boleh dapatkan khasiat semula jadi daripada delima tanpa bahan kimia.

Rujukan:

  1. Punica granatum is More Effective to Prevent Gastric Disorders Induced by Helicobacter pylori or any Other Stimulator in Humans
  2. Fifteen health benefits of pomegranate juice
  3. 12 Health Benefits of Pomegranate
  4. Why do we need testosterone?
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi, penulis Fitpedia. Merupakan graduan Dietetik dari UIAM. Minat dalam bidang nutrisi dan kesihatan dan suka berkongsi ilmu kesihatan dan nutrisi kepada masyarakat supaya masyarakat mendapat ilmu yang betul.Di Fitpedia, kita menyediakan info-info berkaitan kesihatan, nutrisi dan tips berkaitan pemakanan.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here