Menyucuk Kaki Sebab Asid Urik Tinggi… Ini 9 Tips Terbaik Kawal Asik Urik Dalam Badan

Gout merupakan salah satu sakit sendi iaitu keradangan pada sendi. Ia adalah lebihan asid urik yang berkumpul di sendi. Ia menyebabkan bengkak dan sakit pada bahagian yang sendi penghubung seperti lutut, buku lali dan jari.

Asid urik terhasil daripada makanan tinggi purin yang dicerna dalam badan. Ia akan diproses di buah pinggang seterusnya disingkirkan melalui air kencing. Apabila jumlahnya berlebihan, buah pinggang tidak dapat menyingkirkan asid urik dengan baik dan cekap. Asid ini akan mendap dan berkumpul dalam badan kemudian membentuk kristal tajam. Asid urik ini biasanya berkumpul di kaki dan kemudian ia akan merebak ke bahagian lutut, buku lali atau kaki. Gout sering menyerang pada waktu malam dan boleh berlarutan 3 ke 10 hari. 

Simptom gout & asid urik tinggi: 

bunion pain

Tidak semua pesakit gout menunjukkan simptom. Ada yang mempunyai paras asid urik yang tinggi dalam darah tetapi tiada simptom. Ia dikenali sebagai Asymptomatic Hyperuricemia.

  • Rasa terlalu sakit
  • Merah 
  • Bengkak 
  • Panas 

Gout akut akan menunjukkan simptom dengan cepat dan berlanjutan 3 ke 10 hari. Gout yang tidak dirawat akan menjadi kronik. Asid urik akan mendap dan benjolan yang dipanggil tophi akan terjadi di sendi-sendi, kulit dan tisu lembut. Ia boleh mencederakan tulang dan tisu lembut dalam badan. Perubahan pada sendi ini adalah kekal.

Risiko gout & asid urik tinggi :

a) Jantina dan umur

Kaum lelaki lebih berisiko mendapat gout terutamanya pertengahan umur. Wanita juga boleh mendapat gout, tetapi risikonya lebih tinggi apabila menopause.

b) Berat badan

Berat badan berlebihan atau obesiti akan mengakibatkan badan menghasilkan lebih banyak asid urik. Kemudian, buah pinggang perlu bekerja keras untuk menapis dan menyingkirkan asid urik daripada badan.

c) Pemakanan

Pemakanan yang tidak sihat seperti pengambilan makanan dan minuman tinggi purin serta tinggi gula fruktosa boleh meningkatkan asid urik dalam darah. Keadaan yang tidak dirawat daripada awal boleh membentuk kristal keras yang menyakitkan pada sendi badan.

d) Genetik

Individu dengan ahli keluarga yang mempunyai gout berisiko tinggi untuk turut mendapat gout.

e) Gaya hidup

Gaya hidup tidak sihat dengan merokok dan minum minuman beralkohol meningkatkan risiko gout.

f) Kesihatan 

Masalah kesihatan lain juga boleh meningkatkan risiko gout. Antaranya seperti diabetes, tekanan darah tinggi, penyakit tiroid dan penyakit buah pinggang.

g) Ubat

Sesetengah jenis ubat boleh meningkatkan asid urik seperti ubat tekanan darah tinggi. 

Tips kawal asid urik & cegah gout:

Ubat-ubatan adalah antara kaedah untuk mengurangkan kesakitan gout dan asid urik dalam badan. Tetapi, perubahan gaya hidup dan pemakanan yang lebih sihat juga membantu mengurangkan dan mencegah masalah gout.

1. Elak makanan tinggi purin

Daging merah dan makanan laut tinggi kandungan purin

Protein adalah salah satu kumpulan makanan utama. Ia mempunyai kadar purin yang tinggi selepas dihadam dalam badan. Purin tidak membahayakan kesihatan. Purin akan dihadam menjadi asid urik. Dalam individu normal, hanya 15% sahaja asid urik berada dalam badan. 

Walaubagaimanapun, asid urik yang berlebihan tidak dapat diproses oleh badan, seterusnya akan membentuk kristal di sendi-sendi dan mengeras.

Daging dan organ dalaman

Daging dan organ dalaman mengandungi purin yang tinggi. Apabila dimakan, ia akan dihadam menjadi asid urik. Asid urik yang berlebihan akan berkumpul dan membentuk kristal yang mengeras di bahagian sendi. Antara contoh daging adalah daging merah, ayam, itik dan kambing.

Makanan ini boleh dimakan kerana ianya salah satu sumber tenaga tetapi, makan secara sederhana. Jika gout sudah teruk, gantikan makanan berprotein seperti daging dengan ikan yang mempunyai kandungan purin yang rendah.

Makanan laut

Makanan laut seperti ikan sardin, ikan bilis dan kekerang perlu dihadkan pengambilannya kerana mempunyai purin yang tinggi.

2. Makanan & minuman manis

Bukan saja makanan tinggi purin, tetapi makanan dan minuman manis juga perlu dielakkan. Penambahan gula seperti gula pasir, sirap jagung dan sirap jagung tinggi fruktosa boleh meningkatkan asid urik. Gula fruktosa adalah gula ringkas yang sering digunakan dalam makanan berproses dan makanan yang ditapis. 

Gula fruktosa adalah jenis gula ringkas utama yang menyumbang kepada peningkatan paras asid urik dalam darah. Hal ini kerana ia akan mengurangkan adenosine triphosphate iaitu sejenis molekul yang membawa tenaga dalam sel badan. Kajian juga telah membuktikan gula fruktosa akan meningkatkan asid urik dalam darah. 

Pengambilan gula ringkas yang berlebihan akan meningkatkan paras gula dalam darah dengan cepat. Apabila gula tinggi, risiko mendapat serangan gout juga tinggi. Contoh makanan perlu dielakkan adalah minuman berkarbonat, jus buah, madu, gula perang, gula melaka dan sirap jagung tinggi fruktosa.

Oleh itu, dengan mengawal pengambilan makanan dan minuman manis, ia mengurangkan asid urik dalam darah.

3. Makan bijirin penuh

Makanan bijirin penuh mengandungi purin yang sederhana serta indeks glisemik yang rendah. Makanan dengan indeks glisemik yang rendah membantu mengawal paras glukosa dalam darah dan menurunkan paras asid urik dalam darah. Apabila paras glukosa (gula) terkawal, paras asid urik dalam darah juga terkawal.

Pemilihan makanan bijirin penuh disarankan kerana ia lebih mengenyangkan walaupun tidak perlu diambil dalam kuantiti yang banyak. Antara contoh makanan bijirin penuh adalah beras perang, beras basmati, oat, roti “wholemeal” dan pasta “wholemeal”. 

4. Banyakkan sayur dan buah 

Makanan berserat dapat memberi rasa kenyang dengan cepat dan lama. Ia membantu menyingkirkan asid urik daripada badan. 

Selain itu, diabetes merupakan salah satu faktor risiko mendapat gout. Makanan berserat membantu mengawal penyerapan glukosa (gula) dalam darah. Dengan itu, apabila paras gula terkawal, risiko mendapat gout berkurang. 

Sayur-sayuran dan buah-buahan mengandungi vitamin C yang tinggi seperti jambu batu, oren, buah-buahan beri, betik, kailan, kobis dan lobak merah. Kajian membuktikan vitamin C melindungi daripada perkembangan gout serta boleh menurunkan paras asid urik dalam darah. Vitamin C akan memproses asid urik untuk disingkirkan daripada badan.

Menurut kajian juga, sayur tinggi purin tidak meningkatkan paras asid urik tetapi pengambilan secara berlebihan berisiko mendapat gout. Sayur tinggi kandungan purin adalah sayur berdaun hijau

5. Kopi

Kopi sering kali dianggap tidak sihat kepada mereka yang berpenyakit seperti pesakit gout. Tetapi sebenarnya kopi mengandungi antioksidan, mineral, polifenol dan kafein yang diperlukan oleh badan untuk melancarkan sistem badan. Pesakit gout yang mengamalkan kopi setiap hari berpotensi untuk menurunkan paras asid urik dalam darah. Asid fenol klorogenik daripada kopi boleh meningkatkan sensitiviti (tindak balas) insulin seterusnya meningkatkan penyingkiran asid urik melalui air kencing. 

Kopi juga akan bersaing dengan enzim yang memecahkan purine dalam badan. Ini akan mengurangkan jumlah asid urik yang dihasilkan. 

Kajian daripada Jepun telah membuktikan bahawa kopi menurunkan asid urik dalam darah pesakit gout berbanding teh dalam kalangan peserta kajian yang meminum kopi dengan banyak (anggaran 5 cawan sehari). Kajian ini dibuktikan dengan kajian sistematik dimana ia mengumpulkan kajian-kajian yang berkaitan kopi dan gout. Secara rumusan, kajian yang dilakukan menggunakan kopi dan teh menunjukkan kopi menurunkan paras asid urik dalam darah berbanding teh. 

Dengan ini, ia terbukti kopi berkesan membantu menurunkan asid urik dalam darah. Sebaiknya minumlah secara sederhana. Walaubagaimanapun, harus diingat, pemakanan lain juga perlu dikawal pengambilannya untuk mengelak serangan gout.

6. Produk tenusu rendah lemak

Produk tenusu tidak meningkatkan asid urik dalam darah.

Makanan berprotein biasanya tinggi dengan purine. Tetapi, kajian telah membuktikan mengambil produk tenusu terutamanya rendah lemak menurunkan paras asid urik dalam darah.

Kajian ini menyatakan pengambilan protein susu boleh menurunkan serum asid urik dalam darah. Produk tenusu rendah kandungan purine dan memberi kesan penurunan asid urik. 

Produk tenusu yang sesuai diambil oleh pesakit gout seperti susu rendah lemak, susu skim, yogurt rendah lemak dan keju rendah lemak.

7. Minum air kosong dengan cukup

Pengambilan air kosong setiap hari dapat memastikan badan kekal hidrat. Ia juga akan melancarkan penyingkiran asid urik daripada salur darah. Sekurang-kurangnya 8 gelas (2 liter) sehari disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Ini boleh melarutkan asid urik untuk keluar bersama air kencing dan mencegah pembentukkan batu ginjal. 

8. Turun berat

Berat badan ideal membantu mengawal paras asid urik dalam darah. Kajian juga telah membuktikan berat badan berlebihan merupakan risiko utama mendapat gout. Menurunkan berat badan boleh menurunkan paras asid urik seterusnya mengurangkan risiko gout. 

Berat badan berlebihan akan memberi tekanan pada anggota sendi seperti lutut, buku lali dan kaki. Keadaan ini akan membebankan bahagian sendi yang terlibat dan menyebabkan rasa sakit dan keradangan. 

Selain itu, sel lemak menghasilkan asid urik lebih banyak berbanding sel otot. Individu dengan berat badan berlebihan atau obesiti mempunyai sel lemak yang lebih. Sel lemak inilah yang akan menghasilkan asid urik dalam badan. Kadar yang berlebihan boleh mendap di sendi-sendi membentuk kristal dan keradangan. 

Buah pinggang dalam kalangan individu obes perlu bekerja keras untuk menapis keluar asid urik. Disebabkan itu, individu dengan berat badan berlebihan atau obes sangat digalakkan untuk menurunkan berat badan ke berat badan ideal untuk mencegah masalah gout.

9. Bersenam

Bersenam juga digalakkan untuk mencegah risiko mendapat gout dan mengurangkan kekerapan serangan gout. Ini kerana, dengan kekal aktif, kita boleh menurunkan paras asid urik dalam darah dengan memecahkan lemak-lemak dalam badan. Jika sedang mengalami gout, biarkan rasa sakit hilang dahulu sebelum melakukan aktiviti fizikal.

Kekal aktif bukan saja boleh menurunkan risiko gout, tetapi juga pelbagai komplikasi penyakit lain seperti diabetes, penyakit jantung, tekanan darah tinggi dan strok.

Menurut Panduan Pemakanan Malaysia (MDG) 2010 dari KKM, melakukan aktiviti fizikal sekurang-kurangnya 150 minit seminggu dengan kadar kelajuan atau kekuatan yang sederhana dapat mengurangkan risiko penyakit. Ia juga membantu mengelakkan penyakit yang sedia akan bertambah teruk sehingga boleh menyebabkan kematian pramatang. 

Untuk dapat 150 minit seminggu, 30 minit setiap hari dengan 5 ke 6 kali seminggu atau setiap hari dengan kelajuan dan kekuatan sederhana disarankan. Antara aktiviti yang boleh dilakukan:

  • Berjalan laju
  • Jogging
  • Berbasikal
  • Berenang 
  • Menari
  • Lompat tali
  • Bola sepak
  • Badminton
  • Mendaki 
  • Tennis

Konklusi:

Mengawal makanan sahaja tidak cukup untuk menurunkan paras asid urik dalam darah. Ia perlu diambil sekali dengan ubat-ubatan untuk mengurangkan kekerapan serangan gout dan tahap kesakitan gout. 

Rujukan:

  1. Roddy, E., & Choi, H. K. (2014). Epidemiology of gout. Rheumatic diseases clinics of North America40(2), 155–175. https://doi.org/10.1016/j.rdc.2014.01.001
  2. Best Diet for Gout: What to Eat, What to Avoid
  3. Does Coffee Help Gout or Cause It? What You Need to Know
  4. Choi, H. K., Atkinson, K., Karlson, E. W., Willett, W., & Curhan, G. (2004). Purine-rich foods, dairy and protein intake, and the risk of gout in men. New England Journal of Medicine350(11), 1093-1103.
  5. Roddy, E., & Choi, H. K. (2014). Epidemiology of gout. Rheumatic diseases clinics of North America, 40(2), 155–175. https://doi.org/10.1016/j.rdc.2014.01.001
  6. Diet bagi Pesakit Gout
  7. Natural Ways to Reduce Uric Acid in the Body
  8. Gout: Symptoms, Causes, and Treatments
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi, penulis Fitpedia. Merupakan graduan Dietetik dari UIAM. Minat dalam bidang nutrisi dan kesihatan dan suka berkongsi ilmu kesihatan dan nutrisi kepada masyarakat supaya masyarakat mendapat ilmu yang betul.Di Fitpedia, kita menyediakan info-info berkaitan kesihatan, nutrisi dan tips berkaitan pemakanan.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here