Menyakitkan ! Batu Karang Perlu Dicegah Segera Dengan 5 Tips Ini

Batu karang biasanya terjadi dengan senyap tanpa simptom awal. Ia juga dikenali dengan istilah perubatan sebagai nephrolithiasis atau urolithiasis. Urolithiasis adalah batu karang yang terbentuk di dalam sistem urinari manusia termasuk buah pinggang dan pundi kencing. Manakala nephrolithiasis adalah batu karang di dalam buah pinggang. 

Kekerapan kes batu karang di Malaysia adalah 10 – 15% dengan bilangan lelaki lebih banyak berbanding perempuan. 

Bagaimana batu karang terjadi pada pundi kencing :

Batu karang terjadi dengan kepekatan yang tinggi dari air kencing disebabkan bahan-bahan di dalamnya berkumpul membentuk kristal. 

Peningkatan jumlah mineral dan vitamin dalam badan menyebabkan pengumpulan mineral dan garam dalam buah pinggang dan saluran kencing. Pengumpulan ini membentuk kristal-kristal keras yang menghalang pengaliran air kencing yang normal. 

Batu karang boleh terjadi disebabkan beberapa punca seperti :

  • Tabiat pemakanan tidak sihat
  • Berat badan berlebihan
  • Pengambilan ubat-ubatan

Batu ini boleh didapati dalam pelbagai saiz dari sekecil butir pasir sehingga sebesar bola tennis. Ia berbentuk bulat atau bujur dengan permukaan yang licin. Batu dengan permukaan yang kasar menyukarkan proses mengeluarkannya dari badan dan ia lebih menyakitkan. 

Dalam keadaan normal, air kencing mengandungi bahan yang menghalang pembentukan kristal. Apabila bahan ini berkurang, ia menyebabkan terbentuknya batu karang. Batu karang dan batu hempedu adalah berbeza antara satu sama lain. Punca dan lokasi pembentukan batu juga berbeza.

Jenis batu karang pundi kencing :

1. Batu kalsium

Jenis batu karang yang paling kerap dijumpai iaitu sekitar 70-80%. Batu daripada hasil campuran kalsium dan oxalate yang membentuk kalsium oxalate. Ia disebabkan pengambilan makanan tinggi oxalate seperti coklat, kekacang, produk soya, dan sayuran hijau.

Badan biasanya akan mengeluarkan oxalate dengan sendirinya dalam proses perkumuhan. Namun, kuantiti yang berlebihan akan menyebabkan pembentukkan kristal yang dikenali sebagai batu karang.

2. Batu struvite

Batu karang struvite ialah magnesium ammonium phosphate yang jarang berlaku (10-15% kes). Ia terjadi disebabkan jangkitan pada buah pinggang daripada bakteria Proteus, Pseudomonas dan spesies Klebsiella. Batu ini boleh membesar dengan cepat tanpa sebarang simptom. Ia kerap terjadi dalam kalangan wanita dan terbentuk dalam air kencing beralkali.

3. Batu karang asid urik

Jenis ini jarang berlaku (5-10% kes). Ia terbentuk apabila asid urik di dalam air kencing tinggi dan pH air kencing rendah daripada 5.5 iaitu berasid. Lazim berlaku dalam pesakit gout, individu dengan pengambilan pemakanan tinggi purin (ikan bilis, makanan laut, organ dalaman) dan protein atau pesakit kanser dengan kemoterapi. Ia adalah radiolusen iaitu tidak dapat dikesan dengan sinar X.  

4. Batu cystine

Terhasil daripada gangguan genetik yang menyebabkan cystine iaitu asid amino semula jadi dalam badan terlalu banyak, bocor dan keluar melalui air kencing (urin). Ia terbentuk dalam kalangan individu yang mempunyai penyakit keturunan iaitu cystinuria. Mereka ini mempunyai paras cystine yang tinggi dalam air kencing. 

5. Batu karang “staghorn

Batu besar dalam buah pinggang, biasanya jenis struvite yang menyerupai tanduk rusa. Ia tidak diketahui di peringkat awal kerana hanya menyebabkan sedikit atau tiada kesakitan. Akan dikesan apabila berlaku kerosakan buah pinggang. 

Faktor risiko terjadi batu karang :

1. Umur 

Batu karang boleh menyerang sesiapa sahaja. Ia lazim berlaku dalam kalangan individu berusia 50 tahun ke atas. 

2. Jantina

Perempuan dan lelaki berisiko mendapat batu karang. 75% batu karang buah pinggang dan 95% batu karang pundi kencing berlaku pada lelaki. Lelaki berusia antara 20 hingga 70 tahun dan mereka yang gemuk adalah golongan yang paling berisiko.

3. Sejarah keluarga

Jika mempunyai ahli keluarga yang pernah disahkan dengan batu karang, anda turut berisiko untuk mendapat batu karang. 

Kajian menyatakan individu yang mempunyai ibu dengan penyakit ini berisiko sebanyak 72% manakala jika bapa mempunyai penyakit ini, anda berisiko 93% untuk turut mendapat penyakit ini.

4. Diet

Pengambilan makanan tinggi protein, sodium dan oxalate tetapi rendah serat dan kalium seperti buah-buahan sitrus meningkatkan risiko mendapat batu karang. Ia memudahkan pengumpulan mineral-mineral ini membentuk kristal.

5. Seseorang yang terbaring atau tidak bergerak untuk tempoh yang lama.

6. Seseorang yang tinggal dalam cuaca yang panas dan lembap.

7. Menggunakan ubat-ubatan tertentu 

Simptom batu karang :

Pada peringkat awal, iaitu ketika batu masih kecil, ia masih tidak menunjukkan sebarang simptom atau gejala. Batu yang membesar akan menunjukkan simptom seperti 

1. Sakit pada bahagian bawah perut

Kesakitan boleh dirasai apabila batu melalui saluran air kencing. Batu yang tersekat pada saluran kencing akan menghalang pengaliran air kencing. Keadaan ini seterusnya menyebabkan rasa sakit pada bahagian bawah perut.

2. Sukar membuang air kecil

Hal ini disebabkan batu berada dalam saluran kencing dan menghalang pengaliran air kencing. 

3. Ingin membuang air kecil dengan kerap

Batu yang menghalang pengaliran air kencing menyebabkan air kencing dari buah pinggang atau pundi kencing tidak dapat mengalir dengan sepenuhnya ketika membuang air kencing mengakibatkan kencing tidak lawas dan ingin kencing dengan kerap. 

4. Darah dalam air kencing

Keadaan ini dikenali sebagai hematuria. Ia menunjukkan jangkitan telah berlaku dalam salur kencing disebabkan air kencing yang mengandungi toksik tidak dapat mengalir keluar dengan baik daripada badan.

5. Sakit belakang secara tiba-tiba

6. Sakit pinggang berdenyut-denyut

7. Loya & muntah

Rawatan untuk menghilangkan batu karang melalui pembedahan : 

1. Shockwave lithotripsy

Prosedur yang menggunakan ultrasound untuk mengenalpasti kedududan batu karang. Gelombang ultrasound akan dihantar pada batu tersebut untuk memecahkan ke bentuk yang lebih kecil supaya ia dapat dikeluarkan melalui air kencing. 

2. Ureteroscopy

Prosedur ini perlu memasukkan ureteroscope iaitu sejenis telescope panjang dan nipis melalui saluran air kencing ke pundi kencing seterusnya ke dalam buah pinggang. Batu akan dikeluarkan dengan bantuan alat lain atau tenaga laser untuk memecahkannya ke dalam bentuk yang lebih kecil. Kemudian, ia akan dikeluarkan melalui air kencing.

3. Percutaneous nephrolithotomy

Prosedur yang menggunakan nephroscope iaitu sejenis telescope nipis. Ia akan dimasukkan melalui belakang badan ke dalam buah pinggang. Batu itu akan ditarik keluar atau dipecahkan ke dalam bentuk yang lebih kecil menggunakan laser atau tenaga pneumatik.

Tips elak batu karang : 

1. Minum air dengan cukup

Air yang tidak mencukupi dalam badan akan memekatkan air kencing. Keadaan ini seterusnya menyebabkan mineral daripada air kencing akan berkumpul dan membentuk kristal. Kristal ini seterusnya menjadi batu yang dikenali sebagai batu karang. Oleh itu, pengambilan air yang mencukupi setiap hari penting untuk mengembalikan air dalam badan dan mencegah dehidrasi.

Selain itu, air juga penting untuk mengeluarkan batu tersebut melalui air kencing. Biasanya, batu yang kecil mudah dikeluarkan melalui air kencing. Batu yang lebih besar memerlukan prosedur rawatan yang lebih baik. 

Sekurang-kurangnya 8 gelas atau 2 liter air sehari diperlukan untuk melancarkan proses dalam badan. Tetapi, individu yang berada dalam cuaca yang panas atau sedang melakukan senaman fizikal memerlukam air kosong yang lebih.  

2. Pilih makanan rendah oxalate

Kompound oxalate akan berkumpul dengan kalsium membentuk kalsium oxalate yang mengeras dan membentuk kristal. Kristal ini akan menjadi batu yang boleh menghalang pengaliran air kencing yang lancar. 

Oleh itu, pemilihan makanan rendah oxalate yang boleh diambil adalah seperti 

  • Buah : pisang, blueberi, ceri, strawberi, epal, lemon dan peach
  • Sayur : sawi hijau, brokoli, kobis, bunga kobis, cendawan, dan bawang
  • Gandum : nasi putih, tepung jagung
  • Protein : telur, daging, ikan ayam
  • Produk tenusu : yogurt, keju, susu, mentega
  • Minuman : kopi, jus buah
  • Herba dan rempah : kulit kayu manis, lada hitam, kunyit

Manakala makanan tinggi oxalate yang perlu dielakkan untuk mencegah pembentukkan batu karang adalah

  • Buah : oren, kurma, kiwi
  • Sayur : bayam, ubi kentang, keladi, bendi dan lobak merah
  • Kekacang : badam, walnut, kacang macadamia, gajus dan kacang pistachio. 
  • Minuman coklat dan produk berasaskan koko
  • Bijirin : nasi beras perang, tepung jagung, bubur jagung
  • Produk soya : tofu, kacang soya

3. Banyakkan sayur dan buah

Sayur dan buah akan mengurangkan tahap keasidan dalam air kencing. Maka, batu karang sukar membentuk dengan paras asid yang rendah dalam air kencing. Buah yang boleh diambil adalah pisang, blueberi, ceri, strawberi, epal, lemon dan peach. Sayur yang sesuai diambil adalah sawi hijau, brokoli, kobis, bunga kobis, cendawan, dan labu.

4. Kurangkan pengambilan garam 

Garam daripada sumber sodium boleh memekatkan air kencing. Ini seterusnya membentuk batu karang kalsium. Pengambilan garam untuk pesakit batu karang dihadkan pada 6 gram garam sehari untuk mencegah pembentukan batu dalam buah pinggang atau pundi kencing. 

5. Kurangkan protein haiwan

Sumber protein daripada haiwan mengandungi purin (asid urik) yang tinggi. Ini akan meningkatkan risiko batu karang kalsium. Antara makanan yang perlu dikawal adalah kambing, ayam, daging dan telur. 

Konklusi :

Batu karang pada pundi kencing boleh terjadi disebabkan pemekatan air kencing dan pengumpulan bahan-bahan di dalamnya yang membentuk kristal. Batu kristal yang tidak dikeluarkan daripada awal akan membesar dan mengganggu pengeluaran air kencing.

Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi, penulis Fitpedia. Merupakan graduan Dietetik dari UIAM. Minat dalam bidang nutrisi dan kesihatan dan suka berkongsi ilmu kesihatan dan nutrisi kepada masyarakat supaya masyarakat mendapat ilmu yang betul.Di Fitpedia, kita menyediakan info-info berkaitan kesihatan, nutrisi dan tips berkaitan pemakanan.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here