Menu Pantang Tak Sedap! Bosan! Ikan Salmon Lagi Sedap

Ibu berpantang dan menyusu adalah golongan yang perlu menjaga pemakanan. Pemakanan yang sihat dan seimbang amat penting untuk mengembalikan kesihatan mereka selepas bersalin. Malah makanan yang sihat ini akan diserap melalui susu ibu kepada bayi.

Ibu menyusu disarankan untuk menambah 300 ke 500 kalori setiap hari. Ini disebabkan mereka memerlukan tenaga yang lebih untuk menghasilkan susu badan setiap kali menyusu.

Salmon adalah ikan yang kaya dengan pelbagai nutrien yang baik untuk semua golongan. Baik orang dewasa, orang tua sehinggalah ke kanak-kanak. Ia baik untuk dijadikan pilihan alternatif untuk ibu berpantang. Nutrien yang diperoleh ibu akan diserap kepada bayi melalui susu badan.

Nutrisi ikan salmon

1. Protein

Ikan salmon kaya dengan protein. Untuk 100 gram ikan salmon, ia mengandungi 22 – 25 gram protein. Kandungan protein yang terdapat dalam ikan salmon membantu mempercepatkan penyembuhan luka lepas bersalin.

Protein adalah molekul kompleks yang diperlukan oleh sistem badan manusia. Ia membantu dalam pertumbuhan kuku, rambut, tulang dan otot. Ia juga akan memegang tisu dan organ dalam bentuknya serta membantunya untuk bekerja dengan baik dalam sistem badan manusia. Jika terdapat luka pada mana-mana bahagian badan, protein sangat diperlukan untuk menyembuhkan bahagian tersebut.

Protein dihasilkan daripada bahan kimia asid amino. Asid amino ini akan membentuk dan membaiki otot, tulang, enzim dan hormon. Pengambilan protein yang cukup setiap hari penting bukan sahaja untuk ibu, malah untuk bayi yang tengah membesar.

2. Omega-3

Ikan salmon mempunyai asid lemak sihat yang tinggi iaitu omega-3. Ia mengandungi Docosahexaenoic acid (DHA) yang penting untuk perkembangan otak dan mata.

Kandungan nutrisi ini sangat penting untuk bayi. Tetapi bayi baru lahir hanya boleh minum susu dan tidak boleh makan makanan seperti ini. Ini disebabkan sistem badan mereka masih belum matang dan tidak berkembang sepenuhnya. Oleh itu, mereka akan mendapat khasiat ikan ini melalui pemakanan bayi.

Pengambilan makanan tinggi DHA akan diserap melalui susu ibu kepada bayi ketika proses penyusuan. Kepekatan DHA dalam susu ibu telah menunjukkan perkembangan yang positif dalam bayi. Tahap DHA yang optimum penting ketika proses tumbesaran otak bayi. 

3. Zink

Ikan salmon juga mengandungi zink yang tinggi. Zink diperlukan oleh ibu berpantang untuk mencegah serta melawan kemurungan selepas bersalin. Emosi ibu berpantang mudah terganggu disebabkan perubahan hormon yang berlaku dalam badan. Oleh itu, pengambilan makanan tinggi zink diperlukan oleh ibu berpantang.

Selain itu, keperluan zink ketika menyusu lebih penting berbanding ketika mengandung terutamanya pada awal berpantang bukan sahaja untuk ibu, tetapi juga untuk bayi.

Zink juga adalah kompound penting yang diperlukan oleh bayi. Ia akan disalurkan secara tidak langsung daripada ibu kepada bayi melalui susu ibu. 12 mg zink sehari adalah jumlah yang selamat untuk ibu menyusu. 

Kekurangan zink semasa proses tumbesaran akan mengganggu tumbesaran bayi. Justeru itu, makanan tinggi zink seperti salmon sangat disarankan untuk ibu mengandung.

Konklusi:

Ikan salmon sangat baik untuk dijadikan alternatif untuk ibu berpantang. Kandungan nutrisinya sangat baik untuk ibu dan juga bayi. Ia membantu penyembuhan luka ibu serta perkembangan otak bayi. Kaedah memasak yang sihat seperti bakar, sup, steam dan masak tanpa minyak lebih disarankan. Ini kerana makanan berminyak dan bergoreng akan melambatkan proses penyembuhan luka ibu bersalin. Oleh itu, amalkan pemakanan sihat dan seimbang untuk kebaikan ibu dan bayi.

Rujukan:

  1. Nak Luka Jahitan Faraj Cepat Baik Semasa Berpantang, Ibu WAJIB Amalkan 4 Makanan Ini
  2. 5 Nutrients Breast-feeding Moms Should Not Miss
  3. Krebs NF. Zinc supplementation during lactation. Am J Clin Nutr. 1998 Aug;68(2 Suppl):509S-512S. doi: 10.1093/ajcn/68.2.509S.
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi, penulis Fitpedia. Merupakan graduan Dietetik dari UIAM. Minat dalam bidang nutrisi dan kesihatan dan suka berkongsi ilmu kesihatan dan nutrisi kepada masyarakat supaya masyarakat mendapat ilmu yang betul.Di Fitpedia, kita menyediakan info-info berkaitan kesihatan, nutrisi dan tips berkaitan pemakanan.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here