Mengkudu Anugerah Hutan! Manfaat Yang Tiada Tandingan

Herba mengkudu atau nama saintifiknya Morinda Citrifolia Linn dan dalam Bahasa Inggeris pula dikenali sebagai Noni. Ia adalah tumbuhan herba yang datang dari kepulauan tropikal dalam kawasan New Guinea. Herba ini kaya dengan pelbagai khasiat yang kita boleh perolehi.

Orang-orang tua mungkin dan terbiasa mendengar ‘info’ tentang herba mengkudu. Ini kerana herba tersebut banyak digunakan dalam rawatan tradisional turun-temurun. Tetapi dalam kalangan orang-orang muda, kemungkinan ramai antara mereka masih belum tahu tentang khasiat mengkudu yang sebenarnya.

Siapa sangka rasanya yang pahit dan baunya yang kuat, rupa-rupanya mengandungi khasiat seperti karbohidrat, vitamin C, B dan E. Selain karbohidrat dan vitamin, mengkudu juga mengandungi elemen mineral kalsium, kalium, fosforus, natrium dan magnesium. Kandungan antioksidan juga terkandung dalam herba tumbuhan mengkudu yang membantu melawan radikal bebas.

Mengkudu sering dijadikan jus dan dicampur dengan jus buah-buahan yang lain bagi memudahkan individu untuk minum dan hadam. Ini disebabkan mengkudu mempunyai rasa yang pahit dan bau yang tengik. 

Apa lagi manfaat mengkudu?

Tumbuhan herba hutan mengkudu ini telah dimanfaatkan dalam rawatan dan ubat-ubatan tradisional herba hampir ribuan tahun. Malah, ia masih digunapakai sehingga hari ini oleh orang-orang tua, datuk dan nenek kita secara turun-temurun untuk merawat beberapa penyakit kerana khasiatnya yang baik dan sihat. Terdapat beberapa khasiat herba mengkudu yang akan dikongsikan dalam penulisan ini, semoga kita semua dapat ilmu dan manfaat yang berguna.

Memberi kelegaan sakit sendi

Herba mengkudu didapati dapat mengurangkan kesakitan sakit sendi tulang belakang. Penemuan ini didapati di akhir satu kajian yang dilakukan selama satu bulan di mana peserta kajian perlu mengambil sebanyak 15 ml jus mengkudu 2 kali sehari. Kira-kira 60% peserta kajian menunjukkan pengurangan kesakitan terhadap sakit leher dan sendi tulang belakang mereka. Ini membuktikan khasiat mengkudu yang sangat berkesan dalam mengurangkan sakit sendi

Mengandungi elemen anti-radang

Selain itu, mengkudu juga mempunyai potensi untuk merawat penyakit seperti artritis dan osteoartritis. Ini disebabkan dalam herba mengkudu terdapat kandungan flavonoid dan fenol yang membantu mengurangkan keradangan, kemerahan dan bengkak sendi yang disebabkan oleh artritis dan osteoartritis.

Mengkudu dan masalah angin dalam badan

Seterusnya menurut satu artikel penulisan oleh Westendorf dan Mettlich dalam The Benefits of Noni Juice: An epidemiological evaluation in Europe, dinyatakan bahawa mengkudu dapat membantu melancarkan sistem penghadaman. Kita sudah sedia maklum apabila sistem penghadaman terganggu, ia boleh mendorong kepada beberapa komplikasi yang tak selesa iaitu angin berlebihan dalam perut, gastrik, dan GERD. Apabila sistem penghadaman lancar, kita dapat mengelakkan kandungan makanan yang dicerna dan asid daripada mengalir kembali ke esofagus yang akan menyebabkan keradangan. 

Bukan itu sahaja, sistem penghadaman yang tidak lancar mendorong kepada masalah angin banyak atau berlebihan dalam badan. Keadaan ini boleh memberi kesan seperti rasa berdebar-debar, sukar tidur, pernafasan sempit dan nafas sangkut di dada. Tak selesa bukan kalau setiap hari kena lalui masalah macam ini? Lambat-laun akan menjadi masalah besar kepada diri sendiri sekiranya tanda-tanda angin dalam badan diabaikan.

Merehatkan otot usus

Dengan adanya kandungan vitamin, protein, kalsium dan zat besi dalam herba mengkudu, ia dapat membantu melancarkan sistem penghadaman. Bagi sesiapa yang mempunyai masalah untuk membuang air besar atau buasir, herba mengkudu dapat membantu memberi kelancaran pada sistem pencernaan dan penghadaman. Ia juga membantu untuk merehatkan dan membersihkan otot usus.

Kesimpulan

Apa yang dapat dirumuskan daripada penulisan ini ialah herba mengkudu herba yang sangat baik dan kaya dengan manfaat untuk badan. Hal ini kerana ia mengandungi vitamin, antioksidan, mineral, karbohidrat dan protein.

Khasiat herba mengkudu telah diguna pakai dari bertahun dahulu oleh datuk dan nenek moyang kita secara turun-temurun. Malah, amalan ini masih relevan sehingga hari ini kerana khasiat mengkudu tidak hilang ditelan zaman.

Walaubagaimanapun, mendapat nasihat daripada pakar dan doktor adalah dinasihatkan sebelum mengamalkan herba mengkudu atau apa-apa jenis herba di dalam kehidupan seharian.

Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi, penulis Fitpedia. Merupakan graduan Dietetik dari UIAM. Minat dalam bidang nutrisi dan kesihatan dan suka berkongsi ilmu kesihatan dan nutrisi kepada masyarakat supaya masyarakat mendapat ilmu yang betul.Di Fitpedia, kita menyediakan info-info berkaitan kesihatan, nutrisi dan tips berkaitan pemakanan.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here