Kadar kematian di Malaysia meningkat disebabkan beberapa faktor antaranya tidak aktif fizikal, pemakanan tidak sihat dan merokok. Faktor-faktor ini merupakan penyumbang kepada terjadinya penyakit-penyakit berbahaya seperti penyakit jantung, kencing manis dan buah pinggang. Tidak aktif fizikal adalah faktor risiko keempat kematian global selepas darah tinggi, merokok dan diabetes.
Seringkali kita memberi alasan “tiada masa nak bersenam”. Sedangkan kita boleh gunakan masa terluang untuk bersenam walau hanya untuk sekurang-kurangnya 15 ke 30 minit setiap hari dengan aktiviti separa aktif.
Peningkatan jumlah masyarakat yang tak aktif fizikal adalah kerana gaya hidup yang sederhana. Gaya hidup sederhana ini juga boleh disebabkan situasi pekerjaan sekarang yang tidak memerlukan banyak pergerakan ditambah pula dengan masalah Covid yang menyebabkan ramai terpaksa bekerja dari rumah.
Selain itu, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), perubahan penggunaan jenis kenderaan, peningkatan gaya hidup urban serta perkembangan perindustrian mengehadkan pergerakan fizikal seperti berjalan.
Kekal aktif untuk kesihatan tubuh badan
Kekal aktif sangat penting untuk mengelakkan sebarang penyakit. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), 1.9 billion penduduk dunia meninggal disebabkan tidak aktif fizikal. Menurut WHO juga, seseorang yang tidak mencapai tahap aktif fizikal seperti yang disarankan berisiko tinggi sehingga 1.5 kali untuk menghidapi penyakit berkaitan kardiovaskular seperti kencing manis, jantung dan kanser (Panduan Pemakanan Malaysia, 2010).
Kajian pernah dilakukan di Cleveland, Amerika Syarikat dengan 122, 007 peserta pada tahun 1991 hingga 2014 untuk mengetahui penyebab kematian berkaitan kurang bersenam. Hasil kajian membuktikan 12% daripada jumlah itu berisiko mendapat penyakit seperti buah pinggang sebanyak 2 kali ganda selain diabetes dan jantung. Hal ini terjadi disebabkan kurang bersenam.
Kajian ini juga membuktikan individu kuat bersenam tidak menghadapi risiko kematian mengejut. Malah, aktiviti senaman dengan kadar tinggi memiliki tahap kematian yang rendah.
Kekal sihat dengan bersenam
Sebagai permulaan, adalah disarankan untuk bersenam untuk beberapa minit sehari dengan aktiviti ringan dan menambah kapasiti dan masa mengikut kekuatan diri masing-masing.
Menurut buku Panduan Pemakanan Malaysia (2010), gaya hidup aktif secara saintifiknya bermaksud pergerakan badan yang dihasilkan oleh otot tulang yang menghasilkan tenaga.
Gaya hidup tidak aktif bermaksud keadaan apabila pergerakan badan sangatlah sedikit dan tenaga yang digunakan ialah tenaga untuk rehat sahaja yang dikenali sebagai “resting metabolic rate” (Panduan Pemakanan Malaysia, 2010). Contohnya menonton televisyen, membaca, bekerja dihadapan komputer, bercakap di telefon, memandu kenderaan, makan dan meditasi.
Bersenam 150 minit seminggu
Pelbagai aktiviti boleh dilakukan setiap hari.
Antaranya ialah
- naik turun tangga
- berjalan pantas
- berjoging
- senamrobik
- menari
- berbasikal
- berenang
Aktiviti ini boleh dilakukan pada bila-bila masa, pada waktu pagi atau petang.
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia dalam buku Panduan Pemakanan Malaysia (2010), kita disarankan untuk melakukan aktiviti sekurang-kurangnya 150 minit seminggu dengan kadar kapasiti sederhana.
Bersenam 150 minit seminggu boleh dipecahkan kepada 30 minit sehari untuk tempoh 5 hari seminggu sudah memadai untuk melakukan aktiviti senaman kesihatan.
Kesimpulannya, kekal aktif walaupun sekadar 15 – 30 minit sehari, untuk mengelakkan risiko penyakit-penyakit berbahaya dan peningkatan kematian di awal usia.