Manjakani Bukan Buah. Ketahui 7 Khasiat Menarik Di Sebalik Manjakani

Pernah dengar tak herba manjakani? Kalau orang tua-tua tu memang famous lah dengan herba-herba semua ni. Lebih-lebih lagi penggemar jamu. 

Selalu orang buat jamu guna buah-buahan kan? Tapi ada yang lagi mengejutkan. Sebenarnya, manjakani adalah bengkak atau radang disebabkan telur yang disuntik oleh serangga gall wasp pada pokok oak. Ini dikongsi oleh seorang pakar kimia iaitu Dr Che Puteh Osman. 

Manjakani dikenali dengan nama saintifik Quercus infectoria atau Quercus lusitanica. Di India, ia dikenali sebagai Majuphal. Dalam bahasa Inggeris pula, ia dipanggil Gall oak atau Dyers’ Gall Magic Nut. 

Ia berasal dari pokok oak. Tetapi bukan buah asli dari pokok jenis ini sama ada Allepo Oak atau Lusitanica oak. Herba ini datangnya dari Timur tengah seperti Turki, Iran, Iraq, Syria dan Lebanon. 

Proses menghasilkan manjakani

Di Malaysia, ia dituai daripada pokok Mempening. Ia adalah pokok renek dengan ketinggian 1.8 meter. Buah ini hasil daripada tindak balas pokok ini dengan sejenis tebuan Cynips gallae tinctoria.

Telur daripada serangga ini akan menetas di dalam bengkak ini dan keluar melalui lubang yang dibuat pada buah ini. Sebab itu, herba ini mempunyai lubang kecil padanya. 

Proses pembengkakan ini menghasilkan tannin yang sangat tinggi, antaranya gallic acid, ellagic acid dan methyl gallate. Tannin digunakan untuk mengurangkan keradangan dan kemerahan pada kulit. Dianggarkan hampir 50-70% gallotannins, 3% gallic acid dan ellagic acid di dalam ekstrak manjakani.

Buah ini berwarna kelabu atau putih apabila kering. Kulitnya mempunyai tekstur berkerutu dan bersaiz seperti biji guli.

Nutrisi manjakani:

Herba manjakani mengandungi mineral yang tinggi. Terdapat kajian menyatakan kandungan karbohidrat dan protein dalam herba ini tetapi, ia perlu kajian yang lebih mendalam. 

Zat besi : 3587mg/L

Magnesium : 20,933mg/L

Kalium : 223,633 mg/L

Kalsium : 12,700 mg/L

Zink : 329mg/L

Khasiat:

Herba ini telah digunakan secara meluas dalam bidang perubatan. Di India, ia digunakan sebagai serbuk untuk mencuci gigi, menguatkan gusi dan meredakan sakit gigi.

1. Cepat sembuh luka (antibakteria)

Kandungan tannin yang tinggi membantu menghalang jangkitan bakteria. Justeru itu, ia membantu mempercepatkan penyembuhan luka. 

Kajian dilakukan pada tikus kajian yang mengalami ulser disebabkan diabetes serta pesakit diabetes dengan luka di kaki (foot ulcer). Hasil menunjukkan larutan ekstrak manjakani yang digunakan untuk bersihkan luka mempercepatkan penyembuhan luka.

2. Kurangkan masalah pada bahagian mulut

Kajian dilakukan untuk mengetahui kesan manjakani dalam merawat masalah gingivitis. Ubat gigi mengandungi manjakani diberi kepada peserta kajian. Keputusan menunjukkan mereka yang menggunakan ubat gigi ini menunjukkan pengurangan plak dalam mulut dan simptom sakit gusi. 

Gingivitis adalah penyakit berkaitan keradangan, bengkak dan kemerahan pada bahagian gusi. Ia biasanya terjadi disebabkan pengumpulan plak atau bakteria pada gigi. Keadaan yang tidak dirawat dari awal boleh menyebabkan kehilangan gigi. 

Penggunaan ubat gigi dengan kandungan manjakani juga terbukti dapat mengurangkan risiko pertumbuhan bakteria anaerobik yang boleh menyebabkan jangkitan pada mulut.

3. Anti-bakteria dan anti-kulat

Manjakani mempunyai sifat anti-bakteria iaitu melawan kehadiran bakteria tertentu seperti Helicobacter pylori, methicillin resistant Staphylococcus aureus, Escherichia coli dan Pseudomonas aeruginosa. Ini kerana dalam herba ini terdapat tannin dan gallic acid yang bersifat anti-bakteria. 

Selain itu, bahan aktif daripada herba ini juga bersifat anti-kulat. Ia boleh mencegah Candida albicasn, C. krusei dan C. glabrata daripada menjangkiti badan manusia. 

Sifat anti-kulat ini membantu mencegah jangkitan pada faraj wanita yang boleh menyebabkan masalah keputihan. Jangkitan ini terjadi disebabkan wujudnya bakteria Candidiasis Sp.

4. Antioksidan

Antioksidan sama seperti anti-penuaan. Ia bertanggungjawab melindungi diri daripada kerosakan sel yang disebabkan radikal bebas yang tidak efektif dalam badan. 

Antioksidan yang dihasilkan oleh badan akan berkurang dengan peningkatan usia. Oleh itu, ia perlu diambil daripada sumber makanan untuk menampung kekurangan antioksidan.

Radikal bebas adalah hasil daripada metabolisme dalam badan. Ia dijadikan secara semulajadi apabila badan menukarkan makanan yang dimakan menjadi tenaga dan juga semasa bersenam. Radikal bebas ini boleh terhasil disebabkan faktor persekitaran seperti merokok, pencemaran udara dan pendedahan kepada cahaya matahari.

Radikal bebas ini penting untuk badan tetapi kuantiti yang berlebihan akan menyebabkannya menyerang sel-sel dalam badan.

Manjakani mengandungi fenol dan tannin iaitu sejenis antioksidan. Antioksidan penting untuk mengelakkan radikal bebas daripada menyerang sel-sel dalam badan seterusnya boleh menyebabkan pelbagai komplikasi penyakit. 

Kajian telah menunjukkan ekstrak manjakani boleh meningkatkan paras antioksidan dalam haiwan kajian. Oleh itu, ia juga berupaya meningkatkan antioksidan dalam badan manusia.

5. Mengetatkan faraj wanita

Herba ini telah digunakan secara meluas untuk dalaman dan luaran wanita. Kajian telah membuktikan gel dengan ekstrak manjakani boleh mengetatkan faraj, meningkatkan cecair faraj dan mengatasi masalah kekeringan faraj. 

Antioksidan, anti-kulat dan anti-bakteria daripada manjakani membantu masalah ini.

6. Mengawal gula dalam darah

Diabetes atau kencing manis adalah keadaan apabila paras gula dalam darah tinggi. Ini terjadi disebabkan insulin tidak mencukupi atau insulin yang dihasilkan tidak dapat bertindak balas dengan gula (glukosa) dalam darah. 

Dengan manjakani, ia mengandungi bahan aktif yang bertindak sebagai anti-diabetik. Ia membantu mengawal dan menurunkan paras gula dalam darah. Dengan mengamalkan manjakani, ia membantu menstabilkan bacaan gula untuk berada di paras normal.

7. Kuatkan tulang

Seiiring dengan peningkatan usia, kekuatan tulang akan semakin merosot. Kalsium adalah komponen penting dalam membentuk sel-sel tulang dan membantu menguatkan tulang. 

Manjakani mengandungi kalsium yang tinggi. Kandungan kalsium ini membantu menguatkan tulang dan mencegah masalah tulang rapuh. Terdapat kajian yang membuktikan manjakani membantu menguatkan tulang dan mencegah masalah osteoporosis. Oleh itu, boleh membantu mengekalkan kekuatan tulang.

Konklusi

Manjakani baik untuk kesihatan wanita dan lelaki. Kandungan mineral dan antioksidan yang tinggi membantu mencegah pelbagai penyakit.

Rujukan

  1. 10 Khasiat Manjakani Yang Anda Perlu Tahu
  2. Manjakani Bukan Sejenis Buah, Tapi Keradangan Atau Bengkak Disebabkan Telur Yang Disuntik Serangga
  3. 5 BENEFITS OF MANJAKANI FOR WOMEN HEALTH
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi, penulis Fitpedia. Merupakan graduan Dietetik dari UIAM. Minat dalam bidang nutrisi dan kesihatan dan suka berkongsi ilmu kesihatan dan nutrisi kepada masyarakat supaya masyarakat mendapat ilmu yang betul.Di Fitpedia, kita menyediakan info-info berkaitan kesihatan, nutrisi dan tips berkaitan pemakanan.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here