Kolesterol Tak Mengenal Usia!

Kolesterol adalah lipid yang berwarna putih kekuningan atau lemak yang berada pada setiap sel tubuh. Ia diperlukan oleh badan untuk memastikan sel dan organ berfungsi dengan baik, untuk pengeluaran hormon, vitamin dan pencernaan. 

Kolesterol ini boleh didapati daripada 2 sumber iaitu 80% dihasilkan daripada organ hati dan 20% daripada sumber makanan harian.

Jenis-jenis kolesterol:

High-density lipoprotein (HDL)

HDL kolesterol dikenali sebagai kolesterol baik. Ia akan membawa kolesterol jahat dan bahan tidak sihat daripada sel-sel badan ke hati untuk diproses dan dicerna.

Low-density lipoprotein (LDL)

LDL kolesterol juga dikenali sebagai kolesterol jahat. Ia akan membawa kolesterol ke sel-sel badan yang memerlukannya. Kolesterol yang berlebihan pada sel badan akan menyebabkan pengumpulan pada dinding saluran darah arteri. Apabila saluran arteri tersekat, darah dan oksigen tidak dapat di bawa ke jantung, otak dan seluruh badan. Ini akan menyebabkan terjadinya penyakit jantung dan angin ahmar (strok). 

Trigliserida

Lemak jenis ini akan menyimpan tenaga berlebihan daripada makanan yang diambil. 

Gabungan trigliserida, kadar LDL kolesterol tinggi dan HDL kolesterol rendah akan meningkatkan risiko mendapat angin ahmar (strok) dan penyakit jantung. Masalah tinggi kolesterol boleh terjadi dalam kalangan orang berumur. Malah, golongan muda juga ramai yang menghadapi masalah ini.

Faktor tinggi kolesterol

Pelbagai faktor yang mendorong terjadinya peningkatan paras kolesterol dalam darah. Antaranya ialah pemakanan tidak sihat, berlebihan berat badan, dan gaya hidup tidak sihat. Selain itu, terdapat juga individu yang mengalami masalah tinggi kolesterol walaupun mempunyai berat badan normal dan kurus. Keadaan ini dipanggil familial hypercholesterolemia.

i) Pemakanan tidak sihat

Pemakanan yang tidak sihat seperti organ dalaman haiwan adalah contoh makanan tinggi kolesterol. Tetapi makanan ini tidak terlalu memberi kesan jika dibandingkan dengan makanan dengan lemak tepu yang tinggi. Lemak tepu berpunca daripada makanan seperti mentega, lemak pada daging, susu, keju, kek dan biskut krim.

ii) Obesiti

Berat badan berlebihan akan meningkatkan lemak-lemak dalam badan terutamanya di sekitar organ. Individu dengan berat badan berlebihan atau obesiti mempunyai paras LDL kolesterol dan trigliserida yang tinggi dan HDL kolesterol yang rendah. Keadaan ini jika tidak dikawal akan meningkatkan risiko mendapat penyakit berkaitan jantung dan strok.

iii) Penyakit

Individu yang mempunyai penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, penyakit buah pinggang, kerosakkan hati dan kelenjar tiroid tidak aktif berisiko untuk mendapat bacaan paras kolesterol tinggi.

iv) Genetik

Keadaan tinggi kolesterol disebabkan faktor genetik dikenali sebagai familial hypercholesterolemia. Ini ada penyakit biasa yang hanya dialami oleh 1 daripada 220 individu dewasa. Biasanya pesakit ini akan mengalami kolesterol tinggi sejak dilahirkan disebabkan badan mereka tidak dapat memproses LDL kolesterol dengan baik. Mereka mempunyai 13 kali ganda risiko mendapat penyakit jantung.

v) Merokok

vi) Sejarah keluarga dengan penyakit jantung dan strok

Kaedah mencegah paras kolesterol tinggi:

1. Pemakanan kaedah DASH

Pemakanan dengan plan diet Dash menyarankan :

  • Banyakkan sayur-sayuran, buah-buahan dan bijirin penuh (wholegrain)
  • Memilih produk tenusu rendah lemak atau tiada lemak, ikan, ayam, kekacang dan minyak sayuran. 
  • Hadkan makanan tinggi lemak tepu seperti daging merah, produk tenusu penuh lemak, dan minyak tropika seperti minyak kelapa serta minyak kelapa sawit. 
  • Hadkan makanan dan minuman tinggi gula

Buah-buahan dan sayur-sayuran kaya dengan vitamin, mineral dan serat. Nutrien ini penting untuk mengawal paras kolesterol dalam darah. Sayur-sayuran tidak mengandungi kalori. Ia boleh diambil dalam kuantiti yang banyak. 

Sayur, buah dan bijirin penuh dapat memberi rasa kenyang dengan cepat dan lama. Oleh itu, pengambilan makanan ini secara konsisten dapat mengawal berat badan seterusnya mengawal paras kolesterol dalam darah. 

2. Pemakanan sihat dan seimbang

Makanan yang mengandungi lemak tepu yang tinggi perlu dikurangkan. Contohnya, makanan berproses, makanan bergoreng, mentega, ghee, krim, kek, biskut, dan minyak kelapa sawit. Makanan tinggi lemak tepu akan menyebabkan pembentukkan plak pada dinding saluran darah yang akan menghalang peredaran darah dan oksigen ke seluruh badan. 

Makanan ini boleh diganti dengan makanan tanpa lemak tepu seperti makanan kaya dengan omega-3 seperti ikan kembung, ikan tenggiri, salmon, tuna, avocado dan kekacang.

Minyak yang lebih sihat dapat mengurangkan pembentukkan plak pada saluran darah. Minyak kelapa sawit boleh diganti dengan minyak bunga matahari, minyak kacang, minyak jagung dan minyak zaitun. Walaubagaimanapun, minyak ini harus digunakan dengan kaedah yang betul.

3. Melakukan aktiviti fizikal

Kekal aktif dan kerap melakukan aktiviti fizikal akan meningkatkan paras HDL kolesterol dalam badan dengan merangsang badan untuk menggerakkan lemak yang berkumpul ke hati untuk diproses. 

Obesiti akan meningkatkan jumlah kolesterol jahat (LDL kolesterol) dalam darah. Oleh itu, senaman dapat membantu menurunkan berat badan serta mengekalkan berat badan sihat. Selain itu, bacaan darah tinggi juga dapat dikawal dengan senaman fizikal secara konsisten. 

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menyarankan 150 minit seminggu untuk melakukan aktiviti fizikal dengan kadar sederhana. Pelbagai aktiviti boleh dilakukan antaranya berbasikal, berjalan, berenang dan “skipping”.

4. Kurang merokok

Bahan kimia yang terdapat dalam rokok iaitu acrolein akan menghalang HDL kolesterol membawa lemak-lemak ke hati. Ini akan menyebabkan paras kolesterol tinggi dan menyempitkan saluran darah arteri. Keadaan ini dipanggil atherosclerosis.

5. Ubat-ubatan

Pesakit yang tidak boleh mengawal paras kolesterol melalui pemakanan dan gaya hidup akan diberikan ubat. Antara ubat untuk mengawal kolesterol adalah statin, aspirin dan ezetimibe. Ubat-ubatan ini haruslah mendapat pengesahan doktor dan pegawai farmasi yang bertauliah.

Konklusi:

Kolesterol adalah komponen yang diperlukan oleh badan untuk membaiki dan membantu fungsi badan untuk bekerja dengan efisien. Kadar kolesterol yang tinggi dan tidak dikawal akan meningkatkan risiko pelbagai penyakit seperti jantung dan strok. 

Rujukan:

  1. HDL (Good), LDL (Bad) Cholesterol and Triglycerides
  2. High cholesterol
  3. What is Cholesterol?
  4. Kurus Tak Semestinya Sihat! Ini Cara Nak Tahu Badan Tinggi Kolesterol Atau Tidak, (Lihat Mata Anda!)
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi, penulis Fitpedia. Merupakan graduan Dietetik dari UIAM. Minat dalam bidang nutrisi dan kesihatan dan suka berkongsi ilmu kesihatan dan nutrisi kepada masyarakat supaya masyarakat mendapat ilmu yang betul.Di Fitpedia, kita menyediakan info-info berkaitan kesihatan, nutrisi dan tips berkaitan pemakanan.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here