Khasiat Saderi Idaman Seantero Dunia

Saderi juga dikenali dengan nama saintifiknya Apium graveolens atau celery dalam bahasa Inggeris. Ia daripada keluarga Apiaceae iaitu keluarga yang sama seperti lobak merah, daun ubi, dan daun parsley. Ia adalah sejenis sayuran. Mempunyai batang yang rangup bersama kandungan air yang banyak. Ia sesuai dimakan mentah dan dimasak bersama stew atau sup. 

Ia adalah tumbuhan renek dengan ketinggian 30 – 45 cm. Ia ditanam secara meluas diseluruh dunia termasuklah di Eropah, Amerika, Afrika dan Asia.

Pelbagai resepi masakan boleh dicuba dengan daun ini. Mengukus daun saderi selama 10 minit tidak akan menghilangkan antioksidan daripada daun ini. Tetapi, merebus akan menyebabkan kehilangan sedikit nutrien daripadanya.

Daun ini juga sesuai untuk dibuat smoothie iaitu jus campuran daun saderi bersama beberapa bahan lain seperti timun, asparagus, apple, bayam, dan lemon.

Nutrisi daun saderi:

Daun saderi kaya dengan kandungan serat yang tinggi. Bukan itu sahaja, ia juga kaya dengan pelbagai vitamin dan mineral penting yang diperlukan oleh badan untuk berfungsi secara normal. Hanya dengan sebatang daun saderi, ia mengandungi vitamin K, folate, vitamin A, potassium serta vitamin C.

1 cawan atau 100gram daun saderi dipotong dadu mengandungi 1.6gram serat. Serat ialah makanan sukar untuk dicerna. Ia akan diproses oleh badan dan menghasilkan bahan berserabut yang tidak boleh dihadam oleh badan. Bahan ini membantu melancarkan makanan yang dicerna untuk dihantar dari perut ke usus seterusnya dicerna keluar. Dengan ini, daun ini penting untuk membantu mengurangkan risiko sembelit dan masalah pencernaan.

Khasiat saderi untuk sistem badan:

1. Antioksidan

Saderi mengandungi antioksidan yang luar biasa. Antara antioksidan yang terdapat dalam daun ini ialah polyphenols, vitamins C and E, beta-carotene, kuprum, zink, selenium dan magnesium. 

Antioksidan diperlukan oleh badan untuk melindungi badan daripada kerosakkan sel disebabkan radikal bebas. Radikal bebas terhasil sendiri dalam badan tetapi beberapa faktor sekeliling meningkatkan penghasilan radikal bebas ini. Antara faktornya ialah merokok, makanan bergoreng dan bahan kimia seperti racun perosak dan pencemaran udara. 

Oleh itu, antioksidan diperlukan untuk melindungi sel-sel badan daripadan kerosakan. Antara contoh penyakit berlaku disebabkan radikal bebas ialah kencing manis, kanser, penyakit jantung serta Alzheimer’s. Penyakit ini jika tidak dikawal dari awal akan meningkatkan risiko mendapat komplikasi penyakit yang lebih teruk.

Journal of Evidence Based Complimentary and Alternatives Medicines (2017) menganalisis komponen antioksidan dalam saderi. Hasil kajian membuktikan saderi termasuklah batang, biji dan daun mempunyai ciri-ciri anti-kulat dan anti-radang. Keadaan ini akan membantu mencegah penyakit kronik dalam kalangan tikus kajian seperti penyakit berkaitan sistem pencernaan. Justeru itu, saderi sesuai diamalkan untuk mengurangkan risiko penyakit.

2. Penghadaman

Saderi kaya dengan serat dan air. Secawan saderi mengandungi 95% air dan 5 gram serat. Kandungan air dan serat yang tinggi membantu melancarkan penghadaman. Anti-radang dan antioksidan daripada saderi adalah perlindungan utama kepada saluran sistem pencernaan serta perut.

Pectin yang terdapat dalam saderi serta apiuman iaitu sejenis kompound daripada daun ini menunjukkan pengurangan pada serangan ulser perut serta meningkatkan perlindungan pada dinding perut. Tambahan lagi, apiuman membantu merangsang pengeluaran asid urik daripada badan.

Pectin adalah serat dalam bentuk jelly kerana ia adalah serat mudah larut. Serat ini akan menjadi jelly apabila bercampur dengan air dalam sistem penghadaman. Dengan ini, ia membantu melembutkan najis, mengurangkan masa najis berada di dalam usus dan mencegah masalah sembelit. 

Selain itu, saderi juga membantu mencegah cirit-birit dengan menyerap air dan mengeraskan najis dengan serat kasar (roughage).

Selain itu, serat mudah larut juga merupakan prebiotik iaitu sumber makanan untuk bakteria baik dalam usus. Bakteria ini diperlukan untuk membantu badan manusia menghadam makanan yang dimakan dan menyerap nutrien daripada makanan tersebut ke bahagian-bahagian yang memerlukan. Tambahan pula, bakteria ini juga akan menghasilkan beberapa vitamin yang diperlukan oleh badan seperti asid folik, niacin, vitamin B6 dan vitamin B12. 

Kajian telah dilakukan keatas 80 orang peserta kajian dengan masalah penghadaman yang perlahan. Mereka diberi makan 24gram pectin setiap hari selama 4 minggu. Hasil kajian menunjukkan peningkatan dalam bakteria baik dalam usus serta pengurangan masalah sembelit. 

Vitamin B daripada saderi diperlukan oleh badan untuk membantu mengurangkan masalah penghadaman perut. Setiap vitamin B mempunyai fungsi tersendiri. Tetapi, kombinasi vitamin B membantu lemak dan protein untuk dicerna dengan baik oleh sistem penghadaman untuk berfungsi dengan baik. 

3. Gout 

Saderi mengandungi luteolin iaitu sejenis antioksidan yang membantu mengurangkan penghasilan asid urik. Asid urik berlebihan akan menyebabkan pengumpulan pada sendi-sendi yang akan memberi rasa sakit. Dalam 1 kajian in vitro, luteolin terbukti dapat menghalang xanthine oxidase. Ia adalah enzim yang terdapat dalam penghasilan asid urik. Pengurangan penghasilan asid urik dengan bantuan luteolin membantu mengurangkan kekerapan serangan gout. 

3-n-butylphthalide (3nB) kompound daripada saderi membantu mencegah keradangan. Dalam 1 kajian terbaru, penyelidik menyatakan, mendedahkan sel badan kepada 3nB akan mengurangkan tekanan oksidatif dan keradangan. Oleh itu, saderi bagus untuk mengurangkan pengumpulan asid urik berlebihan pada sendi.

RISIKO

Ibu mengandung disarankan untuk mengelakkan pengambilan saderi sama ada dalam bentuk jus atau makanan. Ini kerana ia mempunyai kompound yang akan merangsang rahim. Keadaan ini akan menyebabkan pendarahan. Biasanya ransangan rahim digunakan ketika proses bersalin untuk membuka rahim dan memberi ruang kepada bayi untuk keluar.

Konklusi

Saderi bukan sahaja kaya dengan serat, malah ia juga mengandungi pelbagai vitamin dan mineral yang penting untuk tubuh badan. Khasiatnya memberi kelebihan kepada individu yang mengamalkan saderi. Justeru itu, ia baik untuk dimasukkan dalam menu harian.

Rujukan

  1. Health benefits and risks of celery
  2. 5 Healthy Benefits of Adding Celery to Your Diet
  3. Vieira, A. T., Galvão, I., Macia, L. M., Sernaglia, E. M., Vinolo, M. A. R., Garcia, C. C., … & Teixeira, M. M. (2017). Dietary fiber and the short‐chain fatty acid acetate promote resolution of neutrophilic inflammation in a model of gout in mice. Journal of leukocyte biology101(1), 275-284
  4. What Is Pectin? A Unique Fiber Explained
  5. Li, S., Li, L., Yan, H., Jiang, X., Hu, W., Han, N., & Wang, D. (2019). Anti‑gouty arthritis and anti‑hyperuricemia properties of celery seed extracts in rodent models. Molecular medicine reports20(5), 4623–4633. https://doi.org/10.3892/mmr.2019.10708

Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi, penulis Fitpedia. Merupakan graduan Dietetik dari UIAM. Minat dalam bidang nutrisi dan kesihatan dan suka berkongsi ilmu kesihatan dan nutrisi kepada masyarakat supaya masyarakat mendapat ilmu yang betul.Di Fitpedia, kita menyediakan info-info berkaitan kesihatan, nutrisi dan tips berkaitan pemakanan.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here