Ketahui 7 Khasiat Kunyit Hitam Yang Mengejutkan Pengamal Perubatan

Kunyit merupakan sejenis rempah daripada pokok kunyit, sering kali digunakan dalam masakan-masakan Asia Tenggara. Ia dijadikan perasa dan pewarna dalam masakan seperti kari, goreng dan masak lemak. Akarnya digunakan secara meluas dalam perubatan terutamanya perubatan tradisional.

Kunyit hitam

Kunyit hitam juga dikenali sebagai Curcuma Caesia. Ia mempunyai daun berjalur ungu kehitaman di bahagian tengah. Ia berasal dari kawasan timur laut dan tengah India. Mempunyai rizom (ubi) berwarna hitam kebiru-biruan atau coklat gelap. Tumbuhan herba ini tumbuh sehingga 0.5m – 1.0m tinggi di kawasan iklim tropika di serata dunia. Ia adalah tumbuhan yang kurang dikenali walaupun mempunyai khasiat yang banyak.

Pokok kunyit hitam

Kunyit hitam mempunyai kurkumin yang lebih tinggi berbanding kunyit kuning dan putih yang penting dalam perubatan. Ia juga mempunyai ubi dengan bau yang manis dan rasanya yang pahit sesuai untuk digunakan dalam perubatan tradisional.

Kunyit ini telah menjadi penawar untuk pelbagai penyakit kerana ciri-cirinya seperti :

  • Anti-kulat
  • Mengembangkan otot dan anti-asma
  • Antioksidan
  • Anti-bakteria
  • Anti-ulcer
  • Anti-radang 
  • Memberi kesan analgesik
  • Mengurangkan sawan

Khasiat kunyit hitam:

1. Mengurangkan buasir

Kunyit hitam telah digunakan digunakan secara tradisional untuk merawat pelbagai penyakit. Rizom (ubi) daripada kunyit ini digunakan untuk merawat buasir. Ia mempunyai kesan anti-radang yang dapat mengurangkan kesakitan dan bengkak disebabkan penyakit ini dan dapat mengelakkan buasir daripada bertambah teruk.

Dalam 1 kajian yang dilakukan menunjukkan kunyit hitam menunjukkan aktiviti anti-radang yang tinggi yang boleh mengurangkan kesakitan akibat buasir. Ini dibuktikan lagi dengan kajian yang menyatakan ubi (rizom) kunyit hitam mempunyai bahan bioaktif yang membantu merawat buasir dan mengurangkan rasa sakit pada tempat terlibat.

2. Memberi kesan analgesik

Kunyit hitam juga terbukti dapat memberi kesan analgesik pada badan iaitu melegakan kesakitan. Banyak kajian telah membuktikan kesan analgesik kunyit ini. Satu kajian yang dijalankan keatas model haiwan menunjukkan kesakitan berkurangan apabila ekstrak kunyit hitam diletakkan pada kesan sakit tersebut.

Kajian lain yang dilakukan keatas peserta kajian dengan kesakitan akut menunjukkan ekstrak kunyit hitam melegakan kesakitan dan demam dengan ciri-ciri analgesik dan antipiretik. Kesakitan aku adalah kesakitan yang berlaku secara tiba-tiba, menyakitkan dan dalam tempoh kurang daripada 6 bulan. Selain itu, kunyit ini sering kali digunakan untuk merawat sakit gigi. Dengan ini, terbukti kunyit hitam boleh melegakan kesakitan yang berlaku.

3. Merawat masalah paru-paru dan asma

Kajian membuktikan kunyit hitam sangat efektif mengembangkan saluran pernafasan yang sempit dan tersumbat untuk mengurangkan masalah asma. Kesan anti-radangnya dapat melindungi paru-paru daripada serangan bakteria, kulat dan virus di saluran pernafasan dan dalam paru-paru.

4. Mengurangkan risiko sakit jantung

Penyakit jantung boleh terjadi disebabkan pelbagai faktor antaranya tekanan darah serta paras kolesterol yang tinggi. Kajian mendapati curcumin dalam kunyit dapat mengurangkan risiko sakit jantung kerana ia mempunyai antioksidan yang tinggi. Ia membantu lapisan endotelial (dinding salur darah) untuk mengawal tekanan darah, pembentukkan darah beku dan penyebab-penyebab sakit jantung. Kunyit ini membantu mengembangkan otot di saluran darah dan jantung, seterusnya melancarkan peredaran darah. 

5. Mengelakkan perkembangan sel barah (kanser)

Kunyit hitam merupakan agen anti-kanser kerana ia mempunyai bahan anti-karsinogenik. Kajian telah membuktikan kurkumin dalam kunyit dapat menyumbang kepada kematian sel barah dan mengurangkan pertumbuhan saluran darah baru dalam ketumbuhan (tumor). Kurkumin ini juga dapat menghalang sel kanser daripada berkembang yang boleh menyebabkan pelbagai jenis kanser antaranya kanser paru-paru.

6. Mengawal berat badan dan gula dalam darah

Berat badan dan lemak berlebihan dalam badan boleh mengurangkan sensitiviti atau keupayaan insulin untuk bertindak balas dengan gula dalam darah. Kunyit hitam membantu memecahkan lemak-lemak yang tersimpan dalam badan selain melancarkan pencernaan. Pengurangan lemak dalam badan dapat meningkatkan sensitiviti insulin terhadap glukosa dalam darah. Ini akan mengurangkan risiko mendapat kencing manis dan menstabilkan glukosa dalam darah kepada penghidap kencing manis.

7. Melegakan gastrik dan ketidakselesaan perut

Pengambilan ekstrak kunyit hitam membantu mengeluarkan angin daripada badan, dapat melegakan kembung perut dan gastrik. Ini dibuktikan dengan kajian yang dilakukan menunjukkan ekstrak kunyit hitam dapat mengurangkan rembesan asid gastrik dari perut. Kajian lain juga menunjukkan ekstrak kunyit hitam mengurangkan jumlah asid gastrik dan meningkatkan penghasilan lendir gastrik untuk melindungi dinding perut daripada hakisan asid.

Selain itu, ekstrak kunyit hitam juga membantu mengurangkan ulser pada dinding perut yang boleh terjadi disebabkan hakisan daripada asid gastrik. Ini dibuktikan dengan kajian yang dilakukan ke atas haiwan kajian iaitu ekstrak kunyit hitam menunjukkan aktiviti anti-ulser iaitu berupaya mencegah atau merawat ulser di dinding perut.

Ekstrak kunyit hitam juga membantu melancarkan pencernaan dan melegakan ketidakselesaan perut. Pencernaan yang lancar mengurangkan angin berkumpul dalam sistem pencernaan yang menyebabkan ketidakselesaan. Dalam 1 kajian menyatakan mengambil sedikit ubi kunyit hitam membantu memberi kelegaan kepada masalah ketidakhadaman atau sakit perut. Rebusan air kunyit hitam boleh merawat cirit-birit. Dengan ini, ekstrak kunyit hitam membantu melegakan masalah gastrik dan sistem pencernaan.

Konklusi

Kunyit hitam mengandungi khasiat yang banyak dalam merawat penyakit. Walaubagaimanapun, ia haruslah diambil dalam kadar sederhana dan sesuai dengan fisiologi tubuh badan manusia. 

Adakah anda tahu di mana kita boleh dapatkan kunyit hitam ini?

Rujukan

  1. Tamrakar, Vinita & Arora, Charu. (2019). Curcuma caesia: Present status and future prospect as herbal drug. Progressive Agriculture. 19. 258. 10.5958/0976-4615.2019.00036.X.
  2. Joseph, Dhanish & VENUGOPAL, ARYA. (2018). MEDICINAL PROPERTIES OF BLACK TURMERIC: A REVIEW.
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi, penulis Fitpedia. Merupakan graduan Dietetik dari UIAM. Minat dalam bidang nutrisi dan kesihatan dan suka berkongsi ilmu kesihatan dan nutrisi kepada masyarakat supaya masyarakat mendapat ilmu yang betul.Di Fitpedia, kita menyediakan info-info berkaitan kesihatan, nutrisi dan tips berkaitan pemakanan.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here