Kencing Kerap Bukan Saja Simptom Kencing Manis.. Ini 5 Jenis Diabetes Insipidus Perlu Ambil Tahu

Diabetes insipidus vs diabetes mellitus

Namanya hampir serupa, kedua-duanya adalah diabetes (kencing manis). Namun begitu, diabetes insipidus tidak menyebabkan peningkatan paras gula dalam darah seperti diabetes mellitus. Paras gula adalah normal. Tetapi buah pinggang tidak dapat memekatkan urin dengan baik. Kesannya, individu dengan masalah ini akan menghasilkan air kencing berlebihan.

Diabetes mellitus adalah paras gula dalam darah tinggi daripada paras normal. Buah pinggang akan mengeluarkan gula berlebihan dalam badan melalui air kencing. 

Penyakit ini sangat jarang berlaku. Menurut statistik, 1 daripada 25,000 individu seluruh dunia mendapat penyakit ini. Ia adalah keadaan di mana badan menghasilkan air kencing dengan banyak (poliuria).

Kenapa diabetes insipidus?

Perkataan diabetes bermaksud “untuk dilalui” yang merujuk kepada kencing berlebihan. Insipidus bermaksud “air kencing tiada rasa”. Manakala mellitus adalah “rasa manis” yang merujuk kepada kandungan gula dalam badan.

Bagaimana diabetes insipidus terjadi?

Penyakit ini terjadi disebabkan masalah pada hormon vasopressin (AVP) iaitu sejenis hormon anti-diuretik. Hormon ini bertanggungjawab mengawal air dalam badan. Ia dihasilkan oleh sel saraf di otak yang dikenali sebagai hipotalamus. AVP akan dilepaskan dari hipotalamus ke kelenjar pituitari untuk disimpan sebelum digunakan. 

Kelenjar ini akan melepaskan AVP apabila jumlah air dalam badan menjadi terlalu rendah. Ia membantu mengekalkan air dalam badan dengan mengurangkan kehilangan air melalui air kencing. Oleh itu, air kencing akan menjadi pekat.

Siapa berisiko mendapat diabetes insipidus?

Penyakit ini tidak mengira umur dan boleh diwarisi.

Diabetes insipidus boleh menjangkiti sesiapa sahaja tanpa mengira peringkat umur. Lebih banyak dialami lelaki berbanding wanita. Antara golongan berisiko untuk mendapat penyakit ini adalah : 

  • Mempunyai sejarah keluarga dengan diabetes insipidus.
  • Pernah menjalani pembedahan otak atau mengalami kecederaan kepala yang teruk. 
  • Mengambil ubat yang mengakibatkan masalah buah pinggang, ubat penyakit bipolar dan ubat diuretik (untuk membuang air daripada badan).
  • Mempunyai penyakit metabolik seperti kalsium tinggi dalam darah atau potassium rendah dalam darah.
  • Kes paling jarang berlaku adalah diabetes insipidus menyerang ibu mengandung (gestational diabetes insipidus).

Simptom diabetes insipidus:

Kencing kerap merupakan simptom utama diabetes insipidus.

Simptom utama untuk pesakit diabetes insipidus adalah kerap kencing siang dan malam (poliuria) serta dahaga yang melampau (polidipsia). Terdapat juga simptom-simpom lain yang muncul bersama iaitu: 

  • Mengeluarkan air kencing dengan warna cerah dalam kuantiti yang banyak setiap kali kencing
  • Sembelit 
  • Kulit kering

Dalam kalangan bayi dan kanak-kanak, antara simptom yang ditunjukkan adalah:

  • Lampin basah luar biasa
  • Demam, muntah, cirit-birit
  • Proses tumbesaran yang lambat
  • Turun berat badan
  • Kulit kering yang sangat sejuk

Jenis diabetes insipidus:

1. “Central diabetes insipidus

Diabetes jenis ini terjadi disebabkan pengurangan atau ketiadaan hormon vasopressin. Keadaan ini boleh terjadi sejak lahir. Antara faktor utama terjadinya diabetes jenis ini adalah kelainan pada gene yang terlibat dalam rembesan hormon vasopressin. 

Central diabetes insipidus jenis 2 boleh berlaku disebabkan kecederaan yang mengganggu penghasilan hormon vasopressin. Ini termasuk luka pada otak disebabkan kecederaan kepala, kanser atau pembedahan kepala. 

2. “Nephrogenic diabetes insipidus

Diabetes ini berlaku apabila paras hormon vasopressin (AVP) dalam badan mencukupi tetapi buah pinggang tidak mampu memberi tindak balas padanya. Penyakit ini berlaku disebabkan kerosakan buah pinggang, diwarisi atau komplikasi daripada penyakit lain. Ia adalah masalah untuk memekatkan air kencing disebabkan tindak balas tubul renal (buah pinggang) terhadap hormon vasopressin terjejas. Oleh itu, individu akan menghasilkan air kencing yang cair dengan banyak.

Untuk mengelakkan dehidrasi, minum air kosong sekurang-kurangnya 8 gelas atau 2 liter sehari amat penting. Mengurangkan pengambilan garam dan makanan bersumberkan protein boleh mengurangkan penghasilan air kencing oleh buah pinggang. Antara makanan perlu dikurangkan adalah makanan berproses (daging burger, daging cincang, sosej), kerepek, mee segera, daging, ayam dan telur.

3. “Cranial diabetes insipidus

Diabetes ini berlaku apabila hormon AVP tidak mencukupi dalam badan untuk mengawal penghasilan air kencing. Ini adalah jenis diabetes insipidus yang paling kerap berlaku. Ia boleh disebabkan oleh kerosakan pada hipotalamus atau kelenjar pituitari di otak. Ia mungkin berlaku selepas kecederaan, pembedahan, ketumbuhan otak atau kecederaan kepala.

Diabetes yang dialami dianggap ringan jika individu menghasilkan air kencing 3 ke 4 liter dalan tempoh 24 jam. Sekurang-kurangnya 2.5 liter air sehari membantu mengelakkan dehidrasi dan mengurangkan simptom sedia ada.

Namun begitu, jika diabetes ini di peringkat teruk, pegawai perubatan akan memberi rawatan hormon desmopressin untuk menggantikan hormon vasopressin. Ia akan menghalang buah pinggang daripada menghasilkan air kencing apabila paras air dalam badan rendah.

4. “Dipsogenic diabetes insipidus

Diabetes ini menghasilkan air kencing cair yang banyak disebabkan air diminum dengan berlebihan. Juga dikenali sebagai “primary polydipsia”. Hal ini terjadi disebabkan kerosakan pada mekanisma yang mengawal rasa dahaga di hipotalamus (otak) yang tidak berkait dengan penghasilan hormon ADH. Keadaan ini memberi rasa dahaga dan menyebabkan minum lebih banyak air. Kerosakan ini boleh berlaku disebabkan pembedahan, jangkitan, keradangan, ketumbuhan atau kecederaan.

5. Gestational diabetes insipidus

Diabetes insipidus yang berlaku pada ibu mengandung. Ia adalah keadaan yang jarang berlaku iaitu 2 atau 4 daripada 100,000 kehamilan. Biasanya berlaku pada trimester ketiga kehamilan dan hilang secara spontan pada minggu 4 – 6 selepas bersalin. Ia berlaku disebabkan aktiviti vasopressinase yang berlebihan daripada uri. Rawatan yang biasa diberikan pada individu dengan masalah ini adalah hormon sintetik desmopressin.

Komplikasi diabetes insipidus:

Diabetes insipidus yang tidak dirawat akan mengakibatkan dehidrasi (kehilangan air daripada badan), seterusnya koma disebabkan kepekatan garam (sodium) dalam darah.  

Konklusi:

Diabetes insipidus adalah penyakit kekal, tetapi sesetengah jenis diabetes ini boleh jadi sementara bergantung pada punca ia terjadi. Simptom diabetes ini boleh dikurangkan dengan mengambil rawatan hormon desmopressin dan minum air mencukupi untuk mengelak dehidrasi.

Rujukan:

  1. What’s to know about diabetes insipidus?
  2. Diabetes Insipidus
  3. Diabetes Insipidus
  4. Diabetes insipidus
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi, penulis Fitpedia. Merupakan graduan Dietetik dari UIAM. Minat dalam bidang nutrisi dan kesihatan dan suka berkongsi ilmu kesihatan dan nutrisi kepada masyarakat supaya masyarakat mendapat ilmu yang betul.Di Fitpedia, kita menyediakan info-info berkaitan kesihatan, nutrisi dan tips berkaitan pemakanan.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here