Kadar Obesiti Membimbangkan Dalam Kalangan Rakyat Malaysia

Ramai rakyat Malaysia mengalami obesiti kerana mereka sangat suka makan tetapi berat untuk melakukan apa-apa aktiviti atau pergerakan.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), apabila kalori yang masuk ke dalam badan lebih banyak berbanding kalori yang keluar, ia akan menyebabkan kalori yang berlebihan itu disimpan dalam badan sebagai lemak. Lagi lama disimpan, lagi banyak lemak yang terkumpul dan terjadinya kegemukkan atau obesiti.

Faktor gaya hidup sangat memainkan peranan dalam menentukan bentuk badan seseorang. Menurut Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, gaya hidup yang tidak aktif menjadi antara penyumbang kepada peningkatan kes obesiti di Malaysia.

Malaysia digelar “syurga makanan”. Terlalu banyak makanan yang ada kerana Malaysia terdiri daripada masyarakat pelbagai budaya dan agama yang datang dari 14 negeri didalamnya. Trend makanan terkini juga menjadi penyumbang kepada peningkatan jumlah obesiti.

Contoh makanan terkini yang menjadi viral ialah minuman boba, mee segera pedas serta makanan segera. Semua makanan ini mengandungi kalori yang tinggi lemak dan gula.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), peningkatan pengambilan makanan tinggi kalori yang tinggi lemak dan gula seperti ini menjadi penyumbang kepada obesiti.

Minuman boba mempunyai kandungan gula yang tinggi. Banyak jenama minuman telah mengeluarkan minuman berasaskan boba dengan resepi tersendiri. Setiap jenama mempunyai peminat tersendiri disebabkan rasa masing-masing berbeza.

Pengambilan makanan karbohidrat yang diproses seperti minuman bergula lebih mudah dihadam dan diproses oleh badan. Oleh itu, gula dalam darah akan meningkat dengan lebih cepat.

Karbohidrat dalam bentuk cecair tidak memberi rasa kenyang. Keadaan ini menyebabkan kita akan makan dalam kuantiti yang banyak seterusnya kalori harian akan terlebih dari sepatutnya.

Makanan segera merupakan kegemaran ramai kerana harganya yang murah dan cepat siap. Contohnya burger, ayam goreng dan mee segera mengandungi kalori serta kandungan garam dan lemak yang tinggi. Porsi makanan untuk makanan segera juga agak besar dan meningkatkan kepuasan.

Kekerapan pengambilan makanan segera akan menyebabkan kita terlebih kalori dan peningkatan berat badan tanpa disedari. Mereka juga berpotensi untuk mempunyai ukur lilit perut yang besar serta peningkatan lemak dalam badan.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia dalam RNI 2017, kalori yang disarankan untuk lelaki dewasa ialah 2000 kcal hingga 2200 kcal sehari untuk yang sederhana aktif. Manakala untuk perempuan, kalori yang disarankan ialah 1600 kcal hingga 1900 kcal sehari bergantung kepada tahap kecergasan masing – masing.

Kesimpulannya, makanan yang tinggi kalori serta gaya hidup tidak sihat menjadi faktor peningkatan berat badan seterusnya meningkatkan kes obesiti di Malaysia.

Rujukan:

  1. Recommended Nutrient Intake,RNI 2017
  2. Peningkatan Obesiti Di Malaysia
  3. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi, penulis Fitpedia. Merupakan graduan Dietetik dari UIAM. Minat dalam bidang nutrisi dan kesihatan dan suka berkongsi ilmu kesihatan dan nutrisi kepada masyarakat supaya masyarakat mendapat ilmu yang betul.Di Fitpedia, kita menyediakan info-info berkaitan kesihatan, nutrisi dan tips berkaitan pemakanan.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here