Kita dah pernah dengar kewujudan bawang merah, bawang putih, bawang besar, bawang bombay dan bawang holland. Tapi bagaimana pula dengan bawang hitam atau dalam Bahasa Inggeris, black garlic. Ia sebenarnya bawang putih yang melalui beberapa proses seperti proses penapaian dalam pemanasan dengan suhu yang tertentu ditetapkan. Proses ini dikaitkan dengan reaksi Maillard.
Bawang hitam atau black garlic ini melalui proses pemanasan dan kelembapan. Bawang ini diletakkan dan disimpan dalam satu persekitaran yang terkawal oleh kelembapan dari 80% hingga 90% pada suhu di antara 60°C hingga 90°C untuk tempoh masa 30 sehingga 90 hari. Tiada sebarang bahan pengawet tambahan yang ditambah ke dalam proses ini dan 100% tindakan reaksi Maillard. Black garlic mempunyai rasa manis-masam dan tidak ada bau seperti bawang putih biasa.
Banyak digunakan di negara-negara Asia sebelum digunakan secara meluas di Amerika Syarikat. Bukan sahaja kerana potensinya dalam bidang masakan tapi juga kerana khasiatnya yang baik dan mujarab. Black garlic menjadi rahsia kecantikan dan kesihatan rakyat Korea, Jepun, dan Thailand. Sekarang, ia menjadi tumpuan perhatian penggemar makanan dari Amerika Syarikat dan Australia pula. Popular betul! Malah, pakar pemakanan dan pakar kesihatan, Dr Eric Berg kelahiran Amerika Syarikat juga tertarik dengan black garlic ini.
Kenapa black garlic mendapat begitu banyak tumpuan dari negara luar? Jawapannya, black garlic kaya dengan nutrisi seperti vitamin B, vitamin C, protein, serat, zink, iron, magnesium, kalsium, fosforus, dan karbohidrat. Ia juga kaya dengan asid amino, fitonutrien dan antioksidan. Kandungan antioksidan dalam black garlic dikatakan lebih banyak berbanding bawang biasa. Terdapat pelbagai jurnal kajian yang membincangkan fermentasi bawang ini dan manfaatnya yang mujarab dalam melegakan dan mencegah penyakit.
Kelebihan black garlic
Kaya dengan khasiat seperti vitamin B, vitamin C, protein, zink, iron, serat, magnesium, kalsium, fosforus dan karbohidrat, black garlic semestinya dapat memberikan manfaat yang hebat untuk tubuh badan kita. Dengan mengamalkan bawang ini, fungsi dan proses semulajadi badan akan meningkat dengan lebih baik. Misalnya, dalam black garlic terdapat agen yang dikenali sebagai Allicin.
Agen Allicin ini bertindak sebagai anti-kulat semulajadi yang membantu untuk mengurangkan jangkitan. Sebagai contoh, jangkitan yis, kulat kaki, kurap dan jangkitan kulat di kulit. Agen Allicin dalam bawang hitam ini membantu meningkatkan sistem imun tubuh badan kita.
1. Fungsi kognitif otak dan memori meningkat
Dalam otak kita, terdapat beberapa bahagian yang memainkan peranan penting dalam mengawal koordinasi otot dan juga berfungsi dalam penyimpanan memori. Bahagian ini adalah cerebellum dan hippocampus.
Dengan mengekstrak black garlic atau bawang hitam ini dapat membantu mengurangkan kerosakan pada sel Purkinje. Sel Purkinje merupakan neuron terbesar dalam sistem saraf pusat vertebra kita dan boleh rosak atau fungsinya merosot disebabkan oleh MSG (monosodium glutamate) yang terdapat dalam banyak jenis makanan. Bukan sahaja fungsi kognitif dan memori dapat ditingkatkan malah risiko penyakit seperti Alzheimer, Parkinson dan nyanyuk dapat dikurangkan.
2. Medium pencegahan kanser
Black garlic boleh diamalkan sebagai medium pencegahan kanser. Hal ini kerana dalam black garlic mengandungi agen antikanser, antioksidan dan kandungan mineral yang mampu untuk merencatkan pembentukan sel kanser.
Banyak kajian yang dilakukan untuk membuktikan manfaat anti-kanser ini dan salah satu kajian mendapati agen dalam black garlic dapat mengurangkan pembentukan sel kanser kolon. Bukan itu sahaja, terdapat juga kajian yang menunjukkan cecair ekstrak black garlic merencatkan sel kanser perut, hati, paru-paru dan payudara.
3. Membantu turunkan paras kolesterol & berat badan
Bawang hitam atau black garlic berpotensi untuk merungkai lapisan lemak perut (buncit) dan sel lemak (adiposit) serta menurunkan berat badan sekiranya mengamalkan black garlic ini secara konsisten.
Selain itu, black garlic juga dapat menurunkan kolesterol jahat (LDL) dan trigliserida sekaligus meningkatkan paras kolesterol sihat iaitu HDL. Bawang ini akan membantu melancarkan perjalanan darah dengan membuang dan menghakis gumpalan kolesterol yang terbentuk di dinding arteri.
4. Mengawal metabolisma hati & gula dalam darah
Di samping itu, terdapat juga kajian yang dilakukan bagi melihat reaksi black garlic untuk mengawal paras gula dalam darah dan mengurangkan gejala kesihatan yang berpunca daripada diabetes yang tak terkawal.
Bawang ini juga telah diuji dan terbukti dapat mengurangkan gejala nefropati (penyakit ginjal) dan aterosklerosis (pembuluh darah arteri sempit) sekaligus meningkatkan kesan insulin.
Kesimpulan
Black garlic, hitam yang mempunyai 1001 khasiat dan manfaat. Mudah untuk didapati dan diamalkan. Ia membantu meningkatkan fungsi tubuh dan sistem imuniti badan.
Selain itu, manfaat black garlic juga menyumbang kepada peningkatan fungsi kognitif dan memori, mengawal metabolisma hati, menurunkan kadar gula dalam darah, membantu mengurangkan berat badan, masalah kolesterol tinggi, dan menjadi medium mengurangkan risiko kanser.
Khasiat yang dibincangkan dalam penulisan ini telah terbukti melalui kajian yang dilakukan. Walaubagaimanapun, ianya dinasihatkan dan disarankan untuk merujuk pakar kesihatan atau doktor terlebih dahulu sebelum mengamalkan black garlic atau sebarang tumbuhan herba.