Hidung Asyik Meleleh.. Ambil Tahu Info Tentang Resdung Sebelum Makin Teruk

Sering bersin, hidung berair, tanpa sedar, kita mungkin mempunyai resdung. Resdung boleh dibahagikan kepada 2 iaitu alahan rhinitis dan radang sinus. Rhinitis adalah keradangan yang berlaku pada rongga hidung. Radang sinus adalah jangkitan atau radang yang berlaku pada lapisan membran dalam rongga sinus yang berada di sekeliling hidung di dalam tengkorak. Sinus adalah rongga berisi udara yang dilapisi membran. Membran ini akan mengeluarkan sedikit cecair untuk memerangkap kotoran dan memberi kelembapan pada rongga hidung.

Rhinitis dan radang sinus boleh berlaku serentak dan berkait antara satu sama lain. Rhinitis adalah keadaan menghidu sesuatu yang menyebabkan serangan alergi (alahan) berlaku. Seterusnya menyebabkan keradangan dan bengkak pada hidung.

Apabila rhinitis berlaku, ia boleh menutup rongga hidung yang seterusnya menghalang rongga sinus. Rongga sinus yang tertutup dan dipenuhi cecair akan menyebabkan bakteria dan virus mudah menjangkiti kawasan terbabit. Ini akan menyebabkan simptom seperti sakit kepala dan keluar cecair hidung berwarna kuning. Keadaan yang tidak dirawat akan menyebabkan keradangan seperti merah, bengkak dan sakit.

Image via iStock

Risiko mendapat resdung :

Sistem imuniti yang lemah meningkatkan risiko jangkitan bakteria dan virus serta penyakit. Individu yang berisiko mendapat resdung adalah mereka yang mempunyai :

– Sejarah penyakit allergi (alahan)

– Jangkitan pada sistem pernafasan atas (hidung, mulut, tekak)

– Sistik fibrosis

– Merokok dan terdedah pada asap rokok

– Jangkitan pada gigi

– Ketumbuhan (polip) pada hidung

– Penyakit berkaitan sistem immuniti

– Sensitif pada ubat aspirin

– Penyakit asma

Cuaca yang sejuk, allergen serta jangkitan bakteria, virus dan fungi meningkatkan penghasilan cecair dalam kawasan hidung. Cecair ini akan berkumpul dan menjadi pekat yang memudahkan pembiakan bakteria, virus dan fungi yang berkumpul di dalam rongga sinus seterusnya mengakibatkan jangkitan sinus.

Jenis-jenis resdung/sinus :

Image via iStock

1. Radang sinus akut

Keradangan yang paling singkat berlaku pada rongga sinus. Ia berlaku secara tiba-tiba dan boleh berpanjangan sehingga 4 minggu. Jangkitan virus disebabkan demam boleh menunjukkan simptom yang akan berlarutan sehingga 10 hari.

2. Radang sinus sub akut

Keradangan pada tahap sub akut adalah dalam tempoh 4 ke 8 minggu. 

3. Radang sinus akut berulang

Episod keradangan yang berlaku sekurang-kurangnya 4 kali atau lebih tanpa simptom berterusan ditunjukkan diantara setiap episod. Ia berlaku disebabkan demam biasa. Simptom pada keradangan ini adalah hidung tersumbat yang akan menutup rongga sinus dan menghalang pengeluaran mukus (lendir) daripada rongga sinus.

4. Radang sinus kronik

Keradangan yang berlaku lebih daripada 8 minggu. Simptom keradangan pada tahap ini kurang teruk. Ia lazimnya berlaku seiring serangan allergik (alahan) yang berterusan. 

Faktor berlaku resdung :

1. Jangkitan bakteria, virus dan kulat

Image via iStock

Sistem imunisasi yang rendah meningkatkan risiko bakteria, virus dan kulat untuk menjangkiti badan. Kulat yang biasa menjangkiti kawasan sinus adalah Aspergillus. Ia lebih mudah membiak di kawasan yang lembap dan gelap. Oleh itu, apabila rongga sinus tertutup dan dijangkiti bakteria, simptom resdung akan muncul.

2. Alahan (allergik) makanan dan bahan kimia

Alahan penyebab resdung

Allergen seperti hama, debunga, debu dan haiwan perliharaan boleh mencetuskan alahan dalam sesetengah individu apabila badan mengenal allergen ini sebagai sesuatu yang berbahaya pada badan. Seterusnya, hormon histamin akan dihasilkan untuk menyingkirkan allergen daripada badan. Kesan keradangan pada hidung, mata dan tekak seperti bengkak, merah dan gatal-gatal yang merupakan antara simptom resdung adalah disebabkan rembesan hormon histamin. 

Hama adalah serangga kecil yang boleh dijumpai di atas tilam, karpet, sofa dan bantal. Bahan kimia yang dikeluarkan daripada hama ini memberi kesan allergik (alahan).

Spora atau debunga serta kulit mati daripada haiwan perliharaan juga boleh memberi kesan alahan. Kesan alahan ini akan menjadikan resdung semakin teruk.

3. Ketumbuhan di hidung

Polip punca resdung

Ketumbuhan ini dikenali sebagai polip yang tumbuh dalam rongga hidung atau sinus. Ia boleh membengkak sehingga menutup dan menghalang saluran rongga sinus. Rongga sinus yang tersumbat mudah untuk dijangkiti bakteria, virus dan fungus seterusnya menyebabkan resdung. 

Polip ini juga boleh menutup saluran hidung yang menghalang udara dan oksigen untuk sampai ke otak dengan cukup. Kesannya, mereka akan mengalami sakit kepala. Ada juga individu yang mempunyai polip di hidung mengalami masalah gangguan deria bau.

Simptom resdung :

Image via iStock

Hidung akan menapis partikel-partikel kecil yang terkandung dalam udara yang masuk ke dalam badan. Partikel-partikel ini terperangkap dan menyebabkan sensitiviti kepada mereka yang mempunyai masalah alahan. 

Keadaan yang lazim berlaku pada penghidap resdung apabila terdedah kepada partikel-partikel kecil atau allergen adalah kerap bersin, gatal hidung, tekak, mata, kulit, serta hidung dan mata berair. Apabila terdedah pada allergen penyebab alahan seperti habuk dan kotoran, hormon histamin akan dirembeskan.

Histamin akan mengeluarkan bahan-bahan alahan dan partikel kecil dari rongga hidung dan sinus yang memasuki rongga hidung. Keadaan ini menyebabkan hidung dan mata berair, kerap bersin serta irritasi (keradangan).

Pesakit resdung biasanya akan mengalami simptom yang lebih teruk seperti hidung tersumbat sehingga hilang deria bau dan rasa. Cecair sinus yang terperangkap boleh menimbulkan jerawat pada muka. Keadaan yang lebih teruk boleh menyebabkan hidung berbau busuk disebabkan cecair di sekeliling rongga hidung yang tersumbat. 

Antara simptom lain adalah

  • Telinga tersumbat disebabkan hidung tersumbat
  • Sakit kepala atau bahagian muka
  • Selsema berpanjangan
  • Demam
  • Letih dan lesu
  • Batuk teruk pada waktu malam

Simptom-simptom ini boleh mengganggu kualiti tidur kerana ia akan memberi rasa tidak selesa.

Kesan / komplikasi resdung yang tidak dirawat :

Resdung yang tidak dirawat boleh mengganggu penglihatan.

Resdung boleh menjadi lebih teruk apabila mempunyai penyakit asma. Lebih kurang 20% – 40% pesakit resdung mendapat asma. Pesakit resdung juga berisiko mendapat ekzema iaitu sejenis penyakit kulit.

1. Meningitis

Jangkitan akibat sinus boleh merebak ke bahagian selaput yang melindungi otak.

2. Masalah penglihatan

Jangkitan merebak ke bahagian soket mata sehingga mengganggu penglihatan serta mengakibatkan buta dalam kes yang teruk.

3. Bekuan darah

Jangkitan merebak ke salur darah vena berdekatan rongga sinus menyebabkan cavernous sinus thrombosis yang mungkin membawa maut. Cavernous sinus thrombosis adalah darah beku yang terjadi pada bahagian cavernous sinus iaitu kawasan diantara otak dan rongga sinus.

4. Cellulitis

Jangkitan yang berlaku pada kulit di kawasan muka. 

Tips hadapi resdung :

Kulit mati daripada haiwan adalah penyebab alahan yang menjadi punca resdung.
  1. Makan makanan sihat dan seimbang
  2. Basuh tangan dengan kerap
  3. Kurang terdedah kepada asap, bahan kimia, debunga dan allergen. 
  4. Mengambil ubat anti-histamine
  5. Elak bertemu dengan individu yang sedang dijangkiti jangkitan pernafasan
  6. Elakkan memelihara haiwan di dalam rumah kerana bulu dan sel mati daripada haiwan boleh menyebabkan allergik (alahan).

Makanan untuk pesakit resdung:

Pemakanan sihat dan seimbang adalah yang terbaik untuk pesakit resdung. Namun begitu, pesakit resdung juga perlu berhati-hati dengan pemilihan makanan yang boleh meningkatkan rangsangan alahan dan menjadikan simptom resdung semakin teruk. Minum air kosong dengan cukup akan menghasilkan lendir hidung yang lebih cair selain mengelakkan dehidrasi (kurang air).

1. Sayur daun hijau

Image via iStock

Sayur-sayuran berdaun hijau tinggi dengan vitamin dan mineral yang penting untuk badan. Malah, ia juga memberi rasa kenyang dengan cepat dan lama. Pengambilan makanan berkanji seperti nasi, pasta, roti dan ubi dapat dikurangkan. Makanan berkanji mengandungi gula yang boleh menjadi sumber makanan untuk fungus apabila diambil berlebihan. Hidung dan mulut mudah dijangkiti bakteria. Oleh itu, pengambilan makanan berkanji secara berlebihan boleh meningkatkan pembiakan fungus yang menjadi punca resdung. 

Dengan mengamalkan sayur-sayuran berdaun hijau, ia membantu mengurangkan pengambilan makanan berkanji dan bergula yang boleh meningkatkan pembiakan fungus.

2. Produk tenusu

Image via iStock

Produk tenusu seperti susu dikatakan perlu dielakkan oleh pesakit resdung. Namun begitu, kajian yang dilakukan oleh  “Journal of the American College of Nutrition”, 2005 menunjukkan produk tenusu tidak meningkatkan penghasilan cecair yang keluar daripada hidung dan tidak menyebabkan hidung tersumbat.

Selain itu, produk tenusu juga mengandungi asid lenolik yang membantu menguatkan sistem imuniti dan merawat lebihan lendir di dalam rongga sinus. Pesakit dengan masalah allergik (alahan) dengan produk tenusu perlu berhati-hati dengan kesan alahan yang mungkin dialami kerana ia boleh menjadikan simptom resdung semakin teruk.

3. Madu 

Madu menguatkan sistem imuniti diri.

Madu kaya dengan ciri-ciri anti-bakteria. Ia boleh melindungi diri daripada jangkitan bakteria dan virus. Kajian dilakukan keatas bakteria kultur yang dijangkiti sinus (resdung). Dalam kajian tersebut, madu berkesan membunuh bakteria. 

Namun begitu, dalam kajian yang dilakukan keatas manusia menunjukkan kesannya berkurangan. Tetapi, ia boleh mengurangkan masalah sakit tekak yang biasanya disebabkan jangkitan bakteria. Ia juga boleh menjadi alternatif kepada gula putih. Hal ini kerana madu membantu mencegah keradangan dengan sifatnya yang anti-radang. Malah, mengamalkan madu juga membantu badan kita untuk menyesuaikan diri dengan kawasan debunga yang boleh merangsang reaksi alahan.

Mengambil madu setiap hari boleh mengurangkan masalah alahan yang berlaku secara bermusim. Tetapi, madu juga daripada gula ringkas. Oleh itu, pengambilannya perlu dikawal kerana ia boleh meningkatkan pembiakan bakteria dan fungus.

Makanan perlu elak untuk pesakit resdung :

1. Makanan bergula

Makanan gula membantu pembiakan bakteria dan fungus.

Makanan tinggi gula boleh meningkatkan risiko mendapat resdung dengan meningkatkan keradangan. Kajian ada membuktikan makanan bergula boleh meningkatkan simptom resdung dengan meningkatkan keradangan dalam kanak-kanak yang mengalami masalah resdung. Kajian turut menyatakan, mengelakkan gula ringkas adalah kaedah semulajadi untuk mengurangkan resdung dalam kalangan dewasa. 

Gula adalah makanan untuk fungus dan bakteria. Apabila fungus dan bakteria mudah menjangkiti kawasan sinus, reaksi keradangan mudah terjadi. Keradangan ini akan membengkakkan seterusnya menghalang saluran yang menghubungkan hidung dan rongga sinus. Rongga sinus yang tersumbat memudahkan pertumbuhan bakteria dan fungus.

Selain itu, gula boleh melemahkan sistem pertahanan badan seterusnya meningkatkan risiko jangkitan untuk berlaku di rongga sinus. Antara contoh makanan dan minuman bergula yang perlu dikurangkan adalah soda, gula-gula, pastri dan kek.

2. Makanan tinggi histamin

Buah-buahan kering tinggi kandungan histamin

Hormon histamin akan dihasilkan oleh badan untuk bertindak balas melawan allergen penyebab reaksi alahan. Histamin juga boleh didapati daripada sumber makanan. Dalam individu sihat, histamin mudah dipecahkan ke bentuk yang lebih kecil. Tetapi, dalam individu yang mempunyai masalah dengan toleransi histamin, ia akan dipecahkan secara kurang efektif atau perlahan. Dengan itu, histamin akan berkumpul dalam badan dan menyebabkan simptom seperti kerap bersin, hidung berair, hidung tersumbat dan sukar bernafas. Ini adalah simptom-simptom resdung.

Mengambil makanan yang tinggi kandungan histamin akan menyebabkan simptom-simptom ini semakin teruk. Oleh itu, makanan tinggi histamin disarankan untuk dikurangkan pengambilannya setiap hari. Antara contoh makanan tinggi histamine adalah 

  • Daging proses : sosej, daging cincang, kepingan daging / ayam
  • Ikan kering atau ikan yang diawet
  • Sayur-sayuran : terung, tomate, avocado
  • Buah kering : apricot, kismis
  • Makanan yang diawet : kimchi, yogurt, cuka

3. Makanan tinggi salicylates

Herba seperti thyme dan rosemary tinggi kandungan salicylates.

Salicylates adalah makanan yang membantu merawat rasa sakit, demam dan keradangan. Individu yang sensitif dengan salicylates berisiko mendapat simptom seperti polip (ketumbuhan) di rongga hidung, hidung tersumbat, hidung dan mata berair, kerap bersin serta sukar bernafas. Pemakanan tinggi salicylate akan memburukkan lagi simptom resdung sedia ada. Makanan yang tinggi kandungan salicylates mengandungi 1.5 miligram salicylates untuk setiap 100g makanan. Makanan ini perlu dielakkan tetapi boleh diambil dalam kuantiti yang sedikit jika simptom resdung tidak bertambah teruk. Antara contoh makanan tinggi salicylates adalah

  • Sayur-sayuran : brokoli, bayam, tomato, cendawan, timun, kacang parang
  • Buah-buahan : apricot, kismis, jambu batu, kurma, oren mandarin
  • Herba : kunyit, serbuk jintan manis, oregano, paprika, rosemary, thyme,
  • Kekacang : kacang badam, kacang tanah, kacang pain, kacang macadamia, kacang pistachio

Konklusi :

Resdung atau radang sinus boleh sembuh dengan sendirinya tanpa pengambilan ubat seperti antibiotik. Namun begitu, penjagaan kebersihan diri dan sekeliling serta pemakanan sihat juga perlu diambil berat.

Rujukan :

  1. Sugar’s Effects on the Sinuses
  2. 4 Foods That May Worsen Sinusitis
  3. Best Food for Sinus Problems
  4. Radang Sinus (Resdung)
  5. Noncommunicable diseases: Allergic rhinitis and sinusitis
  6. What You Need to Know About Sinusitis
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi, penulis Fitpedia. Merupakan graduan Dietetik dari UIAM. Minat dalam bidang nutrisi dan kesihatan dan suka berkongsi ilmu kesihatan dan nutrisi kepada masyarakat supaya masyarakat mendapat ilmu yang betul.Di Fitpedia, kita menyediakan info-info berkaitan kesihatan, nutrisi dan tips berkaitan pemakanan.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here