Hebat! Sepinggan Kailan Ikan Masin Boleh Cecah RM18…Hebat Lagi Khasiatnya

Tak percaya!!! Sepinggan kailan ikan masin boleh cecah RM18. Hebat sangat ka sayur ni? Nak masuk taraf kayangan. 

Kailan ikan masin adalah sayur kailan yang digoreng dan dicampur dengan ikan masin. Tahu tak sebenarnya, kailan ni banyak khasiat dia. So nak tau padan ka tidak sayur ni dengan harga dia, jom sambung baca.

Kailan juga dikenali dengan nama saintifik iaitu Brassica oleracea var alboglabra. Pelbagai menu masakan boleh dilakukan dengan kailan ini dan yang paling popular semestinya kailan ikan masin. Suatu ketika dulu kailan ikan masin pernah menjadi makanan orang Cina. Kini, bukan saja orang Cina malah pelbagai bangsa dan agama juga minat akan sayur ni.

Nutrisi:

Pengambilan sayur setiap hari sangat digalakkan untuk elak pelbagai masalah penyakit dikemudian hari. Selain buah, sayur juga penting kerana ia tinggi dengan pelbagai vitamin dan mineral untuk sistem badan. Kita disarankan untuk mengambil sayur-sayuran setiap hari sekurang-kurangnya 3 ke 5 hidangan setiap hari. Banyak manfaat yang boleh didapati daripada sayur.

Kailan adalah sayur yang tinggi dengan vitamin K, vitamin A, vitamin C, folat, mangan, dan kalsium. Ia juga mengandungi vitamin B1, vitamin B2, vitamin B3, vitamin B5, vitamin B6, vitamin E, kolin, betaine, besi, magnesium, fosforus, kalium, zink, tembaga, dan selenium.

Kalori daripada sayur ini rendah iaitu 1 cawan kailan yang direbus hanya mempunyai 49 kalori. Kalori daripada sayur tidak menyumbang kepada peningkatan berat badan dengan ketara. Sebab itu, ia boleh diambil dengan banyak. Walaubagaimanapun, kaedah masakan yang betul seperti mengelakkan masakan bergoreng dan berminyak perlu dititikberatkan.

1. Serat

Kailan sudah semestinya sejenis sayur yang kaya dengan serat. Serat ni penting untuk tubuh badan manusia supaya dapat mencerna makanan dengan baik, mengelakkan sembelit dan cirit-birit, mengawal tekanan darah dan juga mengawal paras gula dalam darah. 

Pelbagai kajian telah dilakukan tentang kebaikan serat dalam sayur-sayuran. Malah, KKM juga telah mengeluarkan saranan pengambilan sekurang-kurangnya 3 mangkuk kecil sayur setiap hari dibahagikan pada setiap waktu makan utama – sarapan, makan tengah hari dan makan malam. 

Kajian telah membuktikan pengambilan sayur setiap hari dapat mengurangkan risiko komplikasi kencing manis (diabetes) disebabkan gula (glukosa) tidak dapat bertindak dengan baik dengan insulin dalam darah. Paras kolesterol dalam badan juga dapat dikawal dengan mengambil sayur yang cukup setiap hari.

Keadaan ini boleh berlaku kerana sayur akan melambatkan penyerapan gula dan memberi rasa kenyang dengan cepat dan untuk jangka masa lama. Oleh itu, kita akan kurang mengambil makanan dan paras gula terkawal.

2. Vitamin

Kailan juga kaya dengan pelbagai jenis vitamin seperti vitamin A, vitamin C, vitamin K dan vitamin B. Setiap vitamin ini mempunyai peranan masing-masing dalam tubuh manusia. 

Vitamin K penting untuk mengelakkan darah beku yang boleh menyebabkan salur darah tersumbat. Ia juga dapat mengurangkan masalah keradangan iaitu merah-merah, bengkak serta hilang fungsi. Dengan ini, risiko mendapat penyakit jantung dan kencing manis berkurang.

Selain itu, vitamin A diperlukan untuk pertumbuhan tisu badan serta menyokong sistem imuniti dan kesihatan mata.

Vitamin C adalah salah satu sumber antioksidan. Ia diperlukan untuk meningkatkan sistem imunisasi melawan jangkitan bakteria, virus dan kulat. Disamping itu, vitamin ini juga boleh mengelakkan kerosakkan sel dalam badan disebabkan serangan radikal bebas yang boleh menyebabkan penyakit seperti diabetes dan penyakit jantung.

Kailan adalah sayur yang kaya dengan pelbagai jenis vitamin. Hanya dengan sejenis sayur, kita mampu mendapat nutrisi yang cukup tanpa perlu pengambilan supplemen tambahan.

3. Kalsium

Biasanya, kalsium mudah dijumpai dalam susu, tapi sebenarnya, kailan ikan masin juga tinggi dengan kalsium. Nutrien ni bukan sahaja dalam sayur kailan tapi juga dalam ikan masin. Makanan ini sesuai untuk golongan dewasa dan juga kanak-kanak. 

Untuk setiap 100gram kailan yang dimasak, bersamaan 72mg kalsium. Makin meningkat usia, kekuatan tulang manusia makin berkurangan. Justeru itu, kalsium diperlukan untuk memastikan tulang kita kekal kuat. Tak semua individu gemar akan susu, oleh itu, mengamalkan sayur seperti kailan dalam pemakanan harian sangat digalakkan.

4. Magnesium

Magnesium adalah mineral yang dihasilkan oleh badan manusia. Tetapi, ia perlu ditambah daripada sumber makanan untuk mencukupkan keperluan harian. Tugas utama magnesium dalam badan manusia adalah untuk memberi tenaga disamping menghasilkan protein dalam badan. 

Ia juga membantu mengekalkan fungsi sistem saraf dan otot pada tahap normal, menstabilkan degupan jantung serta menguatkan tulang. 

Magnesium juga sangat penting untuk memastikan paras gula dalam darah di tahap normal. Oleh itu, kailan ikan masin juga boleh menyumbang kepada peningkatan magnesium dalam badan.

5. Protein

Menu kailan ikan masin semestinya mempunyai ikan iaitu ikan masin. Ia menjadi salah satu sumber protein untuk menu ini selain daripada kailan itu sendiri. Protein ini diperlukan untuk membaiki sel-sel dalam badan. Setiap hari, sel dan kulit kita akan menghasilkan yang baru dan membuang sel dan kulit yang sudah mati.

Selain itu, protein juga dapat memberi rasa kenyang dan membantu mengurangkan pengambilan makanan dan kalori. Dengan ini, berat badan dapat dikawal serta paras gula dalam darah di tahap stabil. Oleh itu, makanan berprotein digalakkan diambil dalam setiap menu makanan harian terutamanya sewaktu sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam. 

Konklusi

Walaupun kailan ikan masin mahal, tetapi mahal berbaloi. Ini kerana khasiat yang boleh dapat daripada masakan ini lebih bernilai daripada harganya. Sebenarnya masakan ini murah kerana boleh dimasak sendiri di rumah. Malah, kebersihan dalam penyediaan menu ini juga lebih terjamin. Ada ka yang dah terkena dengan musim harga sayur mahal ni? Jom share sikit dengan kami.

Rujukan

  1. Recommended Nutrient Intakes for Malaysia
  2. Malaysia Dietary Guidelines : Key Messages 5
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi, penulis Fitpedia. Merupakan graduan Dietetik dari UIAM. Minat dalam bidang nutrisi dan kesihatan dan suka berkongsi ilmu kesihatan dan nutrisi kepada masyarakat supaya masyarakat mendapat ilmu yang betul.Di Fitpedia, kita menyediakan info-info berkaitan kesihatan, nutrisi dan tips berkaitan pemakanan.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here