Stevia atau nama saintifiknya Stevia rebaudina ialah sejenis tumbuhan herba daripada keluarga Asteraceae. Tumbuhan herba Stevia ini berasal daripada Paraguay dimana herba ini kebanyakannya tumbuh di kawasan berpasir secara liar. Stevia ini banyak digunakan oleh orang asal Paraguay, kaum Red Indian dan Brazil sejak bertahun dahulu.
Penemuan daun Stevia oleh ahli botani, Antonio Bertoni menyebabkan daun ini mula meraih perhatian sehingga ke Amerika Selatan. Seiring dengan peredaran masa, penggunaan daun Stevia juga semakin banyak dalam kalangan masyarakat di Malaysia.
Stevia ini dikenali dengan pelbagai nama seperti daun manis, daun madu dan candyleaf. Nama-nama ini diinspirasikan oleh rasa manis yang dihasilkan oleh Stevia. Penemuan Stevia, sejenis pemanis yang tiada kalori ini berjaya mengubah kehidupan individu yang sukar mengawal pengambilan gula. Bukan sahaja membantu mengawal pengambilan gula, daun Stevia juga dikaji berpotensi untuk memberi manfaat kesihatan kepada kita.
Kegunaan Stevia: Pemanis Semulajadi
Sejak penemuannya, Stevia kini digunakan secara meluas di serata dunia. Daun pemanis ini menghasilkan sebatian kimia glikosida diterpene yang mempunyai kemanisan lebih 100 kali ganda berbanding dengan sukrosa. Oleh itu, ekstrak pemanis Stevia ini banyak digunakan untuk memaniskan minuman dan makanan di negara hebat seperti Jepun dan Korea. Kini dipasarkan di Malaysia untuk tujuan kesihatan badan.
Ada juga yang menggunakan Stevia dalam suplemen dan rawatan tradisional untuk masalah obesiti dan diabetes. Ini kerana, pemanis alternatif ini tidak mempunyai kalori dan mempunyai rasa manis semulajadi. Apa manfaat Stevia dalam rawatan tradisional? Ia berpotensi untuk merawat luka terbakar, kolik bayi, muntah susu, dan sakit perut. Antioksidan, antimikrob dan kesan antikulat juga terkandung dalam daun Stevia.
Banyak kegunaan pemanis Stevia yang dimanfaatkan kerana khasiat kesihatan yang terkandung di dalam ekstraknya. Antara khasiat kesihatan yang dapat kita manfaatkan dari ekstrak Stevia ialah ia dapat mengurangkan tekanan darah tinggi dan kawal paras gula dalam darah. Terdapat kajian analisis yang dilakukan terhadap daun herba Stevia ini dan mendapati daun ini mengandungi khasiat vitamin C, asid amino dan asid folik. Tidak hairanlah apabila Stevia banyak digunakan dalam suplemen kesihatan, rawatan tradisional dan masakan harian kerana ia memang kaya dengan khasiat.
Stevia dan diabetes
Hanya menggunakan kuantiti pemanis Stevia yang sedikit sahaja kita boleh mendapat manis yang sama seperti gula biasa tapi lebih sihat. Bukan sahaja manis yang sama tapi berkali ganda lebih manis daripada gula yang biasa kita gunakan dalam makanan harian kita. Tambahan pula, pemanis alternatif Stevia ini mempunyai 0 kalori dan tidak menjejaskan kandungan gula dalam darah kita.
Gula biasa yang sering kita gunakan dalam makanan dan minuman harian adalah seperti sukrosa, malt, sirap jagung dan fruktosa. Gula biasa mempunyai manis dan kalori yang boleh menjejaskan kandungan gula dalam darah sekaligus menyebabkan obesiti sekiranya tidak dikawal. Oleh itu, kebanyakan orang sudah menggantikan penggunaan gula biasa dalam kehidupan harian kepada gula alternatif Stevia.
Penggunaan pemanis alternatif Stevia menggantikan gula biasa untuk individu yang menghidap diabetes boleh kembali menceriakan hari-hari mereka. Penggunaan pemanis tanpa kalori dalam makanan dan minuman boleh membantu penghidap diabetes untuk kawal dan kurangkan kadar gula dalam darah. Sangat sesuai untuk diamalkan dalam diet harian bagi mengurangkan pengambilan gula tanpa mengorbankan rasa sedap makanan dan minuman yang disukai.
Selain itu, pemanis Stevia ini juga tidak merosakkan gigi kita. Menurut laporan dari European Food Safety Committee (EFSA), pemanis Stevia tidak mempunyai sebarang kesan alahan. Tambahan pula, sebatian antioksidan yang terkandung dalam Stevia juga mengandungi kaempferol yang dapat mengurangkan risiko kanser pankreas.
Ibu mengandung dan menyusu juga boleh mengamalkan pemanis alternatif Stevia ini tetapi secara sederhana. Walaubagaimanapun, konsultasi daripada doktor adalah dinasihatkan sebelum penggunaan.
Kesimpulan
Setakat penggunaannya pada hari ini, pemanis Stevia masih lagi dikatakan selamat untuk diamalkan dan boleh menggantikan penggunaan gula biasa. Walaubagaimanapun, kajian yang dibuat untuk mengenalpasti sebarang kesan negatif Stevia kepada kesihatan manusia masih dijalankan. Jadi, langkah selamat perlu dipertimbangkan dan mengamalkan kesederhanaan dalam apa jua perkara. Serta tidak dilupakan nasihat dari yang pakar.