Berat badan ideal adalah kalori (makanan) yang diambil bersamaan dengan kalori yang digunakan sebagai tenaga.
Pasti ramai pernah mengalami masalah sukar untuk menurunkan berat badan walaupun sudah menjaga pemakanan (diet). Hal ini akan memberi tekanan sehingga menyebabkan wujudnya rasa berputus asa untuk meneruskan misi menurunkan berat badan.
Penurunan berat badan dipengaruhi oleh pelbagai faktor selain penjagaan pemakanan dan senaman fizikal. Setiap individu akan mengalami penurunan berat badan yang berbeza mengikut badan masing-masing.
Faktor penghalang penurunan berat badan:
Pelbagai faktor menjadi penghalang penurunan berat badan. Faktor-faktor ini juga bergantung kepada tindak balas individu:
1. Tidur yang mencukupi
Tidur yang cukup dan berkualiti merupakan faktor penting yang akan melancarkan proses penurunan berat badan. Hal ini kerana, badan memerlukan masa untuk proses pemulihan daripada aktiviti harian seperti bersenam, bekerja dan makan.
Proses pemulihan ini adalah untuk memberi kesembuhan dan membaiki sel-sel serta tisu-tisu dalam badan yang rosak. Dengan ini, ia akan menguatkan kembali metabolisma dan antibodi badan. Oleh itu, sistem imuniti akan melindungi badan daripada penyakit. Tidur yang berkualiti ialah 7 hingga 8 jam sehari.
2. Kadar garam tinggi dalam makanan
Pengambilan makanan tinggi garam juga boleh mengganggu proses penurunan berat badan. Contoh makanan seperti sardin, ikan bilis, dan belacan. Kekerapan pengambilan makanan-makanan ini akan mengganggu penurunan berat badan.
3. Air kosong tidak mencukupi
Air kosong diperlukan untuk mengelakkan dehidrasi dan membantu memecahkan lemak-lemak dalam badan. Apabila penjagaan pemakanan dan senaman sudah dilakukan, berat badan boleh menjadi statik. Hal ini disebabkan badan tidak mendapat air yang mencukupi. Oleh itu, otot akan meningkat tetapi lemak tidak berkurang.
Peningkatan otot boleh diukur menggunakan penimbang khas atau dengan pakaian. Biasanya pakaian akan menjadi longgar tetapi berat badan tidak menurun. Maka, ini adalah penanda otot meningkat tetapi lemak tidak hilang.
4. Pencernaan tidak lancar
Proses pencernaan yang tidak lancar akan mengganggu berat badan. Proses pembuangan perlu dilakukan sekurang-kurangnya setiap hari atau 2 hari sekali. Pembuangan yang tidak lancar akan menyebabkan najis berkumpul dalam bahagian usus. Maka, berat badan sukar untuk diturunkan.
Untuk melancarkan proses pembuangan, disarankan untuk minum air kosong atau air suam selepas bangun dari tidur serta mengamalkan pemakanan tinggi serat seperti roti “wholemeal“, buah-buahan serta sayur-sayur.
5. Tidak mengambil “snacking“
“Snacking” adalah masa makan diantara waktu makan utama. Ia penting untuk mengelakkan badan dari memasuki fasa kelaparan (starvation). Fasa ini akan mengganggu metabolisma badan serta menyebabkannya tidak stabil dan optimum.
Fasa kelaparan akan berlaku apabila badan tidak mendapat makanan melebihi 4 jam. Apabila badan memasuki fasa ini, berat sukar untuk diturunkan. “Snacking” tidak memerlukan makanan berat. Cukup sekadar makanan alas perut seperti buah, kekacang atau segelas susu.
6. Porsi makanan
Porsi makanan yang diambil akan mempengaruhi berat badan. Walaupun telah mengamalkan “eat clean”, tetapi porsi hidangan makanan perlu dijaga.
Sebagai contoh, “snacking” dengan kacang badam adalah antara pilihan yang sihat dan bagus. Tetapi, pengambilan dalam kuantiti yang berlebihan akan menyebabkan lebihan kalori. Ini seterusnya mengganggu penurunan berat badan.
Selain itu, pengambilan sapuan roti seperti mentega kacang juga boleh menjadi pilihan sihat jika diambil dalam kuantiti yang betul seperti 1 sudu kecil untuk 1 waktu “snacking“. Oleh itu, kuantiti makanan memainkan peranan penting walaupun ia adalah makanan sihat.
7. Aktiviti dan kadar senaman yang sama
Apabila kerap melakukan aktiviti senaman dengan kadar yang sama, badan akan menjadi terbiasa dan sukar untuk menurunkan berat. Badan tidak mendapat cabaran baru untuk memaksa diri memecahkan lemak-lemak dalaman.
Oleh itu, individu perlu mempelbagaikan aktiviti senaman dan meningkatkan kadar intensiti agar lebih mencabar. Ini akan memberi cabaran baru untuk badan menurunkan berat.
Konklusi:
Diet sangat berkait rapat dengan fisiologi manusia. Selain pemakanan, tidur yang berkualiti serta pencernaan yang baik membantu dalam penurunan berat badan. Malah, sistem tubuh yang sihat boleh berfungsi dengan efektif dan optimum.