Centella Asiatica atau lebih mesra dikenali sebagai Daun Pegaga di Malaysia. Dikenali sebagai ‘Pennywort’ dan ‘Gotu Kola’ dalam bahasa Inggeris. Daun pegaga ini asalnya tumbuh di negara kita dan ada juga tumbuh di negara-negara lain seperti Indonesia, New Guinea, India, dan Sri Lanka.
Daun pegaga, tumbuhan yang sudah beratus tahun lamanya digunakan dalam perubatan oleh masyarakat India, Ayurveda kerana khasiat dan kelebihan kesihatannya yang mujarab. Malah, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga mengiktirafkan daun pegaga sebagai salah satu tumbuhan paling penting di dunia. Tambahan pula, tumbuhan daun pegaga ini sangat mudah untuk ditanam. Ini kerana tumbuhan liar ini mampu tumbuh dalam apa jua jenis keadaan tanah yang digunakan.
Dalam kalangan rakyat Malaysia pula, daun pegaga sudah lama menjadi sayur tambahan yang sangat dikenali dan sering digunakan dalam makanan, serta minuman walaupun rasanya yang pahit dan ubat dalam perubatan tradisional.
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, daun pegaga mempunyai kandungan Vitamin A dan C yang tinggi, kalsium, dan zat besi. Tumbuhan daun pegaga ini juga dikatakan mengandungi asid asiatik, potasium, fosforus, beta karotin, tiamin, niasin dan riboflavin yang memberi impak baik kepada tubuh badan kita.
Khasiat daun pegaga untuk badan kita
Disebabkan oleh penggunaannya yang meluas oleh pelbagai tamadun sejak beratus tahun dahulu, ramai saintis dari dunia kajian moden menunjukkan minat dalam mengkaji kandungan, khasiat dan keberkesanan daun pegaga ini terhadap tubuh badan manusia. Ini terutamanya pada zaman kini di mana kita sebagai spesies manusia dapat memakan bermacam-macam jenis makanan. Bukan itu sahaja, makanan yang kita makan, sekiranya berlebihan boleh menjejas dan memudaratkan kesihatan kita.
Terdapat beberapa bahan aktif di dalam daun pegaga, iaitu Asiaticoside, Madecassoside dan Madasiatik. Bahan-bahan aktif ini tergolong dalam kumpulan saponin yang dikatakan membantu dalam pelbagai unsur aktiviti penyembuhan dan memberi manfaat kesihatan. Bukan itu sahaja manfaat-manfaat kesihatan ini juga terbukti melalui kajian-kajian perubatan moden yang dijalankan.
Mengawal paras gula
Kajian makmal yang dilakukan ke atas daun pegaga mendapati bahawa ekstrak etanol dan metanol daripada tumbuhan tersebut mengandungi khasiat yang mampu membantu badan kita untuk merembeskan insulin sekaligus membantu menurun dan mengawal paras gula dalam darah.
Manfaat daun pegaga ini berfungsi sama seperti ubat-ubatan moden. Walaubagaimanapun, penghidap diabetes dinasihatkan untuk masih mengambil ubat-ubatan daripada klinik atau hospital.
Mempunyai elemen anti-radang dan tahan sakit
Amalan atau penggunaan daun pegaga dalam merawat sakit-sakit am pada tubuh badan dan sakit sendi sudah lama wujud dalam beberapa tamadun ratusan tahun dahulu. Melalui beberapa kajian praklinikal yang dibuat ke atas daun pegaga telah membuktikan bahawa daun ini sememangnya mempunyai kelebihan untuk mengurangkan rasa sakit dan radang.
Menerusi kajian yang sama juga didapati daun pegaga mampu menghasilkan kesan tahan sakit yang hampir kuat dengan aspirin iaitu ubat tahan sakit yang sering digunakan. Berdasarkan kajian-kajian yang dilakukan ini, rumusan yang dapat dibuat ialah penggunaan daun pegaga dalam merawat rasa sakit dan sakit sendi dalam perubatan tradisional adalah sangat efektif.
Mempercepatkan proses penyembuhan luka
Selain itu, daun pegaga juga dinyatakan mampu memberikan kesan positif yang signifikan untuk proses penyembuhan luka. Ada juga orang tempatan yang menggunakan daun pegaga sebagai bahan demah untuk mengurangkan sakit akibat luka.
Terdapat kajian dimana ekstrak daun pegaga diformulasikan menjadi krim dan gel tetapi masih mampu memberikan kesan signifikan yang sama terhadap penyembuhan luka. Di samping itu, didapati juga luka yang menggunakan daun pegaga untuk merawatnya mengalami proses pembentukan lapisan epitelium yang lebih cepat dan proses pengecutan luka yang lebih baik.
Penyahtoksin yang baik
Daun pegaga mengandungi ‘phytochemical’ yang tinggi dimana ia membantu dalam proses menyahtoksik sisa toksin dalam badan. Sebagai contoh, asid urik. Asid urik adalah hasil buangan daripada protein yang dipanggil sebagai purin dan sepatutnya dibuang melalui air kencing. Namun, bagi sesetengah individu, terutamanya yang menghidap penyakit Gout, bahan buangan asid urik ini tidak terbuang malah berkumpul di dalam sendi dan menyebabkan rasa sakit.
Ibu jari menjadi merah, panas, bengkak dan terkena serangan biasanya secara tiba-tiba. Sendi yang mempunya asid urik terkumpul akan diserang dan terasa bisa sehingga sedikit geseran boleh menyebabkan sakit yang teruk. Daun pegaga baik untuk diamalkan oleh individu-individu yang menderita penyakit gout kerana daun pegaga berupaya menyahtoksin dan mencegah pengumpulan asid urik dalam badan.
Kesimpulan
Konklusinya, manfaat daun pegaga sememangnya mujarab dan berkesan. Bukan itu sahaja, malah khasiat dan manfaatnya juga diiktiraf dan dibuktikan melalui kajian-kajian yang dilaksanakan oleh pihak-pihak diiktiraf daripada dunia perubatan moden. Daun pegaga yang telah diamalkan dalam perubatan tradisional sejak beratus tahun dahulu dan terbukti bahawa daun pegaga mempunyai manfaat seperti mampu mengawal paras gula, mengandungi elemen anti-radang dan tahan sakit yang tinggi, membantu mempercepatkan proses penyembuhan luka dan memainkan peranan sebagai agen penyahtoksin yang baik untuk tubuh badan.