Sebut saja luka, pasti semua orang pernah luka. Tak kira lah yang masih kecil mahupun sudah tua. Dari luka yang kecil sehinggalah luka yang besar. Di internet, kita boleh baca banyak sangat mitos-mitos orang dahulu mengenai makanan pantang untuk orang luka. Ada yang dikatakan akan melambatkan luka sembuh, ada yang membuatkan kawasan luka makin gatal dan bernanah. Tapi, betul ka sebenarnya makanan-makanan ini memudaratkan diri?
Masih ramai pesakit-pesakit di hospital mengelak dari mengambil makanan yang disediakan jika berasaskan makanan seperti telur dan ayam. Ini kerana, mereka masih berpegang dengan kepercayaan masyarakat dahulu mengenai kesan makanan-makanan ini pada luka.
Jenis luka :
Luka boleh terjadi disebabkan trauma, kemalangan, kebakaran, serta masalah kesihatan seperti kencing manis, buasir dan luka selepas pembedahan.
Luka yang tidak dirawat daripada awal mudah untuk dijangkiti bakteria dan virus. Luka dalam kalangan pesakit diabetes agak kritikal kerana mereka mempunyai paras gula yang tinggi yang menyukarkan proses penyembuhan untuk berlaku. Komplikasi diabetes akibat luka ini boleh merebak sehingga menyebabkan nanah dan risiko pemotongan (amputasi).
Buasir dalaman yang tidak dirawat awal boleh meningkatkan risiko buasir luar. Buasir adalah bengkak saluran darah di dubur akibat tekanan yang kuat pada salur darah dubur. Ia boleh terjadi akibat kuat meneran ketika membuang air besar, sembelit, dan bersalin. Buasir yang kronik boleh menyebabkan pendarahan pada bengkak tersebut dan risiko jangkitan bakteria juga tinggi. Oleh itu, pemakanan sihat dan seimbang penting untuk memulihkan luka.
Proses sembuh luka :
Proses penyembuhan luka memerlukan penggantian tisu yang rosak dengan tisu baru. Ia memerlukan nutrien yang lebih tinggi berbanding ketika keadaan sihat. Mereka akan melalui fasa katabolik yang menyebabkan kehilangan air, metabolisma badan meningkat serta penggantian kolagen dan sel badan meningkat.
Makanan sembuh luka :
Penjagaan kebersihan dan ubat-ubatan merupakan antara faktor yang terlibat dalam penyembuhan luka. Tidak dilupakan pemakanan. Ia memainkan peranan penting untuk mempercepatkan lagi penyembuhan luka.
Protein adalah salah satu nutrisi utama dalam makanan. Ia diperlukan untuk pertumbuhan dan membaiki sel badan. Protein adalah gabungan asid amino yang lebih kecil.
1. Kunyit hitam
Kunyit hitam dikenali dengan nama saintifiknya Curcuma Caesia, berwarna hitam kebiruan. Ia kaya dengan antioksidan seperti kurkumin yang akan merangsang pembentukkan tisu baru, pembentukkan kolagen serta mengecutkan luka dengan cepat. Kunyit hitam juga membantu mengawal darah luka dan mempercepatkan penyembuhan luka.
Ciri-ciri antioksidan dan anti-fungi yang terdapat dalam kunyit hitam membantu melawan keradangan seterusnya melindungi diri daripada jangkitan kuman, fungus dan bakteria. Keadaan ini penting dalam proses penyembuhan luka untuk mengelakkan proses ini berpanjangan.
2. Bawang hitam
Bawang hitam atau dikenali dengan black garlic adalah bawang putih yang diawet dibawah suhu dan kelembapan tinggi selama 40 hari. Ianya lebih baik daripada bawang putih biasa. Ia mengandungi vitamin B, vitamin C, protein, serat, zink, iron, magnesium, kalsium, fosforus, dan karbohidrat. Ia juga kaya dengan asid amino, fitonutrien dan antioksidan.
Bawang hitam juga mempunyai ciri-ciri anti-radang dan anti-bakteria. Keradangan adalah proses dimana sistem imuniti badan kita bertindak balas dengan jangkitan, toksin dan kecederaan. Ia memainkan peranan dalam penyembuhan luka dan juga melindungi diri daripada jangkitan bakteria dan virus. Keradangan berlebihan akan memudaratkan dan menyebabkan komplikasi penyakit. Oleh itu, bawang hitam berupaya mengurangkan keradangan pada tahap normal dan mencegah jangkitan bakteria dan virus.
Jangkitan bakteria akan melambatkan penyembuhan luka. Allicin daripada bawang hitam mempunyai ciri-ciri anti-bakteria untuk melawan jangkitan dan menguatkan sistem imun badan. Dengan itu, luka boleh sembuh dengan cepat.
3. Telur
Apabila terjadinya luka, badan kita memerlukan sumber makanan berprotein yang lebih. Menurut American Society for Enhanced Recovery, seorang individu dengan berat 68 kg disaran untuk mengambil protein sebanyak 105g – 135g sehari. Sumber protein boleh didapati daripada telur, ayam, itik, ikan, daging, tempe dan keju.
Mitos mengenai telur akan memburukkan lagi situasi luka adalah tidak benar. Telur adalah sumber protein yang baik, paling cepat diserap dan dihadam dalam badan. Ia juga mengandungi nutrien yang membantu penyembuhan luka dan menyokong kesihatan imunisasi badan. Tetapi, jika ada yang mengalami masalah alergik, sebaiknya, dapatkan nasihat pakar perubatan terlebih dahulu.
4. Salmon
Ikan juga tinggi dengan protein yang diperlukan oleh badan untuk membaiki sel-sel otot dan tulang, serta menghasilkan hormon dan enzim. Ikan salmon kaya dengan protein, vitamin B, selenium, zat besi, zink, dan lemak omega-3.
Omega-3 boleh merangsang penyembuhan luka, meningkatkan tindak balas imuniti dan mengurangkan keradangan jika diambil dalam bentuk supplement. Ia juga boleh mengelakkan jangkitan bakteria dan virus. Jangkitan bakteria akan melambatkan proses penyembuhan. Oleh itu, perlindungan diri dengan menguatkan imuniti penting untuk membantu luka sembuh dengan cepat.
85 gram salmon liar sudah cukup untuk mencapai 70% daripada dos selenium yang badan perlukan. Selenium adalah mineral yang akan menyokong sistem badan. Ia membantu badan menghasilkan protein untuk mengelakkan sel rosak. Ia juga bantu membaiki sistem kognitif, fungsi sistem immuniti dan kesuburan.
5. “Poultry”
“Poultry” seperti ayam dan itik mengandungi glutamine and arginine iaitu asid amino yang terlibat dalam proses pemulihan dan penyembuhan luka. Ia sesuai diambil dalam kuantiti yang lebih apabila berlakunya kecederaan.
Arginine meningkatkan peredaran darah dan oksigen ke kawasan luka. Ia juga meningkatkan pembentukan kolagen, kurangkan keradangan dan membantu sembuhkan luka. Apabila terjadinya luka, kawasan tersebut memerlukan darah, oksigen dan kolagen baru yang lebih.
Glutamine adalah sumber tenaga untuk sel darah putih seperti lymphocytes, macrophages dan fibroblasts membiak. Apabila terjadinya luka atau kecederaan, glutamine akan digunakan dan jumlahnya akan berkurang.
Menurut kajian, glutamine membantu penyembuhan luka dengan meningkatkan kepekatan arginine and citrulline. Ia juga menyediakan perlindungan kepada sel ketika sel menghadapi tekanan seperti sakit dan kecederaan.
6. Seafood
Makanan laut terutamanya kekerang seperti tiram dan kerang tinggi dengan nutrisi seperti zink. Zink membantu mengekalkan fungsi sistem imunisasi yang sihat, cepat memulihkan dan menyembuhkan luka. Ketika berlaku kecederaan, pencegahan jangkitan bakteria penting kerana ia boleh menyebabkan luka tersebut bertambah teruk sehingga bernanah. Oleh itu, makanan yang boleh menguatkan immuniti penting untuk sistem badan.
7. Makanan tinggi vitamin C
Vitamin C meningkatkan imunisasi badan dan penghasilan kolagen. Ia dikenali sebagai asid askorbik yang merupakan sel pelindung antioksida yang sangat berkesan melindungi sel daripada kerosakan akibat radikal bebas. Ia juga diperlukan untuk penghasilan kolagen iaitu komponen penting untuk menutup kawasan luka.
Menurut kajian, vitamin C telah diketahui membantu dalam penyembuhan luka. Banyak makanan semulajadi yang kaya dengan vitamin C seperti jambu batu, oren, buah-buahan beri, brokoli dan bayam. Makanan ini boleh diambil setiap hari.
8. Ubi keledek
Ubi keledek adalah makanan yang tinggi dengan karbohidrat. Karbohidrat merupakan sumber tenaga untuk sel menyembuhkan luka. Kekurangan karbohidrat boleh mengganggu proses penyembuhan luka. Hal ini kerana, karbohidrat juga mengandungi enzim seperti hexokinase dan citrate synthase yang membantu membaiki kawasan luka. Ubi keledek juga kaya dengan agen anti-radang, vitamin dan mineral yang boleh mengoptimumkan tindak balas sistem imuniti dan bantu badan untuk pulih.
Konklusi:
Luka boleh terjadi disebabkan pelbagai faktor. Pemakanan adalah antara komponen penting untuk membantu mempercepatkan penyembuhan luka. Makanan tinggi protein boleh membaiki sel-sel badan yang rosak akibat kecederaan. Walaubagaimanapun, seseorang yang mempuyai masalah alergik dengan makanan perlu berhati-hati dan mendapat nasihat pakar perubatan terlebih dahulu. Oleh itu, jika mengalami luka, banyakkan pengambilan makanan tinggi protein dan bernutrisi.