Bukan Sahaja untuk Wanita, Kenali Khasiat Terbaik Mirifica

Herba ini dikenali dengan nama saintifik Pueraria mirifica. Juga dipanggil Kwao Krua. Ia adalah sejenis tumbuhan yang tumbuh di Asia Tenggara, umumnya Thailand. 

Komponen utama herba ini adalah fitoestrogen iaitu sejenis antioksidan yang menyerupai hormon estrogen dalam badan manusia. 

Akar pokok mirifica telah digunakan secara meluas dalam perubatan tradisional Thailand sejak 100 tahun dahulu untuk mengekalkan keremajaan dan awet muda lelaki dan perempuan. 

Herba istimewa ini mempunyai rasa yang lembut dan ringan serta warna kekuningan. Tidak perlu susah-susah mencari di hutan, kini, ianya telah dimodenkan dan dijadikan dalam bentuk jus, teh, kopi dan jamu yang lebih senang untuk diminum.

1. Mengurangkan simptom menopause

Setiap wanita memerlukan hormon estrogen iaitu hormon steroid yang diperlukan untuk membentuk sistem peranakan dan personaliti perempuan. Ia bekerja dengan hormon progesterone untuk kesihatan seksual wanita dan sistem peranakan.

Apabila usia meningkat, hormon ini akan berkurang menjelang menopause. 

Mirifica kaya dengan fitoestrogen yang boleh bantu kurangkan simptom menopause. Antara simptom menopause yang biasa wanita alami seperti bahang panas, faraj kering, kegatalan pada alat sulit dan haid tak teratur. 

Kajian juga telah membuktikan mirifica membantu memulihkan simptom menopause dalam kalangan wanita.

Kajian ini dibuktikan dalam jurnal oleh Persatuan Kesihatan Thailand. Jurnal ini menyatakan herba mirifica membantu mengurangkan simptom menopause dalam kalangan 37 wanita yang mengamalkan 50mg dose ekstrak mirifica setiap hari.

Tetapi kajian yang lebih terperinci diperlukan untuk membuktikan keberkesanan herba ini.

2. Menguatkan tulang

Setiap wanita akan mengalami masalah kekurangan hormon estrogen apabila usia meningkat. Keadaan ini akan mengurangkan kekuatan tulang dan mendorong kepada masalah osteoporosis. Iaitu masalah tulang rapuh. 

Pelbagai kajian dilakukan untuk mengkaji kesan mirifica keatas kekuatan tulang. Kajian ke atas tikus kajian membuktikan mirifica membantu mengekalkan kepadatan jisim tulang dalam tikus yang menerima ekstrak herba ini. 

Oleh itu, mengamalkan mirifica secara konsisten membantu meningkatkan kesihatan tulang.

3. Antioksidan

Antioksidan sama seperti anti-penuaan. Ia bertanggungjawab melindungi diri daripada kerosakan sel yang disebabkan radikal bebas yang tidak efektif dalam badan. 

Antioksidan yang dihasilkan oleh badan akan berkurang dengan peningkatan usia. Oleh itu, ia perlu diambil daripada sumber makanan untuk menampung kekurangan antioksidan.

Radikal bebas adalah hasil daripada metabolisma dalam badan. Ia dijadikan secara semulajadi apabila badan menukarkan makanan yang dimakan menjadi tenaga dan juga semasa bersenam. Radikal bebas ini boleh terhasil disebabkan faktor persekitaran seperti merokok, pencemaran udara dan pendedahan kepada cahaya matahari.

Radikal bebas ini penting untuk badan tetapi kuantiti yang berlebihan akan menyebabkannya menyerang sel-sel dalam badan.

Fitoestrogen daripada mirifica membantu meningkatkan dan membaiki paras antioksidan dalam badan. Kajian dilakukan keatas tikus kajian diantara pengambilan ekstrak mirifica dan supplement estrogen. Hasil kajian membuktikan haiwan yang diberi ekstrak mirifica menunjukkan peningkatan dalam paras antioksidan. 

Walaubagaimanapun, kajian yang lebih terperinci diperlukan untuk mengetahui keberkesanan mirifica dalam meningkatkan antioksidan.

4. Meningkatkan kesihatan jantung

Kesihatan jantung akan terganggu menjelang menopause. Ini disebabkan pengurangan hormon estrogen berikutan peningkatan usia. 

Hormon estrogen diperlukan untuk proses metabolisma lemak dan gula. Pengurangan hormon ini akan menyebabkan paras kolesterol, keradangan serta berat badan meningkat. 

Kajian 2 bulan keatas 19 wanita menopause membuktikan mirifica membantu meningkatkan paras HDL kolesterol sebanyak 34% dan menurunkan LDL kolesterol sebanyak 17%. 

HDL kolesterol adalah kolesterol baik yang akan menyerap kolesterol dan membawanya kembali ke organ hati untuk diproses. LDL kolesterol adalah kolesterol jahat yang akan melekat di dinding saluran darah dan membentuk plak. Plak yang tidak dirawat dari awal akan menjadi semakin banyak dan menghalang pergerakan darah ke seluruh badan. Darah ini membawa oksigen yang diperlukan oleh badan. Jika aliran darah ini terhalang, oksigen tidak dapat sampai ke sel-sel badan dan boleh menyebabkan pelbagai komplikasi penyakit seperti jantung dan strok. 

Oleh itu, mengamalkan ekstrak mirifica secara konsisten membantu mengawal paras kolesterol dalam darah.

Konklusi:

Konklusinya, herba mirifica mengandungi bahan aktif yang baik untuk kesihatan badan. Bukan saja untuk wanita, herba ini juga sesuai dengan lelaki untuk antioksidan dan memastikan kesihatan jantung sentiasa terjaga.

Herba mirifica tidak digalakkan untuk diambil dalam kuantiti yang banyak secara terus. Ini kerana herba ini mengandungi bahan aktif menyerupai hormon estrogen yang boleh memberi kesan negatif seperti membesarkan payudara dan merosakkan organ hati.

Justeru itu, ambillah secara bersederhana.

Rujukan:

  1. 7 Emerging Benefits of Pueraria mirifica
  2. Suthon S, Jaroenporn S, Charoenphandhu N, Suntornsaratoon P, Malaivijitnond S. Anti-osteoporotic effects of Pueraria candollei var. mirifica on bone mineral density and histomorphometry in estrogen-deficient rats. J Nat Med. 2016 Apr;70(2):225-33. doi: 10.1007/s11418-016-0965-5. Epub 2016 Jan 27. PMID: 26815435.
  3. What Is Pueraria Mirifica?
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi, penulis Fitpedia. Merupakan graduan Dietetik dari UIAM. Minat dalam bidang nutrisi dan kesihatan dan suka berkongsi ilmu kesihatan dan nutrisi kepada masyarakat supaya masyarakat mendapat ilmu yang betul.Di Fitpedia, kita menyediakan info-info berkaitan kesihatan, nutrisi dan tips berkaitan pemakanan.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here