Bukan Sahaja Untuk Imuniti… Khasiat Bawang Putih Lebih Daripada Itu

Bawang putih juga dikenali dengan Allium sativum sebagai nama saintifik. Ia berasal daripada Asia Barat dan kepulauan Mediterranean. Bawang putih sering digunakan dalam masakan sebagai rempah ratus dalam bahan tumisan, sos serta salad dressing.  

Bawang putih telah digunakan sejak sekian lama dalam bidang perubatan dalam masyarakat terdahulu termasuklah masyarakat Cina, Mesir, Greek serta Roman. Malah, ketika Perang Dunia Pertama dan Kedua, ia digunakan sebagai antiseptik untuk mencegah masalah gangren. Ianya ialah keadaan apabila sel tisu mati disebabkan oleh pengaliran darah ke tisu badan tersekat atau jangkitan bakteria. 

Makan 1 atau 2 ulas bawang putih mentah sehari masih selamat untuk dewasa.  Tetapi ia boleh menimbulkan ketidak selesaan dengan bau badan dan mulut. Pengambilan bawang putih secara berlebihan terutamanya ketika perut kosong boleh menimbulkan pelbagai risiko penyakit antaranya gangguan sistem pencernaan, kembung perut dan perubahan dalam flora usus.

Bawang putih kaya dengan komponen allicin iaitu kompound sulfur yang mengadungi khasiat luar biasa pada tubuh badan manusia. Ia membantu menguatkan sistem imuniti badan dan melindungi diri daripada penyakit jantung dan kanser. Ia adalah komponen yang memberi bau dan rasa bawang putih apabila dia dicincang atau dihancurkan. Tetapi, merebus, memanaskan atau membuat jeruk akan mengurangkan allicin daripada bawang ini.

Khasiat bawang putih

1. Menguatkan sistem imuniti

Kajian telah membuktikan bawang putih membantu mengurangkan keradangan dan merangsang fungsi sistem imuniti. Keadaan ini dibantu dengan komponen allicin dan antioksidan yang terdapat dalam bawang ini. 

Pelbagai kajian lain juga membuktikan keberkesanan bawang putih dalam mengurangkan selsema serta menguatkan imuniti. Kajian selama 12 minggu membuktikan pengambilan supplemen bawang putih setiap hari mengurangkan risiko selsema sebanyak 63% berbanding placebo. Placebo adalah peserta kajian yang diberi supplement tanpa bawang putih tanpa pengetahuan mereka. 

Sepasukan penyelidik dari St. Joseph Family Medicine Residency, Indiana menjalankan kajian untuk mengenal pasti kesan pengambilan bawang putih ke atas kekerapan serangan selesema. Bukti menunjukkan kekerapan pengambilan suplemen bawang putih dapat mengurangkan kekerapan selesema dalam kalangan dewasa. Justeru itu, bawang putih membantu menguatkan imuniti badan apabila diamalkan secara konsisten.

2. Menstabilkan paras gula dalam darah

Pesakit diabetes akan mengalami masalah paras gula tidak stabil. Hal ini berlaku disebabkan insulin yang dihasilkan oleh pankreas tidak mencukupi atau insulin tersebut tidak dapat bertindak balas dengan gula dalam darah. 

Bawang putih berupaya meningkatkan sensitiviti insulin dengan gula dalam darah. Oleh itu, paras gula dapat dikawal.

Kajian pada 2014 pula membuktikan bawang putih membantu mengawal paras gula dalam darah. Manakala kajian pada 2006 membuktikan bawang putih mentah membantu mengurangkan paras gula dalam darah serta mengurangkan risiko atherosclerosis. Ianya adalah pengerasan dinding saluran arteri disebabkan pengumpulan plak kolesterol.

Selain itu, kajian pada 2013 dilakukan keatas 60 orang peserta dengan masalah diabetes jenis 2 yang mengambil ubat metformin dan kombinasi ubat metformin dan bawang putih selama 12 minggu, 2 kali sehari. Hasil menunjukkan individu dengan pengambilan kombinasi metformin dan bawang putih menunjukkan pengurangan pada paras gula dalam darah ketika puasa dan selepas makan lebih banyak berbanding mengambil metformin sahaja.

Kandungan vitamin C yang tinggi daripada bawang putih juga membantu mengekalkan paras gula dalam darah pada tahap normal.

3. Mengawal kolesterol

Bawang putih boleh mengawal paras LDL kolesterol. Tetapi tiada kajian khusus yang menyatakan ia boleh meningkatkan paras HDL kolesterol.

LDL kolesterol adalah kolesterol jahat. Lebihan kolesterol ini akan menyebabkan pengumpulan di dinding saluran arteri dan menghasilkan plak berlemak dan berlilin (waxy). Keadaan ini seterusnya akan mengeraskan dinding arteri dan menghalang darah daripada mengalir dalam saluran arteri dengan lancar. Ini akan menyebabkan jantung perlu bekerja lebih untuk menolak darah mengalir melalui saluran tersebut. 

HDL kolesterol adalah kolesterol baik. Ia akan membawa lebihan kolesterol dari arteri ke hati, diproses dan akan dikeluarkan dari badan. Kolesterol penting untuk badan supaya organ dalam sistem badan dapat berfungsi dengan baik. Ia diperlukan juga untuk menghasilkan hormon dan vitamin D. Namun demikian, lebihan kolesterol ini akan memudaratkan kesihatan dan mengakibatkan pelbagai penyakit seperti penyakit jantung dan stroke. 

Penyelidik daripada Universiti Ankara, Turki menjalankan kajian, kesan supplemen ekstrak bawang putih keatas pesakit yang mengalami masalah tinggi kolesterol. Kajian tersebut melibatkan 23 peserta dengan semuanya mempunyai masalah yang sama serta 13 daripadanya mengalami masalah tekanan darah tinggi.

Kajian ini dilakukan selama 4 bulan. Hasil kajian merumuskan bahawa bawang putih berupaya membaiki bacaan profil lipid, menguatkan antioksidan darah dan mengawal tekanan darah tinggi. Dengan ini, paras kolesterol dan darah tinggi dapat dikawal dan mencegah risiko penyakit jantung dan stroke. 

4. Antioksidan

Bawang putih kaya dengan antioksidan semulajadi seperti flavonoids, saponins, mikronutrient penting, dan makronutrient. Ciri-ciri antioksidan ini penting untuk melindungi daripada pengoksidaan DNA, protein dan lipid disebabkan radikal bebas. 

Radikal bebas dihasilkan oleh badan manusia. Faktor sekeliling boleh meningkatkan kuantiti radikal bebas dan merosakkan sel-sel dalam badan. Kuantiti yang berlebihan akan menyebabkan pelbagai risiko penyakit seperti penuaan, keradangan, dan kemerosotan sistem saraf. 

Suplemen bawang putih yang diambil dengan kerap dan konsisten dapat meningkatkan paras enzim antioksidan dan melindungi diri daripada radikal bebas.

5. Antibakteria

00

Bawang putih terbukti dapat mencegah pelbagai penyakit. Pelbagai kajian terbaru telah membuktikan bawang putih mentah lebih berkesan melawan aktiviti bakteria, fungus dan virus. 

Bioaktif kompound daripada daripada bawang putih membantu menyekat aktiviti bakteria. Ia juga membantu melawan sumber penyakit bawaan makanan (food borne illness) lebih baik daripada antibiotik.

Kajian dilakukan untuk mengenal pasti khasiat bawang putih sebagai agen antibakteria. Ia dibuktikan juga dengan kajian yang dilakukan dalam Journal Antimicrobial Chemotherapy, menunjukkan bawang putih 100 kali lebih efektif dalam melawan Campylobacter bacterium berbanding antibiotik. Bakteria ini biasanya menyebabkan pelbagai penyakit berkaitan usus.

Risiko

Bawang putih kaya dengan sulfur yang boleh memberi rasa panas badan. Bawang putih mengandungi komponen yang boleh menyebabkan ketidakselesaan pada saluran pencernaan dan menyebabkan rasa panas seperti terbakar di dada dan perut. Keadaan ini hanya berlaku dalam individu yang mengambil makanan ini secara berlebihan.

Rujukan

  1. Padiya, R., Khatua, T. N., Bagul, P. K., Kuncha, M., & Banerjee, S. K. (2011). Garlic improves insulin sensitivity and associated metabolic syndromes in fructose fed rats. Nutrition & metabolism, 8, 53.
  2. Moutia, M., Habti, N., & Badou, A. (2018). In Vitro and In Vivo Immunomodulator Activities of Allium sativum L. Evidence-based complementary and alternative medicine : eCAM, 2018, 4984659.
  3. Arreola, R., Quintero-Fabián, S., López-Roa, R. I., Flores-Gutiérrez, E. O., Reyes-Grajeda, J. P., Carrera-Quintanar, L., & Ortuño-Sahagún, D. (2015). Immunomodulation and anti-inflammatory effects of garlic compounds. Journal of immunology research2015, 401630.
  4. Jang, H. J., Lee, H. J., Yoon, D. K., Ji, D. S., Kim, J. H., & Lee, C. H. (2017). Antioxidant and antimicrobial activities of fresh garlic and aged garlic by-products extracted with different solvents. Food science and biotechnology, 27(1), 219–225.
  5. 9 foods to help balance blood sugar levels
  6. Kumar, R., Chhatwal, S., Arora, S., Sharma, S., Singh, J., Singh, N., Bhandari, V., & Khurana, A. (2013). Antihyperglycemic, antihyperlipidemic, anti-inflammatory and adenosine deaminase- lowering effects of garlic in patients with type 2 diabetes mellitus with obesity. Diabetes, metabolic syndrome and obesity : targets and therapy, 6, 49–56.
  7. Washington State University. (2012, May 1). Garlic compound fights source of food-borne illness better than antibiotics. ScienceDaily. Retrieved November 8, 2021 from www.sciencedaily.com/releases/2012/05/120501134203.htm
  8. Tattelman E. Health effects of garlic. Am Fam Physician. 2005 Jul 1;72(1):103-6. PMID: 16035690.
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi, penulis Fitpedia. Merupakan graduan Dietetik dari UIAM. Minat dalam bidang nutrisi dan kesihatan dan suka berkongsi ilmu kesihatan dan nutrisi kepada masyarakat supaya masyarakat mendapat ilmu yang betul.Di Fitpedia, kita menyediakan info-info berkaitan kesihatan, nutrisi dan tips berkaitan pemakanan.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here