Bukan Hanya Untuk Asam Pedas… Teh Moringa Lebih Baik Daripada Segala Teh

Moringa sering dirujuk sebagai ubat mujarab kerana keupayaan merawat penyakit atau mengurangkan hampir 300 jenis masalah kesihatan. Ia sudah digunakan sejak sekian lama dalam perubatan herba oleh orang Afrika dan India. Dengan adanya fitokimia menjadikan herba ini agen perubatan terbaik.

Herba ini juga dikenali sebagai mungai dalam kalangan warga tempatan. Nama saintifiknya adalah Moringa Oleifera. Ia merupakan sejenis tumbuhan yang dipanggil sebagai “Miracle tree”, pokok drumstick, pokok minyak atau pokok lobak.

Herba ini biasanya diambil dalam bentuk minuman teh. Malah, ia juga boleh diambil dalam bentuk kopi, jus, kapsul serta minyak sapuan. Daunnya mengandungi antioksidan dan pelbagai nutrisi yang bagus untuk kesihatan.

Kebaikan moringa:

1. Melawan radang

Radang adalah tindak balas terhadap jangkitan atau kecederaan disebabkan oleh serangan bakteria, trauma, toksik, dan haba. Ia adalah mekanisma perlindungan oleh sistem badan.

Darah akan mengalir dengan lebih banyak pada kawasan terbabit dan beberapa bahan kimia akan dilepaskan serta sel-sel darah putih turut terlibat. Antara bahan kimia tersebut adalah histamine, bradykinin, dan prostaglandins. Ini juga merupakan proses pemulihan daripada keradangan.

Antara simptom yang akan dialami disebabkan radang ialah merah, panas, bengkak, sakit serta hilang fungsi. Contoh hilang fungsi adalah sendi tak boleh bergerak dan jantung tidak berfungsi dengan efisien.

Moringa mempunyai kompound anti-radang yang membantu merawat pelbagai penyakit dan digelar superfood. Antara penyakit radang termasuk gout, arthritis (sendi), asma, penyakit autoimun, strok, kanser, kencing manis, penyakit jantung, dan masalah buah pinggang.

2. Sebagai antioksidan

Antioksidan adalah bahan kimia semulajadi yang akan melindungi sel daripada kerosakan disebabkan radikal bebas. Ia juga akan melambatkan proses penuaan dengan menstabilkan fungsi hormon secara semulajadi. 

Moringa mengandungi antioksidan yang akan melindungi sel badan dari kerosakan. Ia mempunyai bahan kimia yang boleh mengekalkan kelembapan kulit, mempercepatkan penyembuhan luka, merawat masalah kulit kering, kulit terbakar dan mengurangkan parut jika diambil secara konsisten. 

Minyak moringa akan disapu terus pada lapisan kulit untuk membunuh bakteria. Namun, apabila sering digunakan, ia akan bertindak sebagai pelincir dan menghidrat kulit dengan mengembalikan kelembapan semula jadinya. 

Selain itu, minyak moringa bermanfaat melindungi rambut daripada kerosakkan disebabkan radikal bebas dan memastikannya sentiasa bersih dan sihat. Ia juga mengandungi protein yang bertindak melindungi sel kulit daripada kerosakkan.

3. Meningkatkan penghadaman

Moringa mempunyai ciri-ciri antibiotik dan anti-bakteria yang akan menghalang pertumbuhan patogen. Ini akan membantu mengurangkan masalah gastritis dan ulser pada perut dan usus besar yang berpunca daripada jangkitan. 

Kandungan vitamin B yang tinggi membantu penghadaman yang lebih lancar. Ia dapat mengurangkan masalah sembelit, cirit-birit dan tidak sedap perut yang berpunca daripada masalah penghadaman.

4. Mengawal kencing manis

Moringa mengandungi bahan semulajadi anti-diabetes dan penstabil hormon seperti asid klorogenik untuk mengawal paras gula dalam darah dan membenarkan sel untuk  mengambil dan melepaskan glukosa.

Selain itu, isothiocyanates yang terdapat dalam daun moringa mengandungi bahan semula jadi melindungi daripada kencing manis.

Kajian daripada International Journal of Food Science Technology membuktikan herba moringa memberi kesan positif keatas pengawalan paras gula dan insulin dalam kalangan pesakit kencing manis apabila ia dimakan sebagai makanan tinggi karbohidrat.  

Herba moringa mengandungi bahan kimia untuk mengurangkan jumlah glukosa dalam darah serta gula dan protein dalam urin. Keadaan ini membaiki paras hemoglobin dan kandungan protein secara keseluruhan dalam kalangan pesakit kencing manis. 

Beberapa kajian juga membuktikan protein seperti insulin yang terdapat dalam moringa boleh menurunkan paras gula dalam darah. Bahan kimia daripada daun moringa ini boleh mengawal gula dengan lebih baik dan mengawal penghasilan hormon insulin. 

5. Mengatasi masalah jantung

Ekstrak moringa juga berupaya mencegah kerosakan jantung dan memastikan jantung sihat. Hal ini kerana, herba ini mengandungi isothiocyanate dan niaziminin iaitu bahan untuk menghalang saluran darah arteri daripada terus menebal. Jika tidak dikawal dari awal, boleh menyebabkan peningkatan tekanan darah tinggi. 

Penebalan saluran darah berpunca daripada pembentukkan plak akibat lebihan kolesterol dalam darah. Sifat moringa sebagai anti-kolesterol boleh menghalang kolesterol berlebihan dalam salur darah. Oleh itu, penyakit jantung dapat dicegah.

6. Menguatkan sistem imunisasi

Herba ini mengandungi agen antibiotik dan anti-bakteria untuk mencegah pembentukkan patogen. Daun moringa kaya dengan fitonutrien yang akan menguatkan sistem imunisasi badan untuk melawan jangkitan. Vitamin A, vitamin C dan zat besi menyokong sistem imunisasi yang aktif dan sihat. 

Ekstrak moringa berkesan melawan jangkitan disebabkan Salmonella, Rhizopus, dan E. coli. Pengambilan herba ini secara konsisten dalam bentuk teh atau kapsul akan melindungi badan daripada jangkitan bakteria dan virus.

7. Mencegah anemia

Moringa mengandungi zat besi 25x lebih banyak berbanding bayam. Ia membantu penyerapan zat besi ke dalam badan dengan lebih banyak dan meningkatkan penghasilan sel darah merah. Oleh itu, herba ini berkesan merawat dan mencegah masalah anemia (kurang darah merah) dan penyakit sel sabit (sickle cell disease).

8. Mengurangkan allergik dan asthma

Ekstrak biji moringa berupaya mengurangkan reaksi allergik. Hal ini kerana herba ini mengandungi agen anti-radang yang membantu mengurangkan serangan asma dan melindungi saluran pernafasan daripada menyempit. Ia juga membantu fungsi peparu bekerja dengan efisien dan melancarkan pernafasan.

9. Menghilangkan tekanan

Moringa adalah herba tinggi protein dan kaya dengan sumber asid amino tryptophan. Tryptophan diperlukan untuk penghasilan hormon melatonin dan serotonin. 

Serotonin adalah hormon untuk menstabilkan emosi dan memberi rasa gembira. Manakala melatonin adalah hormon yang mengatur kitaran tidur. Emosi yang stabil dan tidur yang cukup boleh mencegah masalah kemurungan dan kegelisahan. 

Selain itu, herba ini juga mengandungi antioksidan dan bahan kimia lain yang membantu menghilangkan tekanan. 

10. Mencegah kanser

Moringa mengandungi bahan anti-kanser iaitu niazimicin. Ia adalah bahan utama yang akan mencegah pembentukkan sel kanser. 

Kajian makmal membuktikan ekstrak daun moringa melambatkan pertumbuhan sel kanser pankreas serta melancarkan proses kemoterapi. Ekstrak ini juga boleh menghalang percambahan sel kanser serviks. Kajian lain juga menyatakan daun, batang dan akar moringa mempunyai kesan anti-kanser yang boleh dijadikan ubat penawar penyakit kanser. 

11. Menurunkan berat badan

Serbuk moringa atau daun moringa boleh diminum sebagai teh pada waktu pagi sebelum makan pagi. Jika diambil secara konsisten, ia boleh menurunkan berat badan dan mendapat berat badan ideal. Herba ini membantu mengurangkan pembentukkan lemak dan mendorong pemecahan lemak. Jadi, ia membantu mengatasi masalah obesiti.

Konklusi

Moringa adalah sejenis herba yang mengandungi banyak manfaat kesihatan. Pengambilan secara konsisten memberi kesan yang efektif kepada individu. Walaubagaimanapun, setiap makanan haruslah diambil secara bersederhana kerana jika berlebihan, boleh memberi risiko kepada badan.

Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi, penulis Fitpedia. Merupakan graduan Dietetik dari UIAM. Minat dalam bidang nutrisi dan kesihatan dan suka berkongsi ilmu kesihatan dan nutrisi kepada masyarakat supaya masyarakat mendapat ilmu yang betul.Di Fitpedia, kita menyediakan info-info berkaitan kesihatan, nutrisi dan tips berkaitan pemakanan.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here