Bukan Hanya Sayuran… Ini 7 Superfood Terbaik Untuk Pesakit Diabetes

Diabetes atau kencing manis adalah apabila paras gula dalam darah menjadi tinggi. Paras gula yang berterusan tinggi akan merosakkan saraf dan saluran darah. Pemakanan dengan kuantiti yang betul penting untuk pesakit diabetes. Ini akan menstabilkan bacaan gula di samping meningkatkan tindak balas insulin terhadap glukosa.

Superfood menjadi telah suatu fenomena. Ianya adalah makanan yang kaya dengan kompound seperti serat, antioksidan dan asid lemak yang memberi manfaat untuk kesihatan. Pelbagai jenis makanan dipilih menjadi superfood.

Makanan superfood untuk diabetes:

1. Sayur-sayuran daun hijau

Sayur-sayuran hijau tidak mengandungi kalori dan tidak akan menaikkan berat badan. Sayur ini mengandungi serat, vitamin (vitamin A, C, E, dan K) dan mineral (zat besi, kalsium, potassium) yang tinggi. Oleh itu, ia boleh diambil dalam kuantiti yang banyak.

Serat daripada makanan ini bagus untuk memberi rasa kenyang dengan cepat dan lama. Ia akan membantu mengawal berat badan yang boleh meningkatkan paras gula dalam darah. Di samping itu, serat daripada sayuran hijau akan melambatkan penyerapan gula dalam darah. Oleh itu, paras gula dalam darah akan menjadi terkawal.

2. Moringa

Moringa adalah sejenis makanan superfood. Ia juga dikenali sebagai kelor atau munggai. Daunnya boleh diminum sebagai teh atau jus, manakala buahnya sering dimasak dalam masakkan tradisional Melayu. Ia mengandungi pelbagai jenis nutrisi penting untuk badan seperti serat, asid lemak, protein, kalsium, sodium, vitamin C, vitamin A, zat besi, potassium dan agen anti-radang serta antioksidan.

Moringa jika diamalkan secara konsisten boleh mengawal berat badan dan paras gula dalam darah. Ia membantu mengurangkan pembentukkan dan mendorong pemecahan lemak. 

Moringa mengandungi bahan semulajadi anti-diabetes dan penstabil hormon seperti asid klorogenik untuk mengawal paras gula dalam darah dan membenarkan sel untuk  mengambil dan melepaskan glukosa.

Beberapa kajian juga membuktikan protein seperti insulin yang terdapat dalam moringa boleh menurunkan paras gula dalam darah. Bahan kimia daripada daun moringa ini boleh mengawal gula dengan lebih baik dan mengawal penghasilan hormon insulin. 

3. Buah-buahan beri

Buah-buahan beri seperti strawberi, blueberi, kranberi dan blackberi kaya dengan nutrien dan fitonutrien seperti vitamin C, vitamin K dan potassium. Fitonutrien yang terdapat dalam buah-buahan beri akan melambatkan penyerapan gula dalam darah dan meningkatkan tindak balas insulin. 

Kajian yang diterbitkan pada  tahun 2019 dalam jurnal Food & Function menyatakan kekerapan pengambilan buah-buahan ini akan membaiki paras gula dalam darah selepas makan. Buah-buahan ini boleh diambil dalam bentuk buah segar, sejuk beku dan kering. Nutrisinya dalam bentuk buah-buahan kering tidak hilang, malah menjadi lebih pekat.

4. Walnut

Walnut merupakan sejenis kekacang yang kaya dengan serat, protein dan lemak sihat. Serat daripada walnut ini akan memberi rasa kenyang dengan cepat dan lama. Selain itu, serat ini akan melambatkan penyerapan gula seterusnya mengawal paras gula dalam darah.

Kajian pada tahun 2012 menyatakan, pengambilan kekacang dalam makanan harian sekurang-kurangnya 2 kali seminggu akan mengurangkan risiko peningkatan berat badan berbanding individu yang tidak memakan kekacang. Walaubagaimanapun, kekacang harus diambil dalam kuantiti yang sederhana kerana pengambilan berlebihan akan meningkatkan berat badan.

Berat badan berlebihan dan obesiti adalah faktor terjadinya diabetes. Dengan pengawalan berat badan, paras gula dalam darah terkawal dan risiko mendapat diabetes berkurang. 

5. Halia

Halia adalah makanan yang mengandungi agen anti-radang. Kajian mendapati halia mampu mengurangkan paras gula ketika puasa (fasting blood glucose) dan membaiki tindak balas insulin dalam kalangan pesakit diabetes. Fasting blood glucose diukur sekurang-kurangnya setelah 8 jam berpuasa semalaman.

Kajian pada tahun 2014 juga menunjukkan pengurangan paras gula dalam kalangan pesakit diabetes yang mengambil 3 biji kapsul halia selama 8 minggu. 

6. Kulit kayu manis

Kulit kayu manis adalah sejenis rempah yang sering digunakan dalam masakkan harian, pembuatan kek serta minuman seperti teh dan susu. Ia boleh didapati dalam pelbagai bentuk antaranya kapsul, serbuk dan batang. 

Kajian pada tahun 2019 yang diterbitkan dalam jurnal Clinical Nutrition memerlukan peserta kajian mengambil sebanyak 2 biji, 500mg kapsul kulit kayu manis setiap hari selama 2 bulan. Hasil kajian mendapati pesakit diabetes yang mengamalkan kulit kayu manis sebagai makanan tambahan menunjukkan peningkatan dalam jisim berat badan (BMI) dan bacaan paras gula berbanding pesakit yang tidak mengamalkan makanan ini.

7. Tomato

Tomato ada sejenis buah yang sering digunakan sebagai sayur-sayuran. Ia mengandungi indeks glisemik (GI) yang rendah. Makanan dengan GI yang rendah akan menyerap gula dengan kadar perlahan dan tidak akan menaikkan bacaan paras gula dengan mendadak.

Selain itu, tomato juga mengandungi vitamin C, vitamin E dan potassium yang diperlukan badan. Ia juga mengandungi serat yang tinggi. Serat ini akan memberi rasa kenyang dengan cepat dan lama serta mengurangkan pengambilan kuantiti makanan. Oleh itu, berat badan dapat dikawal seterusnya bacaan paras gula dalam darah lebih stabil. 

Kajian keatas pesakit diabetes mendapati pesakit yang mengamalkan buah ini sebanyak 1 atau 2 tomato dengan saiz sederhana setiap hari akan mengurangkan risiko mendapat darah tinggi selepas 8 minggu. Darah tinggi adalah komplikasi kepada penyakit diabetes.

Konklusi :

Konklusinya, pelbagai makanan boleh dianggap superfood. Tetapi makanan-makanan dengan nutrien yang tinggi dan mampu mengawal paras gula dalam darah lebih sesuai untuk pesakit diabetes.

Rujukan:

  1. Five Superfoods for Diabetes
  2. Ten diabetes superfoods
  3. What superstar foods are good for diabetes?
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi, penulis Fitpedia. Merupakan graduan Dietetik dari UIAM. Minat dalam bidang nutrisi dan kesihatan dan suka berkongsi ilmu kesihatan dan nutrisi kepada masyarakat supaya masyarakat mendapat ilmu yang betul.Di Fitpedia, kita menyediakan info-info berkaitan kesihatan, nutrisi dan tips berkaitan pemakanan.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here