Berhati-Hati! Bayi Dah 15 Hari, Tiba-Tiba Kulit Jadi Kuning

Penyakit kuning adalah perkara yang sering terjadi dalam kalangan bayi baru lahir. Ia juga dikenali sebagai jaundis. Hampir 50% bayi baru dilahirkan akan mengalami masalah ini. Masalah jaundis atau demam kuning ini dialami oleh bayi berusia 2 – 3 hari lepas dilahirkan.  

Keadaan ini akan menyebabkan kulit dan mata bayi menjadi kekuningan. Hal ini disebabkan bacaan bilirubin tinggi daripada paras normal. Masalah ini mudah dikenalpasti dalam bayi berkulit putih berbanding bayi berkulit gelap. Ia juga boleh dikesan dalam cahaya semulajadi.

Apa itu jaundis?

Jaundis adalah warna kekuningan yang kelihatan pada kulit disebabkan peningkatan paras bilirubin dalam darah. Ia boleh dialami tanpa mengira peringkat umur. Tetapi jaundis dalam kalangan bayi, berlaku dalam tempoh sebulan selepas dilahirkan.

Apa itu bilirubin?

Bilirubin adalah penguraian pigmen daripada sel darah merah yang telah mati. Ia akan diproses di dalam hati sebelum dikeluarkan ke dalam najis. Bacaan normal bilirubin untuk bayi ialah kurang daripada 20 mg/dL (340 umol/L). Apabila bacaannya lebih daripada sepatutnya, ia boleh mendatangkan bahaya kepada kesihatan bayi. 

Hemoglobin di dalam sel darah merah berfungsi untuk membawa oksigen yang akan diuraikan menjadi kompaun bernama ‘heme.’ Heme pula akan diuraikan hingga menjadi bilirubin dan kompaun inilah yang menyebabkan bayi kuning.

Ketika dalam kandungan, bayi mendapat bekalan oksigen daripada pertukaran gas yang berlaku di uri (placenta) yang berada dalam rahim ibu. Hal ini kerana bayi tidak boleh bernafas. Oleh itu, ia memerlukan sel darah merah yang banyak untuk menarik oksigen daripada ibu dengan lebih efektif. 

Tetapi apabila bayi telah lahir, ia tidak lagi memerlukan sel darah merah yang banyak kerana sudah boleh bernafas sendiri. Sel ini akan diproses dan dicerna di dalam hati dan limpa (spleen). Jumlahnya yang banyak akan menyebabkan terjadinya penyakit kuning.

Disebabkan bilirubin bersifat mudah larut (hydrophobic) dalam lemak, ia menyebabkan kompaun ini mudah untuk merentasi dinding sel yang juga terdiri daripada lemak dan berkumpul dibawah kulit. Disebabkan itu, kulit akan berubah warna menjadi kuning. 

Faktor terjadi jaundis :

1) Bayi pramatang

Bayi yang dilahirkan sebelum 37 minggu kelahiran berisiko tinggi mendapat penyakit kuning (jaundis). Mereka dipanggil bayi pramatang kerana lahir sebelum masa yang sepatutnya. Jaundis ini terjadi disebabkan oleh penguraian sel-sel darah merah dan keadaan organ hati yang belum cukup matang.

2) Bayi tak cukup susu ibu

Bayi yang tidak mendapat susu ibu atau susu formula mencukupi. Ia sama ada kerana kesukaran untuk menyusu atau ketiadaan susu ibu. Susu mencukupi penting supaya bayi mendapat tenaga dan nutrisi yang cukup untuk tumbesaran. Masalah jaundis jenis ini akan hilang apabila pengambilan susu bayi telah mencukupi.

3) Bayi dengan jenis darah tak sesuai darah ibu

Keadaan ini berlaku apabila darah ibu dan anak tidak bersesuaian antara satu sama lain. Ini kerana ibu dan anak boleh mempunyai darah dengan jenis yang berbeza. Contohnya, keadaan ini berlaku apabila ibu mempunyai darah rhesus-negative dan anak rhesus-positif. Selain itu, jika ibu mempunyai darah ‘o’ dan anak mempunyai darah selain ‘o’, ia juga boleh menggangu kesihatan bayi.

Darah ini boleh bercampur semasa bayi dalam kandungan atau ketika sudah lahir. Ia akan menyebabkan lebih banyak sel darah merah diuraikan menjadi bilirubin dan menghasilkan warna kuning.

4) Bayi mempunyai masalah hati

Bayi baru lahir masih memerlukan masa untuk organ dan sistem badan mereka berkembang dan berfungsi dengan baik.

5) Bayi mudah terkena jangkitan

Jangkitan bakteria boleh menyebabkan bayi kuning. Bayi baru lahir mudah terdedah kepada pelbagai jangkitan kerana mereka mempunyai imuniti (sistem ketahanan badan) yang masih lemah. Sistem badan mereka masih dalam proses pertumbuhan dan perkembangan.

6) Bayi kekurangan enzim (G6PD)

Kekurangan enzim ini menyebabkan sel-sel darah merah tidak stabil apabila terdedah pada bahan-bahan tertentu. Walau bagaimanapun, tidak lebih daripada 5% bayi mengalami masalah ini. Sekarang semua bayi akan diperiksa status G6PD nya sejurus selepas lahir.

Tanda bahaya jaundis kepada bayi :

Penyakit kuning dalam kalangan bayi tidak berbahaya. Tetapi ia boleh menjadi bahaya sekiranya terdapat tanda-tanda ini :

  • Ia terjadi dalam masa 24 jam selepas dilahirkan.
  • Peningkatan kekuningan yang cepat.
  • Bayi anda mengalami kekurangan enzim G6PD.
  • Anak terdahulu pernah mengalami jaundis teruk.
  • Bayi anda tidak aktif dan tidak mahu menyusu.
  • Najis bayi anda kelihatan pucat atau air kencingnya menjadi pekat.

Kesan jaundis teruk:

Bacaan paras bilirubin dalam darah bayi baru lahir boleh mencapai tahap bahaya. Bacaan melebihi 20 mg/dL (340 umol/L) adalah tinggi. Ia boleh mengganggu pendengaran di mana terjadi kerosakan otak di bahagian kawalan pendengaran. Keadaan ini dikenali sebagai kernicterus.

Susu ibu untuk bayi jaundis:

Susu ibu boleh diberikan kepada bayi yang mempunyai masalah jaundis. Ia mengandungi nutrien yang diperlukan oleh bayi untuk kekal sihat dan membesar. Beberapa tips perlu diikuti untuk membantu bayi menghadapi masalah jaundis ini.

Para ibu disarankan untuk:

  • Menyusukan bayi sebaik kelahiran dengan kerap dalam beberapa hari selepas kelahiran. Hal ini membantu bayi untuk lebih kerap membuang dan menyingkirkan bilirubin.
  • Pam susu sebagai stok simpanan untuk diberikan kepada bayi
  • Jika bayi kerap mengantuk, pam susu kolostrum dan berikan melalui cawan atau sudu.
  • Pastikan bayi menyusu 8 hingga 12 kali dalam tempoh 24 jam.
  • Jika bayi tidak bangun dalam tempoh 3 jam, kejutkan untuk menyusu.

Konklusi:

Susu ibu adalah vaksin semula jadi untuk manusia. Ia mengandungi semua nutrien yang diperlukan oleh bayi untuk membesar serta melindungi diri daripada jangkitan virus dan bakteria.

Penyakit kuning dalam kalangan bayi baru lahir adalah perkara yang sering terjadi. Tetapi, ia tidak harus dipandang enteng kerana boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan bayi jika tidak dipantau dan dirawat oleh pakar perubatan.

Rujukan:

  1. Tahap Bacaan JAUNDIS Bayi Ini Tanda Bahaya, Ibu Jangan Terleka Jika Si Manja Demam Kuning!
  2. Kuning bayi (Jaundis): Punca, Faktor risiko dan Rawatan
  3. Ini Punca Sebenar Demam Kuning! Tapi Betul Ke Susu Ibu Sebabkan Jaundis?
  4. Jaundice
  5. Breast Feeding and Jaundice
  6. Kekuningan pada Bayi Baru Lahir
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi, penulis Fitpedia. Merupakan graduan Dietetik dari UIAM. Minat dalam bidang nutrisi dan kesihatan dan suka berkongsi ilmu kesihatan dan nutrisi kepada masyarakat supaya masyarakat mendapat ilmu yang betul.Di Fitpedia, kita menyediakan info-info berkaitan kesihatan, nutrisi dan tips berkaitan pemakanan.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here