Baru Jadi Ibu?…Ketahui Bagaimana Susu Ibu Dihasilkan

Susu ibu adalah susu yang dihasilkan oleh kelenjar susu dalam payudara. Ianya adalah makanan khusus untuk bayi. Terdapat beberapa perkara perlu diketahui mengenai susu ibu.

1. Susu wujud sebelum kelahiran

Badan manusia akan bersedia untuk menyusu sejak sebelum proses kelahiran lagi. Semasa mengandung, ibu akan mengalami perubahan pada payudara. Proses ini berlaku untuk menghasilkan susu dan menyebabkan ibu merasa payudara penuh.

Payudara adalah kelenjar yang merangkumi tisu penghubung dan tisu lemak yang akan menyokong dan melindungi kawasan penghasilan susu ibu. Susu dihasilkan dalam sel-sel kecil yang dipanggil alveoli. Ia akan mengalir turun melalui saluran susu ke puting untuk mengeluarkannya.

2. Saiz payudara tidak membezakan kuantiti dan kualiti susu

Saiz payudara tidak mempengaruhi kebolehan menyusu. Perempuan dengan payudara yang kecil akan menghasilkan kuantiti dan kualiti susu yang sama dengan perempuan yang mempunyai payudara besar.

3. Proses penyusuan bayi membantu penghasilan susu ibu

Setelah bayi dilahirkan, perubahan hormon dan penyusuan bayi akan meningkatkan peredaran darah ke payudara. Peningkatan peredaran darah meningkatkan kuantiti susu ibu, dan merubah komposisi susu tersebut sebanyak 2 kali dalam bulan pertama bayi dilahirkan. Lagi banyak susu diminum, lagi banyak susu yang akan dihasilkan oleh badan ibu.  

Kekerapan menyusu badan atau pengeluaran susu (8-12 kali atau lebih dalam tempoh 24 jam) terutamanya dalam beberapa hari atau minggu pertama bayi dilahirkan akan membantu ibu menghasilkan susu yang berkualiti.

4. Susu lambat keluar

Sesetengah ibu akan mengalami masalah susu lambat keluar sebaik proses kelahiran. Ini adalah perkara biasa. Bekalan susu ibu bergantung kepada permintaan bayi (penyusuan bayi). Lagi kerap bayi menyusu, lagi mudah dan banyak susu dihasilkan. Masalah susu lambat keluar ini terjadi disebabkan beberapa faktor antaranya:

  1. Kelahiran pra-matang
  2. Kelahiran melalui pembedahan ceasar (C-section)
  3. Masalah kesihatan seperti kencing manis (diabetes) dan polycystic ovary syndrome (PCOS)
  4. Obesiti
  5. Jangkitan atau penyakit merangkumi demam
  6. Berbaring terlalu lama sepanjang kehamilan
  7. Masalah tiroid
  8. Tidak dapat menyusu semasa beberapa jam selepas kelahiran
  9. Tekanan yang teruk

5. Tips menghadapi susu lambat keluar

a) Kerap menyusu

Kekerapan menyusu terutamanya apabila bayi menunjukkan tanda-tanda lapar adalah cara terbaik untuk mendapat bekalan susu yang banyak. Apabila bayi menyusu, hormon untuk menghasilkan susu akan dirembes keluar.  Proses ini dipanggil ‘let-down reflex’. Ianya berlaku apabila otot payudara mengecut dan menggerakkan susu melalui saluran susu sebaik sahaja proses penyusuan oleh bayi. 

Menyusu bayi 8 – 12 kali sehari dapat membantu menghasilkan dan mengekalkan penghasilan susu. Walaubagaimanapun penyusuan yang sedikit atau lebih tidak memberi masalah kepada susu.

b) Pam susu di antara masa makan

Mengepam susu di antara waktu makan bayi dapat membantu meningkatkan penghasilan susu. Proses mengepam boleh dilakukan ibu mempunyai lebihan susu selepas bayi menyusu, bayi tidak menyusu pada masanya dan bayi menyusu daripada botol atau susu formula.

c) Menyusu dari kedua-dua payudara

Proses ini dapat membantu meningkatkan penghasilan susu. Mengepam susu daripada kedua-dua payudara juga akan menghasilkan kandungan lemak yang tinggi dalam susu.

Konklusi:

Susu ibu adalah makanan utama bayi sebaik dilahirkan. Ia mengandungi banyak khasiat yang penting untuk bayi. Susu yang mencukupi dapat memberi bayi nutrisi yang cukup untuk tumbesaran.

Rujukan:

  1. How Breast Milk is Made
  2. When Does Milk Come in After Birth?
  3. Breastfeeding and Delayed Milk Production
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi, penulis Fitpedia. Merupakan graduan Dietetik dari UIAM. Minat dalam bidang nutrisi dan kesihatan dan suka berkongsi ilmu kesihatan dan nutrisi kepada masyarakat supaya masyarakat mendapat ilmu yang betul.Di Fitpedia, kita menyediakan info-info berkaitan kesihatan, nutrisi dan tips berkaitan pemakanan.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here